Khamis, 11 Februari 2010

Sambutan Hari Kekasih Salah Di Sisi Islam


Oleh Mohd Hariri Bin Haji Mohamad Daud, (Panel Penulis Luar Jakim), Majalah Cahaya keluaran Februari 2009.

Tarikh 14 Februari setiap tahun menjadi tarikh yang ditunggu-tunggu oleh pasangan bercinta sebagai hari untuk memperingati dan meluahkan cinta sejati kononnya kepada pasangan masing-masing. Amalan songsang seperti ini sudah menjadi taqwim tahunan remaja dan semestinya penganut agama Kristian. Lantas, remaja Islam di Malaysia diseru agar tidak terpengaruh dan meraikan sambutan Hari Kekasih (Valentine Day) yang disambut pada 14 Februari ini. Sudah jelas bahawa sambutan Hari Kekasih ini salah di sisi agama Islam dan bercanggah dengan aqidah Islam itu sendiri.

Perbuatan untuk meraikan sambutan Hari Kekasih amat bercanggah dengan syara’ kerana ianya mempunyai unsur kepercayaan agama kristian dan menjurus kepada kebobrokan akhlak. Selain itu, sambutan yang tidak berfaedah ini dirai dengan penuh adegan maksiat seperti berdua-duaan, berpeleseran hatta membawa kepada perbuatan seks bebas. Hari yang dianggap “hari berbulan madu” bagi remaja sehingga mereka sanggup menggadaikan maruah demi membuktikan cinta mereka kepada kekasih masing-masing. Sesungguhnya budaya meniru budaya barat yang terpesong dan mencampurkan perkara aqidah mengikut kepercayaan agama lain adalah salah di sisi Islam.

Dalam erti lain umat Islam tidak boleh mencampuradukkan akidah dan peribadatan agama Islam dengan akidah dan peribadatan agama lain. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud “Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (Surah Al-Kafirun ayat 1-6 )

Nabi SAW dengan tegas telah melarang kita daripada meniru budaya Yahudi dan Nasrani dalam hadis yang bermaksud, “Nescaya kamu akan turut jejak langkah mereka (Yahudi dan Nasrani ) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga kamu akan turuti mereka walaupun mereka masuk ke dalam lubang biawak. Lantaran sahabat bertanya: Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka.”

Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah menyatakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2006 pada 21 Februari 2006 telah memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam”.

Para mufti di Malaysia juga telah bersepakat untuk memutuskan bahawa amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam seperti yang dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 yang lalu.

Melalui sejarah Valentine, jelas ianya dapat disabitkan dengan budaya Kristian yang menyatakan Valentine’s Day bermula dari kematian tragis seorang Paderi yang bernama St. Valentine yang dibunuh oleh seorang Raja Romawi yang bernama Raja Claudius pada II (268-270M ).

Bermula dari kisah ini mereka telah mengabdikan St. Valentine sebagai seorang tokoh yang hebat dalam mempertahankan cinta dan dianggap sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup. Maka, 14 Februari dijadikan sebagai hari perlambangan dalam memperingati kematian St.Valentine dan dianggap sebagai upacara keagamaan masyarakat Kristian.

Justeru, Islam menyeru seluruh umat Islam khususnya remaja-remaja Islam agar tidak meraikan sambutan Hari Kekasih dan menghindari perkara-perkara yang boleh membawa kepada sikap untuk meraikannya. Berikut adalah sikap-sikap yang perlu dihindari oleh remaja Islam pada Hari Kekasih :

1- Sikap untuk keluar berfoya-foya sesama kekasih dan mengadakan majlis untuk menyambut hari tersebut dengan mengadakan parti atau majlis seumpamanya.

2- Menghantar kad-kad ucapan yang tertera kata-kata Valentine Day dan pada kad-kad tersebut terdapat gambar pari-pari yang mempunyai dua sayap yang menjadi simbol kepercayaan agama kristian.

3- Menulis ucapan kata-kata cinta di dalam kad yang diutuskan dengan menyatakan keinginan cinta kepada kekasih kerana ianya juga sikap mempamerkan rasa gembira dan percaya akan hari tersebut.

4- Kebanyakan negara-negara Barat, parti-parti diadakan sempena hari tersebut disambut dengan pesta seks dan tari-menari. Kebanyakan mereka menghantar hadiah-hadiah seperti bunga ros dan sekotak coklat kepada sesiapa yang mereka cintai.

5- Menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada kekasih untuk meluahkan rasa sayang bersempena dengan Hari memperingati kekasih (Valentine Day) sebagai tanda percaya akan “keajaiban” hari tersebut.

Namun, segelintir pihak sanggup menaja majlis sambutan Hari Kekasih dan menjual barang-barang cenderahati untuk mempengaruhi remaja memperingati hari tersebut sehingga mengheret ke lembah makisat. Ironinya, remaja menganggap sambutan ini sebagai simbol kecintaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada pasangan. Islam melarang umatnya berlebih-lebihan dalam bercinta sehinggakan sanggup menyerahkan maruah kepada pasangan yang dicintainya.

Sesungguhnya perbuatan ini juga bercanggah dengan syara’ kerana ianya juga menyumbang berlakunya perkara maksiat dan zina. Firman-Nya:Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang membawa kepada kerosakan.” (Surah Al-Isra :32)

Ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting untuk mengawasi anak-anak mereka agar tidak meraikan hari tersebut dan melalukan perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Selain itu, pihak pentadbiran sekolah dan institusi pengajian tinggi juga agar lebih proaktif untuk memastikan tidak wujud program sambutan kepada hari tersebut serta aktiviti bertukar-tukar bunga ros, kad-kad ucapan dan sebagainya.

Secara kesimpulannya, Islam memberi garis panduan yang jelas dan membenarkan hubungan kasih sayang sesama manusia dalam kerangka syariat. Hubungan kasih sayang kepada ibu bapa, sahabat dan sesama masyarakat boleh dilakukan setiap hari dan tujuh golongan manusia yang akan mendapat lindungan `Arasy ialah salah satunya mereka yang berkasih sayang ( bertemu dan berpisah ) kerana Allah SWT.

Firman Allah SWT : 'Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal.' (Surah Al-Ghaafir : 39)

Sumber :
http://www.islam.gov.my/

Pengurusan krisis jamin kesinambungan urusan

Pelan kesinambungan sumber manusia relevan bagi menjamin keselamatan kakitangan.

Oleh NAZHALINA NAZRI

APAKAH yang organisasi anda akan lakukan sekiranya premis kerja anda terbakar atau tidak boleh dimasuki kerana menerima panggilan ancaman bom?

Mampukah anda meneruskan tugas-tugas seperti biasa? Adakah organisasi anda mempunyai pelan tindakan sekiranya situasi tersebut berlaku kepada mereka?

Bagi organisasi yang berasaskan keuntungan, gangguan terhadap fungsi perniagaan yang kritikal boleh mengakibatkan kerugian bernilai jutaan ringgit.

Kebiasaannya, organisasi yang berasaskan keuntungan ini mempunyai pelan Kesinambungan Pengurusan Urusan atau Business Continuity Management (BCM) yang dibangunkan bagi menjamin kesinambungan fungsi-fungsi kritikal organisasi walaupun ketika dilanda krisis.

Selain organisasi yang berasaskan keuntungan, sebahagian daripada Prasarana Maklumat Kritikal Negara atau Critical National Information Infrstructure (CNII) juga telah merangka pelan BCM bagi organisasi mereka.

BCM adalah satu pendekatan pengurusan holistik bagi melindungi fungsi-fungsi kritikal organisasi dengan mengenal pasti impak dan ancaman yang mungkin boleh mengganggu fungsi-fungsi kritikal melalui penyediaan satu rangka kerja dalam memastikan organisasi tetap teguh dalam menghadapi ancaman.

Rangka kerja ini meliputi analisis impak terhadap fungsi-fungsi kritikal organisasi, penilaian risiko, pembangunan strategi dan pelan kesinambungan yang relevan.

Antara pelan yang sesuai untuk dibangunkan adalah Pelan Kesinambungan Teknologi Maklumat, Pelan Kesinambungan Fungsi-fungsi Kritikal serta Pelan Pengurusan Krisis.

Di peringkat awal pengenalan BCM, ia lebih dikenali sebagai Pelan Pemulihan Bencana (Disaster Recovery Plan). Ia juga banyak dikaitkan dengan pelan pemulihan bencana teknologi maklumat (IT Disaster Recovery Plan).

Walaupun pada hakikatnya kita sangat bergantung kepada teknologi maklumat untuk menjalankan tugas seharian, kita juga perlu sedar bahawa terdapat aspek lain dalam organisasi yang sama penting dengan teknologi maklumat sistem, aplikasi dan lain-lain transaksi.

Aspek tersebut adalah keselamatan nyawa manusia. Dalam BCM keselamatan nyawa pekerja amat diutamakan.

Oleh sebab itu, langkah menyelamatkan nyawa pekerja lebih diutamakan sebelum langkah-langkah seperti pemulihan infrastruktur, teknologi maklumat, sistem atau fungsi-fungsi lain diambil kerana tanpa pekerja, pemulihan fungsi-fungsi lain tidak akan dapat dilaksanakan.

Pelan pandemik

Kita ambil contoh senario penularan wabak Influenza A H1N1. Jika sesebuah organisasi dilanda wabak Influenza A H1N1, BCM boleh dilaksanakan bagi memastikan urusan penting organisasi tidak terhenti.

Bayangkan jika seorang dua daripada kakitangan organisasi anda tidak hadir bekerja kerana jangkitan H1N1, anda tidak akan merasa kesannya.

Tetapi jika sekumpulan kakitangan mengalami jangkitan yang kritikal diberi cuti sakit atau dikuarantin, satu fungsi kritikal organisasi akan terganggu atau terhenti sepenuhnya dan impaknya akan dirasai oleh seluruh organisasi.

Pada ketika inilah organisasi tersebut akan terfikir alangkah baik sekiranya telah wujud satu pelan pandemik atau sekurang-kurang pelan kesinambungan sumber manusia, yang mampu mengawal dan mengurangkan impak terhadap masalah ini.

Rujukan utama bagi pembangunan pelan pandemik ialah Pelan Kesediaan Pandemik Influenza Kebangsaan(NIPP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Jabatan Sumber Manusia di setiap organisasi perlu mengambil langkah untuk membangunkan pelan pandemik atau pelan kesinambungan sumber manusia yang relevan bagi menjamin keselamatan kakitangan.

Ia sekali gus memastikan kelangsungan fungsi-fungsi kritikal organisasi.

Jabatan Sumber Manusia juga perlu memberikan khidmat nasihat kepada kakitangan tentang langkah-langkah yang perlu diambil ketika dilanda wabak penyakit atau pandemik.

Pewujudan senarai kakitangan kritikal berserta penggantinya (backup) yang memahami serta mampu mengambil alih tugas kakitangan kritikal tersebut semasa ketiadaannya berupaya mengatasi masalah kekurangan sumber manusia ini.

Dalam situasi bencana sebegini, cara kerja alternatif seperti bekerja dari rumah atau di pusat pemulihan bencana perlu dirancang bagi membolehkan fungsi kritikal diteruskan walaupun premis organisasi tidak dapat dimasuki atau diakses.

Satu lagi insiden yang boleh dijadikan iktibar ialah sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri September lalu yang mana sistem pesanan ringkas (SMS) telah mengalami kesesakan ekoran dari meningkatnya penggunaan SMS secara mendadak pada ketika itu.

Sistem tersebut seterusnya mengalami gangguan yang serius sehingga menyebabkan sistem tersebut tergendala selama beberapa hari.

Gangguan ini menyebabkan SMS lewat sampai pada penerima atau pun tidak diterima langsung oleh penerima.

Ekoran daripada insiden tersebut, syarikat telekomunikasi mengambil beberapa langkah untuk memastikan insiden tersebut tidak berulang pada waktu-waktu puncak seperti, musim perayaan dan sebagainya.

Bank Negara Malaysia (BNM) telah memulakan langkah yang proaktif dengan penghasilan Garis Panduan BCM yang digarap khusus bagi semua institusi kewangan di bawah seliaannya.

Objektif utama garis panduan tersebut adalah untuk memastikan kesinambungan fungsi-fungsi kritikal dan pemulihan perkhidmatan penting lain dalam satu jangka waktu yang ditetapkan semasa gangguan yang serius.

Garis panduan tersebut juga telah menetapkan keperluan minimum BCM yang perlu dipatuhi oleh kesemua institusi kewangan.

Garis panduan ini, pastinya diformulasikan oleh Bank Negara Malaysia apabila menyedari betapa penting dan kritikal transaksi yang dijalankan oleh institusi-institusi kewangan dan kerugian yang akan dialami oleh institusi kewangan ini dan seterusnya kepada negara sekiranya berlaku gangguan atau krisis terhadap fungsi-fungsi kritikal ini.

Inti pati pelan

Standards Malaysia juga telah menghasilkan satu standard berkaitan BCM iaitu MS: 1970:2007 BCM Framework bertujuan untuk membantu organisasi-organisasi yang merancang untuk melaksanakan BCM di organisasi mereka.

MS 1970:2007 memberi satu rangka kerja bagi mengimplementasikan BCM di peringkat organisasi, tetapi memberi kebebasan bagi organisasi untuk memilih kaedah yang sesuai bagi mengimplementasikan BCM.

BCM merupakan disiplin proaktif dalam memastikan organisasi terus beroperasi ketika berhadapan dengan sesuatu insiden atau krisis.

Namun, apa jua pelan yang dibangunkan tidak akan mencapai matlamatnya sekiranya tiada usaha untuk menyampaikan inti pati pelan tersebut kepada kesemua kakitangan daripada peringkat tertinggi sehinggalah ke peringkat kakitangan sokongan.

Semua kakitangan perlu menyedari kewujudan pelan-pelan ini, kegunaannya serta tanggungjawab masing-masing apabila pelan-pelan tersebut perlu diaktifkan.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

'Konon pandai bahasa Inggeris!'

Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my
KETIKA bahasa Melayu berdepan dengan pelbagai hambatan dalam usaha memartabatkannya di negara yang mengiktirafnya sebagai bahasa rasmi negara, tidak bermakna rakyat negara ini apalagi pelajar tidak perlu menguasai bahasa asing apalagi bahasa antarabangsa.

Amukan gelombang globalisasi yang memaksa seseorang itu menguasai lebih daripada satu bahasa dilihat menidakkan kemampuan diri apabila individu itu hanya menguasai satu bahasa, lalu kelebihan orang lain dilihat sebagai suatu yang perlu dimusuhi dan dijadikan bahan ejekan tidak bertempat.

Pasti sebahagian besar daripada pembaca biasa mendengar atau pernah melalui pengalaman diejek ketika bertutur dalam bahasa Inggeris, hatta biar pun dengan rakan yang boleh berkomunikasi dalam bahasa terbabit, sehingga dilempar dengan tuduhan mengada-ngada, menunjuk-nunjuk dan perasan hebat.
Sikap suka memperlekehkan keupayaan orang yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik terutama dalam kelompok taksub bahasa Melayu ini seolah-olah menjadi suatu perkara biasa sehingga tampil sebagai budaya negatif bangsa terbabit berterusan sehingga kini.

Pengalaman ini pernah dilalui pelajar Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Fariz Azhar apabila kelebihannya berbahasa Inggeris di salah erti rakan sekelasnya sehingga ada yang menuduhnya berlagak dan tidak kenal akar umbi bahasa ibunda sendiri.

“Pada awalnya, saya sedih apabila diperlakukan sebegitu, tetapi saya kuatkan tekad untuk tidak mempedulikan sikap negatif sesetengah rakan sekolah dalam bab ini, sebaliknya manfaatkan kelebihan itu untuk membantu rakan yang dalam bahasa Inggeris.

“Semua sindiran tidak menjejaskan saya kerana saya hanya menggunakan bahasa Inggeris untuk tujuan pelajaran dan bukannya untuk berbangga diri atau berlagak seperti tuduhan beberapa rakan sekelas, sehingga akhirnya mereka senyap sendiri,” katanya pada pertemuan dengan Sastera, baru-baru ini.

Pensyarah Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Sidek Mohd Noah, berkata dari sudut psikologi senario mengejek kelebihan orang lain itu berpunca daripada perasaan ‘cemburu’ dengan kelebihan orang yang menguasai bahasa Inggeris itu.

“Perasaan cemburu ini berpunca daripada kekurangan diri iaitu tidak tahu atau kurang pandai berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, lalu cemburu yang keterlaluan membawa kepada ‘perasaan hasad dengki’ yang akhirnya boleh berkesudahan dengan fitnah,” katanya.

Dr Sidek menjelaskan, perlakuan ini ada kaitan dengan mekanisma bela diri yang dipanggil ‘projeksi’ iaitu satu perbuatan menyalahkan orang lain di atas kekurangan diri sendiri dengan mengatakan orang lain juga mempunyai sikap tidak baik seperti yang ada padanya.

“Bagi mereka yang mengkritik pula, kesannya bergantung kepada konsep kendiri iaitu sekiranya ada konsep kendiri yang positif, dia secara senyap akan berusaha memperbaiki penguasaan bahasa Inggerisnya, tetapi bagi individu dengan konsep kendiri negatif, mereka akan terus dengan sikap tidak akan berusaha untuk memperbaiki diri,” tegasnya.

Sastera diberitahu, ada dua kemungkinan akan berlaku kepada individu yang fasih berbahasa Inggeris, tetapi bergantung sama ada konsep kendirinya kuat atau rapuh dengan kelompok pertama tidak mungkin tunduk pada kritikan.

“Bagaimanapun, kelompok kedua berkemungkinan hilang semangat, motivasi dan keyakinan diri untuk berbahasa Inggeris. Dalam masalah ini, kita perlu belajar menerima kenyataan iaitu belajar menerima kekurangan diri dan berusaha memperbaiki diri,” katanya.

Beliau tidak menafikan bukan mudah untuk membuang segala sifat tidak baik yang ada dalam diri seperti kata pepatah ‘yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang’, tetapi segala-galanya boleh diusahakan jika ingin berubah.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Karim Harun, pula berpandangan sikap kurang berpuas hati melihat kelebihan orang lain dalam masyarakat Melayu sebenarnya turut berlaku kepada semua manusia tanpa mengira bangsa, tetapi darjah ketidakpuasan berbeza.

“Justeru, dalam masyarakat Melayu apabila ada sesetengah orang yang tidak berpuas hati melihat rakan mereka mampu berkomunikasi dan menggunakan bahasa Inggeris dengan baik, ia disebabkan sikap negatif seperti hasad dengki dan iri hati, bukannya budaya mereka,” katanya.

Dr Karim juga menyifatkan segelintir masyarakat Melayu memang sukar menerima hakikat kelebihan rakan sebangsa dan masalah berkenaan akan melahirkan pandangan negatif atau cakap belakang berkenaan kelebihan itu berbanding jika ia dimiliki bangsa lain.

“Mereka jarang sekali mengutamakan perspektif positif, misalnya peluang untuk mempelajari bahasa Inggeris daripada rakan sendiri. Masyarakat lain ada juga sikap cemburu dan iri hati, tetapi sikap itu menjadikan mereka saling bersaing dan bukannya untuk menjatuhkan orang lain,” katanya.

Baginya, masyarakat Melayu perlu mengelakkan budaya negatif dan perlu saling sokong-menyokong antara satu sama lain, malahan berpegang kepada peribahasa ‘jadilah aur dengan tebing bukan enau dalam belukar’ di samping perlu mengiktiraf serta menghormati kelebihan orang lain agar ada amalan saling memahami.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/