Ruang redakan
tekanan belajar
Oleh
Ruhaiza Rusmin
ENTAH mengapa
pembabitan mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan kurang mendapat perhatian
berbanding pencapaian akademik, menjadikan aspek itu kurang bernilai di mata
masyarakat.
Tambahan pula,
bukan semua mahasiswa mampu memberi sepenuh komitmen, menjadikan aktiviti itu
dianggap tempat ‘bersuka ria’ yang hanya menimbulkan pembaziran masa dan tenaga.
Apatah lagi,
jangka hayat aktiviti itu singkat menjadikan masyarakat luar mempunyai pelbagai
modal untuk mengkritik.
Benarkah
pandangan masyarakat yang menyatakan aktiviti itu hanya satu pembaziran dalam
diam dan gagal mencapai matlamatnya?
Atau adakah
mahasiswa hanya menjadi mangsa keadaan dan tempat melampiaskan rasa kurang
senang masyarakat terhadap golongan itu?
Ketua Pusat
Tanggungjawab Sosial Universiti, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),
Martinelli Hashim berkata, pembabitan mahasiswa dalam aktiviti sosial bukan satu
pembaziran, malah sangat bermanfaat.
Beliau berkata,
istilah pembaziran dan tanggapan aktiviti itu tidak mencapai matlamat adalah
dangkal selain mahu menjatuhkan kredibiliti mahasiswa tanpa usul periksa.
“Saya tahu ramai
beranggapan aktiviti seperti ini hanya seperti mahu mengundang keseronokan
tanpa mencapai matlamatnya. Malangnya tanggapan itu silap.
“Membabitkan diri
dalam aktiviti sosial anjuran institusi itu banyak kelebihan dan manfaatnya,
jadi jangan sewenang-wenangnya memberi persepsi negatif jika tidak tahu hujung
pangkal.
“Sikap masyarakat
yang mudah melabelkan sesuatu hanya pada pandangan kasar perlu diubah kerana ia
tidak membantu membangunkan minda, sekali gus membantutkan usaha melahirkan
mahasiswa cemerlang,” katanya.
Kesal dengan tanggapan
seperti itu, beliau berkata, masyarakat sering kali memberi tanggapan hanya
melihat pada aspek luaran semata-mata.
Katanya, mereka
hanya melihat secara kasar dan sekali imbas tanpa mahu menghargai penat lelah
mahasiswa yang bertungkus-lumus menjayakan aktiviti itu.
“Bercakap memang
mudah, namun adakah mereka tahu kepayahan dan kepenatan mahasiswa melaksanakan
program terbabit?
“Ini bukan
program main-main kerana ia membabitkan imej institusi.
“Cuba letakkan
diri di tempat mahasiswa itu, adakah anda sanggup bersengkang mata, berpanas
berhujan semata-mata menjayakan matlamat sesuatu program?
“Saya percaya,
mahasiswa juga tidak mahu aktiviti dijalankan itu menjadi buah mulut orang dan
dilabelkan gagal. Jadi mereka pasti akan melaksanakannya bersungguh-sungguh,”
katanya.
Bukan sesuatu
yang menghairankan apabila ada segelintir masyarakat yang celupar melabelkan
khidmat sosial berkenaan sebagai satu pembaziran.
Alasannya,
mahasiswa tidak begitu fokus dalam pelaksanaan selain melakukan aktiviti sama
setiap kali penganjuran program.
Menyangkalnya,
beliau berkata, bukan semua mahasiswa pergi untuk ‘bersuka ria’, sebaliknya
mereka tetap memanfaatkan setiap tanggungjawab itu.
“Ya, mungkin ada
yang terpesong matlamatnya, namun bukan semua yang sanggup melepaskan
tanggungjawab diberikan sewenang-wenangnya.
“Malah, perlu
diingat, setiap pelaksanaan projek ada struktur perancangannya, jadi mana
mungkin mereka melaksanakannya atas dasar ‘suka-suka’.
“Janganlah kerana
seorang dua yang lepas tangan, semua terkena tempiasnya. Ini tidak adil,”
katanya menegaskan antara manfaat terbesar diperoleh ialah membina sikap
prihatin mahasiswa terhadap permasalahan masyarakat.
“Ini manfaat
paling baik sebab bukan mudah mahu membentuk sikap peduli golongan muda
terhadap masyarakat. Program seperti ini mengasuh dan mendidik emosi mereka
supaya tidak lepas tangan.
“Namun, ada
kalangan masyarakat menganggap program ini sebagai satu pembaziran. Hakikatnya
mereka sendiri tidak mahu ‘membuka mata’ seluas-luasnya melihat apa yang
diperoleh mahasiswa menerusi program ini,” katanya.
Program ini,
katanya, perlu dilaksanakan dalam situasi santai kerana menjadi tempat
mahasiswa meredakan sebentar tekanan belajar, selain memikat hati golongan
sasaran.
“Jika program
dilaksanakan dengan protokol ketat, golongan sasaran mungkin tidak suka kerana
program itu akan membosankan.
“Biarpun pelbagai
program diadakan seperti bersama keluarga angkat, matlamat dan pengisian pasti
ada perbezaannya,” katanya.
Memberi pendapat
bahawa masyarakat mahukan hasil segera, beliau berkata, ia mungkin mustahil
kerana pembentukan nilai murni di kalangan mahasiswa memerlukan masa dan banyak
pendedahan.
Akuinya, mereka
masih memerlukan bimbingan, tunjuk ajar serta tatacara betul untuk berada di
landasan betul, sekali gus memperbetulkan tindakan andai kata bertentangan
dengan matlamat.
“Sebagai generasi
muda, mereka ada terlalu banyak cabang pilihan seperti melakukan keseronokan,
tanggungjawab dan perasaan. Masyarakat lebih dewasa perlu memberi bimbingan bukan
kritikan yang boleh melemahkan mereka.
“Malangnya,
itulah sikap sebahagian besar masyarakat hari ini. Daripada memberi bimbingan,
mereka gemar mengkritik yang bukan-bukan.
“Akibatnya, ia
melemahkan daya juang mahasiswa, sekali gus memadamkan keinginan mendekati
masyarakat. Ini satu kerugian yang perlu dielakkan,” katanya.
Masyarakat juga
perlu melihat apa yang cuba dilaksanakan golongan mahasiswa sebagai satu
percubaan meneroka alam baru yang lebih mencabar.
“Mereka ibarat
baru bertatih, justeru apa salahnya jika masyarakat memberi sokongan padu
sebagai pembakar semangat.
“Tanggapan bahawa
mereka hanya ingin berseronok dan aktiviti ini tidak mampu memberi manfaat
adalah keterlaluan.
“Bukankah ini
satu ilmu baru yang mampu menjana pengalaman lebih praktikal? Saya hairan
apabila aktiviti seperti ini digambarkan sebagai tempat mengambil kesempatan.
“Jangan terlalu
sempit menilai atau memberi persepsi salah, nanti merugikan golongan terbabit,”
katanya.
Pada masa sama,
beliau mengingatkan mahasiswa menggunakan peluang diberikan bagi menjadikan
diri sebagai insan prihatin dan disayangi masyarakat.
Menurutnya,
dengan pelbagai isu mengaitkan mahasiswa hari ini, ia sedikit sebanyak
memburukkan imej golongan terbabit.
“Walaupun hanya
segelintir (berbuat salah), tempiasnya tetap kena pada mahasiswa. Justeru,
jangan rosakkan nama baik itu dengan tanggapan salah.
“Sebaliknya,
buktikan mahasiswa memang ikhlas dan ingin mendapat manfaat daripada aktiviti
ini. Masyarakat tidak tahu jika tidak melihat hasilnya,” katanya.
Beliau turut
mengakui, program itu memberi pendedahan positif terutama pembentukan jati dan
kemahiran diri.
“Jika tiada kepentingannya, tentu program seperti ini tidak ditekankan di institusi pengajian tinggi. Melihat kepada manfaatnya, ia menjadi antara agenda wajib yang perlu dilaksanakan mahasiswa.
“Kebaikan diperoleh apabila tamat pengajian. Bagi yang aktif terbabit dalam pelbagai program, karisma diri pasti terserlah berbanding melakukannya kerana terpaksa.
“Justeru, jangan anggap aktiviti ini tidak berfaedah mahupun hanya membazir. Masyarakat sering menyuruh mereka berfikir di luar kotak, jadi sokonglah mereka, " katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/