Oleh KHAIRUDDIN MOHD. ZAIN
Terlampau banyak yang diperkatakan mengenai Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atau dikenali sebagai Program 6P yang sedang dilaksanakan di seluruh negara. Ada laporan yang positif. Namun, ada juga cerita dan perspektif negatif yang diberikan kepada program pendaftaran pekerja asing dan tanpa izin yang amat besar dan rumit ini.
Program 6P bukanlah satu program yang boleh dilihat dalam konteks 'untung dan rugi' kepada kerajaan. Ia lebih besar dan komprehensif daripada banyak perspektif negatif yang cuba dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu.
Pujian mestilah diberikan kepada kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia yang bekerja keras hampir beberapa minggu kebelakangan ini bagi melaksanakan program yang sedemikian besar dan menyeluruh. Setakat ini, hampir 2 juta pendatang asing tanpa izin (PATI) sudah pun didaftarkan.
Apakah pernah kita bayangkan bahawa seramai 2 juta pendatang tanpa izin yang ada di halaman negara kita; tanpa sebarang pengenalan diri?
Sejauh mana kita pasti bahawa tidak ada waima seorang pun daripada mereka ini mempunyai niat yang serong dan mampu mengganggu gugat keamanan, kestabilan dan kesejahteraan negara?
Semua ini menimbulkan soal 'keselamatan' yang amat serius. Justeru, sememangnya amat tepat bahawa 'rasional keselamatan' menjadi faktor teras kepada pelaksanaan program 6P.
Kita tidak boleh terus-terusan membiarkan sempadan negara menjadi terlalu poros dengan kehadiran pendatang tanpa izin. Benar, kita bukanlah terlalu kejam sehingga mahu meletakkan tembok kebal kepada mereka daripada mencari rezeki di negara ini.
Namun kita juga tidak rela soal keselamatan negara menjadi taruhan dan permainan mana-mana pihak sekalipun. Jangan kita ambil mudah, saat ada kumpulan tertentu yang kemaruk kuasa, kelemahan-kelemahan ini boleh mendatangkan masalah jangka panjang.
Oleh yang demikian, 'rasional keselamatan' yang diungkapkan dalam niat pelaksanaan Program 6P ini adalah sangat strategik dan wajar. Kita sememangnya memerlukan suatu platform pengurusan data warga asing yang lebih mampu mengawal selia kehadiran mereka di negara ini.
Soal ini tidak boleh diambil mudah. Kita tidak perlu menjadi terlalu defensif dan takut untuk menegakkan kebenaran dan sesuatu yang menjadi keperluan negara.
Cerita-cerita sensasi seperti isu 'Mismah' akhirnya gugur dengan sendirinya apabila cerita sebenar didedahkan kepada media. Ini sekali gus membawa makna, sememangnya wujud niat media tertentu untuk merosakkan imej Program 6P dengan mempakejkannya dengan isu-isu lain. 6P, biometrik, Mismah, pendaftaran warga asing, pendaftaran pemilih - dipakejkan sebagai satu 'cerita konspirasi' yang berniat meruntuh imej institusi kerajaan.
Tidak sukar untuk kita mengesan 'keuntungan politik' yang boleh diperoleh sekiranya 'pakej dan agenda merosakkan imej' ini dapat dicerna oleh minda rakyat.
Soal integriti sempadan, soal keselamatan, soal 'jenayah rentas sempadan' tidak menjadi penting kepada kelompok ini. Rakus kuasa lebih menarik selera.
Mereka yang cuba meletakkan apa sahaja keraguan kepada pelaksanaan Program 6P adalah mereka yang tidak melihat gambaran lebih besar kepada suasana sebenar yang berlaku. Sampai bila kita mahu terus berteka-teki dengan jumlah sebenar pendatang tanpa izin; sekiranya sebuah program seperti 6P tidak dilaksanakan sebaiknya?
Apakah kita boleh memperjudikan isu keselamatan dan menganggap semuanya akan berada di bawah kawalan anggota keselamatan?
Untuk itu, Program 6P ini bukan sahaja soal majikan dan pekerja. Program 6P bukan juga soal statistik dan mengisi keperluan industri semata-mata.
Masanya sudah tiba untuk kita melihat Program 6P sebagai suatu tindakan proaktif dalam memastikan integriti sempadan kita tidak diambil mudah oleh mana-mana pihak sekalipun. Inilah matlamat yang lebih perlu menjadi prioriti.
Pengenalan sistem biometrik adalah sesuatu yang sesuai dengan masa dan zaman. Ya, kalaupun memang wujud kelemahan tertentu yang melambatkan sedikit pendaftaran; ia tidak boleh menjadi alasan untuk kita meruntuhkan segala-galanya.
Apa yang menjadi ironi, kumpulan sama adalah mereka yang selalu menjerit-jerit dan mempertikai kononnya kerajaan tidak mengurus warga asing dengan tuntas dan baik. Hari ini, kumpulan sama yang membuat dan menjual pelbagai tohmahan kepada program yang mempunyai niat yang sangat murni.
Dengan data yang lebih komprehensif, mantap dan kebal daripada pembohongan dan penipuan, kita dapat memastikan sempadan negara tidak dibolosi oleh kumpulan-kumpulan ekstrem dan cuba untuk mengganggu gugat keamanan. Jangan kita ambil mudah perkara yang asas dan penting ini.
Kita perlu faham bahawa penjenayah antarabangsa tidak lagi bergerak dalam model lama. Mereka sendiri juga melakukan 'kerjasama strategik' dalam memastikan risiko ditangkap oleh pihak berkuasa berada di tahap yang paling minimum.
Kita bukan sahaja berbicara tentang pemerdagangan orang; malahan ia boleh menerjah kepada jenayah-jenayah yang lebih dahsyat, termasuk pengedaran dadah dan kegiatan militan!
Biometrik ini bukanlah satu program yang istimewa buat Malaysia sahaja. Ia sudah menjadi teknologi dunia dalam memastikan mobiliti manusia dapat dikawal dengan lebih baik dan tersusun. Masing-masing kerajaan punya niat dan rasional tersendiri dalam melaksanakan pendaftaran identiti biometrik.
Di India, projek yang dinamakan sebagai Unique Identification Authority of India (UIDAI) sedang dilaksanakan dengan belanja hampir AS$500 juta dolar. Hampir 500 juta rakyat India akan didaftarkan di bawah projek UIDAI - berbanding jumlah keseluruhan rakyat India yang dikatakan hampir 1.2 bilion!
UIDAI mempunyai rasional yang bersifat domestik. UIDAI diharap dapat menyelesaikan isu ketirisan bantuan sosial - agar dapat terus disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
UIDAI juga mahu dijadikan platform bagi menyelesaikan banyak isu yang melibatkan penipuan perbankan di India. Malahan, UIDAI dikatakan lebih canggih kerana turut melibatkan imbasan iris mata kepada semua rakyat!
Amerika Syarikat (AS) turut melaksanakan program pendaftaran biometrik di bawah projek khas United States Visitor and Immigrant Status Indicator Technology (US-VISIT). Pendaftaran ini dilakukan bagi memastikan sempadan AS tidak sewenang-wenangnya dicerobohi oleh mana-mana pihak.
Fobia AS terhadap keganasan militan masih lagi terasa. Oleh yang demikian, US-VISIT jarang sekali berhadapan dengan serangan 'politik'! Rasanya, ahli-ahli politik di Amerika faham bahawa soal integriti sempadan ini bukanlah satu isu yang boleh 'dipolitikkan' dengan sesuka hati.
US-VISIT adalah pangkalan data komprehensif yang akhirnya boleh diakses melalui apa yang dipanggil sebagai Interagency Border Inspection System yang dijadikan rujukan kepada usaha mengenal pasti pelawat ke AS. Dengan pangkalan data yang sedemikian lengkap, risiko untuk Amerika berdepan dengan cabaran keselamatan akan berada di tahap yang minimum.
Tidak kiralah atas nama apa sekalipun, UIDAI, US-VISIT ataupun Program 6P; semua ini dilakukan di atas niat mahu menjaga keselamatan negara dalam erti kata yang sebenar. Sikap ambil mudah, mempolitikkan semua perkara, sebenarnya akan meletakkan negara dalam tekanan keselamatan jangka panjang.
Risiko ini tidak boleh diambil enteng; kecuali mereka yang gemar dan mahu sempadan negara yang poros demi kepentingan politik jangka panjang. Siapa tahu, jika sentimen 'anti-kerajaan' boleh disemaibenihkan kepada kumpulan yang tidak mempunyai ikatan kenegaraan - sekali gus meletakkan negara dalam risiko yang tinggi.
Sekurang-kurangnya, 6P lebih fokus dan menjurus kepada golongan sasar yang tepat. Kita perlukan pangkalan data pekerja asing yang lengkap dan berintegriti. Tidak ada jalan lain untuk ini, kecuali menggunakan teknologi yang terkini.
Program 6P tidak boleh terus diserang dan diburukkan dengan niat 'politik'. Kita perlu melihat kepentingan strategik Program 6P dalam konteks keselamatan negara dan bukannya soal akhiran 'untung rugi' yang sangat kecil berbanding tujuannya yang sebenar.
Inilah masanya majikan tampil ke hadapan dan menyelesaikan masalah mereka; yang akhirnya nanti boleh menjadi masalah negara. Jabatan Imigresen mesti diberikan sokongan dalam mengisi matlamat 6P yang menjaga kepentingan negara dalam jangka masa panjang.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen tidak perlu tertekan dengan apa sahaja laporan negatif yang diberikan kepada 6P.
Keputusan telah diambil oleh kerajaan dan majoriti rakyat merasakan ia tindakan yang tepat dan berpandangan jauh. Pelaksanaan 6P wajar diteruskan tanpa perlu tunduk kepada tekanan mana-mana pihak.
PENULIS ialah pemerhati sosio-politik
Sumber : http : //www.utusan.com.my/ (17 Ogos 2011)