Oleh : MOHD. RADZI MOHD.
ZIN
MASA begitu pantas berlalu. Pejam
celik, pejam celik hari ini sudah masuk hari ke-16 kita berpuasa menunaikan
Rukun Islam ketiga.
Bagi orang mukmin, sudah pasti
masing-masing sudah mempersiapkan diri melipat gandakan ibadat dalam bulan
Ramadan yang berbaki 13 atau 14 hari lagi.
Sebabnya, dalam 10 malam terakhir
Ramadan, Allah menjanjikan pemberian bonus yang amat lumayan kepada
hamba-hamba-Nya yang bertakwa. Malam itu adalah lailatul qadar di mana ganjaran
bagi yang beribadat pada malam tersebut adalah 1,000 bulan atau kira-kira 83
tahun tiga bulan.
Ganjaran itu sebagai mana firman
Allah yang bermaksud: Malam Qadar itu lebih baik daripada 1,000 bulan.
(al-Qadr: 3)
Sayangnya bukan semua orang Islam
mampu istiqamah dan bertahan dalam melakukan ibadat kepada Allah termasuk
sepanjang Ramadan.
Pengalaman membuktikan, bagaimana
masjid dan surau-surau yang penuh sesak pada awal minggu pertama Ramadan kini
semakin sepi dengan jemaah.
Ramai dalam kalangan kita dileka
dan disibukkan dengan pelbagai aktiviti antaranya membeli-belah, membuat
persiapan menyambut Aidilfitri dan lebih teruk lagi duduk menonton program
kegemaran masing-masing di kaca televisyen.
Jika demikian, kita berada dalam
kelompok orang yang amat malang kerana senario begitu sudah jauh menyimpang
daripada tujuan dan matlamat puasa itu difardukan kepada umat Islam iaitu
mencapai takwa.
Ini dijelaskan menerusi firman
Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu
berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu
bertakwa. (al-Baqarah: 183)
Sayangnya, jaminan bonus 1,000
bulan itu tidak mengujakan sesetengah orang Islam. Walhal, dalam menyambut hari
lebaran, sebahagian besar kita antaranya kakitangan awam tertunggu-tunggu
pengumuman bonus oleh kerajaan.
Jika diumumkan bonus sama ada
setengah bulan atau sebulan gaji, kita amat gembira. Namun agak pelik apabila
majoriti umat Islam tidak langsung teruja atau tertarik dengan ganjaran bonus
pahala 1,000 bulan yang dijanjikan oleh Allah SWT.
Untuk itu, kita perlu berazam
memastikan diri kita, isteri dan anak-anak menghidupkan 10 malam terakhir
Ramadan. Sebenarnya bukanlah terlalu sukar untuk mendapatkan pahala lailatul
qadar.
Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud: Barang siapa yang bangun (untuk beribadah) pada malam-malam Ramadan
kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan pahala daripada-Nya, akan
diampunkan dosanya yang lalu. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Para ulama dalam membahaskan
hadis tersebut menjelaskan untuk masuk dalam kategori bangun beribadat atau
qiamullail pada Ramadan adalah memadai orang itu solat Isyak diikuti solat
tarawih dan witir secara berjemaah.
Ini adalah satu lagi kelebihan yang
Allah berikan kepada kita sepanjang Ramadan di mana kita tidak perlu tidur
dahulu untuk berqiamullail sebagaimana pada bulan-bulan yang lain.
Jadi, bagi mereka yang
membiasakan diri solat tarawih di masjid dan surau terutama pada 10 malam
terakhir Ramadan, insya-Allah mereka akan beroleh pahala ganjaran beribadat
1,000 bulan jika bertepatan dengan lailatul qadar.
Cuma, kita disyorkan
melipatgandakan ibadat pada 10 malam terakhir Ramadan kerana waktu bila
sebenarnya lailatul qadar itu berlaku adalah rahsia Allah.
Untuk mendapatkan lebih banyak
pahala, pada malam-malam tersebut juga kita dianjurkan bangun malam mendirikan
solat sunat yang lain seperti tahajud, tasbih, taubat dan hajat sama ada di
rumah, masjid atau surau. Selain itu, memperbanyakkan membaca al-Quran kerana
Ramadan adalah bulan kitab suci itu diturunkan kepada manusia.
Jangan pula kita termasuk dalam
golongan mereka yang hanya sibuk mencari tanda-tanda sudah berlaku atau belum
lailatul qadar.
Alamat atau tanda secara langsung
seperti yang dijelaskan oleh Ibn Uthaimin dalam Fatawawa Rasa'il Ibn Uthaimin
antaranya:
1. Sinar cahaya sangat kuat pada
malam al-qadar dibandingkan dengan malam-malam lain.
2. Bertambah kuatnya cahaya pada
malam itu.
3. Ketenangan dan kelapangan hati
yang dirasakan oleh orang-orang yang beriman lebih kuat daripada malam-malam
yang lain.
4. Angin dalam keadaan tenang
pada malam al-qadar. Tidak bertiup kencang dan tidak ada ribut petir. Ini
berdasarkan hadis daripada sahabat Jabir bin Abdillah sesungguhnya Rasulullah
SAW bersabda: Sesungguhnya Aku melihat lailatul qadar kemudian dilupakannya.
Lailatul qadar turun pada 10 akhir (bulan Ramadan) iaitu malam yang tenang,
tidak dingin dan tidak panas serta tidak hujan. (riwayat Ibn Khuzaimah dan Ibn
Hibban)
5. Terkadang-kadang Allah
memperlihatkan malam al-qadar kepada seseorang dalam mimpinya. Sebagaimana yang
terjadi pada diri para sahabat Nabi SAW.
6. Kenikmatan beribadat dirasakan
oleh seseorang pada malam itu lebih tinggi daripada malam-malam lainnya.
7. Tanda selepas terjadi lailatul
qadar (iaitu pada pagi harinya) antaranya ialah matahari terbit dalam keadaan
tidak tersebar sinarnya dan tidak menyilaukan berbeza dengan hari-hari biasa.
Ini berdasarkan hadis daripada sahabat
Ubay bin Ka'ab yang mengatakan; Rasulullah mengkhabarkan kepada
kami : Sesungguhnya matahari terbit pada hari itu dalam keadaan yang tidak
tersebar sinarnya. (riwayat Muslim)
Bagaimanapun, tentang tanda-tanda
tersebut, tidak semestinya mereka yang tidak nampak tanda-tanda malam al-qadar
tidak mendapat malam tersebut.
Menurut Imam al-Munawi dalam Fayd
al-Qadir: "Barangkali seorang yang bangun pada malam al-qadar itu tidak
memperoleh daripada malam itu melainkan peluang beribadah dan tidak ada sebarang
tanda yang dilihatnya.
"Dia lebih baik dan lebih
mulia di sisi Allah daripada orang yang melihat tanda-tandanya sahaja (tetapi
tidak beribadat pada malam itu)".
Sehubungan itu, marilah kita
mengambil kesempatan memanfaatkan umur yang diberikan oleh Allah SWT untuk
mencari malam al-qadar supaya kita tidak termasuk dalam golongan orang yang
rugi semasa dihisab di hadapan Allah SWT kelak.