MALAYSIAKU Berdaulat: Tanah
Tumpahnya Darahku merupakan tema kemerdekaan tahun 2013 dan yang ke-56 buat
tanah air ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah merasmikan
Kempen Kibar Jalur Gemilang pada 16 Ogos lalu di Sungai Petani, Kedah; dua minggu
sebelum kemuncaknya. Ia akan diikuti dengan program Ambang Merdeka di Pusat
Maritim, Putrajaya serta perbarisan dan perarakan di Dataran Merdeka, Kuala
Lumpur pada 31 Ogos nanti.
Apa makna kemerdekaan bagi warga
Malaysia? Adakah masih mempunyai pertautan dengan semangat kemerdekaan secara
konsisten atau ia sekadar menjadi salah satu hari sambutan yang membolehkan
masyarakat beriadah dan bersantai dengannya?
Saya tertarik dengan kenyataan
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang
menyatakan - "Siapa kita tanpa Malaysia? Dan bersediakah kita untuk
berkorban demi negara tercinta ini? Jika ada yang menyatakan tema merdeka tahun
ini agak old school, saya memang mengakuinya kerana kita mahu mengembalikan
semula perasaan cinta ini dalam kalangan rakyat supaya bersedia mempertahankan
tanah air ini dalam apa jua situasi".
Sejarah pembentukan negara-bangsa
ini perlu digarap nilainya oleh setiap warga Malaysia yang bangga menjadi
rakyatnya. Kita tidak boleh bersifat selektif di dalam soal kenegaraan. Kita
tidak boleh berkompromi dalam nilai-nilai asas yang membolehkan kita menjadi
warganya; keterangkuman yang penting dalam proses membina bangsa Malaysia.
Asasnya adalah seorang warga yang
setia kepada negara akan bersama dalam pasang surut yang dilalui; perwatakan
berterima kasih ke atas pencapaian dan berazam meningkatkan kedudukan negara
dalam keadaan yang tidak menentu atau zaman kemerosotannya. Susah senang
dilalui bersama atas semangat pengisian kemerdekaan yang memaparkan proses
pembinaan negara-bangsa yang jauh maju, kompetitif, pertumbuhan dan bersaing di
peringkat global berbanding dengan beberapa buah negara serantau yang masih
bergelut memahami erti kemerdekaan.
Semangat nasionalisme dan
patriotisme mendasari semangat kemerdekaan sebenarnya. Walau ramai
mempersoalkan jati diri generasi Y hari ini, kita harus akui perbezaan suasana
masa dan tempat menyebabkan wujud tafsiran berbeza ke atas penerimaan konsep
sambutan hari kemerdekaan. Jika generasi merdeka melalui pengalaman penjajahan
tetapi generasi baru menikmati hasil peninggalan warisan berzaman generasi
lalu. Jika generasi lalu memaparkan secara fizikal semangat perjuangan
kemerdekaan, generasi Y memilih untuk melakukannya dalam acuan berbeza tanpa
secara fizikal menunjukkan semangat jati diri mereka. Bagi mereka, yang penting
adalah kesinambungan penghayatannya melalui pengisian yang memberikan hasil
akhir kepada tanah air dalam imbuhan yang berlainan. Namun, ada segelintir yang
nakal dengan semangat memperlekehkan perjuangan asal pejuang kemerdekaan tanah
air.
Ada pula menyoal apa gunanya
merdeka jika negara masih mundur, dibelenggu kemiskinan, dihimpit dengan kos
sara hidup tinggi; ditenggelami oleh persekitaran yang kurang sihat dan tidak
kondusif untuk menikmati kehidupan yang berkualiti. Apa guna juga jika
nilai-nilai mulia tidak dipertahankan tetapi bertembung sesama warganya atas
kepentingan peribadi.
Sebagai sebuah negara yang
rencam, nilai penerimaan, hormat dan memahami penting dalam pengisian
kemerdekaan agar ia terus menjadi benteng yang kukuh untuk meneruskan tradisi
pencapaian yang jauh lebih baik dari apa yang sudah dinikmati selama ini. Titik
keseimbangan antara sesama warga adalah bagaimana boleh sapa menyapa, ziarah,
bekerjasama dan tmenegur jika ada silap dan salah bukannya bermusuhan sehingga
membawa kepada ketegangan hubungan. Walau berbeza agama, etnik, geografi,
gender atau fahaman politik, ia tidak boleh mempengaruhi pertahanan menyeluruh
yang perlu ada dalam jiwa dan sanubari setiap individu demi kedaulatan negara
ini. Jiwa Malaysia berkiblatkan 'satu negara, satu matlamat' akan pertahankan
apa yang sudah dibina selama 56 tahun, satu tempoh masa yang masih pendek dalam
proses membina bangsa yang tahu pengertian sebenar kemerdekaan.
Pelbagai cara boleh digunakan
untuk turut serta dalam meraikan kemerdekaan. Kesemua warga baik keluarga,
media, rakan sebaya, sekolah, universiti, pemimpin, agensi berwajib dan badan
bukan kerajaan serta pelbagai kumpulan sasar boleh memberikan maksud kepada
pengertian kemerdekaan.
Saya masih ingat bagaimana guru
Bahasa Melayu Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Khir Johari, Tanjong Malim,
Cikgu Borhan Shamsuddin (kini Pengarah Majlis Sukan Negeri Perak) mengarahkan
saya, Azri Mukhlas, Chin Peng, Norhayati, Noni, Mamat dan lain-lain melakonkan
pantomin kemerdekaan untuk menyampaikan kepada pelajar lain makna kemerdekaan.
Barangkali aktiviti seperti ini masih boleh diteruskan bersama aktiviti lain
yang disesuaikan dengan persekitaran yang berubah-ubah.
Ada juga individu yang
menunjukkan mereka gah dengan mengkritik dan menghentam apa sahaja yang
dilakukan oleh kerajaan kepada negara luar. Apakah ini dapat menjamin
kedaulatan negara terpelihara. Malahan, dalam negara sekalipun, ada juga
menyoal kedudukan Yang di-Pertuan Agong sehingga mempersenda kedudukan
institusi tersebut melalui beberapa pendekatan khususnya media sosial. Apakah
ini nilai yang mahu dipupuk dan disemai dalam kalangan warga negara ini?
Hakikatnya, pengisian kemerdekaan
ini bergantung kepada keharmonian, keamanan, keselamatan dan kedaulatan tanah
air. Demografi dan geografi Malaysia adalah unik. Ia menjadi akar yang
menyuburkan rongga-rongga ikatan antara sesama warganya. Walau wujud
ketidakseimbangan sosial baik merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta inter
dan intra kaum; kemuafakatan dan perpaduan penting sebagai landasan muhibbah
dan kedamaian nasional.
Walaupun negara pernah berhadapan
dengan beberapa konflik dalaman dan luaran termasuklah peristiwa seperti
rusuhan perkauman 13 Mei 1969, Kampung Rawa 1998, Kampung Medan 2001, Lahad
Datu 2012 dan beberapa insiden lain, keamanan tidak pernah dipinggirkan oleh
kerajaan. Etnosentrik dan streotyping yang tebal sehingga menjadikan budaya
lain bahan gurauan tidak tersenarai dalam usaha kerajaan membimbing nilai
kemerdekaan. Kesederhanaan atau wassatiyah adalah antara ciri penting proses
pengisian dan penghayatan sebenar hari kemerdekaan.
Ia juga adalah usaha memelihara
keselamatan. Masyarakat mahu merasa selamat dari sentiasa perlu berhadapan
dengan suasana takut, gelisah, syak wasangka, curiga dan tidak stabil. Selamat
juga bererti tidak perlu gusar apa yang berada di hadapan mereka. Kepercayaan
tinggi kepada autoriti perlu ada jika kita mahu merasa selamat. Jenayah dan
beberapa tingkahlaku songsang lain perlu ditangani bersama dan bukan sekadar
meletakkan beban di atas bahu pihak keselamatan. Ia juga terikat dengan nilai
kedaulatan.
Kedaulatan negara berpegang
kepada beberapa perkara dasar dalam Perlembagaan, Rukunegara dan kedudukan Yang
di-Pertuan Agong serta pembentukan sesebuah kerajaan. Jika ada pihak yang
melahirkan kebimbangan ke atas kedaulatan negara, mereka wajar dihukum dan
dijadikan pengajaran kepada yang lain. Keyakinan bahawa Malaysia adalah negara
terbaik mesti diiktiraf.
Kepada yang menyalahkan pihak
lain dengan pelbagai tuduhan termasuk bertanggapan pihak Polis Diraja Malaysia
berdrama di Lahad Datu dan mengutuk polis hanya memerhati apabila tembak
menembak berlaku serta polis dilabel kejam apabila menembak penjenayah perlu
bertanya - Apakah sumbangan mereka ke atas tanah air ini? Adakah mereka
terlibat dalam memelihara ketenteraman negara ini atau adakah satu kepuasan
bagi mereka ketika negara berada dalam konflik dan krisis?
Pernahkah mereka meletakkan diri
mereka sebagai ibu bapa, penjaga, anak, isteri, adik beradik kepada yang
sentiasa berkorban menjalankan tanggungjawab demi keamanan, keselamatan dan
kedaulatan negara ini? Dimana mereka ketika keluarga perajurit tanah air
dihujani dengan tangisan dan kesedihan bila mana yang terlibat terkorban demi
negara yang tercinta ini?
Malaysiaku berdaulat adalah
lambang keutuhan kesemua warga Malaysia yang tahu di sinilah hidup dan mati
mereka. 'Dimana bumi dipijak, di situ langit dijunjung' merupakan kesimpulan
daripada tema hari kemerdekaan tahun ini. Marilah bersama menjunjung yang berat dan menjinjing yang ringan bersama-sama kerana nilai kepunyaan adalah obor cahaya negara
berdaulat.
Penulis ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia
Sumber : http : //www.utusan.com.my/