HASANAL AL-BANNA MOHAMED
SETIAP pasangan suami isteri secara fitrahnya menginginkan zuriat mereka
bagi menyambung salasilah keluarga. Malah saat diijabkabulkan, masing-masing
menyimpan hasrat untuk dianugerahkan anak soleh dan solehah.
Ada yang sibuk mencari nama untuk anak yang bakal dilahirkan si isteri
tercinta. Aktiviti membeli-belah barangan bayi seperti botol susu, lampin pakai
buang, pakaian, katil dan permainan menjadi keutamaan pasangan. Semua yang
dilakukan untuk menyediakan segala kelengkapan si manja agar membesar sebagai
insan yang bahagia dan berjaya.
Sehubungan itu, agama Islam sebenarnya telah mengemukakan satu panduan
lengkap bermula daripada seseorang yang bakal menjadi bapa atau ibu sehinggalah
anak dilahirkan, kemudian menjadi remaja, seterusnya dewasa dan akhirnya meninggal
dunia.
Malah, saranan Rasulullah SAW menjelaskan betapa seseorang yang ingin
membina bahtera rumah tangga seharusnya terlebih dahulu memilih bakal pasangan
mereka yang biasanya tergolong dalam empat kategori utama iaitu pemilihan
disebabkan harta, kecantikan, keturunan dan pilihan terakhir adalah agama atau
akhlak.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dikahwini seseorang wanita itu
disebabkan kerana harta, cantik, keturunan. Maka pilihlah mereka yang beragama
nescaya kamu akan selamat”. (Riwayat Bukhari dan Muslim) Hadis lain yang
berkaitan dengan pemilihan bakal pasangan antaranya, Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud: “Pilihlah (pasangan) yang baik untuk tempat memproses nutfah
(benih) kamu, kerana akhlak ibu dan bapa akan menurun (terwaris) kepada
anaknya.” (Riwayat al-Tirmidzi)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kahwinilah wanita penyayang lagi
subur. Sesungguhnya aku bangga dengan banyaknya kamu (umat Muhammad) berbanding
umat lain.” (Riwayat Ahmad)
Namun yang menjadi persoalan dewasa kini, adakah kita mampu mendidik anak
dengan ajaran yang sebenar? Adakah kita sekarang menternak anak kita dengan
sekadar memberi makan dan minum? Apakah yang kita berikan kepada anak dari segi
makanan, pakaian, tempat tinggal, pelajaran dan seumpamanya bertepatan dengan
ajaran Islam?
Adakah manusia sekarang bersikap ganas seperti binatang terhadap anak-anak
yang tidak berdosa, sanggup merogol, membunuh, menghalau, mendera dan
sebagainya? Adakah sudah hilang nilai ihsan dan kasihan belas dalam diri manusia
terhadap anak kecil?
Ingatlah sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Siapa yang menggembirakan hati
anaknya, maka ia bagaikan memerdekakan hambanya. Siapa yang bergurau untuk
menyenangkan hatinya, maka ia bagaikan menangis kerana takut kepada ALLAH SWT”.
Penyejuk hati
Sejak akhir-akhir ini, kita sering mendengar pelbagai berita pembunuhan
kanak-kanak, janin atau bayi tanpa sebab yang dibenarkan agama. Adakah manusia
sanggup membunuh mereka kerana bimbangkan makanan dan minuman tidak mencukupi
untuk diberikan kepada mereka atau takut menjadi miskin papa kedana.
ALLAH berfirman bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh anak kamu kerana
takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu.
Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar”.
(Surah Al- Israk : 31)
Rasulullah SAW berfi rman yang bermaksud: “Hari kiamat tidak akan berlaku
kecuali menimpa ke atas orang yang paling jahat” (Riwayat Imam Muslim).
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada akan
terjadi hari kiamat sehinggalah banyak berlaku Al-Harj. Sahabat bertanya:
Apakah maksud Al-Harj, wahai Rasulullah?.
Nabi Muhammad SAW menjawab: ‘Al-Harj’ adalah pembunuhan demi pembunuhan”
(Riwayat Imam Muslim dan Imam Bukhari)
Justeru, marilah kita menetapkan satu matlamat dan satu impian untuk
memastikan anak memperoleh hak yang sepatutnya, semoga anak menjadi penyejuk
hati dan penawar jiwa.
Firman ALLAH yang bermaksud: “Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami,
isteri-isteri kami dan anak-anak kami sebagai penyenang hati” (Surah Al-Furqan
: 74)
Pesan Luqmanul Hakim
Didiklah mereka seperti yang disarankan Luqmanul Hakim melalui nasihat yang
sangat berguna terhadap anak kesayangannya yang dirakamkan ALLAH dalam Surah
Luqman, ayat 13 hingga 19 yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika dia memberi
nasihat kepadanya: ‘Wahai anak kesayangan ku, janganlah engkau mempersekutukan
ALLAH (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan Syirik itu adalah satu
kezaliman yang besar’. Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu
bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan
(sejak awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya
ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan
kepada kedua-dua ibu bapa mu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali
(untuk menerima balasan). Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau
mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak
mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan
bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan
orang-orang yang rujuk kembali kepada-Ku (dengan tauhid dan amal yang soleh).
Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan
kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan. (Luqman menasihati anaknya dengan
berkata): ‘Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang
baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di
dalam batu besar atau di langit ataupun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh ALLAH
(untuk dihakimi dan dibalas-Nya); kerana sesungguhnya ALLAH Maha Halus
pengetahuan-Nya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi’. ‘Wahai anak
kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta
laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala
bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari
perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya’. ‘Dan janganlah
engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan
janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya ALLAH
tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri’.
‘Dan sederhanakanlah langkah mu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu
(semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/