Jumaat, 27 Januari 2012
ISU AGAMA : Persekitaran manusiawi galak kecemerlangan budaya kerja
Oleh Sharifah Haayati
bhagama@bharian.com.my
Hubungan baik kakitangan, majikan hindari tekanan
PERSEKITARAN manusiawi dengan nilai insani adalah faktor utama merangsang suasana ceria kehidupan termasuk di tempat kerja. Walaupun bekerja dalam bangunan tinggi mencakar langit, luas, disediakan segala kelengkapan dan teknologi canggih, belum menjamin keseronokan bekerja.
Tanpa persekitaran manusiawi antara rakan sekerja dan majikan yang baik, ia boleh menyebabkan pekerja berasa tertekan atau tidak bermotivasi untuk datang ke pejabat. Persekitaran manusiawi dimaksudkan yang mengamalkan nilai saling hormat menghormati, berbaik sangka dan bekerjasama.
Tiga nilai utama ditekankan Rasulullah SAW itu juga membentuk ketakwaan. Apabila nilai saling menghormati diamalkan, seseorang akan menjaga lidah daripada mengeluarkan kata-kata kasar, kesat dan sindiran antara satu sama lain walaupun dengan pekerja bawahan.
Sifat berbaik sangka pula, akan menghindarkan pandangan negatif, fitnah dan dendam sementara sifat saling bekerjasama menghindarkan hasad dengki, mementingkan diri sendiri serta egoisme.
Semua sifat negatif ini boleh berlaku di tempat kerja sehingga mewujudkan ‘politik pejabat’ yang tidak sihat secara senyap dan budaya kerja menjejaskan kualiti.
Sabda Rasulullah SAW: “Jangan kamu saling berdengki, bersaing dalam menawar harga untuk menjatuhkan orang lain, benci dan bermusuhan serta jangan kamu menjual barangan untuk merugikan yang lain. Jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Orang Muslim itu saudara Muslim yang lain, tidak boleh menzaliminya, menghina mahupun merendahkannya. Takwa itu ada di sini (Rasulullah menunjuk ke dadanya tiga kali). Cukuplah seseorang itu dianggap jahat sekiranya menghina saudaranya yang Muslim.” (Hadis riwayat Muslim)
Sejarah Rasulullah SAW membuktikan faktor persekitaran manusiawi bukan sekadar mampu membina kejayaan sebuah organisasi atau individu tetapi hasil menggembleng tenaga antara kaum Muhajirin dan Ansar berjaya membentuk negara Madinah makmur yang diurus tadbir Rasulullah SAW dalam masyarakat berbeza puak serta kabilah.
Walaupun dengan segala kekurangan material, apabila manusia bersatu hati, saling menghormati dan bekerjasama, ia berjaya direalisasikan. Gambaran sifat kaum Ansar diceritakan kaum Muhajirin kepada Rasulullah SAW menggambarkan persekitaran manusiawi yang unggul.
Diriwayatkan Imam Ahmad dalam Musnadnya daripada Anas, mereka berkata: “Wahai Rasulullah, kami belum pernah bertemu dengan satu kaum yang sangat pemurah, jika sedikit yang mereka ada, mereka tidak berkira. Jika banyak yang mereka ada, mereka memenuhi segala keperluan kami serta berkongsi kegembiraan mereka dengan kami, sehinggakan kami bimbang mereka akan membolot semua pahala. Nabi bersabda: Tidak, selagi kamu memuji mereka dan selagi kamu berdoa kepada Tuhan untuk mereka.”
Antara sifat mereka juga ialah saling mendoakan seperti firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang datang sesudah mereka berkata: Wahai Tuhan kami, ampunkan kami dan saudara kami yang sudah mendahului kami dalam beriman dan jangan Engkau jadikan dalam hati kami perasaan iri hati terhadap orang beriman. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Mengasihani.” (Surah al-Hasyr, ayat 10)
Anas bin Malik, pembantu Rasulullah SAW juga menceritakan bagaimana beliau tidak pernah dikasari Baginda walaupun sekali selama lebih daripada 10 tahun menjadi pembantu Baginda. Baginda tidak pernah sekalipun mengeluarkan kata-kata kasar kepadanya seperti menyebut ‘cis’ dan mengapa kamu tidak buat begitu? (Hadis Muttafaq ‘Alaih)
Hubungan majikan dan pekerja antara Rasulullah SAW dan Anas adalah model hubungan manusiawi yang hebat untuk dicontohi sesuai perkembangan peradaban manusia. Justeru, persekitaran manusiawi dengan nilai insani, sikap, cara bekerja boleh mempengaruhi serta membantu orang lain mencapai keselesaan dan keseronokan bekerja.
Beruntunglah jika kerana kita pekerja lain merasa gembira untuk bekerja dan bimbanglah jika berlaku sebaliknya kerana menurut sabda Rasulullah SAW memasukkan kegembiraan dalam diri seseorang itu adalah akhlak mulia.
Justeru, mengurus kerja dan organisasi juga bermaksud mengurus hubungan secara manusiawi dengan membudayakan kerja cemerlang berdasarkan amalan nilai insani.
Penulis ialah pensyarah di Jabatan Siasah Syar’iyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU ALAM SEKITAR : Malaysia tempat ketiga EPI
Oleh Syed Mohd Ridzuwan Syed Ismail
smohd@bharian.com.my
Kejayaan negara urus pelestarian alam sekitar beri kesan kepada pelabur
JOHOR BAHRU: Malaysia mencatat kedudukan terbaik dalam Indeks Prestasi Alam Sekitar (EPI) apabila diiktiraf sebagai negara ketiga terbaik di rantau Asia Pasifik dan 25 terbaik daripada 132 negara seluruh dunia.
Pada 2010, EPI Malaysia berada pada kedudukan 54 di kalangan 163 negara seluruh dunia dan keenam di rantau Asia Pasifik.
Antara aspek dinilai adalah perubahan iklim, pertanian, perikanan, perhutanan, pencemaran air dan pencemaran udara yang memberi kesan kepada hidupan.
Di rantau Asia Pasifik, New Zealand berada di tempat teratas, diikuti Jepun sebelum Malaysia.
Manakala pada peringkat dunia, EPI Malaysia berada setaraf dalam kumpulan negara berprestasi EPI terbaik setanding Jerman, Iceland, Finland, Denmark, Belgium dan Jepun.
Ketua Pasukan EPI Malaysia, Datuk Prof Dr Zaini Ujang, berkata kedudukan EPI itu diumumkan dalam Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzeland kelmarin dan penanda aras EPI itu memberi imej baru kepada negara.
Katanya, kajian penanda aras penunjuk dan polisi pelestarian alam sekitar dunia itu dilakukan kumpulan penyelidik Universiti Yale dan Universiti Colombia, Amerika Syarikat dengan kerjasama Suruhanjaya Eropah dan Forum Ekonomi Dunia bagi menilai pelestarian sesebuah negara melalui dua objektif utama iaitu kesejahteraan alam sekitar dan kesan pencemaran terhadap kesejahteraan hidup manusia.
“Berdasarkan petunjuk dikeluarkan, prestasi Malaysia berada pada kedudukan amat baik daripada segi kesan udara kepada kesihatan manusia iaitu 97.3 peratus, pertanian (95 peratus) dan biodiversiti serta habitat (90.1 peratus).
“Bagaimanapun, langkah proaktif bagi menambah indeks perubahan iklim dan perhutanan perlu diambil yang masing-masing dinilai pada kadar 28 dan 17.4 peratus saja,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.
EPI juga bagi memberi kesedaran kepada perancang dan pembuat dasar negara di dunia berkaitan pentingnya menetapkan sasaran dan menyediakan data telus bagi mengukur kelestarian berasaskan 25 penunjuk prestasi alam sekitar.
Dr Zaini yang juga Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling Malaysia, berkata peningkatan EPI itu juga disebabkan insentif kerajaan ditadbir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang memberi penekanan kepada kelestarian Model Ekonomi Baru (MEB).
“EPI penting kerana ia memberi gambaran kejayaan negara mengurus alam sekitar dan sumber alam dengan baik, selain kesan kepada pelabur dan pelancong.
“Peningkatan ini hasil usaha dilakukan pasukan EPI Malaysia yang mengumpul data pelbagai jabatan dan kementerian serta memberikan data komposit daripada data sebelumnya,” katanya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU UMUM : TIP AGAR BERTAHAN DI PEJABAT
Pejabat ibarat rumah kedua bagi ramai antara kita. Apakah cara yang boleh anda usahakan agar anda mampu bertahan sepanjang ketika bekerja?
Rehatkan mata
Pada setiap 30 minit, cubalah memandang ke arah lain dan hindarkan daripada asyik memandang skrin komputer anda itu secara terus-terusan. Sebaik-sebaiknya, pandanglah ke luar tingkap. Dengan itu, anda dapat membantu merehatkan mata anda buat seketika setelah berjam-jam menghadap komputer.
Snek sihat
Elakkan daripada mengambil snek-snek yang tidak menyihatkan seperti coklat dan kerepek kentang setiap jam. Jika anda sering ingin mengunyah semasa bertugas, pilihlah snek berkhasiat seperti buah-buahan kering, tairu atau yogurt rendah lemak dan salad.
Senaman ringan
Ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, anda boleh menaiki tangga ke pejabat daripada menggunakan jalan pintas dengan menaiki lif. Cubalah berjalan-jalan di sekitar kawasan pejabat anda terutama jika anda telah duduk agak lama. Anda juga boleh membuat senaman ringan atau regangan (stretching) ketika duduk.
Jauhi kopi
Minumlah jus-jus buah-buahan atau air putih dan elakkan daripada meminum kopi. Tidak dinafikan bahawa setelah meminum kopi, anda tidak akan berasa mengantuk dan akan berasa segar kerana ia mengandungi kafein. Tetapi tahukah anda bahawa kopi boleh menyebabkan kerosakan jantung jika anda meminumnya dalam jumlah yang berlebihan dan ia juga boleh menyebabkan jantung anda berdegup pantas. Jika anda penggemar kopi, minumlah secara sederhana.
Kerusi yang selesa
Kerusi pejabat adalah sangat penting bagi anda yang bekerja di meja pejabat sepanjang hari. Kerusi yang selesa dan baik akan menghindarkan diri daripada mengalami sakit tulang belakang. Atau, anda boleh membeli bantal ortopedik atau kusyen tempat duduk kerana ia boleh memberi sokongan pada tulang belakang.
Suhu pendingin hawa
Suasana kerja yang sihat tidak harus terlalu panas atau sejuk kerana keadaan yang terlalu sejuk akan membuatkan anda berasa mengantuk. Sementara persekitaran yang terlalu panas pula akan membuatkan anda hilang fokus ketika berkerja.
Cara mewujudkan keceriaan di pejabat
i. Memelihara pokok-pokok bunga di dalam pejabat bukan sahaja mencantikkan ruang pejabat bahkan juga membantu membersihkan udara dan meningkatkan kadar oksigen.
ii.Kajian menunjukkan pencahayaan semula jadi atau natural lighting boleh mengurangkan stres.Jika pejabat anda tidak mempunyai tingkap, anda boleh menggantikan mentol lampu neon dengan lampu spektrum. Ini kerana lampu spektrum mempunyai pencahayaan yang seakan - akan sama dengan cahaya semula jadi.
iii.Muzik pula memainkan peranan bagi memberikan motivasi dan merehatkan minda pekerja. Tetapi anda perlu memilih muzik yang bersesuaian kerana memainkan muzik yang membingitkan akan hanya membuatkan orang di sekeliling hilang tumpuan kerja.
iv. Golongan pekerja pejabat dinasihatkan agar mengambil waktu rehat sekurang-kurangnya dua kali sehari. Pemandangan yang berbeza dan hirupan udara segar di luar pejabat dipercayai dapat meningkatkan kreativiti dan minda pekerja.
Sumber : http : //www.cyberita.asia1.com.sg/
ISU SOSIAL : Sikap ambil mudah memakan diri
SABAN hari kita dihidangkan dengan pelbagai berita mengenai tindakan kejahatan manusia. Antaranya kes rogol, samun, ragut, penipuan, bahkan pembunuhan kejam.
Malangnya, walaupun sering didedahkan dengan berita-berita seumpama itu di akhbar atau disiarkan di kaca televisyen, dalam banyak keadaan, manusia selalu mengandaikan bahawa kejadian-kejadian buruk itu hanya akan menimpa diri orang lain dan bukannya diri kita.
Dari sudut pandangan psikologi, hal ini dinamakan sebagai unrealistic optimism. Dalam bahasa yang mudah, kita merasa yakin bagi sesuatu yang tidak realistik. Sebagai manusia, optimis sememangnya diperlukan.
Bagaimanapun, ada hal-hal yang kita juga perlu berwaspada. Kita perlu berwaspada kerana adakalanya nasib buruk yang menimpa diri manusia adalah disebabkan oleh kecuaian diri dan sikap mengambil mudah.
Ia berlaku kerana manusia selalu percaya bahawa sesuatu yang buruk hanya akan menimpa orang lain dan peluang untuk mereka ditimpa kecelakaan adalah sangat rendah.
Walaupun tahu bahawa merokok sesuatu yang memudaratkan, perokok yakin bahawa penyakit hanya akan menimpa orang lain dan bukan mereka. Setiap hari kemalangan jalan raya berlaku, namun masih ramai yang percaya bahawa mereka tidak akan ditimpa kemalangan jika memandu laju atau tidak mengikut peraturan.
Kajian-kajian psikologi banyak memaklumkan kepada kita akan hal-hal seperti ini. Misalnya, kajian di Amerika Syarikat mendedahkan, walaupun sebahagian besar subjek kajian mengetahui bahawa sebahagian besar perkahwinan di negara itu berakhir dengan penceraian, tetapi pasangan muda yang berkahwin yakin bahawa penceraian tidak akan berlaku dalam hidup mereka. Begitu jugalah dalam hal-hal yang lain.
Walaupun hanya sesekali memakai kondom, pasangan muda-mudi yang melakukan hubungan seks yakin bahawa mereka mampu menghindarkan diri daripada hamil.
Berita jenayah
Begitu jugalah dalam situasi mencegah jenayah. Walaupun setiap hari kita didedahkan dengan berita jenayah yang menakutkan, masih ramai yang mengambil sikap sambil lewa dalam menanganinya.
Ada yang membiarkan rumah tidak berkunci kerana yakin penjenayah tidak akan memecah masuk ke dalam rumah mereka. Ada anak dibiarkan di dalam kereta yang masih dihidupkan enjinnya di tepi jalan apabila singgah membeli barang kerana percaya tidak ada apa yang akan berlaku.
Semua ini adalah antara berita yang sering tersiar di dada-dada akhbar. Sesuatu yang menimpa orang lain, ada kemungkinan berlaku kepada diri kita. Itu adalah antara perkara yang patut disedari oleh masyarakat.
Penjenayah tidak semestinya berpakaian comot atau berwajah garang. Penjenayah juga boleh jadi berpakaian segak dan kelihatan profesional. Mereka yang berperilaku jahat itu berkemungkinannya ada di samping kita setiap hari.
Bagaimanapun, dalam sesetengah keadaan, walaupun tidak semestinya kerap, kita sebenarnya boleh mengenali sama ada seseorang itu penjenayah atau tidak. Melakukan jenayah adalah perkara terburuk yang tidak disenangi oleh mana-mana manusia, sekali pun dalam kalangan penjenayah.
Walaupun mereka melakukan perkara buruk, gerak batin mereka sebagai manusia akan tetap menolaknya. Ini adalah sebahagian daripada fitrah sebagai manusia. Sebab itu, kajian-kajian psikologi misalnya menunjukkan bahawa mereka yang tidak jujur biasanya berkelakuan tidak seperti orang yang normal.
Hal ini berlaku kerana mereka cuba mengawal emosi mereka agar kelihatan jujur dan mengelak daripada kelihatan seperti orang cemas. Mereka berasa terganggu kerana melakukan hal yang salah, takut-takut mereka akan ditangkap dan mereka juga sebenarnya cemas kerana bimbangkan niat jahat mereka itu diketahui orang.
Proses mengawal emosi inilah yang menyebabkan beberapa tanda fizikal muncul. Antara tanda yang paling ketara adalah dengan menggerakkan tangan dengan lebih kerap yang tujuannya ialah untuk menyembunyikan emosi bersalah tadi.
Mereka yang bersikap tidak jujur juga biasanya akan menunjukkan senyuman yang agak berbeza daripada kebiasaannya. Apabila bercakap, mereka biasanya akan berhenti agak lama dan percakapan biasanya dalam nada yang agak terganggu.
Kerdipan mata pesalah juga biasanya tidak sebegitu kerap dibandingkan dengan orang yang jujur. Ini kerana mereka perlu lebih banyak berusaha bagi menutup ketidakjujuran yang dilakukan.
Kawal gerakan
Sebab itulah, apabila kita didatangi oleh individu yang tidak dikenali, sekiranya kita mampu, cubalah bertanya soalan-soalan yang agak sukar bagi membolehkan kita dapat mengesan tanda-tanda ini.
Semakin banyak tanda-tanda fizikal yang ditunjukkan, ada banyak peluang untuk kita mengandaikan bahawa kita mungkin sedang berada dalam keadaan yang bahaya.
Bagaimanapun, harus juga diingat, walaupun tanda-tanda ini dapat dikesan, bagi mereka yang sudah kerap melakukan jenayah atau penipuan, ada antara mereka mampu mengawal gerakan ini.
Sebabnya, mereka sudah terbiasa dengan perlakuan jenayah. Mereka akan cuba menyembunyikan tanda-tanda ini, khususnya pergerakan tangan kerana mereka bimbang orang akan mengesan kesalahan mereka.
Sumber : http : //www.kosmo.com.my/
ISU PENDIDIKAN : Contohi penekanan sains sekolah Cina
Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my
PERATUSAN pelajar mengambil jurusan Sains dikatakan turun mendadak sejak 2007 dan kini dianggap amat kritikal di samping memperlahankan sasaran untuk Pelan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi 2020.
Pelan hala tuju tersebut menyasarkan 60 peratus pelajar mengambil aliran sains sementara selebihnya aliran sastera.
Namun, di setiap peringkat pilihan sama ada peperiksaan utama di sekolah, matrikulasi mahupun di universiti, rata-rata pelajar lebih cenderung memilih subjek yang 'lebih mudah' berbanding aliran sains.
Ditambah pula dengan klasifikasi pelajar aliran sains yang 'sama rata' dengan pelajar bidang lain, tidak menggambarkan mereka mengikuti subjek kritikal sedangkan mata pelajarannya jauh lebih sukar dan hanya boleh diikuti pelajar tertentu.
Akhirnya, pelajar yang mengambil 'subjek mudah' mencatatkan Nilai Purata Gred Kumulatif (CGPA) tertinggi, menerima pelbagai anugerah dan juga biasiswa pendidikan.
Tidak cukup di situ, persimpangan selepas meninggalkan universiti juga kehilangan sebilangan graduan sains kepada kerjaya bidang lain akibat beberapa faktor termasuk kerja yang bahaya, waktu kerja, gaji dan birokrasi.
Hakikatnya, aliran sains bukan sahaja kelihatan lebih sukar, tidak menarik dan sudah hilang keistimewaan berbanding aliran lain, malahan kebanyakan kerjaya sains sedia ada tidak menawarkan kelebihan yang sepadan, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta.
Bermula dari dalam rumah, di sekolah, universiti dan akhirnya kerjaya sains, masyarakat negara ini secara umumnya tidak meletakkan aliran sains sebagai satu bidang menarik, mungkin kerana gambaran serong bahawa kerjaya lain seperti kewangan, perniagaan mahupun sebagai artis hiburan lebih berbaloi untuk anak-anak mereka.
Tanpa penerapan jiwa sains, motivasi serta galakan terhadap minat anak-anak kecil terhadap kepelbagaian ilmu sains, mereka juga akan membesar dengan perspektif bahawa kerjaya sains tidak berbaloi dengan kesukaran bertahun-tahun mempelajarinya.
Pihak berwajib kini bukan sahaja berhadapan dengan masalah minat murid untuk belajar dalam bidang sains malahan pilihan untuk menceburi kerjaya sains yang kritikal untuk negara.
Tokoh pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom tidak dapat menjelaskan kenapa kemerosotan itu berlaku tetapi berharap satu kajian mendalam dapat dijalankan segera bagi mengenal pasti puncanya.
Namun, beliau menekankan langkah mengatasinya perlu digerakkan segera bagi memastikan aliran sains menjadi pilihan utama murid dalam jangka panjang.
"Penyelesaian masalah ini banyak bergantung kepada guru dan ibu bapa yang perlu memberi penekanan subjek sains menawarkan masa depan yang lebih baik kepada anak-anak.
"Kaunselor sekolah juga perlu menunjukkan jalan ke arah peluang yang terbuka di universiti dalam pelbagai bidang sains di samping biasiswa dan bantuan yang khusus untuk subjek kritikal," katanya.
Jelas beliau, pihak universiti hanya mengambil pelajar yang memenuhi syarat untuk kursus yang ditawarkan, maka semuanya bermula di sekolah dalam menekankan aliran sains jika murid mahukan masa depan dalam kursus berkaitan.
"Ada yang kata pelajar aliran lain juga boleh ambil kursus sains di universiti tetapi bilangannya kecil. Adalah lebih mudah jika murid aliran sains yang ditawarkan peluang itu.
"Oleh itu, sekolah dan ibu bapa perlu mainkan peranan dalam mendorong anak-anak memilih aliran sains seterusnya ke arah kerjaya kritikal dan profesional yang lebih diperlukan pasaran kelak," ujarnya.
Tokoh akademik, Tan Sri Ibrahim Abu Shah pula berpendapat punca masalah tersebut perlu dilihat dari pelbagai sudut dan daripada peringkat permulaan lagi.
Menurut beliau, menjadi sifat manusia untuk memilih yang lebih mudah dan itu juga sering dilakukan murid serta pelajar dalam memilih aliran pelajaran di sekolah mahupun kursus di universiti.
"Murid Melayu terutamanya takut untuk mengambil aliran sains yang dilihat lebih susah menjelang peperiksaan utama di sekolah.
"Di peringkat matrikulasi juga begitu, mereka takut untuk meneruskan ke bidang sains sebaliknya bertukar ke bidang lain walaupun telah mengambil subjek sains ketika matrikulasi," katanya.
Tambahnya, keputusan peperiksaan ketika matrikulasi juga menjadi halangan kerana CGPA yang diperolehi menghalang atau menyukarkan pelajar meneruskan pendidikan sains kritikal dan terpaksa memilih bidang kurang kompetitif.
Menurutnya, rasa takut dan keputusan peperiksaan menjadi antara punca utama kurangnya pelajar Melayu di universiti-universiti yang menawarkan subjek kritikal dan profesional.
Namun, beliau merasakan guru yang menjadi faktor paling penting dalam menentukan arah tuju murid-murid mengambil aliran sains ke arah subjek kritikal di universiti kelak.
"Para guru menjadi tiang utama dalam membimbing, menggalakkan dan memberi motivasi kepada pelajar untuk mengambil aliran sains.
"Peranan guru cukup penting sebagai satu ibadah, tugas suci dalam melatih murid-murid mereka menjadi manusia yang berjaya dan berguna," tegasnya.
Tambahnya, walaupun ibu bapa mempunyai peranan tersendiri dalam menggalakkan anak-anak ke arah sains, tetapi hakikatnya murid lebih mendengar kata-kata guru di sekolah.
"Tambahan pula, ibu bapa yang rata-rata sibuk dengan kerja kini telah melepaskan sepenuhnya anak kepada sekolah terutamanya jika sekolah berasrama penuh.
"Maka murid lebih banyak menghabiskan masa di sekolah dan dengan itu lebih mendengar cakap guru mereka," jelasnya.
Malangnya, mengikut pengamatan beliau sejak bersara dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), guru-guru di sekolah kebangsaan dilihat tidak begitu komited dalam membangunkan modal insan murid terutamanya anak-anak Melayu.
"Sedih saya katakan, kita tidak begitu komited berbanding guru di sekolah Cina yang pentingkan kualiti, disiplin dan kekitaan di kalangan murid mereka.
"Kebanyakan sekolah Cina tidak membuang masa hujung minggu sebaliknya mengadakan aktiviti sukan, tuisyen dan macam-macam lagi bersama murid-murid," ujarnya.
Jelasnya, guru besar dan guru-guru sekolah Cina begitu komited dan ikhlas kerana sayangkan bangsa mereka sehingga sanggup meluangkan masa hujung minggu bersama murid sekolah tanpa meminta apa-apa pampasan.
Ibrahim juga sedih membandingkan cara pendidikan bangsa lain dengan orang Melayu dalam menanam semangat rajin belajar dan bekerja keras untuk berjaya kelak.
"Lihat saja murid Melayu di hujung minggu, bebas nak buat apa pun. Masa di sekolah pula banyak dibazirkan guru dengan perkara lain seperti bercakap isu politik di dalam kelas.
"Sedih, kenapa tak sayang kepada bangsa dan agama kita seperti mana guru Cina dalam mendidik anak-anak bangsa mereka sedangkan guru kita telah diberikan gaji besar," soal beliau.
Oleh itu, beliau mencadangkan orang Melayu belajar daripada orang Cina, sama ada guru mahupun ibu bapa dalam aspek pendidikan anak-anak bangsa.
"Saya berharap dalam menangani isu ini, para guru jangan berkira sangat dan betul-betul ikhlas dalam membentuk anak bangsa yang berjaya.
"Kita bantu murid-murid dengan mengubah sikap, bantuan peruntukan dan sebagainya. Biarkan otak anak-anak ini bersih daripada perkara tidak berkaitan agar mereka boleh fokus kepada pelajaran," katanya.
Tegasnya, langkah ini menjadi satu revolusi pemikiran dan kognitif yang perlu disegerakan kerana jika terus gagal muhasabah diri dan memperbaiki apa yang perlu, semakin lama orang Melayu semakin ketinggalan.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU SOSIAL : Keupayaan kawal emosi bawa kejayaan, kecemerlangan diri
Oleh Ma Hassan Salleh
Ramai tokoh dunia berjaya walaupun IQ tak tinggi
SEJAK akhir-akhir ini, media banyak melaporkan aktiviti remaja yang tidak bercorak konstruktif untuk pembangunan diri mahupun masa depan mereka dan negara.
Bermula dengan peristiwa demonstrasi menurunkan bendera Perdana Menteri hinggalah ugutan untuk meletupkan pesawat yang dinaikinya, ditambah pula dengan gejala mat rempit, gangsterisme, hedonisme melampau, seks bebas dan seumpamanya, semuanya menggambarkan kecelaruan dan ketidaktentuan arah tuju remaja untuk merancang masa depan cemerlang. Kecelaruan dan ketidaktentuan hala tuju di kalangan remaja ini berpunca daripada kegagalan mereka mengurus emosi.
Emosi sangat dominan ketika alam remaja. Dikatakan bahawa sebahagian besar tindakan yang dilakukan remaja berdasarkan emosi.
Apabila meningkat dewasa akal pula lebih dominan, yang mana sebahagian besar tindakan dilakukan berdasarkan pemikiran. Bagaimanapun pendapat ini tidak konsisten. Ada juga sebaliknya. Ini bergantung kepada sejauh mana tahap kecerdasan emosi dan intelektual yang dimiliki individu berkenaan.
Mengikut pandangan ahli psikologi, ada dua faktor utama menentukan kecemerlangan seseorang manusia. Pertama kecerdasan intelektual (IQ) dan kedua kecerdasan emosi (EQ). Walaupun IQ kelihatan begitu utama menentukan kejayaan seseorang individu, namun ahli psikologi menemui bukti bahawa faktor utama yang membawa kejayaan ialah EQ.
Ini dinyatakan oleh Goleman, D (1998) bahawa penilaian seseorang individu bukan saja diasaskan kepada IQ tetapi lebih penting ialah EQ. Faktor ini meninggalkan kesan mendalam dalam keseluruhan aspek kehidupan seseorang individu, termasuk kesihatan dan sosial.
Kecerdasan emosi ialah tahap keupayaan seseorang individu mengurus emosi. Ertinya jika seseorang sedang marah, dia berupaya mengawal kemarahannya itu dengan tidak melakukan perkara merugikan diri dan orang ramai ketika menunjukkan kemarahan itu.
Banyak kisah dan cerita menunjukkan tidak semua manusia mempunyai IQ tinggi berjaya dalam kehidupan. Sebaliknya, manusia yang mempunyai EQ tinggi lebih berjaya dan apabila diukur dari segi IQ berdasarkan taraf pendidikan adalah tidak seberapa.
Sebagai contoh, Bill Gates, pengasas Windows dikatakan seorang pelajar yang tidak dapat menghabiskan pelajaran tingginya tetapi sangat berjaya dalam dunia perniagaan perisian komputer.
Begitu juga dengan Tan Sri Lim Goh Tong, tidak fasih berbahasa Inggeris sebaliknya hanya berurus niaga dengan menggunakan bahasa Mandarin dan bahasa Melayu tetapi menjadi orang terkaya di Asia Tenggara dengan nilai kekayaan RM421.8 bilion.
Tun Abdul Ghafar Baba hanya seorang guru lepasan maktab perguruan, tetapi akhirnya menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Sebaliknya, ramai orang yang memiliki IQ tinggi tetapi akhirnya menemui kegagalan dalam hidup mereka.
Secara umum, kelihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sangat berjaya dalam mengurus emosinya. Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, kutukan dan tohmahan, didapati beliau sentiasa tenang dan senyum ketika berucap atau menjawab soalan wartawan.
Berbeza dengan sesetengah ahli politik lain, sekali sekala menampakkan api kemarahan, melenting dan menjawab menggunakan nada suara tinggi serta bahasa kasar.
Berbalik kepada dua contoh tindakan remaja di atas, ia adalah fenomena yang diambil untuk melahirkan rasa marah, benci dan geram. Tetapi tindakan berasaskan emosi tidak dapat dikawal itu akhirnya mendatangkan kesan buruk kepada diri sendiri dan orang ramai.
Ia memberi gambaran seolah-olah keseluruhan mahasiswa di negara ini mempunyai sikap, pemikiran dan nilai moral yang sama dengan mereka.
Jika sesuatu perkara itu tidak sealiran dengan kita, menyebabkan kita rasa marah, geram dan benci, kita masih boleh menyatakannya dengan pelbagai cara lebih bersopan dan bijaksana.
Menyatakan bangkangan untuk menggambarkan rasa tidak puas hati melalui tindakan keterlaluan di luar batasan kemanusiaan, agama dan nilai moral menggambarkan seseorang itu tidak mampu mengurus emosi.
Memang kita mempunyai hak kebebasan menyatakan setuju atau tidak setuju terhadap sesuatu perkara. Kita juga dibenarkan mengadakan demonstrasi secara aman seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2011. Tetapi berdemonstrasi dengan diikuti aktiviti merosakkan harta benda awam, menurunkan bendera Perdana Menteri, serta menyatakan ugutan meletupkan pesawat (walaupun berjenaka) tidak dapat diterima oleh masyarakat.
Kegagalan mengurus emosi bukan saja berlaku di kalangan remaja tetapi juga di kalangan orang dewasa. Ramai pemimpin kehilangan karier politik mereka kerana bertindak mengikut emosi.
Ramai juga usahawan, penjawat awam yang mempunyai kehebatan dari aspek akal atau intelektual, akhirnya tidak sampai ke mana kerana tidak dapat mengurus emosi. Akibatnya mereka dipecat, disingkir atau dengan rela hati menarik diri daripada sesuatu aktiviti.
Dalam mengurus emosi ada dua kecekapan yang perlu dimiliki; pertama kecekapan peribadi dan kedua ialah kecekapan sosial. Dalam konteks kecekapan peribadi, seseorang individu perlu menguasai tiga aspek iaitu kesedaran kendiri, pengurusan kawalan kendiri dan motivasi.
Kemahiran sosial pula mengandungi dua aspek utama iaitu kemahiran empati dan kemahiran sosial. Keupayaan menguasai dan mengurus gabungan kelima-lima elemen berkenaan membolehkan seseorang mempunyai kecerdasan emosi baik.
Kesimpulannya mengurus emosi sangat penting dalam kehidupan menuju kejayaan dan kecemerlangan. Daya intelektual tinggi tidak berguna jika gagal mengurus emosi dengan baik.
Justeru remaja yang berada di universiti atau di mana-mana saja, berlatihlah mengurus emosi. Kejayaan mengurus emosi adalah kejayaan dalam kehidupan. Kejayaan anda dalam kehidupan ialah kejayaan menjadi manusia berguna kepada diri, agama, bangsa, dan negara.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Langgan:
Catatan (Atom)