Selasa, 31 Mac 2009

DOA BUAT AYAHANDA DAN BONDA TERCINTA



Ya Allah,
Rendahkanlah suaraku bagi mereka,
Perindahkanlah ucapanku di depan mereka.
Lunakkanlah watakku terhadap mereka dan
Lembutkanlah hatiku untuk mereka.

Ya Allah,
Berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya
Atas didikan mereka padaku dan
Pahala yang besar
Atas kesayangan yang mereka limpahkan padaku,
Peliharalah mereka
Sebagaimana mereka memeliharaku.

Ya Allah,
Apa saja gangguan yang telah mereka rasakan,
atau kesusahan yang mereka derita keranaku,
atau hilangnya sesuatu hak mereka karena perbuatanku,
jadikanlah itu semua
Penyebab gugurnya dosa-dosa mereka,
Meninggikan kedudukan mereka, dan
Bertambah pahala kebaikan mereka dengan
perkenan-Mu, ya Allah
sebab hanya Engkaulah
yang berhak membalas kejahatan dengan kebaikan
berlipat ganda.

Ya Allah,
Apabila maghfirah-Mu telah mencapai diri mereka sebelumku,
Izinkanlah mereka memberi syafa'at untukku.
Tetapi jika magfirah-Mu lebih dahulu mencapai diriku,
Maka izinkahlah aku memberi syafa'at untuk mereka,
sehingga kami semua berkumpul
Bersama dengan santunan-Mu
di tempat kediaman yang dindungi kemuliaan-Mu,
ampunan-Mu serta rahmat-Mu.
Sesungguhnya Engkaulah
yang memiliki kurnia Maha Agung,
serta anugerah yang tak berakhir dan
Engkaulah yang Maha Pengasih di antara semua pengasih

(Doa syahdu ini dipetik daripada KEBUN HIKMAH)

Isnin, 30 Mac 2009

MENYELAMI MAKSUD YANG TERSIRAT (Siri 2)




BULAT AIR KERANA PEMBETUNG BULAT MANUSIA KERANA MUAFAKAT

Dalam siri kedua ini, marilah kita sama-sama cuba menyelami maksud yang tersirat di sebalik peribahasa bulat air kerana pembetung bulat manusia kerana muafakat. Peribahasa ini bermaksud keputusan sebulat suara akan dicapai dengan adanya persepakatan atau muafakat.

Dalam Kamus Dewan, pembetung merujuk “alat untuk membetung (menyalurkan air)”

Di kampung, khususnya di kawasan sawah tempat padi ditanam, air didapati dari sungai atau anak sungai yang disalurkan melalui tali air. Dari tali air inilah pembetung dipasang. Pembetung yang berbentuk selinder itu, biasanya dibuat dari buluh atau kini digantikan dengan besi paip.

Orang tua-tua dahulu memerhatikan keadaan air yang berubah menjadi bulat apabila melalui pembetung yang mengalirkan air dari tali air ke dalam sawah. Bekalan air yang cukup yang disalurkan menerusi pembetung di sawah telah membesarkan dan menyuburkan padi yang ditanam. Dalam hal ini, air yang pada awalnya berselerak dan mengalir tanpa kawalan telah menjadi bulat dan dapat dialirkan menurut kemahuan kita apabila melalui pembetung.

Keadaan yang sedemikian dapat dibandingkan dengan kepentingan amalan pemuafakatan dalam menjalani kehidupan bermasyarakat. Peribahasa muafakat membawa berkat membuktikan bahawa seandainya amalan ini disuburkan dalam komuniti setempat, apa-apa juga perancangan yang dibuat pasti akan dapat dijayakan. Secara tidak langsung, kesejahteraan hidup masyarakat juga akan terhasil dan dapat dipertahankan. Oleh itu, semangat peribahasa ini sewajarnya menjadi amalan dalam kehidupan seharian.

Ahad, 29 Mac 2009

Dua Kematian Yang Mengejutkan...

Maksud Firman Allah S.W.T:

“dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.”
(Al A’raf : 34)

Demikianlah firman Allah S.W.T dalam Al- Quran tentang kematian. Hakikatnya setiap yang hidup pasti akan menghadapi kematian. Cuma tidak dapat dipastikan bilakah kita akan berhadapan dengannya. Yang penting sebagai insan yang beriman, kita bertanggungjawab untuk mempersiapkan diri kita bagi menghadapinya.

Pada hari Selasa 24 Mac yang lalu, sewaktu penulis berada di Temerloh, untuk menjalankan tanggungjawab yang ditetapkan oleh JPNP, penulis mendapat perkhabaran yang menyedihkan tentang kematian yang menimpa suami Cikgu Salmi salah seorang guru di SMKTPPTM. Khabarnya, mayat arwah ditemui di sebatang sungai tempat arwah pergi memancing, selepas dilaporkan tidak pulang beberapa hari.

Tidak sampai seminggu selepas itu, satu lagi peristiwa kematian berlaku. Kali ini melibatkan rakan guru BM yang berdedikasi, iaitu Cikgu Mohamad Loai Md Lor. Arwah menghembuskan nafas yang terakhir di Hospital Tengku Ampuan Hajah Afzan, pada malam tadi. Sepanjang hayatnya, beliau yang penulis kenali, amat aktif dalam aktiviti kebahasaan di peringkat Daerah Pekan. Kegigihan beliau untuk menuntut ilmu amat ketara apabila beliau yang sebelum itu mengajar di sekolah rendah akhirnya berjaya melanjutkan pengajiannya ke universiti walaupun dalam usia yang semakin meningkat. Setelah itu, beliau mengajar di beberapa buah sekolah menengah di daerah Pekan termasuk di SMK Paloh Hinai dan SMK Ahmad.

Takziah penulis ucapkan kepada keluarga yang ditinggalkan. Marilah sama-sama kita berdoa semoga roh kedua-dua mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh. Amin!

Sabtu, 28 Mac 2009

MENYELAMI MAKSUD YANG TERSIRAT (Siri1)



BERAT SAMA DIPIKUL RINGAN SAMA DIJINJING

Setiap ungkapan menarik atau peribahasa Melayu mempunyai maksud yang tersirat. Untuk siri pertama ini, saya cuba menyelami maksud peribahasa berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Peribahasa ini bermaksud kerja yang berat akan menjadi ringan seandainya kita melaksanakannya secara muafakat.

Peribahasa ini meggambarkan semangat gotong-royong dan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat. Maksudnya, sebarang pekerjaan , sama ada berat mahupun ringan, dikerjakan bersama-sama. Amalan gotong – royong sememangnya telah diamalkan oleh masyarakat Melayu sejak turun-temurun. Sebagai contoh, sewaktu mengerjakan sawah bendang, sejak mula mencangkul, menyemai, mengubah hinggalah menuai , mereka bergotong-royong atau bertolong-tolongan antara satu sama lain. Dengan cara demikian, kerja yang berat dapat diringankan. Mungkin dari sinilah orang tua-tua dahulu mencipta peribahasa ini.

Semangat bertolong-tolongan seumpama ini elok disemaikan dan digalakkan dalam kalangan penduduk-penduduk kota atau bandar yang pada umumnya berbilang kaum. Dengan mempraktikkan semangat bergotong – royong, bukan sahaja kerja-kerja yang berat dapat diringankan, malah perbelanjaan juga dapat dikurangkan selain dapat memupuk muhibah dan perpaduan.

Jumaat, 27 Mac 2009

CIRI - CIRI PENULISAN BERKESAN

DEFINISI PENULISAN:

Penulisan ialah satu proses yang melibatkan penyusunan dan pembentangan idea-idea oleh penulis tentang sesuatu isu untuk dipersembahkan kepada pembaca. Setiap idea yang disampaikan itu hendaklah jelas maksudnya iaitu berkemampuan menyalurkan idea kepada pembaca, menerusi penggunaan bahasa yang tepat dan berkeupayaan menggunakan teknik penulisan yang sesuai

CIRI – CIRI PENULISAN BERKESAN:

Karya bermutu dan dikagumi khalayak biasanya diciri oleh kriteria berikut:

a. Mengemukakan persoalan yang menjadi isu besar pada satu masa atau zaman
b. Ciptaan yang unik berasaskan stail atau gaya persembahan pengkarya
c. Dapat menyentuh pemikiran, perasaan, dan membuka minda pembaca atau
khalayaknya
d. Mengandungi falsafah yang menyentuh soal kehidupan, nilai kemanusiaan
serta mencabar hukum/ peraturan dan nilai yang dipakai/ sedia ada
e. Mengandungi unsur hiburan dan pengajaran/ pendidikan yang bermutu tinggi
f. Mendatangkan reaksi tertentu dalam masyarakat, sesebuah organisasi atau
pemerintah.
g. Dapat menyelesaikan permasalahan umum, menjadi ikutan ramai dan
rujukan kepada cendekiawan.
h. Menggunakan bahasa (sebagai medium) yang bernas dan mempunyai
nilai-nilai estetika.
i. Memenangi pertandingan.
j. Menjadi polemik kebangsaan atau antarabangsa
k. Bersifat avant-garde ( baru dan progresif)

( Hamzah Ismail,Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, UPSI, 2004)

KRITERIA PENULISAN CEMERLANG SPM:

Bagi memenuhi keperluan peperiksaan SPM, pelajar-pelajar perlu berusaha untuk menghasilkan penulisan cemerlang serta dapat memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan sebagaimana berikut:

PENULISAN BAHAGIAN A :

TEMA:
 Menepati tema & tugasan bahan rangsangan

BAHASA:
 Gramatis dari segi kata dan ayat
 Tanda baca betul dan tepat
 Ejaan mengikut Sistem Ejaan Rumi Baru
 Kosa kata luas dan tepat

WACANA:
 Lengkap
 Unsur bahasa bervariasi
 Menggunakan ungkapan yang menarik

IDEA:
 Relevan dengan tema & tugasan bahan rangsangan
 Dihuraikan dengan jelas dan matang


PENULISAN BAHAGIAN B :

 Kosa kata sangat luas dan tepat penggunaannya
 Struktur ayat pelbagai dan gramatis
 Ejaan dan tanda baca betul
 Laras bahasa yang sesuai
 Idea yang relevan, dihuraikan dengan jelas dan matang dan
disertakan contoh yang bersesuaian
 Pengolahan istimewa, sangat menarik dan berkesan
 Pemerengganan seimbang
 Wacana lengkap
 Wujud pertautan idea yang jelas antara perenggan
 Terdapat penggunaan unsur bahasa yang bervariasi
 Terdapat penggunaan ungkapan menarik
 Kesalahan tatabahasa tidak ketara

DILEMA GURU DALAM MENDISIPLINKAN PELAJAR

Profesion perguruan merupakan profesion yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk melahirkan rakyat masa hadapan yang serba canggih sebagai jentera penggerak negara. Tanggungjawab profesion perguruan menjadi semakin berat kerana rakyat masa hadapan yang hendak dihasilkan itu bukan sahaja perlu diterapkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan tetapi perlu juga diseimbangkan dengan nilai sosial yang baik dari segi moral dan etika yang murni. Oleh yang demikian, disiplin dalam bentuk formal perlu dirangka di sekolah-sekolah.

Namun begitu, dalam kerangka merealisasikan niat murni pihak sekolah ini, guru terpaksa berhadapan dengan pelbagai risiko. Berita segelintir mereka memukul murid sering menjadi bahan berita sensasi pihak media tetapi apabila pihak media dan masyarakat bersimpati dengan mereka, kereta mereka pula yang dirosakkan oleh pelajar. Jelas sekali gurulah yang lebih rela memikul tanggungjawab mendisiplinkan murid, lantas menghadapi pelbagai risiko keganasan pelajar. Layaknya mereka disanjung atas kesudian mereka bukan dikutuk sebagai pendera.

Justeru , semua pihak termasuk ibu bapa dan media perlulah bersikap lebih adil dan rasional apabila berhadapan dengan kes guru memukul anak mereka. Hakikatnya, tidak ada seorang guru pun yang mahu memukul muridnya sesuka hati tanpa sebarang sebab. Guru adalah pendidik dan berpendidikan. Mereka tahu kesan jika mereka memukul murid.

Sebagai langkah penyelesaiannya, profesion perguruan hendaklah diberikan pengiktirafan sejajar dengan tujuan dan objektif pendidikan semasa. Dalam hal ini, perlu diterima hakikat bahawa status profesion perguruan dan pengiktirafan masyarakat terhadap profesion itu adalah unsur terpenting menentukan keupayaan guru untuk merealisasikan tujuan dan objektif pendidikan.

Sehubungan dengan itu, ibu bapa harus sedar bahawa tugas guru bukan sekadar memberikan ilmu pengetahuan dan mendidik. Lebih dari itu, mereka bertanggungjawab mendisiplinkan para pelajar, satu proses pembudayaan yang jarang diterima pelajar sewaktu di rumah.

Khamis, 26 Mac 2009

MAKLUMAN UNTUK AHLI MGC DAERAH KUANTAN

KEPUTUSAN MESYUARAT PEMANDUAN GC BIL 1/2009

Ahli Mesyuarat telah membincangkan dan memutuskan perkara yang berikut:

Persidangan GC tahun 2009
a) Persidangan GC tahun 2009, akan diadakan pada 21-24 Julai 2009
b) Tempat Persidangan kemungkinan Negeri Terengganu atau Negeri Sembilan
c) Kertas sidang selari sebanyak 16 buah. Tiga sidang pleno ( Singapura, Indonesia, dan Brunei )
d) Kertas sidang selari mesti sampai ke tahap jurnal dan boleh diterbitkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia .Penulis akan diberi bimbingan penulisan kertas kerja ke tahap jurnal di RECSAM pada bulan Mac 2009.

Penglibatan Guru Cemerlang Di Luar Sekolah
a) GC hendaklah merujuk Buku Terma GC berkenaan bilangan hari yang dibenarkan
membuat kerja di luar sekolah
b) Dicadangan agar dalam seminggu sehari, GC yang dikenalpasti dikosongkan jadual waktunya supaya dapat memberi sumbangan kepada pihak lain . Ini dilakukan supaya kelas GC tersebut tidak tertinggal.
c) Walaupun GC sering terlibat kerja di luar sekolah didapati kelas GC tersebut masih lebih baik daripada kelas yang lain dan sukatan pelajaran dapat dicakupi dengan baik.

Penubuhan Pakar Runding Guru Cemerlang Mata pelajaran
a) Dapat mengelakkan guru yang sama terlibat dengan bahagian KPM telalu kerap.
b) Menerbitkan modul P&P untuk kegunaan semua pelajar di Malaysia dan seterusnya
memuatkan modul-modul tersebuat dalam blog-blog GC.
c) 15 mata pelajaran telah dikenal pasti sebagai projek rintis dan setiap mata pelajaran akan dikendalikan oleh 5 orang GC di peringkat Kebangsaan.
d) GC yang tidak terlibat di peringkat kebangsaan boleh menyalurkan modul-modul mereka melalui blog-blog MGC negeri masing-masing.

Hal-hal lain
a) Bilangan GC pada tarikh 6 Febuari 2009 adalah seramai 9734 orang . Semua Kuota telah dipenuhi.
b) Guru - guru baharu yang berminat menjadi GC hendaklah menunggu iklan kerana kuota
telah dipenuhi dan kuota baru telah dikemukakan kepada pihak JPA.
c) GC DG 48 dan GC 32 lantikan Bahagian Sekolah akan mengikuti Orientasi Ala BTN mulai MAC 2009 mengikut Zon.

(Sedutan daripada Laman Web MGC Malaysia bertarikh 8 FEBRUARI 2009)

Rabu, 25 Mac 2009

BAHASA JIWA BANGSA

BAHASA JIWA BANGSA

Gunakanlah Bahasa Kebangsaan Kita
Marilah Amalkan Ramai-ramai
Bahasalah Menyatukan Kita Semua
Yakinlah Bahasa Jiwa Bangsa

Marilah Mari Rakyat Semua
Buktikan Taat Setia dengan Satu Bahasa
Maju Bangsa dan Maju Negara
Megahkan Bahasa Kita
Bahasa Jiwa Bangsa

Lagu/Lirik: Dol Ramli

Lagu ini sering dikumandangkan setiap kali kita menyambut Bulan Bahasa Kebangsaan. Senikata lagu ini perlu kita hayati dan sengaja saya muatkan untuk membangkitkan semula nostalgia kita akan kepentingan bahasa Melayu yang menjadi jiwa bangsa Malaysia, negara tercinta. Semarakkan semangat perjuangan memartabatkan bahasa kita setiap masa."BAHASA JIWA BANGSA".

Selasa, 24 Mac 2009

TERATAK ZA'BA : MEMORABILIA PEJUANG BAHASA


Tanggal 22 Mac yang lalu, dalam perjalanan menghantar anakanda Hanif untuk mendaftar di Sekolah Menengah Sains Seremban, penulis bersama-sama keluarga telah sempat singgah di Teratak Za,ba, yang terletak di Kampong Bukit Kerdas, Batu Kikir, Jempol, Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Dalam hayatnya, Pendeta Za'ba( Zainal Abidin Bin Ahmad)sangat dihormati sebagai seorang pakar bahasa, pujangga dan seorang yang tahu bahasa Arab dan Agama Islam. Dalam usaha Za'ba untuk meninggikan taraf bahasa Melayu yang dianggap sebagai wajib diketahui oleh semua orang Melayu, Za'ba telah memberi perhatian yang tidak putus-putus kepada aspek ini. Hal ini dapat dikesan semenjak tahun 1916 lagi dan berakhir bersama hayatnya sendiri pada tahun 1973. Cita-cita Za'ba untuk menghasilkan sebuah kitab mengenai bahasa Melayu sejak berpuluh-puluh tahun yang lampau tercapai dengan terbitnya buku-buku 'Pelita Bahasa Melayu' I, II, III pada tahun 1949.

Pada peringkat pertama, 1916 - 1920, Za'ba telah banyak memperkatakan tentang kelemahan bahasa Melayu dan memberi pendapat-pendapat untuk membaikinya. Pada peringkat kedua Za'ba memulakan penulisannya mengenai bahasa Melayu dengan serius lagi dengan menerbitkan buku-buku mengenainya, walaupun usaha murninya itu telah mendapat halangan. Pada peringkat ketiga terhasillah karya Za'ba yang sebenarnya mengenai bahasa Melayu, iaitu Tatabahasa Melayu yang lengkap pada zamannya. Pengaruh tatabahasa Za'ba ini amat besar sekali terhadap pelajaran dan pengajian bahasa Melayu di Tanah Melayu.

Jumaat, 20 Mac 2009

PENULISAN KARANGAN RESPON TERBUKA

Untuk menulis karangan respon terbuka, pelajar mestilah mempunyai strategi tertentu yang dapat menarik perhatian pemeriksa. Lima strategi tersebut ialah :

i. memilih soalan yang tepat
ii. mengenal pasti kata kunci soalan
iii. menyediakan rangka karangan
iv. menulis karangan
v. menyemak karangan

MEMILIH SOALAN YANG TEPAT

Para pelajar perlu membaca kesemua soalan yang dikemukakan sambil menggarisi setiap kata kunci dalam soalan. Pilih soalan yang paling sesuai dengan pengetahuan anda untuk menjawabnya.


MENGENAL PASTI KATA KUNCI SOALAN

Para pelajar perlu memahami setiap kata kunci yang terdapat dalam soalan peperiksaan. Setiap soalan peperiksaan mempunyai tiga perkara utama yang perlu dikesan oleh pelajar. Tiga perkara itu ialah TEMA (T), SKOP (S) dan FORMAT (F). Baca dan garisi ayat yang mengandungi tiga kata kunci tersebut.

Contoh soalan:

Sejak akhir-akhir ini, program televisyen realiti telah mendapat tempat dalam hati masyarakat. Program seperti ini mendatangkan pelbagai impak negatif kepada penonton.

Bincangkan kesan buruk program tersebut dalam kalangan masyarakat.

TEMA / PERSOALAN YANG DIBINCANGKAN – program televisyen realiti
SKOP / KEHENDAK/FOKUS SOALAN – kesan buruk kepada masyarakat
FORMAT/ JENIS KARANGAN – perbincangan/pendapat

MERANGKA PENULISAN KARANGAN

Setelah mengenal pasti tema, skop, dan format pelajar perlu mula merangka untuk menulis karangan. Sama seperti manusia, karangan juga mempunyai anatomi yang terdiri daripada kepala, tubuh, dan kaki. Setiap bahagian perlu mempunyai lima perkara yang sekata.

PERENGGAN PENDAHULUAN:

Bahagian kepala karangan sama maksud dengan perenggan pendahuluan. Perenggan ini melibatkan tema dan isu semasa. Jangan masukkan apa-apa contoh dalam perenggan ini. Ayat akhir dalam perenggan ini sebaiknya menggunakan ayat tanya yang merujuk kepada skop soalan. Perenggan pendahuluan hendaklah mempunyai LIMA PERKARA yang ditulis dalam satu perenggan:

i. Ayat Tema : merujuk kepada tema karangan
ii. Isu Semasa
iii. Huraian Isu
iv. Pendapat
v. Pendirian Penulis/ Ayat Arah : merujuk kepada skop soalan

Contoh:

(Tema)Komuniti hari ini sering digembar-gemburkan dengan pelbagai rancangan televisyen realiti. (Isu semasa) Rancangan televisyen realiti kini semakin mendapat tempat dalam hati populasi di negara ini. (Huraian isu) Tambahan pula , setiap rumah di negara ini sekurang-kurangnya mempunyai sebuah televisyen. Hal ini memudahkan penerbit untuk menerbitkan pelbagai rancangan televisyen realiti. Oleh sebab itu, pertambahan rancangan televisyen realiti semakin meningkat dari semasa ke semasa. Antara rancangan televisyen realiti yang sering dipaparkan melalui skrin televisyen sekarang termasuklah `Akademi Fantasia’, `Mentor’, `One In A Milion’ dan banyak lagi. (Pendapat) Penerbit rancangan-rancangan tersebut berpendapat bahawa dengan penerbitan rancangan tersebut dapat menyediakan ruang bagi mencungkil bakat-bakat dalam bidang nyanyian dan lakonan melalui mekanisma yang betul. Walhal, mereka mengaut keuntungan yang besar daripada penonton dengan mengadakan undian melalui sistem pesanan ringkas. Hal ini dapat diibaratkan seperti pepatah Melayu ”sambil menyelam minum air”. (Skop soalan)Persoalannya apakah kesan-kesan rancangan televisyen realiti kepada komuniti di negara kita?

Selangkan sebaris untuk menulis perenggan berikutnya iaitu perenggan isi.

PERENGGAN ISI:

Bahagian tubuh karangan atau dikenali sebagai perenggan isi karangan mestilah dibina secara sekata bagi setiap perenggan. Penulisan isi karangan yang baik mesti mempunyai empat unsur atau perkara. Unsur-unsur tertsebut terdiri daripada:

i. Ayat Fokus : isi utama
ii. Ayat Huraian : 5W1H (MASB2D)
iii. Ayat Contoh : relevan dan terkini
iv. Ayat Simpul : kesimpulan perenggan

Ayat fokus mestilah dimulakan dengan pernyataan isi dan ditulis dalam satu ayat sahaja. Gunakan ayat penyata yang jelas dan berwibawa. Ini diikuti dengan ayat huraian daripada penyataan isi. Gunakan teknik penyoalan 5W1H. Jumlah ayat huraian tidak terhad tetapi bergantung pada kemampuan pelajar. Seterusnya, pelajar perlu mengemukakan contoh atau bukti bagi menyokong huraian di atas. Contoh / bukti yang diberikan mestilah relevan dan terkini. Gunakan sumber rujukan daripada majalah atau akhbar harian. Setiap isi karangan mesti diakhiri dengan ayat kesimpulan.

Perenggan isi mesti terdiri sekurang-kurangnya LIMA ISI yang ditulis dalam lima perenggan. Setiap perenggan mesti diselangkan dengan satu baris. Jangan dicampuradukkan beberapa isi dalam dalam satu perenggan.

Contoh:

(Ayat fokus) Rancangan televisyen realiti mendatangkan pelbagai impak negatif kepada masyarakat di negara kita. (Ayat huraian) Rancangan televisyen realiti ini menyebabkan berlakunya pembaziran sama ada masa atau wang. Rancangan ini melalaikan para penonton. Hal ini kerana penonton yang menggemari rancangan ini akan setia menanti di hadapan televisyen untuk menonton rancangan tersebut. (Ayat contoh) Selain itu, mereka sanggup juga membatalkan janji temu mereka dengan sahabat handai semata-mata ingin menonton rancangan tersebut yang tidak membawa keuntungan kepada penonton. Para pelajar turut membuang masa dengan menonton rancangan tersebut dan menggadaikan masa ulang kaji mereka. Sehubungan dengan itu, rancangan televisyen realiti ini juga membazirkan wang para penontonnya. Hal ini kerana para penonton akan mengundi artis pilihan mereka. Walaupun satu undian hanya bernilai RM1, tetapi para penonton perlu menghantar undian mereka beberapa kali untuk memastikan artis yang diminati mereka berjaya. (Ayat simpul) Jelaslah di sini bahawa rancangan televisyen realiti ini membazirkan masa dan wang.

PERENGGAN PENUTUP:

Sesebuah karangan perlu mempunyai “kaki” supaya boleh berdiri kukuh. Perenggan penutup ini tidak boleh diabaikan oleh pelajar kerana berperanan sebagai pelengkap sesebuah karangan. Unsur yang perlu ada dalam perenggan ini ialah:

i. Ayat Kesimpulan
Ii. Ayat Cadangan
Iii. Ayat Harapan
Iv. Ayat Penegasan

Ayat pertama yang ditulis merumuskan keseluruhan isi yang telah dibincangkan. Jangan masukkan isi baru dalam perenggan ini. Rumusan secara umum tentang keseluruhan isi sudah memadai untuk menyimpulkan karangan. Kemudian, nyatakan cadangan dan harapan anda terhadap isu yang telah dibincangkan. Sebagai penutup ayat karangan anda, pelajar digalakkan menegaskan pendirian terhadap keseluruhan isi karangan.

Contoh:

(Ayat kesimpulan) Kesimpulannya, rancangan televisyen realiti mendatangkan pelbagai kesan dan dapat memudaratkan masyarakat di negara kita. (Cadangan) Bagi penerbit yang ingin menerbitkan rancangan televisyen realiti ini haruslah semata-mata untuk mencungkil bakat baru dalam kalangan masyarakat di negara kita. Pihak penerbit tidak seharusnya mengambil kesempatan daripada rancangan yang diterbitkan. Selain itu, pihak penerbit perlu juga mengurangkan undian melalui sistem pesanan ringkas. Peserta-peserta haruslah dinilai berdasarkan bakat yang terpendam dalam diri mereka bukan kerana kecantikan rupa paras semata-mata. Rancangan televisyen realiti haruslah dikurangkan. Hal ini penting untuk mengelakkan pertambahan masalah sosial dalam kalangan remaja di negara kita. Pihak penerbit haruslah menggantikan rancangan televisyen realiti dengan rancangan-rancangan ilmiah yang lebih memberikan keuntungan sama ada kepada penerbit ataupun penonton. (Harapan) Dengan ini, masyarakat yang berilmu dapat dilahirkan di negara kita. (Penegasan) Saya yakin andainya cadangan ini dapat dilaksanakan sudah pasti akan dapat meningkatkan imej dan karier masyarakat di negara ini walaupun sebagai seniman dan seniwati dalam bidang seni nyanyian dan lakonan.

MENULIS KARANGAN

i. Karangan yang ditulis mestilah mepunyai TUJUH perenggan yang terdiri
daripada Pendahuluan (1 perenggan), Isi (5 perenggan) dan Penutup (1 perenggan)
ii. Setiap perenggan terdiri daripada 12 baris yang sekata. Pastikan karangan berselang sebaris antara perenggan.
iii. Isi utama merupakan ayat pertama dalam karangan.
iv. Ayat huraian menggunakan teknik 5W1H (MASB2D)
v. Setiap isi perlu ada kesimpulan.
vi. Ungkapan menarik berupa peribahasa, cogan kata, kata-kata hikmat tokoh, pantun, dan seumpamanya mesti diselitkan dalam setiap perenggan.
vii. Gunakan kosa kata yang luas seperti anjakan paradigma, kedangkalan ilmu dan seumpamanya.
viii. Susun isi mengikut kepentingan, contohnya diri – keluarga – negara –global.
ix. Setiap ayat yang ditulis mestilah mempunyai subjek dan predikat dengan jelas. Ayat mesti betul.
x. Kertas karangan mesti bersih, kemas dan mudah dibaca.

MENYEMAK / MENGEDIT KARANGAN

Setelah menulis karangan, pelajar perlu menyemak karangan yang telah siap. Pastikan ejaan, tanda baca, penanda wacana dan struktur ayat telah ditulis dengan betul. Kesalahan-kesalahan yang dilakukan akan menyebabkan pemotongan markah.

Khamis, 19 Mac 2009

MENTERJEMAH BUDAYA IQRA DI SEKOLAH

Sebagai warga pendidikan, kita mempunyai tanggungjawab khusus iaitu untuk memartabatkan institusi pendidikan ke tahap yang tertinggi. Dalam hal ini, tidak dapat tidak kita perlu meningkatkan ilmu dalam diri kerana tanpa ilmu seseorang pendidik atas kapasitinya sebagai sumber rujukan di sekolah tidak akan dapat memainkan fungsinya dengan berkesan, justeru budaya iqra’ atau pembelajaran sepanjang hayat perlu disuburkan dalam diri setiap warga pendidikan. Dalam hal ini artikel berikut wajar dibaca untuk renungan setiap orang terutama mereka yang bergelar pelajar, guru mahupun pentadbir di sekolah.

Di sekolah, semua warganya, baik pelajar mahupun guru-guru mempunyai matlamat dan tindakan yang serupa, iaitu sebagai seorang “pelajar yang dahagakan pengetahuan“.

Sepatutnya, di sekolah tidak ada sesiapa yang akan melakukan sesuatu yang lain selain belajar (bagi pelajar), mengajar(bagi guru) dan membuat rujukan(untuk semua).

Dalam setiap percakapan, pemikiran dan perbuatan warga sekolah sepatutnya lebih menjurus kepada budaya ilmu, yang antara lain dicerminkan melalui amalan Iqra’.

Jika Iqra’ tidak penting nabi Muhammd s.a.w. tidak akan diajar membaca sehingga dapat. Baginda nampaknya tidak dibiarkan untuk berdakwah dengan tangan dan dada kosong tanpa pengetahuan dan bimbingan.

Perkataan Iqra’ adalah sinonim dengan ilmu, dan pengetahuan yang perlu ada sebelum baginda s.a.w. berjaya membawa perubahan kepada masyarakatnya.

Kebiasaan bersembang, gosip dan mengumpat jika ada sepatutnya digantikan dengan berwacana dan berdiskusi. Kebiasaan menonton dan berhibur patut diganti dengan berfikir dan memandang jauh ke hadapan.

Di sekolah, budaya bersembang patut digantikan dengan budaya berbincang dan berwacana. Setiap percakapan bertunjangkan fakta. Program yang dirancang pula berteraskan masalah sebenar, fakta dan data.

Di sekolah, kita sepatutnya cenderung untuk mencari dan melihat kekuatan orang lain dan mengambil kekuatan itu untuk faedah organisasi yang kita dukung.

Di sekolah kita tidak disibukkan dengan mencari kesalahan pengetua dan rakan sekerja , tetapi lebih banyak menekuni kerja-kerja kita dan memuhasabah diri sendiri agar kewujudan diri kita lebih banyak manfaatnya untuk sekolah dan pelajar.

Rabu, 18 Mac 2009

Kurangnya Budaya Menghormati Guru Dalam Kalangan Pelajar

Guru acap kali dibandingkan umpama lilin, membakar diri untuk kesejahteraan orang lain. Pengorbanan guru tidak ternilai. Walaupun begitu, kebanyakan pelajar zaman sekarang tidak menghargai jasa guru. Sebagai guru yang bertanggungjawab, biasanya tindakan akan diambil terhadap pelajarnya andai mereka melakukan kesalahan supaya kesalahan yang sama tidak diulangi. Malangnya sesetengah pelajar menganggap tindakan tersebut sebagai satu bentuk penghinaan dan merendahkan maruah diri mereka dalam kalangan pelajar lain.

Pada zaman dahulu, tindakan guru memukul atau mendenda pelajar dianggap oleh pelajar sebagai tindakan untuk memperbaiki kesalahannya atau untuk mendidik diri ke arah kebaikan. Namun kini, jika guru berbuat demikian pelajar akan meninggikan suara untuk menentang guru tersebut. Malah, ada yang tergamak untuk bertindak agresif dengan memukul guru. Perbuatan ini dianggap terkutuk dan pelajar ini terjerumus ke kancah hidup yang tidak bermoral. Guru memberikan limu dan tunjuk ajar untuk mencapai kejayaan. Ilmu sangat penting kepada manusia. Peribahasa berbunyi, "Hina besi kerana karat, hina manusia kerana tiada berilmu". Peranan guru amat penting dalam mengubah corak hidup dan cara berfikir pelajar. Oleh itu, pelajar wajib menghormati guru untuk mendapat ilmu yang berkat.

Kejayaan Nik Nur Madihah Yang Menjadi Teladan...

“Saya mengulang kaji awal pagi setiap hari selepas bersolat tahajud dan membaca al-Quran yang menjadi amalan sejak di sekolah rendah lagi. Berikutan tidak mampu mengikuti kelas tambahan di luar kerana mahal, saya memberi tumpuan sepenuhnya ketika dalam kelas” ... NIK NURMADIHAH (Pelajar Cemerlang SPM 2008)

Apa yang menarik daripada kejayaan pelajar ini ialah kemiskinan tidak menjadi batu penghalang kepadanya untuk mengukir kecemerlangan. Yang patut menjadi renungan kepada pelajar-pelajar lain terutama pelajar yang bakal menduduki peperiksaan tahun ini ialah betapa faktor disiplin menentukan kejayaan seseorang dalam apa-apa usaha yang dilakukan. Disiplin dalam belajar bermaksud belajar secara sistematik dan beristiqamah; kemudian barulah bertawakal kepada Allah atas apa-apa yang telah diusahakan . Itulah sebenarnya kunci kejayaan seseorang pelajar. Selain itu, jalinan hubungan yang baik, harmonis lagi “intim” dengan guru sebagai penyampai ilmu sangat penting untuk memperoleh keberkatan . Yang lebih utama daripada itu, hubungan yang akrab dengan Allah S.W.T yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani, merupakan kunci kecemerlangan sama ada seseorang itu akan mencapai tingkat kejayaan sebenar (Al Falah) dalam kehidupannnya atau sebaliknya. Renung-renungkanlah…

Bahasa itu indah


Tiada gambar secantik lukisan,
Tiada kata secantik bahasa,
Untuk kupuji adinda...

demikianlah antara bait lagu dendangan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang mengungkapkan keindahan bahasa.

Hal yang sama turut terungkap dalam pantun tradisional Melayu yang berbunyi;

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga;
Yang cantik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Kalau ditelusuri, maka kita akan terjumpa peribahasa yang berbunyi " bahasa menunjukkan bangsa" yang turut menjelaskan betapa bahasa itu melambangkan bangsa yang menuturkannya. Kekayaan budi dan ketamadunan sesuatu bangsa dapat dilihat secara langsung melalui bahasa yang dituturkannya, justeru perjuangan mendaulatkan bahasa merupakan perjuangan yang suci yang tiada noktahnya kerana bahasa itu maruah kita.

Maka, tidak hairanlah mengapa tokoh-tokoh bahasa negara yang prihatin akan survival bangsanya begitu lantang mengutarakan pandangan mereka supaya bahasa Melayu dikembalikan kedudukannya sebagai bahasa pengantar yang utama dalam sistem pendidikan negara. Hal ini termasuklah dalam pengajaran mata - mata pelajaran utama di sekolah seperti mata pelajaran Matematik dan Sains, kerana sejarah menunjukkan andai sesuatu bahasa itu tidak lagi menjadi bahasa ilmu, bahasa itu akan beku dan tidak berkembang. Jika hal ini terjadi, sudah pasti lambat laun kegemilangan bahasa kita akan hanya tinggal dalam lipatan sejarah. Adakah kita tergamak menghancurkan bahasa sendiri? Fikir-fikirkan...