Khamis, 6 Disember 2012

ISU SOSIAL : 11 tahun berkempen, tidak mengubah sikap


Oleh : TAN SRI LEE LAM THYE

Sambutan Hari Tandas Sedunia pada November lalu, datang dan pergi namun persoalan yang masih wujud di dalam minda kita ialah sama ada kita telah menerima pakai budaya tandas bersih di negara ini. Jawapan yang jelas adalah 'tidak'.

Sejak 2001, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menjalankan 'Kempen Tandas Bersih' di seluruh negara yang bermatlamat ke arah negara sifar tandas kotor menjelang 2020.

Melaksanakan kempen tandas bersih adalah untuk memupuk disiplin dalam kalangan pengguna tandas dan memastikan kemunculan budaya tandas yang betul dalam kalangan rakyat Malaysia adalah sangat mulia tetapi malangnya selepas 11 tahun tiada apa yang boleh dibanggakan dengan keadaan tandas kita.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Arpah Abdul Razak malah menyatakan bahawa tahap kebersihan tandas di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) belum mencapai tahap yang dikehendaki di sebalik kerajaan menyediakan peruntukan untuk pembangunan dan penjagaan tandas.

Saya menyokong kempen untuk menjaga kebersihan tandas awam di seluruh negara seperti juga kebanyakan orang tetapi persoalan sebenar adalah persoalan kemampanan.

Tandas, sama ada di jabatan atau agensi kerajaan, lapangan terbang, restoran, stesen minyak atau mana-mana tempat awam yang lain, mesti dijaga kebersihannya pada setiap masa bukan sahaja untuk kegunaan oleh orang awam tetapi juga untuk memberi tanggapan yang baik kepada pelancong asing.

Semasa pelancong asing melawat, pertemuan pertama mereka adalah dengan pelbagai kemudahan yang disediakan oleh pihak berkuasa lapangan terbang serta di tempat-tempat awam lain terutamanya kawasan pelancongan.

Maka, jika mereka masuk ke dalam tandas yang kotor, pemikiran pertama mereka akan menggambarkan mengenai negara dan budaya yang tidak begitu menyenangkan. Tetapi jika tandas yang bersih dan terjaga dengan baik, ini akan menjangkau lebih daripada apa yang boleh dinukilankan dengan perkataan.

Kebimbangan utama saya adalah berkenaan dengan tandas awam serta tandas di restoran, kedai kopi dan medan selera. Dalam kebanyakan tempat dan kedai makan ini, keadaan tandas amat memerlukan perhatian malah ia boleh terus menghilangkan selera seseorang.

Adalah dicadangkan semasa kempen dijalankan, PBT perlu melipatgandakan pemeriksaan ke atas kemudahan ini, termasuk pengusaha pengendalian kebersihan tandas di kompleks beli-belah, restoran-restoran, dan memastikan tahap kebersihan tandas dalam keadaan yang memuaskan.

Kebarangkalian kita akan mengecapi kemudahan tandas bersih bergantung kepada penyedia perkhidmatan serta pengguna kerana kedua-duanya mempunyai peranan penting di dalam membangunkan budaya pengunaan tandas yang betul.

Membangunkan budaya pengunaan tandas awam yang sesuai adalah penting kerana pengguna tandas awam mesti mempunyai satu tabiat yang mencerminkan perwatakan baik mereka.

Masanya sudah tiba untuk kita merevolusikan tanggapan terhadap tandas. Kita perlu menukar tanggapan kita tentang subjek tandas. Kita tidak boleh lagi mempunyai pandangan bahawa tandas adalah tempat yang kotor dan kita tidak perlu untuk berbuat apa- apa.

Sebaliknya, kita mesti menerima hakikat bahawa kita perlu menjaga tandas supaya bersih sepanjang masa walaupun ia adalah tempat pembuangan najis.

Keprihatinan yang disuarakan oleh rakyat Malaysia yang berfikiran sivik tentang keadaan kotor dan tidak sihat ini yang berkaitan dengan keadaan tandas di negara ini bukanlah sesuatu yang tidak berasas.

Seseorang hanya perlu berjalan masuk ke sebuah tandas atau mana-mana tandas di negara ini untuk menyedari betapa jijiknya keadaan tandas kita.

Walaupun tandas di kawasan rehat di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan agak memuaskan dari segi kebersihan masih ada ruang untuk penambahbaikan.

Malangnya, kebersihan tandas di sepanjang Lebuhraya dari KL ke Gambang, Pahang adalah jauh daripada memuaskan. Saya telah membuat aduan sebelum ini tetapi masih tiada perubahan yang dibuat.

Malah tandas di pusat beli-belah dan pejabat juga didapati tidak bersih walaupun orang ramai perlu membayar untuk menggunakan kemudahan ini. Ia bertitik tolak kepada soal penyelenggaraan, pengunaan dan tentu sekali tentang budaya kebersihan.

Dari satu sudut ia adalah berpunca daripada masalah penyelenggaraan. Kemudian terdapat juga isu pengguna yang tidak tahu bagaimana untuk menggunakan tandas awam dengan cara yang bersih dan dari sudut yang lain terdapat juga masalah vandalisme terhadap tandas awam kita.

Sudah tiba masanya bagi orang ramai untuk dididik bagaimana untuk menggunakan tandas dengan cara yang betul.

Terdapat juga keperluan untuk menyemai dan memupuk budaya kebersihan tandas awam supaya mereka dapat menjadi mesra pengguna. Dan mereka yang bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan dan penjagaan tandas awam mesti bertanggungjawab melaksanakan tugas mereka.

Penulis ialah aktivis sosial.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Pengarang Malaysia disenarai pendek bagi hadiah kesusateraan berprestij


MELBOURNE - Pengarang Malaysia, Tan Twan Eng ialah antara 15 penulis yang disenarai pendek bagi hadiah kesusasteraan paling berprestij Asia.

Senarai penuh Hadiah Kesusasteraan Lelaki Asia yang menawarkan wang tunai US$30,000, dan dipilih daripada 108 karya yang diterbitkan di sembilan negara Asia, dikemukakan kepada sebuah panel pengadil diketuai oleh pengkritik kesusasteraan dan wartawan Maya Jaggi, turut menampilkan tiga penulis yang menghasilkan novel sulung serta seorang pemenang hadiah Nobel.

"Kepelbagaian jalan cerita yang dimasukkan dalam senarai penuh kami memukau pembaca untuk mengikuti landskap kisah yang indah dan ada juga yang menjerihkan," kata Jaggi dalam satu kenyataan.

"Daripada glasier di utara Pakistan kepada padang pasir yang menyeksakan di Saudi; daripada resort mewah tepi pantai di Istanbul hinggalah kepada sarang candu di Bombay - lantas melangkau jauh ke Montreal serta Mexico."

'The Garden of Evening Mists' nukilan Tan berkisar tentang seorang siswazah muda dalam bidang undang-undang yang menjumpai satu-satunya taman Jepun di Malaya dan pemilik serta penciptanya yang begitu berahsia.

'Silent House', karya awal penulis Turki dan pemenang Hadiah Nobel 2006 dalam Kesusasteraan, Orhan Pamuk, turut tersenarai selepas diterbitkan dalam bahasa Inggeris buat julung kali.

Turki dan Iran antara 35 negara yang disenaraikan untuk memenangi hadiah itu, yang kini mencari penaja baharu setelah Man Group yang berpusat di London menamatkan pembiayaan bagi hadiah Asia selepas 2012.

Tujuh buah buku diterjemahkan, termasuk 'Northern Girls' oleh penulis China Sheng Keyi, tentang remaja 16 tahun yang meninggalkan kampung halamannya di Hunan untuk mencari masa depan yang lebih cerah di Shenzhen.

Karya lain termasuk dua buah buku yang disenarai pendek bagi Hadiah Fiksyen Man Booker 2012, yang dimenangi oleh pengarang Britain Hilary Mantel dengan nukilannya 'Bring up the Bodies' pada Oktober.

Buku 'Narcopolis' yang dihasilkan oleh Jeet Thayil, mengenai eksplorasi penagihan candu selama tiga dekad, turut disenarai pendek bagi Hadiah Fiksyen Man Booker 2012 dan beliau seorang daripada tiga pengarang India yang tersenarai dalam Hadiah Asia itu.

'Goat Days' oleh Benyamin yang mengisahkan nasib seorang ekspatriat di Teluk yang terpaksa menjalani hidup seperti hamba dengan mengembala kambing di tengah-tengah padang pasir Saudi yang menyeksakan.

'Another Country' oleh Anjali Joseph, pula menceritakan mengenai perjalanan seorang wanita berusia 20-an di Paris, London dan Bombay pada permulaan alaf baharu.

Senarai pendek yang mengandungi enam judul akan diumumkan awal Januari sebelum pemenangnya diisytiharkan pada Mac ini. - Bernama

ISU KESELAMATAN DALAM NEGERI : Global Terrorism Index Lapor M'sia Antara Negara Aman Daripada Ancaman Militan


KUALA LUMPUR : Global Terrorism Index meletakkan Malaysia antara negara yang aman daripada ancaman militan iaitu di tangga ke-90 daripada 158 negara di dunia.

Menurut Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi dan Counter Terrorism) Bukit Aman Datuk Muhamad Fuzi Harun, laporan yang dikeluarkan Institute for Economics and Peace dari Amerika Syarikat itu berdasarkan kajian serangan pengganas seluruh dunia bagi tempoh 2002 hingga 2011.

Kejayaan negara berada sebaris dengan negara yang kurang dari segi aktiviti keganasan adalah hasil kecekapan dan ketangkasan pihak risikan polis serta kejayaan menumpaskan kegiatan pengganas di negara ini, katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, Khamis.

"Kita kena ingat masalah keganasan ini bukan masalah domestik sebaliknya masalah antarabangsa, jadi inisiatif yang polis ambil selain memperkasakan unit risikan ialah kita sentiasa menjalinkan hubungan baik dengan polis antarabangsa (Interpol) dan polis dari negara lain," katanya.

Beliau menambah kerjasama erat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadikan aktiviti militan di negara ini dapat dikekang dengan baik.

"Kita sentiasa bekerjasama dengan ATM terutamanya dalam bidang logistik, inipenting bagi kita untuk membawa suspek yang disyaki menjadi anggota kumpulanmilitan dengan bantuan logistik dari ATM," katanya.

Mohamad Fuzi berkata pemantauan dan tindakan yang diambil secara berterusanmelalui maklumat yang diterima menjadikan Malaysia mampu mengawal aktiviti militan di negara ini dengan sempurna.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin pula memberi jaminan aktiviti militan mampu dikekang di negara ini berdasarkan pemantauan dan risikan yang dilakukan oleh tentera dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata Malaysia tidak dapat lari daripada menerima tempias kumpulanmilitan berdasarkan faktor kumpulan pengganas menjadikan negara jiran sebagaitempat untuk merekrut anggota baharu.

"Namun di Malaysia, keadaannya terkawal dan sentiasa dipantau," tegasnya.

Menurut laporan Global Terrorism Index yang dikeluarkan pada Rabu, untuk tempoh 10 tahun sejak 2002, Malaysia hanya mencatatkan enam insiden militan iaitu dari tahun 2008 sehingga 2010.

Laporan itu menyebut tiada aktiviti militan di Malaysia pada 2011 dan pada 2002 sehingga 2007.

Pada 2010 tiga kes pengganas dilaporkan berlaku di negara ini yang tidakmelibatkan kerosakan harta benda, kecederaan dan kematian.

Pada tahun itu polis berjaya menghalang cubaan meletupkan kuil di Batu Caves, Selangor dan kuil Kuan Yin di Air Itam, Pulau Pinang serta menahan sembilan warga asing dan seorang warga tempatan kerana terbabit dalam aktiviti pengganas antarabangsa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Pada 2009, hanya satu insiden pengganas dilapor dan melibatkan satu kecederaan, manakala pada 2008 hanya dua kes kegiatan pengganas dilapor, melibatkan kerosakan kepada harta benda tanpa mengakibatkan kematian dan kecederaan.

Laporan itu yang dikeluarkan untuk menepis tanggapan silap dan membantu usaha menangani keganasan di peringkat antarabangsa, mencatatkan kedudukan 158 negara berdasarkan jumlah insiden keganasan, jumlah kematian akibat keganasan, jumlah kecederaan akibat keganasan dan anggaran kerosakan harta benda akibat keganasan.

Iraq, Pakistan, Afghanistan dan India adalah antara negara yang paling teruk menerima kesan akibat keganasan dan militan. - BERNAMA