Oleh : MOHAMAD
ABDULLAH
BERTAHUN-TAHUN menyaksikan perang
poster dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti dan perjalanan
aktiviti selepas selesainya pemilihan, terfikir apakah yang direbutkan sangat
dalam kalangan siswa-siswi selama ini.
Tiada ganjaran besar dari segi
wang ringgit mahu pun gaji lumayan. Benarkah terdapat puak-puak dalam kalangan
mereka atau ada pihak yang sengaja mengadu-domba siswa-siswi sebagai cerminan
terhadap pilihan raya umum yang kian hampir?
Adakah benar bahawa pemilihan
Majlis Perwakilan Pelajar adalah proksi kepada proses pilihan raya di luar dan
melambangkan pemikiran dan kematangan siswa-siswi kita atau ia sekadar proses
pemilihan biasa yang berjalan sebagai sebahagian daripada rutin aktiviti kampus
yang sesetengah pihak dan penganalisis menganggapnya sebagai gambaran kelesuan
aktiviti mahasiswa universiti sekarang.
Sebagai seorang yang menyaksikan
putaran aktiviti dan pemilihan yang dilakukan saban tahun, hakikatnya anak-anak
muda di universiti kita berusaha untuk melaksanakan proses demokrasi yang kita
percayai dan memperjuangkan idealisme yang mereka yakini.
Oleh itu adalah wajar dibiarkan
mereka meneruskan proses kedewasaan dan kematangan dalam melaksanakan demokrasi
ini dengan cara tersendiri tanpa adanya campur tangan, apatah lagi usaha-usaha
untuk menjadikannya sebagai proksi mana-mana pihak.
Biarkanlah mereka bebas
menzahirkan pemikiran dan perancangan dalam berpolitik serta bersaing atas
kebijaksanaan, bukannya atas kekuatan orang lain atau parti politik yang
menjadi pegangan.
Barisan kepimpinan mahasiswa yang
dipilih pula sewajarnya melupakan segala perbezaan pandangan, sebaliknya
bersatu menggerakkan secara profesional. Bukan sekadar menjaga kebajikan
mahasiswa, tetapi MPP yang dibentuk seharusnya menjadi payung kepada persatuan,
pertubuhan dan kelab dengan mengemukakan idea-idea yang jauh lebih besar untuk
dilaksanakan secara berfokus berteraskan pemikiran yang dilaungkan semasa
proses pemilihan.
Di sinilah ujian sebenar
kepimpinan mahasiswa pada abad ini. Aktiviti-aktiviti konvensional yang sekadar
membawa mahasiswa ke kampung pedalaman dan desa terpencil barangkali makin kurang
relevannya yang boleh diserahkan sahaja kepada persatuan dan kelab.
Sebaliknya tumpuan perlu diberi
kepada usaha membentuk pemikiran besar, menjana kekuatan minda dan bagaimana
melibatkan siswa-siswi universiti dalam proses transformasi yang rancak dilakukan
sekarang dalam pelbagai bidang. Malah bersama-sama memastikan usaha
memposisikan dunia mahasiswa dapat dibuat dengan betul, dipandang tinggi dan
disegani termasuk di pentas dunia.
Seharusnya MPP di universiti
dapat terus memainkan peranan yang sebagai suara dan juara anak-anak muda dalam
memperkatakan isu-isu sejagat, kemanusiaan dan keilmuan serta menentang segala
ketaksuban, penghinaan dan anti-akademia yang hanya berasaskan perasaan dan
sesetengahnya menyalakan api kebencian dan permusuhan dalam konteks yang sangat
peribadi dan terpencil.
Malah MPP juga wajar menjadi
tenaga penggerak aktiviti kesukarelawanan yang lebih berwadah dan terancang
secara sendiri apatah lagi menghidupkan kampus dengan wacana-wacana ilmu saban
minggu dalam membincangkan isu-isu masyarakat, memperjuangkan nilai-nilai
universal yang sesuai dengan budaya dan semangat kepelbagaian negara serta
memimpin mahasiswa dalam mencorakkan masa hadapan yang diinginkan sebagai
gambaran dalam senario masa hadapan.
Hal ini hanya dapat dilakukan
jika MPP berada pada landasan yang betul dalam konteks kepimpinan mahasiswa
seperti mana yang ditunjukkan oleh Dewan Perundingan Pelajar sebagai
manifestasi parlimen mahasiswa yang tidak dicampuri oleh universiti selain
daripada bantuan keurusetiaan untuk memastikan ia berjalan lancar.
Kita perlu berhenti dengan apa
jua label seperti mana syarat untuk mereka bertanding. Kita perlu memastikan
agar mereka tidak menuding jari dalam apa jua keadaan pun, sebaliknya
menggunakan segala kreativiti untuk keluar daripada masalah yang mereka hadapi.
Mereka juga perlu belajar bahawa
gagal atau berjaya adalah mainan hidup dan dalam politik termasuk politik
kampus, tidak ada 'musuh' dan 'sahabat' yang kekal.
Jika kita terima perkara ini
sebagai proses mendewasakan anak-anak muda, maka semua pihak perlu menerima
secara terbuka dan meminta mereka bekerjasama dalam kepelbagaian pemikiran
untuk memastikan MPP menjadi suara sebenar anak-anak muda di universiti.
Seperti kata Naib Canselor USM,
Prof. Datuk Omar Osman: "Biarkan mereka bertanding sebagai ilmuwan dengan
penuh budi pekerti dan saling menghormati dan jika ada yang tertinggal, banyak
lagi ruang yang boleh digunakan untuk meminta dan melontarkan idea."
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor Universiti Sains
Malaysia
Sumber : http : //www.utusan.com.my/