Khamis, 24 Januari 2013

Cara membuktikan cinta kita kepada Nabi Muhammad S.A.W.




Deklarasi cinta yang tidak disusuli dengan pembuktian amali tentu sahaja masih belum mencukupi untuk membentuk cinta sejati. Bukti yang paling mudah dilihat, seseorang yang benar-benar mengasihi kekasihnya, akan mengutamakan insan yang dikasihinya daripada dirinya sendiri dan kehendak peribadinya. Jika tidak mencapai tahap ini hubungan tersebut belum layak dinamakan kasih sejati yang ikhlas murni, tetapi baru sekadar dakwaan semata-mata.

Keutamaan mentaati dan mengutamakan orang yang dikasihi ini jelas dapat dilihat dalam ungkapan seorang pencinta Allah SWT dan Nabi-Nya SAW yang tidak asing lagi, Rabi’ah al Adawiyyah dalam syairnya: “Sesungguhnya seorang kekasih itu akan taat patuh kepada yang dikasihinya.”

Selain memiliki semangat di atas, orang-orang yang benar-benar mengasihi  Nabi SAW harus terdapat pada dirinya bukti dan tanda berikut:

1. Menjunjung agama Nabi Muhammad SAW, mengamalkan Sunnah Baginda SAW, menurut perkataan dan perbuatan Baginda  SAW dalam setiap keadaan, melaksanakan suruhan Baginda SAW dan menjauhi larangan Baginda SAW. Dia juga mengamalkan adab-adab kehidupan Rasulullah SAW dalam segala keadaan, sama ada ketika susah atau pun senang, ketika gembira atau pun sedih. Ikatan antara ‘kasih’ dan ‘taat’ ini terlihat jelas dalam firman Allah SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad), “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah akan mengasihi kamu.” (ali ‘Imran: 31)

Namun semangat semata-mata tidak memadai jika tidak berpaksikan atas ilmu yang kukuh. Lebih-lebih lagi pada zaman fitnah ini, kegagalan seseorang itu mengenal mana satu Sunnah dan bidaah akan memungkinkan terjebak ke dalam lubuk bidaah yang dianggap sebagai Sunnah. Akhirnya Sunnah dipinggirkan dan bidaah ditegakkan.

Orang yang tersemat di dalam hatinya kasih yang sejati terhadap Rasulullah SAW juga, tidak akan mempedulikan kemarahan manusia lain dalam usahanya mentaati Allah SWT dan Rasul SAW.

2. Sudah menjadi adat dan lumrah berkasih, seorang kekasih akan sering menyebut dan mengingati kekasihnya. Justeru, apabila hati seseorang itu telah mengisytiharkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW, maka lidahnya akan sering menyebut nama Kekasihnya SAW dan kotak fikirannya akan sentiasa mengingati Baginda SAW.

Selaku umat Muhammad SAW, kita amat bertuah kerana telah diajar berselawat ke atas kekasih kita Nabi Muhammad SAW sebagai salah satu bentuk ibadah dan taqarrub kepada Allah SWT. Maka kita beruntung kerana dapat beribadah dengan menyebut, memuji dan berselawat kepada insan yang paling kita cintai dengan membaca ayat-ayat al-Quran yang memuji Nabi SAW serta lafaz selawat yang diajar sendiri oleh Baginda SAW.

Kita juga dididik oleh Nabi SAW dan ulama pewaris Baginda SAW menghormati hari dan bulan kebesaran Islam seperti Maulid al-Rasul SAW dan Isra’ Mikraj dengan mengisinya dengan pelbagai amalan yang kesemuanya ada kaitan dengan Nabi SAW dalam kerangka ubudiah kepada Allah SWT. Walaupun ada segelintir di kalangan orang Islam sendiri mencurigai bacaan dan amalan-amalan ini.

Menghayati dan memperjuangkan agama seiring dengan berkasih sayang dengan Nabi SAW dirasakan begitu indah dan menyegarkan. Sebaliknya tanpa dimensi ini, menghayati agama boleh terasa gersang dan membebankan serta cenderung membentuk jiwa keagamaan yang keras dan kasar.

3. Orang yang mengasihi Nabi SAW akan sentiasa berasa rindu untuk bertemu dengan Baginda SAW; untuk melihat zatnya di alam yang kekal abadi kelak, atau sekurang-kurangnya jika dapat menatap kelibat wajahnya yang mulia barang seketika dalam mimpi-mimpi mereka. Sudah pasti setiap kekasih sangat merindui untuk bersua dan menatap wajah kekasihnya.

Kerinduan sebeginilah yang dapat kita rasakan jika kita menyorot kehidupan generasi sahabat. Misalnya, kita dapat turut berkongsi keriangan dan kegembiraan Abu Musa al Asy’ari r.a dan rombongan kaumnya dari Yaman yang berkunjung ke Madinah.

Mereka mempercepatkan langkah dan begitu girang untuk menemui Rasulullah sambil mendendangkan syair kegembiraan: “Esok kita akan bertemu dengan para kekasih kita, Muhammad dan sahabat-sahabat Baginda!” Setiba mereka di Madinah dan Masjid Nabi, mereka terus menghadap dan memuliakan Nabi SAW. (riwayat Al-Baihaqi)

4. Seseorang yang mengasihi Baginda SAW juga akan membesarkan diri Baginda SAW dan suruhan Baginda SAW termasuk memuliakan Baginda  ketika menyebut nama Baginda. Malah ada yang sehingga menunjukkan rasa rendah dan hina diri ketika mendengar nama Baginda SAW disebut di hadapan mereka.

Berkata Ishaq al-Tujibi r.a, sahabat-sahabat Nabi SAW selepas kewafatan Baginda SAW tidak akan menyebut nama Baginda SAW melainkan mereka akan merendahkan diri dan menggigil serta menangis kerana diselubungi perasaan rindu yang dalam akibat berpisah dengan Baginda.

Hal ini sangat berbeza dengan sesetengah mereka yang mengaku sebagai ahli agama pada zaman kita yang tidak mahu membesarkan dan menobatkan keistimewaan Nabi Muhammad SAW tetapi hanya menumpukan kepada risalah baginda dan sunnah yang dibawa oleh baginda. Seolah-olah Nabi SAW hanyalah berperanan seumpama posmen penghantar surat atau orang suruhan bawahan!

Sedangkan apabila seseorang makhluk itu mempunyai sifat-sifat istimewa tersebut, maka sifat-sifat itu hanya sekadar yang bersesuaian dengan kemanusiaannya yang diciptakan terbatas dan diperoleh dengan izin, kurniaan dan kehendak-Nya.

Mengasihi Nabi SAW

Ada juga sesetengah mereka yang menolak penggunaan gelaran Sayyidina bagi Nabi SAW sedangkan Nabi SAW lebih daripada layak mendapat gelaran tersebut tetapi dalam masa yang sama mereka bebas menggunakan pelbagai gelaran dalam kehidupan mereka.

5. Orang yang mengasihi Nabi SAW juga sepatutnya akan mengasihi orang yang dikasihi oleh Nabi SAW terutamanya nasab keturunan Baginda daripada  kalangan ahli-ahli bait dan sahabat-sahabat Baginda  yang terdiri daripada kaum Muhajirin dan Ansar.

Mereka juga akan memusuhi orang yang memusuhi mereka dan membenci orang yang membenci mereka dan keturunan mereka.

Hakikatnya, sesiapa yang mengasihi seseorang, dia akan mengasihi semua perkara yang disukai oleh orang yang dikasihinya.

Ini ialah sirah para Salaf al-Salih; mereka akan mengasihi segala yang dikasihi oleh Rasulullah SAW sehinggakan terhadap perkara-perkara yang sekadar diharuskan dan digemari oleh nafsu (yang tidak diharamkan oleh syarak).

Anas ibn Malik r.a misalnya, setelah melihat Rasulullah SAW mencari-cari labu di dalam dulang ketika sedang menikmati makanan, maka semenjak hari itu dia turut sentiasa suka kepada labu.

6. Orang yang mengasihi Nabi SAW akan membenci apa yang dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya, menjauhi orang yang menyalahi Sunnah Baginda,  tidak melakukan perkara bidaah dalam agamanya dan memandang berat setiap perkara yang bercanggah dengan syariatnya.

Allah SWT menjelaskan : Engkau tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, tergamak berkasih mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. (al-Mujadalah: 22)

“Mereka” yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah para sahabat Baginda SAW yang telah membunuh orang yang mereka kasihi dan juga bapa-bapa mereka yang ingkar dan kafir semata-mata mengharapkan keredaan Allah. Ibnu Abbas RA menyatakan, di antara sahabat Baginda SAW yang dimaksudkan di dalam ayat itu ialah Abu Ubaidah al-Jarrah.

Beliau sanggup membunuh bapanya dalam peperangan Uhud manakala Saidina Abu Bakar r.a sanggup berlawan satu lawan satu dengan anaknya sebelum memulakan peperangan Badar, tetapi dihalang oleh Rasulullah SAW. Inilah antara bukti cinta yang tidak berbelah-bagi terhadap Baginda SAW.

7. Orang yang benar-benar mencintai Nabi SAW juga pasti akan kasih terhadap al-Quran yang diutuskan kepada Rasulullah SAW yang dengannya manusia mendapat petunjuk. Mereka akan mengikut jejak Baginda SAW yang menjiwai al-Quran dan berakhlak dengannya seperti yang ditegaskan oleh Ummul Mukminin, Aisyah r.ha dalam katanya, “Akhlak Baginda SAW adalah al- Quran itu sendiri”.

Mengasihi al-Quran bererti membacanya, beramal dengannya, memahaminya, menjunjung suruhan dan meninggalkan larangannya.

8. Tanda kasih terhadap Nabi SAW juga ialah berasa kasih dan belas terhadap umat Baginda SAW dengan memberi nasihat kepada mereka, berusaha melakukan kebaikan dan menghapuskan kemudaratan daripada mereka.

Inilah sebahagian daripada bukti dan tanda yang harus ada pada para pencinta Nabi SAW. Oleh itu marilah kita bersama-sama memuhasabah diri, adakah kita ini pencinta sejati atau pendakwa semata-mata?

Tepuk dada, tanyalah iman. Semoga Allah SWT mengurniakan kita semua kesempurnaan kecintaan kepada Rasulullah SAW!

Oleh : Panel Penyelidikan, Yayasan Sofa Negeri Sembilan

ISU SOSIAL : Polis bongkar sindiket jual bayi, kanak-kanak


GEORGE TOWN, 24 Jan. - Polis membongkar sidiket menjual bayi dan kanak-kanak yang bergerak aktif di negeri ini, Kedah dan Perak apabila menahan 33 individu dan menyelamatkan lapan bayi serta seorang kanak-kanak.

Mereka yang ditahan dalam operasi hasil risikan dan maklumat awam sejak awal Disember hingga minggu ini, berusia antara 23 dan 52 tahun, dan antaranya ialah penjawat awam di Jabatan Pendaftaran Negara serta doktor pusat perubatan swasta.

Kami percaya lapan bayi seawal usia dua bulan dan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang diselamatkan itu adalah untuk dijual," kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci mengenai operasi dan lokasi serbuan kerana kes itu masih disiasat.

Siasatan awal polis mendapati bayi dan kanak-kanak itu dijual dengan harga antara RM18,000 dan RM30,000 berdasarkan fizikal, rupa paras dan jantina, lengkap dengan pakej dokumen pendaftaran serta perubatan.

“Polis merampas lima keping MyKid, 14 sijil kelahiran, 18 rekod perubatan dan kesemuanya adalah dokumen asli serta wang tunai sebanyak RM15,000," katanya.

Abdul Rahim berkata, tujuh daripada bayi yang diselamatkan itu dipercayai rakyat Thailand, manakala yang lain campuran Bangladesh dan Indonesia serta seorang rakyat tempatan.

Kesemua bayi dan kanak-kanak yang diselamatkan itu kini ditempatkan di sebuah pusat perlindungan di bawah seliaan polis.

Beliau berkata, sindiket yang aktif sejak tahun 2009 itu juga didapati menawarkan wang tunai antara RM2,500 dan RM4,500 kepada wanita asing yang melahirkan anak luar nikah serta mereka yang kesempitan wang dan mahu menjual anak mereka. - BERNAMA

ISU GLOBAL : Penyelesaian Pragmatik Perlu Untuk Selesaikan Konflik Di Timur Tengah


KUALA LUMPUR : Malaysia percaya penyelesaian pragmatik berdasarkan prinsip dan norma antarabangsa diperlukan bagi menyelesaikan kebuntuan masalah konflik di Timur Tengah.

Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Datuk Hussein Haniff berkata semua kuasa berpengaruh wajar memaparkan kepimpinan politik yang kukuh bagi saling mempertimbangkan usaha memperkasakan keperluan rakyat dan negara di rantau itu.

"Tidak dinafikan bahawa Majlis Keselamatan perlu memainkan peranan yang dihasratkan dengan memenuhi mandat untuk penguatkuasakan resolusi majlis. Ini adalah dalam usaha mencapai penyelesaian mapan kepada soal Palestin, sekali gus mengembalikan kredibilitinya," katanya.

Hussein berkata demikian dalam ucapannya pada Debat  Mengenai Situasi di Timur Tengah termasuk soal Palestin pada sesi Majlis Keselamatan PBB di New York Khamis.

Teks ucapannya dihantar kepada Bernama di sini Khamis.

Beliau berkata  Malaysia juga amat bimbang dengan situasi kemanusiaan kerana anggaran empat juta pelarian mencari perlindungan dan keperluan asas laindi Jordan, Iraq, Lubnan, Turki dan Mesir.

'Kami menggesa komuniti antarabangsa untuk menghulurkan bantuan dalam menyokong Pelan Tindakan Bantuan Kemanusiaan Syria PBB bagi meringankan penderitaan penduduk akibat keganasan," katanya.

Hussein juga berkata situasi di Wilayah Palestin Yang Diduduki memerlukan perhatian penuh dan segera bagi memulihkan semula rundingan damai.

"Malaysia meminta ahli Kuartet menunjukkan kepimpinan politik dan memperhebatkan usaha dalam memujuk Israel untuk kembali ke meja rundingan.

"Rundingan damai perlu disambung semula sebelum sebarang harapan penyelesaian dua negara hilang sepenuhnya. Kita mesti datang bersama-sama bagi memastikan bahawa Israel tidak dibenarkan memusnahkan sebarang harapan untuk mencapai keamanan," katanya .BERNAMA

ISU AGAMA : Rahsia kejayaan pimpin ummah


Oleh : Nik Salida Suhaila
 
Rasulullah jadikan diri 'role model' untuk diikuti setiap Muslim

Ketika membangunkan masyarakat Islam selepas peristiwa hijrah, Rasulullah SAW memulakannya dengan membina akhlak mulia sesama saudara seagama. Umum tahu bukan mudah menyatupadukan banyak hati, tetapi ia dilakukan Rasulullah SAW meskipun ada cabarannya.

Akhlak ditonjolkan Baginda SAW menjadi pengajaran paling berkesan. Sejarah membuktikan keperibadian mulia membentuk masyarakat yang cemerlang tamadunnya tidak akan dimusnahkan oleh tipu daya dan hasad dengki sesama manusia.

Rahsia kejayaan Rasulullah SAW sehingga mampu membentuk barisan sahabat yang kukuh dan mantap dari segi sahsiah serta keperibadiannya sejajar dengan keperibadian Muslim sebenar yang dipaparkan dalam al-Quran.

Tanpa apa-apa kepentingan di dunia, Baginda memimpin orang kanannya dengan keluhuran Islam, ada wahyu Baginda sampaikan, ada kebuntuan Baginda bawa bermusyawarah. Laba dari inilah yang menjayakan sebuah kepemimpinan yang akhirnya dikagumi kerana integriti bukan kepentingan diri.

Ia juga kerana Baginda tahu bahawa akhlak adalah asas pembinaan diri yang akan menentukan jatuh bangunnya bangsa serta faktor pembinaan sesebuah tamadun. Bahkan inilah sebab utama diutuskan Rasulullah SAW ke dunia.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi kamu.” (Surah Al-Ahzab, ayat 21)

Salah satu cara terbaik untuk membentuk akhlak mulia ialah melalui pendidikan berasaskan contoh teladan yang baik. Setiap individu haruslah memiliki sifat amanah, dedikasi, komited pada tugas, ikhlas, sanggup berkorban masa dan tenaga, suka membantu, membimbing dan menjadi ‘role model’.

Antara aspek terpenting yang harus diambil perhatian ialah penampilan setiap individu Muslim, peribadi yang seimbang dalam pemikiran, tindakan dan sikap terhadap konsep berilmu, beramal serta berakhlak yang sebenar.

Rasulullah SAW menunjukkan kepada sahabat supaya bersifat benar dalam perbuatan, perkataan dan gerak hati. Tidak ada sekelumit pun dendam, niat jahat, bicara untuk menyakiti hati orang lain atau melakukan perbuatan mengundang kemurkaan Allah SWT.

Hari ini, kebanyakan kepincangan dalam urusan pentadbiran, hatta dalam institusi kekeluargaan sekalipun adalah disebabkan oleh sikap ‘tidak benar’ yang menjadi taruhan demi kemenangan di dunia.

Selain itu, sabar dalam semua keadaan perkara paling mudah tetapi sukar dilakukan sekiranya hati kita tidak reda terhadap qada dan qadar Allah. Sifat sabar dibentuk oleh Rasulullah SAW sehingga dikagumi sahabat dan musuh yang bersama Baginda semasa hayatnya.

Kesabaran Rasulullah SAW menyelamatkan agama dan usaha syiar Baginda hingga dapat dinikmati seluruh Muslim hari ini. Baginda juga bersedia berdepan fitnah dan ancaman musuh yang datang dari segenap ceruk.

Satu sifat yang mulia yang ditonjolkan Rasulullah ialah pemaaf terhadap kesilapan yang dilakukan sahabat atau musuh serta mudah bertolak ansur selain tidak pernah marah melainkan kesalahan itu dilakukan kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW tidak pernah melemahkan diri Baginda dengan menghukum orang lain ataupun tenggelam oleh rasa marah yang mengawal akal.

Ketenangan Baginda juga menggambarkan peribadi yang baik dan menunjukkan personaliti disukai ramai.

Rasulullah SAW mendidik sahabat menurut tatacara akhlak yang ditentukan Allah dan itulah yang membentuk sebuah masyarakat Islam begitu unggul sifatnya, beriman dan bertakwa serta cenderung mencintai kebaikan.

Kegagalan membentuk masyarakat yang berakhlak mulia samalah seperti mengakibatkan kehancuran pada bumi ini seperti firman Allah SWT: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. (Timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merosakkan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Al-Rumi, ayat 41)

Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia

Sumber : http : //ww.bharian.com.my/

ISU UMUM : Budayakan penjagaan keselamatan di kawasan air


 Oleh : TAN SRI LEE LAM THYE

KITA tidak boleh mengabaikan peningkatan bilangan kematian akibat lemas di negara ini setiap tahun. Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat, bilangan kes mati lemas adalah 386 kes pada tahun 2011 manakala bagi tempoh 10 bulan pertama tahun lepas, bilangan kes yang dicatatkan adalah 322.

Wujud keperluan bagi Malaysia untuk memberi perhatian berat terhadap peningkatan bilangan kes mati lemas di negara ini sama ada di pantai atau di tempat-tempat lain dengan mengambil langkah-langkah proaktif untuk mencegah lebih banyak kematian serta meningkatkan keselamatan bukan sahaja di pantai malah di merata tempat lain kejadian mati lemas mungkin berlaku.

Sudah tiba masanya bagi Malaysia untuk menubuhkan sebuah pusat data kebangsaan mengenai kematian akibat lemas di air yang merangkumi maklumat seperti jantina, kumpulan umur, lokasi dan punca lemas melalui pihak berkuasa yang berkaitan supaya kita boleh menguruskan masalah ini dengan lebih baik.

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan lemas di air seperti akses yang tidak terhad untuk ke pantai, kekurangan pengetahuan dan kefahaman mengenai keadaan air, kecuaian, pengabaian atau salah anggapan terhadap tahap bahaya di air, ketiadaan penyeliaan visual yang berterusan, terutamanya kekurangan kesedaran dan pendidikan keselamatan di air serta tahap pengetahuan individu terhadap kepakaran penyelamat dan menyelamat diri.

Strategi pengurusan keselamatan dan risiko adalah penting untuk memastikan pengurangan kematian disebabkan lemas di air. Pelaksanaan program pengurusan risiko yang berkesan boleh mengurangkan insiden kematian tersebut.

Ia adalah tanggungjawab pertubuhan-pertubuhan, agensi dan pihak berkuasa berkaitan ke atas kawasan pantai untuk mengenal pasti dan sebaik-baiknya meminimumkan risiko kecederaan atau kematian kerana lemas. Tanggungjawab ini tidak cukup dengan hanya memasang papan tanda atau menyediakan peralatan keselamatan.

Kita harus menyediakan penyeliaan yang baik terhadap kawasan pantai dan kawasan tarikan air yang lain serta menyokong peruntukan undang-undang yang mewajibkan penggunaan alat pengapungan peribadi supaya dipakai semua orang semasa aktiviti air dan mendidik ibu bapa tentang keperluan untuk pengawasan rapi semasa anak-anak di pantai atau di kolam renang hotel.

Selain itu, pendidikan mengenai amalan-amalan keselamatan semasa menjalankan aktiviti air dan keupayaan membuat keputusan selamat mengenai aktiviti berkaitan air serta mampu menguruskan bahaya yang berkaitan dengan aktiviti air adalah antara strategi pencegahan yang kita perlu amalkan.

Saya telah bertemu dengan Presiden Persatuan Penyelamat Malaysia pada akhir tahun lalu untuk membincangkan perkara ini dan kami telah bersetuju bahawa masanya telah tiba bagi penubuhan Majlis Keselamatan Air Kebangsaan untuk membantu kerajaan demi mengurangkan kejadian lemas dan menggalakkan budaya keselamatan di kawasan air bagi rakyat Malaysia.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Isu Sekolah Mubaligh Selesai


Oleh : YUEN MEIKENG dan RUBEN SARIO

PETALING JAYA : Isu yang semakin meruncing akhirnya telah diselesaikan apabila Kementerian Pelajaran memastikan "rundingan maksimum" diberikan kepada sekolah mubaligh dalam pelantikan pengetua.

Satu surat pekeliling akan dikeluarkan kepada semua negeri menjelang akhir bulan ini berkenaan prosedur rundingan dengan lembaga sekolah, menurut Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

Ini berikutan pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Persekutuan Majlis Sekolah Mubaligh Kristian Malaysia pada Isnin.

Berdasarkan Laporan Suruhanjaya Diraja mengenai Perkhidmatan Perguruan Malaysia Barat, perundingan maksimum perlu diadakan dengan lembaga sekolah mubaligh terhadap tugas guru besar.

Walau bagaimanapun, pihak berkuasa sekolah mubaligh berkata ketetapan itu tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Dalam pertemuan dengan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, perkara yang dibincangkan termasuklah peranan sekolah mubaligh dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan Negara.

Presiden Persekutuan Datuk Mary Yap Kain Ching berkata Muhyiddin yakin bahawa 438 sekolah mubaligh di Malaysia akan terus memainkan peranan dalam sistem pendidikan negara.

Dalam persidangan meja bulat pada 4 Disember, beliau berkata ia tidak menyebut tentang peranan sekolah mubaligh dalam rangka tindakan.

"Muhyiddin berkata sekolah mubaligh tidak akan diketepikan dan akan menikmati keistimewaan yang sama seperti sekolah kebangsaan.

"Sekolah mubaligh melaksanakan kurikulum kebangsaan dan oleh itu, ia diberikan status yang sama," kata Yap.

Beliau berkata, Muhyiddin juga yakin sekolah mubaligh akan terus menerima pembiayaan untuk penyelenggaraan bangunan dan program pembangunan profesional.

Ketika membentangkan Bajet 2013, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk menaik taraf sekolah mubaligh.

Yap berkata: "Kami amat berterima kasih kepada Muhyiddin dan Tan Sri Bernard Dompok, yang menyelaraskan mesyuarat ".

Pada tahun 2011, pertikaian timbul terhadap pelantikan pengetua SMK Convent Bukit Nanas di Kuala Lumpur.

Ketua Biskop Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam telah membantah pelantikan Datin Seri Zavirah Mohd Shaari dengan berkata ia bertentangan dengan dasar rundingan Kerajaan.

Pertikaian itu telah diselesaikan selepas pengetua Katolik, Mystrical Rose Fernandes dilantik.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK St Paul Dr S. Ganakumaran berkata beliau berharap pekeliling ini akan membawa "hasil yang baik" untuk sekolah di Seremban yang tidak mempunyai guru besar sejak lapan bulan yang lalu.

"Pekeliling ini untuk mengingatkan semua pihak tentang amalan baik dalam melantik ketua-ketua di sekolah mubaligh," katanya.

"Di St Paul, kami sentiasa mempunyai komunikasi terbuka antara sekolah, alumni, jabatan pendidikan negeri (Negeri Sembilan) dan kementerian."

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

MATA KECILKU


Kau buat mataku kecil
Kau buat badanku besar
Kau sayangkan aku

Kau buatku serba kekurangan
Supaya aku berusaha mencari kejayaan
Kemudian kau limpahkan dengan kesenangan
Kau sayangkan aku

Aku leka dengan hidup dunia
Tiada syukur tersemat di dada
Hari hari bergelumang dosa
perhubungan kita tidak ku jaga
seperti seorang anak tak mengenang jasa
Kau sayangkan aku

Aku yang sudah hanyut jiwaku
Rasa tak layak lagi bersama-Mu
Sangkaku tertutup sudah pintu kemaafan-Mu
kerana kealpaan diriku
Kerana kebodohan diriku
kerana keangkuhan diriku
Kerana ku butakan mata kecilku
"Masihkah Kau sayangkan aku?"

F16 Israel membedil Gaza
Kau sayangkan aku

Bom - bom Israel mencari Syuhada
Kesengsaraan di tanah Gaza
Kehancuran merata- rata
Kezaliman yang tak terkata
Kau sayangkan aku

Kemanusiaan membawaku ke sana
Kau permudahkan segala cara
Walaupun debar menggoncang dada
Kau beri ku kekuatan minda
Selamat perjalananku ke Gaza
Agar akhirnya dapat ku guna
Mata yang lama tak bercahaya
Kerana hanya mengejar dunia
Kau sayangkan aku

Mataku melihat, runtun hatiku
bukan kerana kematian dan kesusahan di situ
Gaza tanah barakah-MU
walaupun semuanya kelabu
Dipenuhi oleh kekasih-kekasih-MU
Yang tidak pernah menyoal cinta-MU
Yang tak pernah menyalahkan-MU
Walaupun apa saja kesusahan yang Kau beri
Kesyukuran tak pernah meninggalkan hati
Semua kekasih-MU itu merindui
Bersama-Mu di Jannah nanti

Air mata berlinangan daripada  mata kecilku
Melihat Ketenangan wajah kekasih-MU
Melihat Keberanian jiwa kekasih-MU
Melihat keredhaan hati kekasih-MU
Melihat ketaqwaan hidup kekasih-MU

Senyum kekasih-MU penuh cahaya
Senyum terukir walaupun duka
Senyum di beri  tak memilih siapa
Senyum penuh kesyukuran pada-NYA

AKu terduduk, terdiam melihatnya
Mata aku berkelip tidak percaya,
tidak pernah aku melihat sepertinya
Adakah aku dibumi nyata
ataupun menghampiri ahli-ahli syurga

Palestin bergolak atas keizinan-Mu
Kau mahu Palestin menjadi guru
Pelajaran bagi semua umat- MU
Menyuluh jalan pulang pada-MU

Aku meminta pengampunan daripada-Mu, Ya  Allah!
Kerana setelah semua yg aku laku
kau masih sudi membuka mataku
kau masih sudi mahu bersama ku
Kau masih sudi sayangkan aku
Kau sayangkan aku

Aku bersyukur dan merasa rendah
kerana diriku yang masih Kau endah
Akan ku balas cinta-Mu dengan seluruh jiwaku
dengan badan besarku
dengan seniku, dengan jenakaku, dengan akalku
dengan mata kecilku yang kini melihat kebesaran- Mu
kekuatan-Mu, Ke Bijaksanaan-Mu, Pengampunan-MU
Cinta-Mu yang memang tidak ada seteru.
Semua yang ku lakukan kini kerana -Mu

Untuk-Mu ingin ku menjadi Qalam
Akan aku ceritakan kebesaran-Mu kepada sekalian Alam
Akan ku sampaikan kasih-Mu yang sangat mendalam
Ya,  aku budak gemuk yang  120 kilogram ini... ISLAM.

Allahu akbar!

Nukilan : Afdlin Shauki  ( Abu Miasara )