Deklarasi cinta yang tidak
disusuli dengan pembuktian amali tentu sahaja masih belum mencukupi untuk
membentuk cinta sejati. Bukti yang paling mudah dilihat, seseorang yang
benar-benar mengasihi kekasihnya, akan mengutamakan insan yang dikasihinya
daripada dirinya sendiri dan kehendak peribadinya. Jika tidak mencapai tahap
ini hubungan tersebut belum layak dinamakan kasih sejati yang ikhlas murni,
tetapi baru sekadar dakwaan semata-mata.
Keutamaan mentaati dan
mengutamakan orang yang dikasihi ini jelas dapat dilihat dalam ungkapan seorang
pencinta Allah SWT dan Nabi-Nya SAW yang tidak asing lagi, Rabi’ah al Adawiyyah
dalam syairnya: “Sesungguhnya seorang kekasih itu akan taat patuh kepada yang
dikasihinya.”
Selain memiliki semangat di atas,
orang-orang yang benar-benar mengasihi Nabi
SAW harus terdapat pada dirinya bukti dan tanda berikut:
1. Menjunjung agama Nabi Muhammad SAW,
mengamalkan Sunnah Baginda SAW, menurut perkataan dan perbuatan Baginda SAW dalam setiap keadaan,
melaksanakan suruhan Baginda SAW dan menjauhi larangan Baginda SAW. Dia juga mengamalkan
adab-adab kehidupan Rasulullah SAW dalam segala keadaan, sama ada ketika susah
atau pun senang, ketika gembira atau pun sedih. Ikatan antara ‘kasih’ dan
‘taat’ ini terlihat jelas dalam firman Allah SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad),
“Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah akan
mengasihi kamu.” (ali ‘Imran: 31)
Namun semangat semata-mata tidak
memadai jika tidak berpaksikan atas ilmu yang kukuh. Lebih-lebih lagi pada
zaman fitnah ini, kegagalan seseorang itu mengenal mana satu Sunnah dan bidaah
akan memungkinkan terjebak ke dalam lubuk bidaah yang dianggap sebagai Sunnah.
Akhirnya Sunnah dipinggirkan dan bidaah ditegakkan.
Orang yang tersemat di dalam
hatinya kasih yang sejati terhadap Rasulullah SAW juga, tidak akan mempedulikan
kemarahan manusia lain dalam usahanya mentaati Allah SWT dan Rasul SAW.
2. Sudah menjadi adat dan lumrah
berkasih, seorang kekasih akan sering menyebut dan mengingati kekasihnya.
Justeru, apabila hati seseorang itu telah mengisytiharkan kecintaan terhadap
Rasulullah SAW, maka lidahnya akan sering menyebut nama Kekasihnya SAW dan
kotak fikirannya akan sentiasa mengingati Baginda SAW.
Selaku umat Muhammad SAW, kita
amat bertuah kerana telah diajar berselawat ke atas kekasih kita Nabi Muhammad
SAW sebagai salah satu bentuk ibadah dan taqarrub kepada Allah SWT. Maka kita
beruntung kerana dapat beribadah dengan menyebut, memuji dan berselawat kepada
insan yang paling kita cintai dengan membaca ayat-ayat al-Quran yang memuji
Nabi SAW serta lafaz selawat yang diajar sendiri oleh Baginda SAW.
Kita juga dididik oleh Nabi SAW
dan ulama pewaris Baginda SAW menghormati hari dan bulan kebesaran Islam
seperti Maulid al-Rasul SAW dan Isra’ Mikraj dengan mengisinya dengan pelbagai
amalan yang kesemuanya ada kaitan dengan Nabi SAW dalam kerangka ubudiah kepada
Allah SWT. Walaupun ada segelintir di kalangan orang Islam sendiri mencurigai
bacaan dan amalan-amalan ini.
Menghayati dan memperjuangkan
agama seiring dengan berkasih sayang dengan Nabi SAW dirasakan begitu indah dan
menyegarkan. Sebaliknya tanpa dimensi ini, menghayati agama boleh terasa
gersang dan membebankan serta cenderung membentuk jiwa keagamaan yang keras dan
kasar.
3. Orang yang mengasihi Nabi SAW
akan sentiasa berasa rindu untuk bertemu dengan Baginda SAW; untuk melihat
zatnya di alam yang kekal abadi kelak, atau sekurang-kurangnya jika dapat
menatap kelibat wajahnya yang mulia barang seketika dalam mimpi-mimpi mereka.
Sudah pasti setiap kekasih sangat merindui untuk bersua dan menatap wajah
kekasihnya.
Kerinduan sebeginilah yang dapat
kita rasakan jika kita menyorot kehidupan generasi sahabat. Misalnya, kita
dapat turut berkongsi keriangan dan kegembiraan Abu Musa al Asy’ari r.a dan
rombongan kaumnya dari Yaman yang berkunjung ke Madinah.
Mereka mempercepatkan langkah dan
begitu girang untuk menemui Rasulullah sambil mendendangkan syair kegembiraan:
“Esok kita akan bertemu dengan para kekasih kita, Muhammad dan
sahabat-sahabat Baginda!” Setiba mereka di Madinah dan Masjid Nabi, mereka terus
menghadap dan memuliakan Nabi SAW. (riwayat Al-Baihaqi)
4. Seseorang yang mengasihi
Baginda SAW juga akan membesarkan diri Baginda SAW dan suruhan Baginda SAW
termasuk memuliakan Baginda ketika
menyebut nama Baginda. Malah ada yang sehingga menunjukkan rasa rendah dan hina
diri ketika mendengar nama Baginda SAW disebut di hadapan mereka.
Berkata Ishaq al-Tujibi r.a,
sahabat-sahabat Nabi SAW selepas kewafatan Baginda SAW tidak akan menyebut nama
Baginda SAW melainkan mereka akan merendahkan diri dan menggigil serta menangis
kerana diselubungi perasaan rindu yang dalam akibat berpisah dengan Baginda.
Hal ini sangat berbeza dengan
sesetengah mereka yang mengaku sebagai ahli agama pada zaman kita yang tidak
mahu membesarkan dan menobatkan keistimewaan Nabi Muhammad SAW tetapi hanya
menumpukan kepada risalah baginda dan sunnah yang dibawa oleh baginda.
Seolah-olah Nabi SAW hanyalah berperanan seumpama posmen penghantar surat atau
orang suruhan bawahan!
Sedangkan apabila seseorang
makhluk itu mempunyai sifat-sifat istimewa tersebut, maka sifat-sifat itu hanya
sekadar yang bersesuaian dengan kemanusiaannya yang diciptakan terbatas dan
diperoleh dengan izin, kurniaan dan kehendak-Nya.
Mengasihi Nabi SAW
Ada juga sesetengah mereka yang
menolak penggunaan gelaran Sayyidina bagi Nabi SAW sedangkan Nabi SAW lebih
daripada layak mendapat gelaran tersebut tetapi dalam masa yang sama mereka
bebas menggunakan pelbagai gelaran dalam kehidupan mereka.
5. Orang yang mengasihi Nabi SAW
juga sepatutnya akan mengasihi orang yang dikasihi oleh Nabi SAW terutamanya
nasab keturunan Baginda daripada kalangan ahli-ahli bait dan sahabat-sahabat Baginda yang terdiri daripada kaum
Muhajirin dan Ansar.
Mereka juga akan memusuhi orang
yang memusuhi mereka dan membenci orang yang membenci mereka dan keturunan
mereka.
Hakikatnya, sesiapa yang
mengasihi seseorang, dia akan mengasihi semua perkara yang disukai oleh orang
yang dikasihinya.
Ini ialah sirah para Salaf
al-Salih; mereka akan mengasihi segala yang dikasihi oleh Rasulullah SAW
sehinggakan terhadap perkara-perkara yang sekadar diharuskan dan digemari oleh
nafsu (yang tidak diharamkan oleh syarak).
Anas ibn Malik r.a misalnya,
setelah melihat Rasulullah SAW mencari-cari labu di dalam dulang ketika sedang
menikmati makanan, maka semenjak hari itu dia turut sentiasa suka kepada labu.
6. Orang yang mengasihi Nabi SAW
akan membenci apa yang dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya, menjauhi orang yang
menyalahi Sunnah Baginda, tidak melakukan
perkara bidaah dalam agamanya dan memandang berat setiap perkara yang
bercanggah dengan syariatnya.
Allah SWT menjelaskan : Engkau
tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat,
tergamak berkasih mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan
Rasul-Nya, sekalipun orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau
anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka.
(al-Mujadalah: 22)
“Mereka” yang dimaksudkan di
dalam ayat di atas ialah para sahabat Baginda SAW yang telah membunuh orang
yang mereka kasihi dan juga bapa-bapa mereka yang ingkar dan kafir semata-mata
mengharapkan keredaan Allah. Ibnu Abbas RA menyatakan, di antara sahabat
Baginda SAW yang dimaksudkan di dalam ayat itu ialah Abu Ubaidah al-Jarrah.
Beliau sanggup membunuh bapanya
dalam peperangan Uhud manakala Saidina Abu Bakar r.a sanggup berlawan satu
lawan satu dengan anaknya sebelum memulakan peperangan Badar, tetapi dihalang
oleh Rasulullah SAW. Inilah antara bukti cinta yang tidak berbelah-bagi
terhadap Baginda SAW.
7. Orang yang benar-benar
mencintai Nabi SAW juga pasti akan kasih terhadap al-Quran yang diutuskan
kepada Rasulullah SAW yang dengannya manusia mendapat petunjuk. Mereka akan
mengikut jejak Baginda SAW yang menjiwai al-Quran dan berakhlak dengannya
seperti yang ditegaskan oleh Ummul Mukminin, Aisyah r.ha dalam katanya, “Akhlak
Baginda SAW adalah al- Quran itu sendiri”.
Mengasihi al-Quran bererti
membacanya, beramal dengannya, memahaminya, menjunjung suruhan dan meninggalkan
larangannya.
8. Tanda kasih terhadap Nabi SAW
juga ialah berasa kasih dan belas terhadap umat Baginda SAW dengan memberi nasihat
kepada mereka, berusaha melakukan kebaikan dan menghapuskan kemudaratan
daripada mereka.
Inilah sebahagian daripada bukti
dan tanda yang harus ada pada para pencinta Nabi SAW. Oleh itu marilah kita
bersama-sama memuhasabah diri, adakah kita ini pencinta sejati atau pendakwa
semata-mata?
Tepuk dada, tanyalah iman. Semoga
Allah SWT mengurniakan kita semua kesempurnaan kecintaan kepada Rasulullah SAW!
Oleh : Panel Penyelidikan,
Yayasan Sofa Negeri Sembilan