Oleh : MADIHAH BAHARUDIN
Lewat petang semalam, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan keputusan mengharamkan buku tersebut. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dipetik berkata, keputusan pengharaman dibuat berdasarkan kajian yang dijalankan terhadap isi kandungannya, yang mengandungi unsur-unsur liberalisme dan boleh menimbulkan kecelaruan dalam kalangan umat Islam khususnya. Selain itu, isi kandungan buku tersebut dikatakan cuba mempengaruhi pembaca untuk menggunakan akal secara bebas dalam menafsirkan hal-hal yang berkaitan dengan agama.
Jadi, melihat kepada isu ini, tindakan Jakim mengharamkan
penerbitan dan penjualan buku ini dianggap satu tindakan yang benar.
Ia bertindak untuk menjaga kemaslahatan umat Islam
seluruhnya.
Seperti yang kita ketahui bahawa semua umat Islam mempunyai
tingkat pemahaman, penghayatan dan pengamalan terhadap agama yang berbeza-beza,
jadi, faktor penerimaan terhadap sesuatu yang baru berkenaan agama pasti akan
ada yang menerima dan menolak. Mereka yang berupaya menolak pasti yang kukuh
pengetahuan agamanya, maka, pasti mereka terselamat seandainya buku ini
dibenarkan di negara kita. Namun, sebaliknya apabila mereka yang kurang
pemahaman agama, mereka akan menerima sedikit sebanyak kandungan buku itu.
Maka, jelas di sini, larangan penjualannya adalah satu cara
untuk menyelamatkan kita semua daripada terikut dengan ajaran ini.
Dalam versi bahasa Inggeris, buku ini disebut sebagai
"Allah Liberty and Love - Courage To Reconcile Faith and Freedom"
manakala dalam versi Melayu dinamakan sebagai Allah Kebebasan dan Cinta.
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah
Persekutuan (Jawi), pihak mereka telah merampas sebanyak empat buah buku Irshad
Manji, satu versi bahasa Inggeris dan tiga terjemahan ke dalam bahasa Melayu
yang diterbitkan syarikat tempatan di negara kita. Mereka juga menerima
maklumat bahawa terdapat 500 buku edisi terjemahan yang sudah dicetak.
Perkara yang sering dilakukan kita sebelum membaca mana-mana
buku adalah mengkaji latar belakang penulis sendiri. Jadi, hasil kajian
terhadap penulis buku ini, Irshad Manji, beliau merupakan seorang wanita
kelahiran Uganda pada 1968, dan telah menyatakan secara terbuka bahawa dia
adalah seorang lesbian. Beliau sememangnya seorang penulis buku, dengan
karyanya yang terkenal sebelum ini adalah The Trouble With Islam Today dan
karya terbarunya kini adalah Allah, Liberty and Love.
Dalam karyanya “The Trouble With Islam Today”, tulisannya
itu mengelirukan dan tersasar dari hukum syarak. Irshad Manji berkata, “I am a
reformist not a moderate”. Walau bagaimanapun beliau menggalakkan semua pihak
untuk berani melawan arus dan keluar dari lingkungan Islam yang suci. Hal ini
benar-benar satu penyataan yang amat membahayakan. Beliau juga pernah
mencadangkan bahawa tidak salah untuk wanita Islam berkahwin dengan bukan
Islam, mengamalkan lesbian dan homoseksual. Beliau seolah-olah ingin
mempertahankan isu kebebasan seks dan moral dan mengharapkan ia untuk menjadi
norma dalam masyarakat Melayu.
Karyanya telah diharamkan pada 30 Julai 2009 di bawah Akta
Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 berikutan kandungannya dalam mempropagandakan
akidah, hukum dan ajaran yang bercanggah dengan fahaman mazhab Ahli Sunnah wal
Jamaah.
Buku tersebut juga pernah menimbulkan kegelisahan dan
kemarahan umat Islam di seluruh dunia kerana ia mempunyai idealisme yang sama
seperti penulis novel The Satanic Verses, Salman Rushdie. Berdasarkan kajian
yang dikeluarkan oleh Jakim, beliau merupakan seorang yang berfahaman
liberalisme, pluralisme dan feminism di samping menjadi salah seorang pendukung
lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) di peringkat antarabangsa.
Berdasarkan pengamatan seorang Muslim, ideologi tersebut
bertentangan dengan kedudukan Malaysia sebagai salah sebuah negara Islam yang
didasarkan kepada Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan (Islam sebagai Agama
Persekutuan), akta dan Enakmen Agama Islam negeri-negeri, undang-undang sivil
dan norma masyarakat.
Manakala bagi karyanya yang terbaru Allah Liberty dan Love,
ia juga mengandungi perkara-perkara yang menghina Islam serta perjuangannya
mempertahankan cara hidup sebagai seorang lesbian. Selain itu, padanya juga terdapat unsur-unsur yang boleh memesongkan pemahaman umat Islam terhadap
nilai-nilai peradaban semasa serta mencabar aliran pemikiran dalam Islam tanpa
merujuk kepada sumber-sumber yang sahih. Lantaran itu, penerbitan buku ini
dikhuatiri boleh mengelirukan pandangan masyarakat tentang kaitan antara agama
dan budaya dalam kalangan umat Islam.
Jadi, amat logik tindakan Jakim mengharamkan penerbitan buku
tersebut. Semua orang Islam perlulah berwaspada dan berhati-hati dengan
pelbagai ideologi yang diguna pakai oleh individu mahupun kumpulan tertentu
untuk mempengaruhi mereka.
*Penulis ialah Pelajar Jurusan Bahasa Arab dan Komunikasi, Universiti
Sains Islam Malaysia
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/