Isnin, 7 September 2009

Bersedia tangani gejala mercun, kemalangan musim raya

RAMADAN sudah pun memasuki minggu ketiga, satu tempoh di mana bakal menyaksikan kehangatan promosi raya, selain peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya kerana kesibukan

Dalam masa yang sama, dentuman mercun, percikan bunga api di taman-taman perumahan, kawasan kejiranan dan kampung halaman makin jelas kelihatan.

Biar dilarang, biar begitu banyak undang-undang dikuatkuasakan, namun selagi ada permintaan selagi itulah bunga api, mercun menjadi bahan jualan yang paling menguntungkan.

Maka di saat umat Islam bakal menyambut Aidilfitri yang seharusnya dirayakan dengan penuh kegembiraan, keinsafan, dan kemuliaan, akan adalah segmen komuniti yang meratap hiba, menemani anak di hospital kerana melecur di muka, putus jari tangan.

Selain itu akan padatlah berita, di akhbar utama, mahupun siaran berita tv, cerita kemalangan yang bersilih ganti. Begitu murahnya nyawa rakyat, sedang warga negara lain mati akibat perang, jihad dan sebagainya, kita disajikan dengan pengorbanan dan terkorbannya jiwa di jalan raya.

Rutin ini berlaku setiap tahun, baik di musim perayaan apa sekalipun, statistik meningkat. Pelbagai langkah diambil, jutaan ringgit dihabiskan untuk kempen, operasi, penguatkuasaan bagi membendung dua gejala ini -- mercun dan kemalangan jalan raya.

Malangnya ia tidak pernah dapat dituntaskan, puncanya kerana sikap manusia dan pelakunya yang tidak mahu berubah. Binalah sistem perhubungan jalan raya yang selesa, dan canggih sekalipun, namun tabiat buruk pemandu Malaysia sukar dikikis, lantas bila berlaku natijah akibat kemalangan jalan raya jawapan mudah diucapkan “itu semua sudah suratan takdir”.

Walhal qada dan qadar Allah SWT boleh diubah dengan doa dan usaha, demikianlah kata Saidina Abu Bakar Al-Sidiq, r.a.

Perilaku buruk pemandu dan sebahagian komuniti yang masih mahu memanjakan anak-anak dengan membeli bunga api dan mercun bagi mainan anak-anak bukanlah satu langkah yang murni. Walhal budaya kemeriahan Aidilfitri tidak akan hilang serinya di kalangan anak-anak jika tanpa pun bunga api dan mercun.

Apa yang penting kepekaan ibu bapa, mengisi sambutan Aidilfitri di kalangan anak-anak melalui mekanisme lain yang lebih kreatif, hasil gabungan elemen tradisi dan unsur Islamisasi. Apa tidak bolehkah kita ajarkan anak-anak bertakbir, bertasbih, bertahmid secara beramai-ramai dan menyeru mereka agar dilaungkan kalimat murni itu menjelang dua atau tiga hari sebelum Hari Raya. Ini lebih harmoni, lebih menepati konsep Aidilfitri itu sendiri.

Demikian juga, usaha bertadarus al-Quran bersama anak-anak atau bergabung dengan anak-anak jiran yang lain. Bergotong-royong bersama anak-anak juga boleh dilakukan bagi mencari buluh dibuat lemang, ataupun memasang pelita di halaman rumah, mendidik anak-anak dan membawa mereka menginsafi penderitaan anak yatim dan fakir miskin.

Dengan kebersamaan aktiviti sebeginilah, barangkali mungkin keinginan untuk mencari kemeriahan Aidilfitri melalui medium mercun dan bunga api di kalangan anak-anak dapat dikurangkan. Sekali gus mampu mengurangkan bilangan anak-anak yang terpaksa dimasukkan ke dalam wad di hospital, akibat melecur muka, badan dan putus jari tangannya.

Begitu juga halnya dalam menangani isu kemalangan jalan raya yang sudah tentu meningkat menjelang seminggu sebelum dan selepas hari raya. Waktu puncak di mana keghairahan pulang beraya ke kampung halaman, dan beraya ke rumah sanak saudara menjadi satu kemestian.

Jika demikian sifatnya, apakah sebagai contoh tidak boleh diatur satu jadual perjalanan berkonvoi secara khusus melibatkan pengangkutan awam mahupun pengangkutan persendirian dari destinasi utama Kuala Lumpur ke negeri-negeri tertentu.

Kerjasama PDRM, JPJ, PLUS, syarikat pengangkutan bas ekspres dan pengguna boleh dijalinkan dalam konteks ini. Misalnya hasil analisis dikatakan pada 17 September yakni tiga hari menjelang hari raya, akan ada lebih 500 buah bas ekspres bergerak menuju ke utara dan selatan tanah air dan lebih 200,000 buah kenderaan akan bergerak keluar dari ibu kota.

Adakah tidak boleh masa perjalanan pulang kesemua kenderaan ini sebagai contohnya disatukan, dan pergerakan mereka diiringi oleh polis peronda, JPJ di hadapan dan di belakang, sehingga sampai ke destinasi stesen bas negeri yang dituju.

Kawalan sebegini bukan sahaja akan melancarkan perjalanan, malah mampu memberi jaminan keselamatan, kerana dua faktor:

Pertama, pemandu bas ekspres atau kenderaan persendirian sudah tentu tidak akan berani memandu laju. Kedua, aliran trafik melalui penggunaan lorong sebelah kiri lebuh raya akan diidentifikasikan dengan konvoi pulang beraya, biarlah sampai terlewat satu atau dua jam kerana momentum pergerakan tentulah tidak boleh dipacu mengikut kata hati lagi sebaliknya perlu ikut peraturan.

Apa yang penting statistik kemalangan dikurangkan, banyak nyawa dapat diselamatkan, dan akan lebih ramai kaum keluarga akan menunggu dengan tawa riang, kerana anak-anak, cucu, dan sanak saudara dapat sampai dengan selamat ke pangkuan keluarga di destinasi yang dituju.

Apa pun langkah diambil, diharap Ramadan dan Aidilfitri tahun ini tidak lagi disajikan dengan berita ngeri kesan tragedi jalan raya dan insiden pembakaran mercun dan bunga api yang bukan sahaja membazir dan tidak membawa sebarang faedah, malah lebih banyak mudaratnya.


Alor Setar, Kedah

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Budaya balik kampung mengajar generasi muda kenali asal-usul

Oleh Dr Ruzman Md Noor

AMALAN balik kampung sempena Hari Raya sudah sebati dengan masyarakat kita di Malaysia. Bandar raya besar seperti Kuala Lumpur akan sekali lagi sunyi sepi, bagaikan diletak di bawah perintah darurat.

Bagi yang 'terpaksa' berhari raya di Kuala Lumpur akan cuba melakukan kegiatan yang paling hampir dengan suasana di kampung dengan memasang lampu dan menjadikan persekitaran seakan-akan kampung halaman.

Dalam satu iklan di televisyen sebelum ini, seorang ayah membawa anaknya pulang ke rumah pusaka keluarga walaupun ibu dan ayahnya sudah tiada dan bila ditanya oleh anaknya kenapa pulang ke rumah itu sedangkan datuk/neneknya sudah tiada, lantas si ayah berkata dengan sedih bahawa ketika mana ibu/ayahnya (datuk/nenek budak itu) masih hidup, dia tidak pun pulang menziarahi mereka.

Begitu sekali rapatnya hubungan orang kita dengan kampung halaman. Orang yang tidak suka balik kampung biasanya mempunyai masalah tertentu seperti berlaku perselisihan faham dengan keluarga di kampung, masalah harta pusaka yang tak selesai, balik rumah mentua dan lain-lain keadaan yang masih tidak menghilangkan kerinduannya kepada kampung halaman.

Menyambut hari raya jika tidak di kampung halaman, macam tak sempurna, bahkan dikatakan seperti tidak berhari raya. Sebahagian besar antara kita juga membesar dengan lagu Allahyarham Sudirman, 'Balik Kampung' yang jika lagu ini didengar di luar musim raya, boleh menitiskan air mata, apatah lagi bagi rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

Amalan ini sangat kuat berakar umbi dalam diri kita. Kamus Dewan (DBP 1991) menjelaskan makna 'kampung' sebagai kawasan kediaman (terdiri dari sekumpulan rumah dan lain-lain) di luar bandar, desa dan dusun; juga bermaksud kawasan dalam bandar tempat sesuatu kaum tinggal berkelompok seperti kampung Cina dan lain-lain.

Sementara itu 'kampung halaman' pula bermaksud kampung tempat lahir. Perkataan yang sama disebut dalam bahasa Arab sebagai 'al-qaryah' yang ditafsir oleh Kamus Besar Arab-Melayu (DBP 2006) sebagai sebagai kampung dan kediaman. Tujuan saya menyebut istilah ini adalah untuk mengaitkan dengan konsep balik kampung yang menjadi fenomena di negara ini.

Dari sudut falsafahnya apakah jenis kampung yang menjadi tempat yang sangat dirindui dan menjadi tumpuan pada musim cuti dan perayaan khususnya Hari Raya. Beberapa ciri yang menjadikan sesuatu tempat itu sangat gemar dikunjungi.

Antaranya tempat asal seseorang; tempat seseorang itu dilahirkan; tempat seseorang itu dibesarkan sejak dari kecil atau selepas dilahirkan; tempat yang dihuni oleh ibu/ayah/datuk/ nenek atau saudara mara yang rapat dan tempat yang pernah menyimpan nostalgia kehidupan masa kecil atau keluarga terdekat.

Kampung yang saya maksudkan dalam artikel ini mungkin memiliki salah satu atau gabungan beberapa ciri-ciri ini. Sesuatu tempat itu masih diiktiraf sebagai kampung halaman seseorang walaupun sudah tidak dihuni oleh sesiapa jika mempunyai ciri di atas.

Oleh itu kita tanyalah diri sendiri, di manakah kampung halaman kita atau adakah kita masih punya kampung halaman? Balik kampung sebenarnya ada asas dalam Islam. Ia bukan sekadar satu adat atau budaya orang kita.

Kalau digabungkan ciri-ciri di atas, pada prinsipnya kampung halaman adalah tempat asal seseorang atau tempat yang dihuni oleh orang tua kita. Ini bermakna balik kampung adalah suatu amalan untuk kembali kepada asal usul kita sebagai manusia.

Dalam bahasa Arab istilah yang diguna pakai ialah 'usul' iaitu orang yang di atas kita yang terdiri daripada ibu/ayah, datuk/nenek, moyang, piut sehingga ke atas. Balik kampung sebenarnya adalah balik semula kepada asal usul kita meskipun mungkin orang tua sudah tak ada lagi.

Dengan sebab itu juga Rasulullah membenarkan ziarah kubur sebagai tanda ingatan kita kepada orang tua dan untuk ingat kepada kematian. Rasulullah juga bersabda yang bermaksud bahawa doa anak yang soleh/solehah sampai pahalanya kepada si mati sebagai tanda ingatan seseorang kepada ibu/ayahnya.

Dalam Islam kita diajar supaya kembali kepada al-quran dan Al-Sunnah sebagai usul yang jika dipegang tidak akan sesat selama-lamanya. Allah Taala juga dalam banyak ayat-Nya meminta kita merenung kembali kepada asal penciptaan kita iaitu dari nabi Adam dan dari air mani.

Seseorang yang jika masih mempunyai 'usul' (ayah/ibu dan ke atas) tetapi tidak rindu kepada mereka atau tidak gemar pulang menziarahi mereka sebenarnya mempunyai sikap angkuh dan tidak bersedia untuk ingat kepada asal-usul kejadiannya.

Bagi yang sudah tidak ada kampung atau tidak ada orang tua lagi, maka perasaan sentiasa ingat kepada mereka dan mendoakan mereka adalah juga manifestasi kepada amalan 'balik kampung' yang banyak faedahnya.

Ibu/bapa wajar melatih anak-anak supaya ingat kepada orang tua dan kampung halaman. Tunjukkan kepada mereka tempat kita dilahirkan, tempat kita bermain pada waktu kecil dan lain-lain supaya nanti anak-anak kita akan ingat kepada 'usul' mereka iaitu diri kita sendiri.

Prof Madya Dr Ruzman Md Noor adalah tenaga pengajar Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Sumber : http: //www.bharian.com.my/