Isnin, 3 Januari 2011

ISU BAHASA : Kita tak patut malu naikkan nilai komersial bahasa Melayu

Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu : Salah satu usaha Kementerian Pengajian Tinggi mengantarabangsakan bahasa Melayu

Oleh : Kamal Shukri Abdullah Sani

MASIH ada pihak khususnya mereka yang terbabit dalam dunia perniagaan percaya dongeng bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara tidak mempunyai nilai ekonomi. Justeru, ia tidak digunakan bagi tujuan komersial seperti dalam iklan, urusan perniagaan atau perdagangan, sama ada pada peringkat dalaman mahupun antarabangsa. Benarkah kenyataan ini?


Sejarah membuktikan bahawa di alam Melayu atau kepulauan Melayu di Nusantara ini, bahasa Melayu digunakan sejak berabad-abad lamanya oleh ramai pedagang yang berurusan di sini, sama ada dari Eropah, China, India, Portugis dan Belanda dalam perdagangan rempah-ratus, pakaian, herba, ubat-ubatan, makanan dan sebagainya.Mengimbau sejarah Melaka sebagai empayar perdagangan suatu ketika dulu bukanlah untuk tujuan nostalgia, tetapi mengambil pengajaran mengapa Melaka maju sebagai pusat perdagangan dan bahasa Melayu berkembang dengan penggunaannya sebagai bahasa perdagangan di samping bahasa perhubungan diplomatik.Bagaimana bahasa mendapat nilai yang tinggi? Tidak lain dan tidak bukan apabila penuturnya sendiri menggunakannya pada waktu dan tempat tertentu. Penuturnyalah yang menentukan sama ada bahasa itu mahu digunakan di pasar, di kaki lima atau digunakan sehingga di gedung ternama, hotel, mesyuarat, persidangan peringkat kebangsaan atau antarabangsa.


Mengambil contoh mudah, suatu ketika dulu, ulam-ulaman seperti ulam raja dan pegaga hanya tumbuh di bawah tangga rumah di kampung. Tidak ramai yang mencari petai, jering, pucuk paku, air kelapa muda, mengkudu, durian belanda, kacip fatimah, tongkat ali, daun serapat atau daun sirih.


Kini semua ulaman itu menjadi hidangan hingga ke hotel terkemuka. Kajian membuktikan khasiat tertentu seperti mengkudu dan sirih menyebabkan ramai yang bersedia membeli jus mengkudu sekalipun harganya mencecah puluhan ringgit di samping minuman herba tempatan yang sudah dikomersial dan menjadi industri menguntungkan.


Tetapi kini keadaan sudah berbeza. Jika kita sendiri yang menetapkan bahawa bahasa Melayu hanya boleh digunakan ketika makan di kafeteria atau di pondok pengawal dan tidak boleh digunakan dalam mesyuarat syarikat, brosur, iklan atau bungkusan produk, maka kitalah yang sebenarnya merendahkan nilai ekonomi bahasa itu.

Bahasa itu lengkap dengan laras dan istilahnya untuk digunakan. Kitalah sebenarnya yang bersalah kerana ‘memandulkan’ keupayaannya dengan menetapkan secara paksa akan had penggunaan bahasa itu sedangkan keupayaan bahasa itu jauh menjangkau lebih daripada itu, malah sehingga ke peringkat antarabangsa sebagai bahasa ilmu.


Kitalah yang perlu menetapkan nilai ekonomi yang tinggi terhadap bahasa kebangsaan dengan menunjukkan keutamaan penggunaan jenama produk, iklan, pembungkusan dan pengumuman.


Dalam satu pertemuan berkaitan pelaksanaan bahasa kebangsaan baru-baru ini, penulis dimaklumkan bahawa sebuah bank perdagangan asing di Malaysia turut menggunakan bahasa Melayu dalam urusannya.


Tentulah ini sesuatu yang amat membanggakan berbanding cerita yang ironi mengenai sebuah bank tempatan yang dikatakan enggan memberi nilai ekonomi terhadap bahasa kebangsaan sendiri.


Mungkin kita tidak perlu risau dan dapat menerima jika cuma beberapa kerat saja yang berjenama asing, tetapi malangnya ketara sekali yang berjenama asing itu terlalu berleluasa sehingga menenggelamkan jati diri kebangsaan.


Selain jenama produk yang sememangnya milik rangkaian antarabangsa, sepatutnya yang lain perlu memaparkan citra dan jati diri kebangsaan negara ini dan kita tidak perlu berkompromi lagi selepas usia kemerdekaan negara mencapai 53 tahun.

Jika dibiarkan, kita percaya status sedia ada akan berterusan buat selama-lamanya. Justeru, usaha secara lembut dan diplomasi perlu digantikan dengan penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Bagi sektor awam mungkin tidak banyak masalah kerana mereka terikat peraturan, tetapi tetap ada ruang yang perlu ditambah baik.


DBP juga perlu memastikan penguatkuasaan semula peraturan mengembalikan surat urusan rasmi pejabat yang tidak ditulis dalam bahasa Melayu, seperti yang pernah dilakukan ketika Allahyarham Tun Syed Nasir Ismail menerajui DBP suatu ketika dulu sebagai pengajaran agar bahasa kebangsaan tetap diutamakan dan dihormati.


Penulis adalah Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Kesedaran semua pihak kunci utama pulihara alam sekitar

PENGGUNAAN pelbagai bahan yang sukar dilupuskan dalam kehidupan harian kita menyebabkan timbul masalah pencemaran dan pemuliharaan alam sekitar. Antara bahan itu, terutama plastik yang mengikut kajian mengambil masa bertahun-tahun, malah ratusan tahun untuk dilupuskan. Kaedah pelupusan bahan itu yang tidak sistematik menyebabkan alam sekitar semakin teruk tercemar.

Malah, keadaan menjadi lebih serius jika bahan itu bersama kandungan sampah sarap lain meresap ke dalam bumi dan boleh menyebabkan sumber air tercemar.
Penggunaan beg plastik secara berlebihan dan tidak terkawal turut menjadi punca utama sisa pepejal isi rumah di negara ini tidak dapat diuruskan dengan baik. Walaupun, pelbagai program dilaksanakan kerajaan, termasuk kitar semula namun ia kurang mendapat sambutan.
Justeru, antara langkah yang diambil berkuat kuasa kelmarin, iaitu memastikan semua pelanggan pasar raya, pasar raya besar dan premis terpilih seluruh negara tidak lagi dibekalkan beg plastik percuma jika membeli-belah pada setiap Sabtu. Jika masih memerlukan beg plastik, pelanggan akan dikenakan caj 20 sen bagi setiap beg digunakan. Langkah itu diambil selaras dengan kempen Kurangkan Penggunaan Beg Plastik dan Hari Tanpa Beg Plastik oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Wang yang dikumpul menerusi caj dikenakan itu akan disimpan dalam dana khas bagi melaksanakan pelbagai program berkaitan kepenggunaan serta kemasyarakatan, terutama yang memberi fokus ke arah pemuliharaan alam sekitar. Justeru, kita amat berharap langkah itu mampu mengurangkan penggunaan beg plastik, sekali gus dapat memastikan alam kita terus terpelihara.

Apapun kita berpendapat langkah itu wajar diperluas iaitu menjadikan setiap hari sebagai hari tanpa beg plastik kerana impaknya juga menjadi lebih besar. Jika lebih ramai pengguna tidak menggunakan beg plastik atau mengharamkan terus penggunaannya ia pasti dapat mengatasi masalah pencemaran yang berlaku ketika ini.

Namun, pada masa yang sama, kita percaya penggunaan beg plastik semata-mata bukanlah masalah utama, tetapi cara pelupusan bahan berkenaan memberi impak kepada alam sekitar dan kepentingan manusia. Beg plastik akan menjadi ancaman jika tiada perancangan teliti mengenai pembuangan bahan berkenaan.

Kita percaya langkah itu hanya sebahagian kecil atau satu permulaan daripada usaha untuk mengatasi masalah pelupusan sisa pepejal yang dihadapi negara ini sekarang. Kita khuatir caj 20 sen dikenakan mungkin tidak membawa sebarang makna kerana barangkali masih ramai pengguna yang sanggup membayarnya dan ia sama sekali tidak akan menyelesaikan masalah itu.

Orang ramai juga wajar digalakkan membawa beg sendiri atau diberikan alternatif oleh pihak pasar raya dengan disediakan beg kertas lebih mesra alam. Justeru, aspek lebih penting yang perlu ditekankan adalah meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pemuliharaan alam sekitar. Pelbagai langkah atau dasar yang dilaksanakan tidak akan berguna jika kesedaran orang ramai masih rendah.

Kita tentunya tidak mahu melihat beg plastik dan sampah lain dibuang di merata-rata tempat, mahupun ke dalam sungai sehingga menyebabkan sumber bekalan air terjejas. Kita mahu melihat semua pihak memainkan peranan masing-masing ke arah menjaga alam sekitar sama ada kerajaan, orang ramai khususnya pengguna dan peniaga. Kita mahu alam sekitar dalam keadaan terbaik untuk diwariskan pada generasi akan datang.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/