Oleh : TAN SRI ALIMUDDIN MOHD
DOM
DUA minggu sebelum pengumuman senarai
Jemaah Menteri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ada rakan-rakan
bertanya kepada saya mungkinkah kali ini Kementerian Pelajaran dan Kementerian
Pengajian Tinggi akan disatukan semula seperti dulu.
Jawapan saya ia tidak mustahil
kerana ada negara lain yang menggabungkan semula kedua-dua kementerian selepas
berpisah beberapa tahun contohnya Thailand.
Selepas Pilihan Raya Umum 2004
Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi mewujudkan kementerian
baharu iaitu Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran.
Rasionalnya kementerian itu
terlalu besar dari segi bilangan pelajar, guru dan pensyarah bermula dari
prasekolah hingga ke peringkat universiti.
Di samping itu, peruntukan besar
dalam bajet untuk bidang pendidikan dijangka lebih berkesan jika dibelanjakan
secara berfokus iaitu satu di peringkat persekolahan dan satu lagi untuk
pengajian tinggi.
Namun demikian hampir 10 tahun
berlalu, kini kedua-dua kementerian disatukan semula. Tan Sri Muhyiddin Yassin
diberi tanggungjawab untuk menerajuinya di samping Datuk Seri Idris Jusoh
sebagai Menteri 2. Sementara itu, Datuk Mary Yap Kain Ching dan P. Kamalanathan
dilantik sebagai Timbalan Menteri.
Kita berkeyakinan penuh bahawa
melalui pengalaman yang lama Muhyiddin dalam Kabinet dan sepenggal sebagai
Menteri Pelajaran akan memberi kelebihan kepada beliau untuk menerajui
kementerian besar itu ke arah yang lebih cemerlang.
Sementara itu, Idris ketika
menjadi Menteri Besar turut membantu Terengganu sebagai salah sebuah negeri terbaik
dalam peperiksaan awam UPSR, PMR, SPM, STAM dan STPM.
Demikian juga sebagai Pengerusi
Mara, beliau berjaya memperkasakan Maktab Rendah Sains Mara melalui
penambahbaikkan program pembelajaran dan kurikulum pengajian.
Bagi warga pendidik pula nama Datuk
Mary Yap Kain Ching tidak asing lagi. Sekolah Menengah Teknik Tawau, Sabah
telah memenangi banyak anugerah kurikulum dan kokurikulum di peringkat negeri
dan kebangsaan ketika beliau menjadi Pengetua Cemerlang.
Selepas bersara pada tahun 2007,
beliau dilantik sebagai konsultan Institut Aminuddin Baki untuk melatih
pengetua sekolah kluster dan sekolah berprestasi rendah. Sebagai menghargai
sumbangannya dalam perkhidmatan beliau dianugerahi Tokoh Guru sempena Hari Guru
2012.
Kelangsungan dan penerusan dasar
pendidikan negara merupakan isu besar yang dihadapi apabila berlakunya
perpisahan dua kementerian itu.
Pelaksanaan Dasar Razak 1956
dalam pendidikan merupakan strategi utama untuk membina negara bangsa selepas
negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
Matlamat utamanya adalah untuk
menyatupadukan kanak-kanak pelbagai kaum melalui pendidikan. Dasar Rahman Talib
1961 pula bertujuan untuk memperkukuhkan lagi Dasar Razak terutama dari aspek
perpaduan kalangan murid-murid. Ini diikuti Dasar Kabinet 1971 di mana bahasa
pengantar dan sistem peperiksaan telah diseragamkan. Matlamat utamanya ialah
untuk membolehkan murid-murid dapat bercampur gaul dan belajar di bawah satu
bumbung sekolah yang sama.
Hakikatnya pelaksanaan dasar
pendidikan negara itu seharusnya dilalui oleh kanak-kanak sejak memasuki
prasekolah dan berterusan hingga mereka menamatkan alam pendidikan di pusat
pengajian tinggi.
Pada dasarnya seorang remaja itu
akan mantap jati dirinya, sahsiah dan keterampilan selepas melalui pendidikan
rendah dan menengah selama 11 tahun dan diikuti pengajian tinggi selama 5
tahun.
Bagaimanapun kelangsungan dasar pendidikan
yang sama tidak dapat diteruskan kerana apabila pelajar memasuki pusat
pengajian tinggi dasar dan hala tujunya sudah berlainan.
Dasar dan hala tuju Kementerian
Pengajian Tinggi adalah seperti tertera dalam Pelan Strategi Pengajian Tinggi
Negara (PSPTN) 2007-2012. Penekanan yang diberikan ialah untuk menjadikan
Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sebagai pusat kecemerlangan yang bertaraf
dunia.
Sementara itu IPT perlu
melahirkan pelajar yang berdaya saing dan dapat memenuhi keperluan pasaran
pekerjaan. Sekarang disediakan peringkat akhir kesinambungan dasar dan hala
tuju selanjutnya, bermula 2013 hingga melepasi tahun 2020.
Sesungguhnya penggabungan
kedua-dua kementerian ini akan memberi ruang dan peluang kepada pembuat dasar
untuk menyelaras dan menyeragamkan semula kelangsungan strategi dan hala tuju
pendidikan negara.
Kesempatan ini perlu diambil
kerana telah ada Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2025 Kementerian
Pelajaran yang menyediakan landskap pendidikan melalui 11 Anjakan yang meliputi
penyediaan akses, penguasaan kemahiran berbahasa, penghayatan nilai dan
sebagainya.
Baru-baru ini pula Perdana
Menteri mengesyorkan untuk merangka national reconciliation atau perpaduan dan
penyatuan nasional hasil keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13.
Oleh itu sekolah dan IPT tidak
terkecuali dan mempunyai peranan besar untuk membantu mewujudkan perpaduan
dalam kalangan kanak-kanak dan siswa daripada pelbagai kaum dan latar belakang.
Dalam merangka dasar dan hala
tuju IPT maka isu perpaduan perlu diberi perhatian utama. Antara strategi yang
boleh dilaksanakan ialah menjadikan bidang kokurikulum dan sukan sebagai
aktiviti penting dalam kalangan siswa.
Aktiviti ini memberi peluang
kepada mereka untuk bercampur gaul di gelanggang atau padang permainan yang
sedia ada di semua kampus.
Selain itu aktiviti kesukarelawan
atau volunteerism hendaklah digalakkan. Ketika ini telah wujud badan
tertentu di IPT menjalankan aktiviti kesukarelawan termasuk melalui IM4U dan
Yayasan Sukarelawan Siswa.
Mewajibkan siswa IPT mengikuti
subjek tertentu seperti Sejarah Malaysia, Pengajian Am atau Sivik akan dapat
mengukuhkan lagi jati diri kalangan mereka. Mata pelajaran ini akan membolehkan
mereka mengenali lebih dekat sejarah tanah air, memahami budaya kaum lain dan
menanamkan semangat kekitaan, kerjasama dan saling hormat menghormati.
Seperti yang dinyatakan oleh
Perdana Menteri semasa mengumumkan senarai kabinet "... Kabinet baharu
mampu meneruskan dan menjayakan agenda transformasi nasional selain
meningkatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat." Begitulah harapan kita
semua.
Penulis ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad dan
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UNISZA.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/