Rabu, 24 Julai 2013

ISU KENEGARAAN : Menghormati sensitiviti kaum di Malaysia


Oleh :  DR. MOHD MAHZAN AWANG

MALAYSIA adalah sebuah negara yang sering dikaitkan dengan kebijaksanaan dalam pengurusan keharmonian antara kaum. Ini kerana lebih 50 tahun merdeka, tidak ada pergolakan kaum yang benar-benar serius.

Beberapa siri insiden yang melibatkan perkauman dapat diselesaikan dengan jayanya. Kebanyakan insiden perkauman di Malaysia berpunca daripada sensitiviti perkauman dan keagamaan. Ia adalah api kecil yang boleh marak dengan pantas sekiranya tidak dipadam dengan cara yang berhikmah.

Tambahan pula dengan keunikan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada tiga kaum majoriti dengan tiga agama utama. Unsur-unsur kebudayaan Melayu jelas dalam amalan Islam di Malaysia serta banyak pengaruh Islam terhadap kebudayaan Melayu. Begitu juga dengan amalan agama Buddha dan Hindu yang turut diwarnai oleh pengaruh kebudayaan Cina dan Hindu.

Penyerapan unsur budaya warisan dalam tradisi sesuatu kaum dalam amalan keagamaan menjadikan banyak fenomena hidup berlainan kaum memiliki elemen-elemen sensitiviti. Haiwan-haiwan seperti lembu, khinzir dan anjing adalah antara makhluk yang berpotensi menjadi isu sensitif jikalau ia dibincangkan dalam konteks yang tidak berhikmah. Keadaan sebeginilah yang menjadikan situasi budaya di Malaysia amat berbeza dengan negara-negara luar. Faktor-faktor sosio budaya ini jugalah mempengaruhi pemilihan lokasi kediaman, bentuk pendidikan, hala tuju kerjaya dan pelbagai lagi.

Banyak kajian empirikal berkaitan hubungan etnik di Malaysia mendapati bahawa masyarakat pelbagai kaum di Malaysia lebih selesa untuk berada dalam kelompok etnik masing-masing ekoran daripada persamaan sosio-budaya yang memudahkan urusan penjagaan sensitiviti kaum. Malah, ramai yang berasa lebih selesa memilih lokasi kediaman yang sama kerana persamaan bahasa, budaya, cara fikir serta agama.

Hari ini, kita dapat lihat banyak kawasan yang diberi jolokan seperti kawasan Melayu, Cina dan India namun itu bukan bererti tiada kaum lain dalam kawasan kediaman tersebut. Biarpun banyak usaha dilakukan kerajaan untuk mempertemukan masyarakat pelbagai etnik dalam satu agenda perpaduan seperti menerusi konsep Sekolah Wawasan, kuota perumahan bumiputera-bukan bumiputera, penyaluran geran penyelidikan kesepaduan sosial secara jangka panjang, Program Kesepaduan Sosial Negara (PADU), Rancangan Integrasi Murid untuk Perpaduan dan bermacam-macam lagi, masyarakat pelbagai etnik masih cenderung untuk berada dalam kelompok etnik masing-masing.

Lebih 50 tahun merdeka, masyarakat pelbagai kaum masih memilih untuk berada dalam kelompok majoriti kaum masing-masing tetapi mengekalkan keharmonian dan perpaduan. Mungkin inilah cara masyarakat Malaysia untuk mengekalkan keharmonian. Setiap etnik dilihat yang lebih cenderung untuk bersama-sama kelompok etnik masing-masing dan pada masa yang sama menjaga sensitiviti kaum lain.

Maka, isu-isu sensitif dibicarakan dalam kelompok etnik masing-masing secara bersemuka, berhikmah, dalam skop dan konteks yang terkawal iaitu demi menjaga hati sahabat berlainan kaum.

Saya pasti isu-isu sensitiviti kaum sering dibincangkan tetapi dalam skop yang benar-benar terkawal kerana perbincangan umum isu sensitif boleh melukakan hati sahabat berlainan kaum. Namun, tanpa disedari kecanggihan teknologi telah membuka wadah baru dalam perbicaraan isu-isu sensitif.

Banyak isu sensitif telah menjadi bahan perbualan, perdebatan dan sindiran di laman-laman maya untuk aktiviti interaksi sosial. Media sosial seperti Facebook dan Twitter telah mengumpulkan rakan-rakan dalam satu forum terbuka. Jaringan sosial dalam media sedemikian tidak lagi terhad kepada sesuatu kaum di Malaysia malah telah menjadi wadah global yang teramat terbuka. Natijahnya, segala isu dibincangkan tanpa batasan dan berpotensi menjadi punca kepada ketidakharmonian antara kaum dan agama.

Hari ini, banyak perkara yang dahulunya taboo telah menjadi perkara biasa dalam perbincangan di media sosial. Perlu disedari bahawa media sosial adalah satu akses terbuka yang boleh tersebar dengan cepat. Sejarah membuktikan bahawa kegagalan mengurus sensitiviti kaum dan agama adalah penyumbang utama kepada ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat, malah berupaya mengundang risiko.

Justeru, dalam keadaan tahap pendidikan kebanyakan masyarakat di Malaysia makin tinggi, kesedaran tentang peri pentingya keharmonian untuk kelestarian keamanan negara amatlah penting. Saya pasti, dalam segenap proses pendidikan semenjak di bangku sekolah sehingga universiti, para pendidik amat menitikberatkan perbincangan isu sensitif secara berhikmah dan terkawal. Jangan kerana emosi, keharmonian tergadai.


PENULIS ialah Pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PATI : Lakukan Pembersihan PATI secara menyeluruh


Oleh :  Fauziah Arof

BUKAN susah pun untuk mencari tempat berkumpulnya warga asing di negara ini terutamanya di sekitar ibu kota Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Semua orang pun tahu, mereka sudah lama bertapak di kawasan-kawasan tertentu. Ada tempat berniaga sendiri, berjualan di pasar-pasar borong, kedai runcit termasuk berniaga di bazar-bazar Ramadan.

Mereka pun sudah ada kawasan perkampungan sendiri. Ada beberapa buah flat yang hampir keseluruhan dipenuhi oleh warga asing. Kawasan Chow Kit, Ampang, Selayang, Sunway dan Klang adalah antara lokasinya.

Entah bagaimanalah rasanya rakyat tempatan yang terpaksa berjiran dengan warga asing. Kiri kanan, depan, belakang rumah penuh disewa oleh warga asing. Bagaimanakah agaknya anak-anak mereka membesar dalam suasana yang begitu?

Dengan kejadian pecah rumah, ragut dan samun yang meningkat di kawasan-kawasan perumahan yang didiami oleh warga asing ini, kita pun terfikir, selamat dan selesakah rakyat kita yang tinggal di kawasan-kawasan sebegini?

Maka apabila Kementerian Dalam Negeri mengumumkan akan mengadakan operasi bersepadu memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas Hari Raya Aidilfitri ini, kawasan-kawasan inilah yang patut diserbu dulu.

Memang ramai warga asing yang berniaga dan tinggal di situ, cuba periksa sama ada mereka mempunyai pasport dan dokumen perjalanan yang sah dan periksa sama permit berniaga mereka.

Selepas itu, barulah cari di pusat-pusat hiburan, rumah urut, kawasan perladangan dan perkilangan. Membanteras kemasukan PATI di negara ini harus dilakukan secara menyeluruh.

Sebabnya, kita sudah ada terlalu ramai pekerja asing yang tinggal di negara ini. Yang berdaftar sudah mencecah 1.3 juta orang, itu belum dikira yang tidak berdaftar dan yang memasuki negara ini secara haram.

Kita pun sudah banyak membazir wang dan tenaga untuk menghantar PATI ini pulang semula ke negara masing-masing. Banyak lagi perkara yang lebih berfaedah dan bermanfaat untuk rakyat tempatan boleh dilakukan dengan wang yang digunakan untuk menghantar mereka pulang.

Jadi, sudah sampai masanya, (sepatutnya dari dulu lagi dilakukan secara berterusan) pembersihan sepenuhnya harus dilakukan. Kalau kita gemar menggunakan istilah pembersihan biarlah dilakukan dengan sebersih-bersihnya dan kalau pemutihan biarlah menjadi seputih-putihnya.

Dari dulu sampai sekarang masalah sosial yang dicetuskan oleh pekerja-pekerja asing ini adalah masalah sama. Mereka ini sesuka hati membuka penempatan mereka sendiri dan mewujudkan kawasan-kawasan setinggan yang turut ada bekalan elektrik dan air. Mereka turut menguasai kawasan perniagaan tertentu. Ini sehinggakan kita yang melalui kawasan itu terasa berada di Indonesia, Myanmar atau kawasan perumahan di Afrika.

Bagi rakyat tempatan yang sudah membeli rumah di kawasan yang penuh disewa dengan warga asing, mereka ini lagilah haru. Hendak menyewa di kawasan lain, kadar sewa rumah di Kuala Lumpur dan Lembah Klang ini paling rendah pun RM700 sebulan di flat-flat yang sempit. Jadi setiap malam terpaksa tidur-tidur ayam kerana bimbang rumah mereka dipecah masuk.

Bila sudah duduk beramai-ramai mereka suka bergaduh sesama mereka atau dengan rakyat tempatan sekeliling. Bukan itu saja, mereka ini juga gemar menganggu anak isteri orang. Sudah ada beberapa kes anak dan isteri orang tempatan dilarikan bukan dekat-dekat jaraknya, dilarikan terus ke kampung halaman mereka.

Dan usaha membawa mangsa yang dilarikan pulang semula bukannya mudah. Banyak rintangan dan prosedur perlu dilalui.

Itu belum diambil kira kes-kes jenayah yang besar-besar, seperti membunuh, merogol dan merompak menggunakan senjata api.

Kita juga mesti ingat setiap pekerja asing perlu menjalani saringan dengan dikenakan pemeriksaan kesihatan untuk bekerja di sini. Jadi kemasukan secara haram mereka ke negara ini mungkin membawa penyakit. Kemungkinan PATI itu menghidap penyakit tibi, AIDS, penyakit kelamin dan sebagainya. Mereka ini boleh menyebarkan penyakit-penyakit berkenaan.

Jadi sudah sewajarnya, isu kemasukan pendatang asing di negara ini diberi perhatian khusus dan kemasukan mereka ditapis. Dan majikan yang menggajikan PATI ini jangan dibiarkan terlepas. Kenakan tindakan undang-undang sedia ada.

Sekarang pun kita sudah melihat kebanjiran warga asing di negara ini terutamanya pada hari cuti umum dan perayaan. Mereka menguasai pusat-pusat membeli-belah dan kawasan rekreasi di ibu Negara. Kalau tidak disekat kemasukan mereka dari sekarang, setahun dua lagi entah macam mana pula meriah pemandangannya!


 Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Bendung segera jenayah remaja


Oleh :  NIZAM YATIM

CUKUP mengejutkan! Itulah reaksi banyak pihak apabila membaca laporan akhbar baru-baru ini mengenai seorang remaja berusia 15 tahun yang ditahan polis kerana disyaki memiliki serta terlibat dalam kegiatan mengedar dan menyewa senjata api.

Dengan tertangkapnya suspek dan seorang lagi rakannya berusia 29 tahun dalam serbuan di Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan, polis yakin dapat menyelesaikan beberapa kes tembak yang berlaku di negeri itu dipercayai dengan menggunakan pistol yang disewa mereka dengan bayaran sekitar RM500 hingga RM1,000.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman memberitahu, hasil pemeriksaan rapi di kawasan rumah dan sebuah setor berhampiran tempat serbuan, polis telah menemukan tiga pucuk pistol termasuk sepucuk pistol buatan sendiri, alat renjatan elektrik dan satu peket plastik berisi tiga biji pil dipercayai pil kuda.

Beliau berkata, remaja terbabit yang sudah tidak bersekolah dan rakannya seorang penganggur disahkan positif dadah.

Beberapa tahun lalu, turut berlaku kes seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang tergamak mengajak tiga rakannya untuk merompak rumah ibunya sendiri di Taman Tanjung Indah, Batu Pahat, Johor.

Remaja yang tidak bersekolah dan telah lari dari rumah sebelum ini bersama-sama rakannya telah memecah masuk kediaman mangsa yang berstatus ibu tunggal dan melarikan wang tunai RM5,000 dan sebuah komputer riba.

Kes berkenaan adalah sebahagian daripada kejadian jenayah melibatkan remaja yang masih berada di tahap membimbangkan dengan perangkaan pada 2010 menunjukkan golongan itu terlibat dengan 5,165 kes jenayah.

Jenayah-jenayah yang dilakukan juga cukup serius termasuk rogol, ragut, samun berkumpulan dan bersenjata serta jenayah kekerasan.

Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Shamsuri Arshad yang diminta mengulas kes terbaharu itu menyifatkan ia sebagai sesuatu yang luar biasa dan tidak pernah berlaku ketika beliau menerajui pasukan itu.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Pengaman Malaysia (YPM) berkata, jenayah yang dilakukan golongan remaja sebelum ini banyak melibatkan kes pergaduhan dan peras ugut sahaja.

“Kes mengedar dan menyewa senjata api, ini adalah kali pertama saya dengar dan satu tindakan serius perlu dibuat bagi memastikan kes seperti ini tidak terus berleluasa," ujarnya.

Beliau berkata, trend terbaharu tersebut harus menjadi peringatan kepada pihak polis dan agensi-agensi lain untuk meningkatkan pengawasan terutama di kawasan sempadan negara.

“Semua sudah sedia maklum bahawa penjenayah cenderung mendapatkan senjata api dengan cara menyeludupnya masuk dari negara jiran, Thailand.

“Pihak berkuasa tidak boleh bersikap leka dan membiarkan golongan remaja bebas melintasi sempadan negara kita dengan alasan mereka masih budak," katanya.

Beliau berkata, perkara lain yang cukup penting adalah didikan dan pengawasan ibu bapa terhadap anak-anak mereka.

“Ibu bapa harus memerhatikan setiap gerak-geri anak-anak dan mesti sanggup meluangkan masa untuk mengetahui dan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

“Mereka perlu mengetahui rakan-rakan anak mereka dan sentiasa memastikan anak-anak berkawan dengan golongan yang mempunyai akhlak baik," katanya.

Bagi Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye yang sudah banyak kali membangkitkan isu berkenaan, beliau bersetuju dengan pandangan Shamsuri bahawa kesibukan ibu bapa mencari rezeki sehingga tidak meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak adalah antara punca menyebabkan jenayah di kalangan remaja meningkat.

Beliau berkata, remaja mengalami masalah keruntuhan akhlak dan moral kerana ibu bapa yang sibuk bekerja tidak lagi memberi penekanan untuk menyemai nilai-nilai murni kepada anak-anak mereka.

“Remaja atau kanak-kanak ini merujuk kepada mereka yang berusia 18 tahun ke bawah dan jenayah melibatkan golongan ini memang semakin membimbangkan berdasarkan banyak aduan yang diterima oleh MCPF.

“Kes melibatkan remaja menyewa senjata api adalah jenayah yang dilaporkan kepada pihak polis sedangkan banyak lagi kes yang melibatkan juvana seperti mencuri dan bergaduh tidak dilaporkan.

“Baru-baru ini kita juga menerima aduan peningkatan kes remaja mencuri wang daripada ibu bapa semata-mata untuk berjudi melalui Internet di kafe siber," ujarnya.

Tegas beliau, jenayah melibatkan golongan remaja dijangka berterusan sekiranya tidak berlaku kebangkitan kesedaran di kalangan ibu bapa untuk berubah.

Dalam pada itu, beliau berkata, faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan jenayah remaja adalah berpunca daripada kegagalan pihak sekolah menguatkuasakan disiplin yang ketat di kalangan pelajar.

“Setiap kes yang melibatkan soal disiplin harus diberi perhatian berat oleh pihak sekolah dan pelajar terlibat perlulah diberikan kaunseling.

“Sekiranya kaedah kaunseling ini gagal membuatkan pelajar berubah, pihak sekolah tiada pilihan lain kecuali mengenakan hukuman rotan walaupun ramai ibu bapa sebelum ini menentang kaedah ini yang dianggap mereka sebagai zalim," katanya.

Menurutnya, tindakan memecat daripada sekolah harus dielakkan kerana ia tidak akan menginsafkan pelajar terbabit sebaliknya akan menyebabkan mereka lebih mudah terjerumus dengan jenayah lebih berat.

Tambah beliau, sikap masyarakat yang tidak mengambil berat dan tidak mahu menegur apabila melihat remaja melakukan perbuatan tidak betul juga menyumbang kepada peningkatan jenayah di kalangan golongan berkenaan.

Sementara itu, dalam membincangkan isu jenayah melibatkan golongan remaja, kita juga tidak boleh melupakan untuk mengkaji fenomena ‘kanak-kanak indigo’ yang mungkin agak asing di Malaysia tetapi sudah lama diperdebatkan di Barat sejak 1980-an.

Fenomena berkenaan yang turut dikaji kerajaan Singapura dan Indonesia mendapati ramai kanak-kanak yang dilahirkan sejak tiga dekad lalu mempunyai simptom psikologi kanak-kanak indigo.

Antara ciri-ciri kanak-kanak terbabit adalah suka menyendiri, mahu dilayan seperti orang dewasa, mudah memberontak dan akan bertindak ganas jika mendapati ibu bapa dan sistem pendidikan cuba mengongkong mereka.

Jika masalah psikologi ini tidak dibendung, kanak-kanak terbabit apabila mencapai usia remaja akan mudah terlibat dengan penyalahgunaan dadah, pembunuhan, jenayah kekerasan dan membunuh diri.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/