KUALA LUMPUR : Indeks jenayah negara turun 10.1 peratus
antara Januari dan Mei, mencatatkan 63,221 kes berbanding 70,343 kes dalam
tempoh yang sama tahun lepas.
Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi
Pengurangan Jenayah, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Eugene
Teh Yee berkata walaupun sasaran untuk mengurangkan indeks jenayah lima peratus
tahun ini, statistik menunjukkan ia turun lebih dari dua kali ganda.
Indeks jenayah meliputi harta dan jenayah kekerasan.
Bagaimanapun jenayah jalanan yang merekodkan 43 peratus
penurunan berbanding tempoh yang sama tahun lepas, adalah dua peratus kurang
daripada sasaran kerajaan iaitu 45 peratus penurunan, katanya kepada pemberita
di sini, Khamis.
Jenayah ragut, rompakan dan rompakan berkumpulan tanpa
senjata api dikelaskan di bawah kategori jenayah jalanan. Katanya indeks
jenayah pada tahun lepas juga menurun 11.1 peratus, berbanding tahun
sebelumnya, iaitu pada 2010 ia merekodkan 177,520 kes berbanding 157,891 kes pada
tahun lepas.
"Jenayah jalanan juga menyaksikan penurunan jelas
dengan 38,030 kes dilaporkan pada 2009, menurun 39.7 peratus iaitu 22,929 tahun
lepas," katanya.
Teh berkata penurunan kadar jenayah di negara ini adalah
hasil inisiatif yang diambil di bawah NKRA bagi mengurangkan jenayah yang
antara lain, menyaksikan peningkatan kehadiran polis di kawasan-kawasan panas
yang dikenal pasti di bawah program Omnipresence dengan 27,000 anggota polis
dikerah di seluruh negara tahun lepas, bersama Pasukan Ikatan Relawan Rakyat
Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Ini juga susulan program kerjasama dengan persatuan
penduduk, kejiranan berkawal dan Skim Rondaan Sukarela dalam Kawasan Rukun
Tetangga di mana 30,000 anggota telah berdaftar dengan polis, sukarela untuk
membantu rondaan malam, katanya.
Beliau berkata siri program peningkatan barisan hadapan
telah dilaksanakan dengan pihak polis, seperti penempatan mesin penarafan di
kaunter siasatan untuk menilai pegawai penyiasat, mempunyai video latihan
dalaman dan pelancaran perkhidmatan triaj untuk mangsa sensitif dan jenayah
sensitif.
"Matlamat kita adalah untuk mencapai Polis Kelas Dunia
menjelang 2020 bagi Malaysia memandangkan kita berharap untuk mencapai status
negara berpendapatan tinggi pada masa itu...kita berusaha untuk menyediakan
Keselamatan Bertaraf Dunia dan infrastruktur keselamatan, keupayaan, dan amalan
kepolisan," katanya. -BERNAMA