Ahad, 17 Mac 2013

ISU KENEGARAAN : Patriotisme menjamin masa depan


Oleh :  LT. JENERAL (B) TAN SRI WAN ABU BAKAR OMAR

SAYA memilih untuk menulis pada kali ini setelah melihat seramai 10 orang wira negara terkorban sewaktu  mereka berjuang mempertahankan kedaulatan Malaysia di Pantai Timur Sabah. Pada saya, perkembangan yang telah berlaku memerlukan penelitian yang terperinci.

Saya dapat merasai betapa luluhnya hati kaum keluarga apabila menerima berita orang yang tersayang telah gugur di medan juang.

Saya sendiri pernah mengalami keadaan apabila seorang anggota tentera daripada pasukan saya terkorban ketika kami melaksanakan gerakan membanteras segerombolan komunis di sempadan Semenanjung dan Selatan Thailand.

Ketika menghantar jenazah anggota tersebut ke rumah keluarganya, jelas dapat dilihat kesedihan yang menyeluruh bukan sahaja dalam kalangan ahli keluarga, malahan seluruh penduduk kampung.

Saya amat sedih apabila melihat anak kecil yang ketika itu berumur 4 tahun yang tidak mengetahui apa sebenarnya berlaku kepada bapanya. Anak kecil itu cuma boleh berlari ke sana ke mari tanpa menyedari bahawa masa depannya akan dilalui tanpa seorang bapa.

Melihat apa yang telah berlaku dan sedang berlaku di Lahad Datu, adalah wajar untuk kita semua insaf bahawa perwira-perwira negara telah banyak berkorban demi menjamin kedaulatan bangsa, agama dan tanah air. Pada era Perang Dunia Kedua, kita perlu sedar bahawa anak bangsa kita telah sanggup menggadai nyawa mempertahankan negara ini hingga ke titisan darah yang terakhir.

Pada zaman darurat pula, beribu-ribu anggota pasukan keselamatan terkorban ataupun tercedera dalam melaksanakan tugas operasi membanteras kezaliman pengganas-pengganas komunis.

Adanya kesungguhan dan pengorbanan yang sedemikian telah membawa negara berjaya memaksa pengganas komunis meletakkan senjata mereka. Tetapi perlu diingat perjuangan tersebut mengambil masa lebih daripada 40 tahun.

Kita juga mampu mempertahankan negara pada  era konfrantasi dengan Indonesia. Kejayaan-kejayaan berkaitan diperoleh dengan adanya sokongan dan perpaduan daripada majoriti rakyat.

Malangnya, negara kita juga telah melalui peristiwa berdarah '13 Mei 1969'. Kita menyesal berlakunya peristiwa tersebut dan rata-ratanya tidak ingin lagi mengalami keadaan yang serupa. Kini tidak sepatutnya wujud sebarang niat oleh mana-mana pihak, atas alasan apa sekalipun untuk melihat kembali peristiwa sedemikian berlaku di negara ini.

Dimensi

Perkembangan di Lahad Datu jelas memperlihatkan kepada kita bahawa negara tidak boleh lari daripada menghadapi ancaman yang bersifat pelbagai dimensi. Ancaman-ancaman ini boleh berlaku daripada kedua-dua perspektif iaitu dalaman dan luaran.

Bentuk ancamannya pula tidak akan lagi semata-mata bersifat konvensional. Ia boleh berada dalam pelbagai bentuk. Perlu diambil kira, Malaysia masih berhadapan dengan isu-isu persempadanan maritim ataupun daratan dengan beberapa negara. Setengahnya pula adalah amat rapuh dan sensitif.

Persoalannya, adakah kita berlaku adil jika sekiranya tanggungjawab menjamin keselamatan dan pertahanan negara hanya diletakkan di bahu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sahaja.

Adalah menjadi tanggungjawab kesemua rakyat jelata untuk sama berganding bahu memikul tanggungjawab menyelamatkan negara daripada sebarang bentuk ancaman. Masyarakat boleh bertindak memberi maklumat segera kepada pihak berkuasa apabila dilihat wujudnya sebarang elemen yang dianggap boleh menjejaskan ketenteraman negara.

Sebagai contoh, kejayaan membanteras Kumpulan Al-Maunah bermula apabila pihak berkuasa menerima maklumat daripada seorang penduduk tempatan bahawa dia terdengar bunyi tembakan senjata api di sekitar Kampung Jenalek. Kita bernasib baik kerana ada dalam kalangan masyarakat yang memilih untuk sama bertanggungjawab demi kepentingan keselamatan negara. Mengapa sikap yang sama tidak dijadikan amalan harian di kalangan masyarakat umum di negara ini.

Yang pasti, pergerakan penceroboh di Lahad Datu sudah terdahulu diketahui oleh sebilangan masyarakat setempat. Soalnya, kenapa tidak dilaporkan atau pun kenapa lewat dilaporkan? Mengambil kira pengajaran daripada  apa yang berlaku di Lahad Datu, sudah tiba masanya untuk kita semua menyedari bahawa peranan kita untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa adalah amat penting terutama dalam keadaan kawasan sempadan negara adalah terlalu luas hingga menjangkau beribu-ribu kilometer.

Sudah tiba masanya untuk semua rakyat Malaysia bersatu padu memberi sokongan yang menyeluruh dalam tindakan kerajaan membanteras penceroboh dan pengganas yang sedang kita hadapi di Pantai Timur Sabah.

Kita juga perlu sama-sama asingkan pergolakan di Lahad Datu daripada pendirian politik masing-masing.

Menuding jari antara satu sama lain dengan menggunakan landasan politik tidak langsung membantu meredakan keadaan. Malah keadaan ini memberi ruang untuk dieksploitasikan oleh negara luar mengikut versi masing-masing dengan menokok tambah berita-berita yang sengaja diadakan untuk memenuhi agenda mereka yang tersendiri.

Tanggapan

Perlu diingat bahawa perkembangan yang ada di Lahad Datu pada hari ini boleh menyebabkan masyarakat antarabangsa mudah membuat tanggapan yang tertentu terhadap Malaysia. Lebih malang lagi apabila ada antara kalangan masyarakat kita yang sengaja mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh menjejaskan imej Malaysia.

Tindakan Kerajaan menubuhkan ESSCOM (Eastern Sabah Security Command) untuk menjaga keselamatan Pantai Timur Sabah adalah amat tepat pada waktunya. Bagi membolehkan penubuhannya berjaya memenuhi objektif yang ditetapkan, maka perancangan untuknya perlulah disusun secara teliti dan terperinci.

Pelaksanaannya pula perlulah dibuat secara profesional serta dengan penuh komitmen. Kesungguhan dan keikhlasan perlu wujud di kalangan semua anggota yang berada di bawah naungan ESSCOM.

Bantuan logistik serta peralatan mestilah berpadanan dan mencukupi. Kemampuan perisikan perlulah menyeluruh. Ini mengambil kira keadaan persekitaran yang sukar diawasi pada setiap waktu.

Kemampuan dalam bidang gerak saraf mesti juga diberi kepentingan. Ini untuk menjamin masyarakat sekitar agar sentiasa bersedia bekerjasama dan menyokong segala usaha yang dilaksanakan.

Kejayaan membanteras komunis oleh pihak RASCOM (Rajang Area Security Command) boleh dijadikan model sebagai panduan. Mereka yang mempunyai pengalaman ketika bertugas dengan RASCOM perlu dijemput untuk memberi pandangan serta idea dalam memperkukuhkan kemampuan ESSCOM.

Kita perlu ingat bahawa kestabilan negara adalah penting untuk menjamin masa depan anak-anak. Kita semua mempunyai tugas dan tanggungjawab yang penting. Janganlah kita mempersia-siakan kestabilan negara yang ada pada hari ini.

Janganlah kita mudah terpengaruh dengan unsur-unsur yang tidak berasas. Marilah kita sama-sama berjanji untuk membanteras segala elemen-elemen negatif yang boleh menjejaskan kepentingan negara.

Marilah kita bersama-sama dengan anggota-anggota pasukan keselamatan mempertahankan negara ini daripada segala bentuk ancaman. Semua peringkat rakyat jelata juga hendaklah sentiasa bersedia memberi sokongan apabila wujud keperluan untuk mempertingkatkan kemampuan dalam menjamin kepentingan keselamatan dan pertahanan negara.

Kenapa tidak rakyat Malaysia berpegang dengan semangat patriotik seperti yang dianuti oleh bekas-bekas anggota polis dan tentera. Walaupun ada yang telah lama bersara, namun mereka masih kukuh dengan semangat juang masing-masing.

Melalui pengalaman yang telah saya tempuhi, saya menyeru semua pihak agar bersatu, kukuh dengan semangat patriotik dalam menjamin kepentingan keamanan, pertahanan dan kedaulatan negara.

PENULIS adalah bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

SUARA DARI MENARA


Bicara bahasanya
sayup jauh kedengaran
dari puncak menara
sampai ke jalanan.

Suara itu menyentuh
gelombang globalisasi
membakar semangat patriotisme
menyisip isu-isu kemasyarakatan
bahasa lembutnya menyedarkan.

Ketika mengharungi
pahit getir kehidupan
sungai sejarah yang berdarah
laut kemelut yang memaut
gunung agung yang gagah
bahasa tetap diucapkan
pada akal cekal hemah.

Suara dari menara
akal budi cendekiawan
memperkatakan dengan bahasa
globalisasi pertembungan budaya
mengancam generasi muda
hidup kemelut tak bermaya.

Mereka memperkatakan
dengan bahasa
lembut mengesan hati dan jiwa
membawa tajam senjata agenda
bahasa semangat patriotisme
tertancap di dada bangsa.

AMI MASRA
UKM, Bangi, Selangor.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Baha Zain: Tokoh penyair dan intelektual

Baha Zain pemenang Anugerah Sasterawan Negara yang ke-12.

Oleh : A. WAHAB HAMZAH

ANUGERAH Sasterawan Negara yang ke-12 diberikan kepada penyair dan tokoh sasterawan, Datuk Dr. Baharudin Zainal atau lebih dikenali dengan nama penanya Baha Zain. Pengumuman anugerah tertinggi dalam bidang kesusasteraan itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Baha Zain seorang penyair dan intelektual sastera yang dikagumi dan cukup terkenal dengan puisinya, Menangguh Kebenaran. Sungguhpun penerbitan buku puisinya tidak banyak, karya-karya beliau mempunyai kekuatan kepenyairan yang tersendiri. Hal ini dapat dilihat dalam buku-buku kumpulan puisinya iaitu Perempuan dan Bayang-bayang (1974), Dari Catatan Tengah Malam (1978), Tiga Catatan Perjalanan (1980), Jalan Desa Ke Kota (1994) dan Menangguhkan Kebenaran dan Sajak-sajak lain (2008).

Daripada kumpulan puisinya yang pertama, Perempuan dan Bayang-bayang telah memperlihatkan kemampuan Baha Zain sebagai penyair, memperagakan gaya, bentuk dan warna dalam diri. Baha Zain bijak memilih kata-kata yang tepat, tajam dan pandangan yang bijaksana. Estetika puisinya tinggi di sebalik gaya puisi yang kelihatan sederhana tetapi mempunyai lapisan makna yang kuat. Puisi Baha Zain menghantar pesanan, sindiran dan falsafah pemikirannya secara halus, lembut dan ada kalanya romantis serta sedikit nakal.

Bagi Baha Zain, puisi tidak berbicara segalanya tetapi puisi adalah pengucapan suatu fragmen pengalaman daripada suatu keseluruhan seorang seniman. Sebagai penyair dan penulis, Baha Zain sering mencari keseimbangan antara aspek perasaan dan pemikiran. Baginya, baik seseorang itu sasterawan atau pakar sains, masing-masing ada kebebasan dalaman dan intelektual dalam usaha mencari kebenaran. Itu sahaja tidak cukup, kerana baik seniman atau saintis, dia perlu iltizam dan tanggungjawab sosial. Akhirnya, harus tunduk kepada kepercayaan kebenaran yang hakiki iaitu Tuhan Yang Maha Esa.

Selepas menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada Universiti Sains Malaysia (USM) beliau berkata, "setiap kali saya menulis, di belakang pemikiran saya ialah moga-moga karya itu memberi kesan dan manfaat kepada pembaca serta berdoa agar Tuhan menganugerahkan taufik dan hidayah untuk membolehkan saya terus berkarya."

Puisi Baha Zain menyerlahkan keseimbangan antara ketajaman renungan dan kekuatan pemikirannya yang disampaikan dalam olahan bahasa yang menarik, padat dan gaya yang tersendiri. Baha Zain dalam kesederhanaan bahasa dan kelembutan lenggok olah puisinya, sebenarnya semakin lantang menyuarakan keresahan hatinya dan erti perjuangannya. Hal ini jelas dapat kita tafsir dalam dua buah puisinya Kembalikan Mimpi dan Menangguhkan Kebenaran.

Baha Zain memenangi Hadiah Karya Sastera yang pertama pada 1971 dengan puisinya Dalam Lingkaran, Topeng-Topeng dan cerpennya, Malam Yang Melemparkan. Apabila Hadiah Karya Sastera diangkat menjadi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), puisi Baha, "Pernahkah Engkau Mentafsir Kedamaian" memenanginya pada edisi 2002/2003. Puisinya "Apabila Menulis Puisi" memenangi HSPM 2008/2009. Tahun lepas dalam HSPM 2010/2011 dua buah puisinya turut menerima hadiah iaitu "Permainan Mimpi" dan "Dalam Persekitaran Kata-kata".

Kritis

Sebagai penulis esei dan kritikan, tulisan-tulisan Baha Zain membawa pemikiran yang teliti dan matang dalam perbicaraan suara yang sederhana dan tenang sekalipun persoalan yang cukup kritis. Kritikannya tajam tetapi tidak melukakan. Dalam karya eseinya, Baha Zain mengajak kita berfikir, bukan mengajar kita berfikir. Pendekatan Baha Zain ini terserlah dalam buku anekdot-anekdot kecilnya Berguru Pada Binatang (2000) yang secara humor mengangkat satira dunia haiwan sebagai perbandingan, kiasan dan contoh untuk direnung dan difikirkan.

Barangkali ramai yang tidak mengetahui bahawa Baha Zain juga pernah terlibat dalam pementasan teater. Beliau merupakan pengarah teater "Tamu Di Bukit Kenny" karya Sasterawan Negara Usman Awang yang dipentaskan pada 26 Julai 1967 di Balai Budaya Tun Syed Nasir Dewan Bahasa dan Pustaka dengan pelakon utamanya ialah tokoh penulis terkenal, Datuk Noor Azam. Tamu Di Bukit Kenny adalah antara drama realisme yang penting dalam sejarah teater Malaysia. Pementasan itu juga menjadi titik tolak penting tradisi pementasan teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang kemudiannya secara konsisten mementaskan teater hingga ke hari ini.

Zaman Baha Zain di DBP adalah era kegemilangan DBP dengan tokoh penulis, sasterawan dan budayawan semuanya tertumpu di situ. Tokoh-tokoh penulis mapan dan baru seperti Datuk Hassan Ahmad, Usman Awang, Keris Mas, Abdullah Hussain, Noor Azam, Kemala, Wijayamala, Othman Haji Zainuddin, Shamsuddin Jaaffar, Suhaimi Haji Muhammad, Jaafa HS, Datuk Dr. Anwar Ridzwan, Datuk Johan Jaaffar, Zakaria Ariffin, Ainon Haji Muhammad, Dinsman, A. Rahim Abdullah dan ramai lagi semuanya bertugas sezaman dengan Baha Zain di DBP. DBP ketika itu bergolak dengan karya sastera, polemik sastera dan pementasan teater yang secara konsisten mengembang dan memajukan sastera tanah air.

Baha Zain dilahirkan di Batu 15, Hutan Melintang Perak pada 22 Mei 1939 dan mendapat pendidikan awal di Sabak Bernam, Selangor sebelum memasuki Anglo-Chinese School, Teluk Anson, Perak. Kemudian memasuki tingkatan enam di Sekolah Anderson, Ipoh dan seterusnya memasuki Universiti Malaya pada tahun 1960 dan lulus Sarjana Muda Sastera pada tahun 1963.

Baha Zain mula bertugas di DBP dengan jawatan Penolong Pegawai Penyelidik pada Julai 1963. Semasa bertugas di DBP, beliau pernah mendapat cuti belajar di Fakulti Sastera, Universitas Indonesia Jakarta untuk mengikuti pendidikan khusus mengenai masyarakat dan kebudayaan Indonesia dalam satu program pengajian peringkat sarjana. Disebabkan minatnya mendalam tentang bidang kesusasteraan moden, Baha Zain menulis tesis yang membicarakan novel-novel Indonesia yang terbaharu di bawah bimbingan tokoh besar sasterawan Indonesia, H.B. Jassin. Pada tahun 1967, buku Hikayat Cekel Waneng Pati yang disusun semula oleh Baha Zain telah menerima hadiah daripada UNESCO.

Semasa mengetuai Bahagian Pengembangan Sastera DBP, Baha Zain menjadi Ketua Pengarang pada majalah-majalah Dewan Bahasa, Dewan sastera dan Dewan Budaya terbitan DBP selain dilantik sebagai sidang pengarang jurnal Tenggara. Mulai tahun 1982, Baha Zain dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah DBP, tetapi pada tahun 1984 beliau meletakkan jawatan untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan. Pada tahun 1985, beliau menerbitkan majalah berita mingguan Era. Sayang majalah yang mengambil konsep majalah Time tidak lama diterbitkan.

Baha Zain kemudian menjadi Pengerusi Eksekutif Dasar Padu (M) Sdn. Bhd. Sebuah syarikat penerbitan di samping mengendalikan Pustaka Cipta syarikat penerbitannya sendiri sejak tahun 1985. Beliau juga turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Amanah, Yayasan Penataran Ilmu sejak tahun 1986. Beliau juga pernah menganggotai Lembaga Amanah Balai Seni Lukis Negara, anggota Majlis Perkembangan Buku Kebangsaan dan pernah dilantik sebagai Timbalan Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (1985-1991). Di samping itu, Baha Zain pernah menjadi Presiden Ikatan Penerbit Buku Bumiputera Nasional dari 1989 hingga 1994.

Sebagai sasterawan, Baha Zain telah dipilih menerima Anugerah S.E.A. Write daripada kerajaan Thailand pada tahun 1980. Ketokohannya sebagai sasterawan mewajarkan GAPENA menganugerahkan beliau Anugerah Penyair GAPENA (1988), Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa daripada Persatuan Linguistik Malaysia (2004), Anugerah Budayawan GAPENA (2008). Manakala Universiti Sains Malaysia menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan pada 2010. Selain itu, PENA menganugerahkan beliau Tokoh Persatuan Penulis Nasional Malaysia pada 2011 . Baha Zain masih lagi terus berkarya dan menulis setiap bulan dalam Dewan Sastera yang diikuti melalui laman blognya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Hikmah tersirat dalam ekosistem hutan


Oleh : Rosmidzatul Azila Mat Yamin
 
Pada Mac setiap tahun, terdapat dua sambutan istimewa bertemakan pemuliharaan alam sekitar yang diisytiharkan di peringkat global iaitu Hari Hutan Sedunia (21 Mac) dan Hari Air Sedunia (22 Mac).

Menterjemahkan rasa cinta kepada alam, kebiasaannya hari  istimewa ini disambut atau diraikan dengan aktiviti berbentuk pendidikan serta kesedaran alam sekitar oleh masyarakat di seluruh dunia.

Kedua-dua sambutan itu antara sebahagian usaha menarik perhatian masyarakat mengenai kepentingan memulihara ekosistem hutan dan sumber air bersih kepada seluruh hidupan di atas muka bumi.

Sambutan Hari Hutan Sedunia yang diraikan sehari lebih awal daripada sambutan Hari Air Sedunia dilihat sangat molek percaturannya memandangkan kedua-dua sumber ini saling berkait rapat antara satu sama lain.

Hayati fitrah alam

Mungkin timbul persoalan kepada segelintir, bagaimanakah kedua-dua sumber ini dikatakan mempunyai kesinambungan erat? Elok kita kembali menghayati hikmah dan fungsi kejadian alam serta komponen hidupan ada dalamnya yang secara fitrah saling melengkapi satu sama lain.

Hal ini telah dinyatakan dengan jelas di dalam firman Allah SWT: “Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan).” (Surah al-Qamar, ayat 49)

Firman-Nya lagi: “Dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisi-Nya kadar yang tertentu.” (Surah ar-Ra’ad, ayat 8)

Begitu juga dalam konteks kewujudan ekosistem hutan menghijau yang tidak terkecuali mempunyai fungsi penting bukan saja terhadap komponen alam lain tetapi juga memainkan peranan besar menjamin bekalan sumber air bersih kepada kehidupan manusia.

Selain bertindak sebagai kawasan tadahan hujan bagi mencegah berlakunya hakisan tanah, ekosistem hutan juga pengawal aliran air yang sangat cekap dan berkesan. Melalui fungsi ini, ekosistem hutan bertindak sebagai span besar yang menyerap air hujan dan mengalirkannya secara perlahan-lahan ke dalam anak sungai, empangan, kolam dan tasik.

Bekal air bersih

Air yang diserap ke dalam tanah di kawasan masih dilitupi hutan akan ditapis dan dituras secara semula jadi seterusnya menghasilkan bekalan air bersih dan jernih yang keluar ke permukaan tanah sebagai mata air untuk digunakan manusia dalam aktiviti seharian.

Banyak ayat al-Quran berhubung saranan supaya manusia sentiasa merenung dan berfikir mengenai setiap kejadian di atas muka bumi supaya lebih memahami hikmah di sebaliknya.

Firman Allah SWT: “Dan Dialah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, dijadikan padanya pasangan : dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir. Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon tamar yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya daripada setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa dan baunya). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya.” (Surah ar-Raad, ayat 3-4)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/