Rabu, 30 November 2011
ISU BAHASA : Mahasiswa Pemangkin Usaha Memartabatkan Bahasa Kebangsaan
Oleh Ku Amirul Faiz
(s200383@student.uum.edu.my)
Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) sudah melabuhkan tirainya. Sudah 13 kali BBK diadakan dan ini bermakna selama itu juga kerajaan berusaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Usaha ini memang baik dan wajar dipuji.
Tetapi persoalannya kenapakah perlu ada kempen memartabatkan bahasa kebangsaan yakni bahasa Melayu selepas lebih setengah abad negara merdeka? Bukankah kemerdekaan itu dicapai hasil kata sepakat dan ini termasuklah kedudukan dan permartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan?
Kempen BBK memperlihatkan seolah-olah bahasa Melayu bukan bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan. Kalau tidak, masakan kemerdekaan tidak menyumbang kepada permartabatan bahasa Melayu?
Perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan sebenarnya bermula pada tarikh Malaya mencapai kemerdekaan. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu bukan lagi bahasa orang Melayu tetapi bahasa rasmi seluruh rakyat negara ini. Di manakah silapnya hingga perkara yang boleh diselesaikan selepas sepuluh tahun merdeka kini berlarutan hingga lebih setengah abad kita merdeka?
Tentulah ada kekhilafan apabila usia negara merdeka sudah mencapai 54 tahun namun bahasa Melayu belum ampuh sebagai bahasa kebangsaan. Pelbagai pihak seolah-olah mengambil kesempatan dari kelemahan politik Melayu untuk ingkar tidak mahu mengiktiraf bahasa Melayu.
Baru-baru ini Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin mengumumkan kenaikan pangkat kakitangan akademik dibuat berdasarkan karya ilmiah dalam bahasa Melayu. Ini satu tindakan yang mesti dipuji. Namun tindakan ini seharusnya sudah lama dilaksanakan untuk memberi merit kepada bahasa Melayu.
Dalam usia negara yang lebih setengah abad, seharusnya buku dan kajian ilmiah diterbitkan dalam bahasa Melayu untuk rujukan masyarakat serta pembaca tempatan. Tetapi Malaysia agak terkebelakang dalam usaha memartabatkan bahasa Kebangsaan. Mungkin juga kerana nilai pasaran kajian ilmiah bahasa Melayu tidak seluas bahasa Inggeris. Namun hakikatnya masyarakat memerlukan karya sedemikian.
Pada tahun ini BBK bertemakan "Satu Bahasa, Satu Bangsa Satu Negara". Ini jelas manifestasi impian menjadikan bahasa kebangsaan sebagai tulang belakang perpaduan dalam masyarakat pelbagai kaum.
Andai kita bangga melaungkan 1Malaysia yang menunjukkan betapa seriusnya kita sayang kepada bangsa Malaysia, begitu juga kita seharusnya serius dalam meletakkan bahasa kebangsaan ditempat yang sepatutnya.
Mungkin juga perlu diwujudkan satu undang-undang untuk memartabatkan kedudukan bahasa kebangsaan di negara ini. Justeru kesedaran terhadap peri pentingnya bahasa kebangsaan perlu diperkukuhkan. Memperlekehkan bahasa kebangsaan merupakan satu petunjuk aras luputnya nilai kebangsaan dalam kalangan masyarakat. Mungkin Malaysia negara yang hebat dalam merencana dasar yang mampu meletakkan negara di peta dunia namun kita sebenarnya lemah dalam soal jati diri.
Tugas inilah perlu digalas oleh golongan mahasiswa. Ia bukan sahaja oleh mahasiswa di universiti tempatan malah merangkumi mahasiswa tempatan di luar negara. Menyalahkan sistem bukan satu tindakan yang bijak. Biar kita menjadi seperti ikan di laut yang masin tetapi isi tetap tawar. Belajar dan membuat kajian dalam bahasa Inggeris seharusnya tidak merendahkan penguasaan terhadap bahasa kebangsaan. Belajar dan menguasai bahasa Inggeris tidak seharusnya menghilangkan jati diri kita terhadap bahasa kebangsaan. Ini adalah nilai jati diri.
BIJAK
Orang bijak pandai ada berkata, andai hendak melihat negara pada masa hadapan lihatlah anak mudanya pada hari ini. Mahasiswa kini yang dikejar dan diburu cara hidup baru menjadikan sebab utama ketidakmampuan dalam penguasaan bahasa kebangsaan. Gaya hidup global yang menjadi pilihan mahasiswa kini merupakan jerat yang membantutkan pengembangan dan penguasaan bahasa kebangsaan pada masa hadapan.
Harus diingatkan bahawa mahasiswa adalah pencetus perubahan. Pendidikan pula menjadi kayu ukur kekayaan bangsa di sesebuah negara. Justeru mahasiswa merupakan barisan hadapan dalam memartabat serta memperjuangkan bahasa kebangsaan. Kita sudah pasti setuju dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa masyarakat seharusnya menguasai bahasa asing untuk menguasai ilmu, dalam masa yang sama turut memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu.
Andai pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu yang mula diadakan pada 2007 dijadikan kayu pengukur, ternyata bahasa kebangsaan kita cukup tinggi. Kebolehan menguasai bahasa Melayu oleh peserta luar negara menunjukkan keindahan dan keunikan bahasa ini. Justeru tidak mustahil untuk menzahirkan bahasa Melayu sebagai bahasa Asean apabila 350 juta rakyat bertutur dalam bahasa Melayu. Maka tidak timbul bahasa kebangsaan dianggap sebagai bahasa kelas dua. Ini adalah laras perjuangan kepada setiap yang menggelarkan diri mereka mahasiswa. Usah menjadikan sistem sebagai satu halangan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan.
Mungkin pada masa depan BBK tidak perlu diadakan lagi kerana tahap jati diri masyarakat terhadap bahasa kebangsaan berada pada tahap tertinggi. Namun ini tentu mengambil masa yang lama. Mengubah masyarakat seharusnya dimulakan dengan mengangkat integriti serta jati diri mahasiswa. Pada masa yang sama kerajaan harus konsisten dalam mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU BAHASA : Hilang budi bahasa ketika di jalan raya
SEPERTI bertempur di medan perang. Itu adalah antara tanggapan yang diberikan tatkala diutarakan pandangan mengenai tahap budi bahasa dI kalangan pengendali kenderaan negara ini.
Biarpun tidak bersenjata namun cukup dengan pacuan empat, dua roda mahupun berjalan kaki, anda sebenarnya berjuang untuk "selamat" sampai ke destinasi.
Bunyi, seakan menggerunkan. Ditambah pula dengan laporan peningkatan kes kemalangan jalan raya setiap tahun terutama pada musim perayaan.
Malah, dipetik dalam satu laporan berita sebelum ini iaitu sebanyak 43,678 kes kemalangan dicatatkan sepanjang Januari hingga September tahun ini (berdasarkan rekod polis) berbanding 40,154 kes pada tempoh yang sama 2010.
Senario ini akhirnya menjurus kepada persoalan "mengapa" dan "apakah" sebab yang membawa kepada peningkatan itu. Justeru, timbul persepsi bahawa antara puncanya ialah "pentingkan diri" yang menular dalam kalangan pengendali kenderaan (bukan semua) negara ini sehingga turut menyumbang bahaya kepada pemandu lain.
Benarkah begitu? Sekiranya "ya", ini sedikit sebanyak merujuk kepada "tahap budi bahasa" mereka di jalan raya disebabkan penularan sikap lebih pentingkan diri daripada keselamatan. Adakah benar budi bahasa sudah semakin luntur atau mereka "samseng jalanan"?
PERSONALITI BERBEZA
"Kalau dibandingkan dengan negara luar, tahap budi bahasa di negara kita masih baik. Cuma, ingin saya ingatkan terdapat dua golongan di atas jalan raya, satu adalah mereka yang memang kurang ajar, samseng jalanan.
"Golongan satu lagi, adalah mereka yang bersopan-santun di tempat kerja, rumah, tetapi apabila masuk sahaja dalam kenderaan, bertukar personaliti menjadi sebaliknya," kata Prof. Madya Dr Nor Hisham Osman.
Mengulas perkara itu, pensyarah di Universiti Malaya itu ketika ditemui Bernama berkata majoriti yang menjadi "kurang ajar" ketika di jalan raya adalah daripada golongan kedua, yang mewakili 80 peratus.
Tidak menafikan golongan pertama (samseng jalanan) juga agak "biadap". Namun mereka merangkumi skop segelintir sahaja.
Dengan menjelaskan senario "kurang ajar" seperti memotong barisan ketika di tol, menggunakan lorong kecemasan untuk cepat sampai, Nor Hisham berkata masih ramai yang keliru apabila menafsirkan "senario tidak berbudi bahasa" di jalan raya.
Disebabkan kekeliruan itu, ada segelintir pihak mempunyai persepsi bahawa kelajuan kenderaan yang dipandu seseorang itu, boleh dikira sebagai "kurang ajar".
"Adakah membawa laju itu kurang ajar? Kalau itu ditakrifkan, maksudnya semua orang kaya yang membawa kereta berkelajuan tinggi seperti Mercedes-Benz, BMW adalah daripada golongan yang kurang ajarlah di jalan raya?
"Bagi saya, kelakuan seperti melanggar lampu merah, menukar laluan tanpa memberi isyarat dan memotong kenderaan mengguna lorong kiri jalan adalah tindakan kurang ajar," katanya.
KESESAKAN, TEKANAN UBAH PERSONALITI
Agak menghairankan. Seseorang yang berbudi bahasa dengan sesiapa sahaja, di mana jua, mula berubah tatkala menaiki kenderaan.
Kalau diikutkan secara logik, seseorang yang telah sinonim dengan sesuatu amalan, sepatutnya akan tetap mengamalkannya walau di mana jua senarionya.
Akan tetapi, mengapa mereka bertukar kelakuan menjadi agresif?
"Saya rasa faktor utama seseorang individu itu menjadi kurang ajar adalah disebabkan kesesakan jalan raya. Orang yang mempunyai kesabaran tinggi pun akan jadi tidak sabar apabila berada dalam kejadian begini.
"Mereka jadi sedemikian bukanlah disengajakan. Tetapi disebabkan faktor kesesakan dan ditambah pula dengan tekanan lain, akhirnya menyebabkan mereka berpersonaliti sebaliknya," katanya.
Ketika ditanya apakah jenis tekanan itu, Nor Hisham berkata, faktor seperti tekanan kerja yang memerlukannya sampai ke destinasi tepat pada masanya sedikit sebanyak boleh mengubah kelakuan seseorang itu.
Tidak sekadar itu, malah tekanan menghadapi kesesakan jalan raya untuk mengambil anak di pusat penjagaan, sekolah, juga boleh menjurus seseorang pengendali kenderaan itu melanggar peraturan jalan raya.
"Selalunya senario ini (langgar peraturan jalan raya) berlaku ketika jalan sesak ditambah dengan tekanan lain, membuatkan mereka hilang pertimbangan.
"Hendak kata mereka pentingkan diri, ya, mereka terpaksa. Sebagai contoh, pemandu bas mungkin akan kehilangan pekerjaannya sekiranya sentiasa lambat ikut jadual. Hendak atau tidak, mereka terpaksa jadi begitu (langgar peraturan jalan raya)," katanya.
UNDANG BAHAYA
Bagi Profesor di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, sebarang perbuatan yang menambah risiko boleh dianggap sebagai tidak berbudi bahasa.
Katanya, apabila kelakuan seseorang pengendali kenderaan itu sudah sampai ke tahap menyakitkan hati orang lain, pasti ia sudah pun melampaui tahap risiko yang akan hanya meningkatkan kebarangkalian nahas jalan raya.
"Kita perlu berhati-hati dalam membuat andaian bahawa semua pemandu dan pengendali motosikal itu tidak berhemah. Bagaimanapun, mengikut statistik memang terdapat peningkatan risiko dalam perjalanan yang diakibatkan oleh pengendali kenderaan.
"Untuk mengekalkan pemanduan berbudi bahasa ini, dua perkara amat kritikal, persekitaran pemanduan yang majoritinya berhemah dan penguatkuasaan yang wujud secara berterusan dan berkesan," katanya.
Mengulas mengenai tekanan seperti mengejar masa, beliau berkata ini akan mengakibatkan pemandu mengabaikan keselamatan mereka dan dilihat sebagai pemanduan tidak berbudi bahasa.
"Sebenarnya, kita tidak boleh memberi alasan bahawa kita terlewat. Kita sebenarnya tidak pandai mengurus masa dan sering keluar lewat. Disiplin diri yang akan menghasilkan pemandu yang lebih berhemah, dan itulah yang diperlukan negara," katanya.
— BERNAMA
Langgan:
Catatan (Atom)