Sabtu, 26 September 2009

Iklan sayu, lebuh raya dan Bujang Lapok

Oleh Mior Kamarul Shahid

Gambaran balik kampung ketika Aidilfitri harus diubah

SETIAP kali hari raya, 'mood' yang cuba ditonjolkan adalah sama. Dalam satu iklan di televisyen, dipaparkan wajah seorang ibu Melayu menangis kerana anak lelakinya pulang menyambut hari raya di kampung ; mungkin tangisan kegembiraan. Ibu menunggu di tangga ketika anak muda yang ketinggalan bas tiba di rumah kampung ibunya dengan lori barang. Mereka bersalaman dan berpelukan serta mengucapkan kata-kata yang beremosi. Begitulah lebih kurang jalan ceritanya.

Ada juga iklan hari raya mengisahkan seorang anak muda balik kampung, tiba-tiba wajahnya menjadi sedih sebaik melihat ibunya yang buta. Dalam bas, dia duduk di sebelah lelaki buta yang bertanya kepadanya sama ada dia balik kampung ke? Ini adalah antara iklan sedih atau mesej untuk menyedarkan orang Melayu dan umat Islam mengenai pentingnya hubungan kekeluargaan.

Fenomena balik kampung ini agak mengelirukan, seolah-olah orang Melayu balik kampung setahun sekali pada hari raya saja. Gambaran masyarakat tidak pulang ke kampung halaman seperti dipaparkan itu seolah-olah Malaysia ini sebuah negara yang teramat luas yang memerlukan perjalanan tujuh hari tujuh malam, merentas sungai dan gunung, untuk sampai ke sesuatu destinasi.

Atau, Malaysia seolah-olah sebuah negara miskin hinggakan tambang untuk balik kampung di luar kemampuan rakyatnya. Negara miskin biasanya tidak mempunyai kemudahan komunikasi dan pengangkutan untuk keselesaan rakyatnya. Ini bukanlah gambaran yang wujud di Malaysia sejak negara ini mencapai kemerdekaan.

Hakikatnya, ada antara rakyat di negara ini pulang ke kampung hampir setiap minggu, dua minggu sekali atau setiap bulan. Anak yang bekerja di Kuala Lumpur, umpamanya, mungkin pulang ke kampungnya di Kuala Pilah, setiap minggu. Bukanlah keterlaluan pula dikatakan ramai mereka yang bekerja di Kuala Lumpur berulang-alik ke Negeri Sembilan atau Melaka setiap hari sama ada memandu atau menaiki bas. Mereka yang bekerja di Georgetown, Pulau Pinang, mungkin pulang ke kampungnya di Perak, setiap minggu, dua kali seminggu atau setiap bulan. Jika kereta api laju beroperasi sepenuhnya, perjalanan dari Seberang Prai ke Kuala Lumpur mengambil masa hanya tiga atau empat empat jam berbanding berbelas jam sebelum ini. Mereka yang tinggal di Ipoh, umpamanya boleh berulang alik ke Kuala Lumpur atau ke Pulau Pinang setiap hari dengan kereta api laju. Begitu juga mereka yang tinggal di Melaka untuk berulang alik ke Johor Bahru atau Kuala Lumpur.

Menangis kerana balik kampung tidak menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai kemudahan infrastruktur komunikasi kelas dunia. Malaysia bukan negara padang pasir atau terpaksa menaiki kereta kuda seperti zaman koboi untuk pergi dari satu tempat ke satu tempat. Lebuh raya di negara ini merentasi dari utara ke selatan dan dari timur ke barat. Bagi pengurusan syarikat konsesi lebuh raya, mereka mungkin berasa terhina dengan pandangan serong yang cuba ditonjolkan setiap kali musim perayaan, seolah-olah lebuh raya yang dibina di hampir seluruh negara dengan kos ratusan juta ringgit, tidak memberi kesan kepada pergerakan rakyat. Dengan adanya lebuh raya, seseorang boleh bersarapan jam 9 pagi di Johor Bahru dan makan tengah hari pada jam 12 di Kuala Lumpur. Jika pada jam 10 di Kuala Terengganu, sejam kemudian mungkin sudah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA), Sepang. Mesyuarat jam 10 pagi di Pulau Pinang, jam 6 pagi masih berada di Kuala Lumpur. Perkhidmatan kereta api juga digunakan secara meluas untuk kemudahan pengangkutan rakyat bergerak dari sebuah negeri ke sebuah negeri selain bas dan teksi. Kira-kira 40 atau 50 tahun lalu, untuk pergi rombongan dari Ipoh ke Pulau Pinang, terpaksa bertolak jam 12 malam untuk sampai jam 8 pagi selepas melalui jalan raya yang bengkang-bengkok terutama di Bukit Berapit. Hari ini dari Ipoh ke Prai hanya memerlukan perjalanan sejam setengah.

Anak yang menuntut di Ireland tidak perlu menangis kerana tidak dapat berhari raya di kampung. Setiap hari, dia berbual secara bersemuka dengan keluarganya di Kuala Lumpur melalui skrin komputer menggunakan kemudahan internet. Mereka ketawa pada hari raya melihat wajah masing-masing, walaupun jarak mereka puluhan ribu kilometer.

Bagi mereka yang tidak mempunyai kemudahan seperti itu, mereka boleh membuat panggilan telefon selular pada setiap masa atau setidak-tidaknya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS). Apakah mereka perlu menangis sedangkan kemudahan komunikasi sudah merapatkan hubungan sesama manusia.

Kebetulan pada hari raya ini, sebuah filem lama, Bujang Lapok disiarkan oleh sebuah stesen televisyen. Dalam filem itu, Sudin (S Shamsudin) mengetuk botol sebagai isyarat untuk bertemu kekasihnya Eton (Zaiton). Begitu juta Eton akan mengetuk botol bila ada hal penting untuk bertemu Sudin. Hari ini, sudah tidak ada orang memberi isyarat seperti itu lagi. Hanya dengan menghantar SMS atau bercakap melalui telefon, mereka sudah berkomunikasi untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

Suasana dalam Bujang Lapok itu sudah tidak lagi praktikal hari ini. Jika ada orang yang masih mengetuk botol untuk bertemu kekasih, mereka adalah warisan 1950-an. Tetapi, pada waktu itu, pertemuan antara Sudin dan Eton di bawah pokok secara rahsia, mungkin menggamatkan suasana panggung wayang. Bila Sudin memegang tangan Eton, mungkin satu panggung menjadi sunyi sepi dan menarik nafas.

Bukan tidak boleh bersedih langsung pada hari yang mulia ini, tetapi cara dan suasananya perlulah melambangkan keadaan semasa. Adalah tidak wajar menyamakan keadaan 30 atau 40 tahun lalu dengan keadaan hari ini. Dulu perantau sukar pulang ke kampung kerana masalah komunikasi, jalan raya yang tidak sempurna atau tidak ada kenderaan sendiri. Hari ini, pelbagai kemudahan disediakan. Jika pun tidak dapat pulang berhari raya, ia mungkin disebabkan masalah tugas. Biasanya, selepas seminggu, giliran mereka pula pulang ke kampung, Walaupun hari raya sebenar sudah berlalu tetapi matlamat utama ialah untuk bertemu keluarga dipenuhi. Orang Melayu tidak boleh menjadi masyarakat yang terlalu emosional.

Isu hari ini ialah penyalahgunaan kemudahan pengangkutan untuk pulang berhari raya di kampung. Ramai antara orang yang terbunuh pada musim perayaan akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya. Jika pulang ke kampung boleh dilakukan setiap masa, mengapa perlu ghairah dan memandu hingga lupa daratan?

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

Nota Hujung:

Di Malaysia, denda RM300 dikenakan bagi memandu laju .Kadar denda ini jauh berbeza daripada penalti maksimum sebanyak RM19,290 di Perancis atau RM12,860 di Portugal. Di Singapura, mereka yang bersalah kerana memandu laju didenda RM490, di Filipina RM370 dan di Thailand RM1,040. Di negara-negara lain, yang mungkin menyebabkan para pemandu berfikir dua kali mengenai memandu laju ialah Britain (RM1,880), Jerman (RM2,190), Sweden (RM2,210), Australia (RM3,040), Amerika Syarikat (RM4,710) dan Itali (RM7,370).

Menurut Laporan Keselamatan Global Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenai Keselamatan Jalan Raya 2008 menunjukkan bahawa Malaysia, dengan 16.8 juta kenderaan yang berdaftar pada 2007, secara puratanya mencatatkan 3.7 kematian akibat kemalangan jalan raya bagi setiap 10,000 kenderaan. Ini menjadikan Malaysia mempunyai kadar kematian yang tertinggi bagi setiap 10,000 kenderaan di Asean memandangkan Indonesia mempunyai kadar 2.6, Singapura (2.5), Filipina (2.1) dan Brunei Darussalam (1.8).

Sebenarnya kadar kematian itu telah berkurangan agak banyak selepas Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Kementerian Pengangkutan ditubuhkan beberapa tahun sebelum ini, memandangkan kadar kematian pada 1996 ialah 8.2 bagi setiap 10,000 kenderaan. Di negara maju, Amerika mencatatkan 1.7 kematian akibat kemalangan jalan raya bagi setiap 10,000 kenderaan, Australia (1.1), United Kingdom (1.0), Jerman (0.9) dengan Jepun dan Switzerland merekodkan kadar paling rendah iaitu 0.7.

Malaysia menetapkan sasaran 2.0 kematian bagi setiap 10,000 kenderaan menjelang 2010. Mungkinkah sasaran ini dapat direalisasikan???

ISU KEMALANGAN DI JALAN RAYA

Pendekatan ekstrem ajar pemandu degil

JIKA ada pengarah filem dari Hollywood mahu mencari pelakon aksi ngeri yang betul-betul bersedia untuk mati dalam babak kemalangan jalan raya, dia boleh datang ke Malaysia. Di sini dia boleh mendapat ramai pemandu kenderaan yang bersedia untuk melakukan adegan maut berkenaan.

Mungkin kenyataan ini nampak keterlaluan tetapi apa lagi yang boleh kita katakan, apabila dari semasa ke semasa jumlah mereka yang terkorban di jalan raya semakin meningkat.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan tetapi ternyata semuanya ibarat mencurah air ke daun keladi sahaja. Lihat sahaja statistik terbaru Ops Sikap yang dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), ia bukannya memberikan kesedaran kepada orang ramai, sebaliknya hanya meningkatkan statistik kemalangan yang sedia ada.

Oleh itu adalah wajar jika kita menggunakan pendekatan lebih ekstrem bagi mengajar pemandu-pemandu degil yang cuba menjadikan jalan raya-jalan raya di negara ini sebagai tempat untuk mereka menempah maut.

Sememangnya kita bersimpati dengan mangsa kemalangan yang terbunuh atau cedera akibat kelalaian pemandu lain tetapi dalam masa yang sama kebanyakan kemalangan berlaku akibat kecuaian pemandu itu sendiri.

Sudah berbuih-buih, orang kata jangan pandu laju, sudah berbakul-bakul orang cakap ingatlah keluarga tersayang dan sudah berjuta-juta ringgit dihabiskan untuk kempen keselamatan jalan raya. Tetapi semuanya tidak mampu mengubah sikap pemandu Malaysia.

Tidak kiralah dia pemandu kenderaan berat atau ringan, menunggang motosikal berkuasa rendah atau tinggi, majoriti mereka memang degil!

Oleh itu kelembutan kita berkempen bagi mengingatkan kelompok berkenaan harus diubah. Tak perlu lagi ingatkan mereka tentang bahaya memandu laju adalah lebih baik tukar sahaja kepada slogan ‘Memandulah dengan laju, kalau anda mahu mati cepat.’’

Begitu juga dengan slogan ‘Berhati-hatilah di jalan raya ingatlah orang tersayang’, tukar sahaja kepada ‘‘Kalau anda hendak mati jangan menyusahkan orang lain terutama keluarga anda.’’

Atau mungkin juga kita wujudkan papan tanda berbunyi, ‘‘Kalau anda rasa sudah puas hidup, memandulah mengikut had yang anda suka.’’

Ia bererti papan-papan tanda di jalan raya dan lebuh raya perlu diubah kepada bentuk yang lebih ekstrem. Pemandu-pemandu yang degil ini bak kata orang ‘tidak makan saman’ dengan tindakan undang-undang.

Apabila berada di dalam kenderaan, mereka bagaikan serigala lapar, mereka memandu melulu tanpa mempedulikan keselamatan orang lain. Slogan-slogan peringatan bagi mereka hanyalah hiasan.

Justeru tidak perlu lagi, kerajaan atau agensi-agensi terlibat menyusahkan diri siang dan malam hendak mencari penyelesaian bagaimana hendak mengurangkan kadar kemalangan.

Adalah lebih baik kalau kita membuat unjuran berapa ramai yang akan mati dan cedera setiap kali musim perayaan. Itu lebih baik kerana selama ini kerajaan sudah cukup baik dengan berusaha apa sahaja cara bagi mengubah sikap pemandu kita.

Tetapi pemandu kita tidak menghargai semua itu, mereka gembira memandu melebihi had yang ditetapkan, mereka berbangga kalau kereta mereka boleh memotong barisan malah mereka suka kalau ada orang melihat kebodohan mereka memandu bagaikan dikejar hantu raya.

Kesudahannya akibat kedegilan mereka, maka berlakulah kemalangan yang menyusahkan semua orang. Pada saat ini perkataan paling sesuai untuk diberikan kepada pemandu seumpama itu ialah padan muka atau lebih baik lagi, ‘‘kecil-kecil tak nak mati bila besar menyusahkan orang.’’

Seperkara lagi dari segi hukuman pula, ia juga seharusnya diubah, sekadar membawa pemandu degil ke muka pengadilan dan kemudian didenda atas kesalahan yang dilakukan sudah tidak relevan lagi.

Pemandu yang terselamat dalam kemalangan yang mereka menjadi puncanya harus dikenakan hukuman seberat-beratnya, penjara melebihi 5 tahun harus dikenakan sebagai hukuman minimum, kemudian kenakan denda yang tinggi, kalau tidak boleh bayar tambah hukuman penjara.

Menyumbat puak-puak seumpama ini dalam penjara adalah lebih baik berbanding melepaskan mereka bermaharajalela di jalan raya sehingga kadang kala menjadi pembunuh kepada pengguna jalan raya yang lain.

Biar ketika di dalam penjara, mereka insaf dan memahami betapa pentingnya menjaga kebebasan yang diberikan.

Selain itu turut boleh difikirkan ialah hukuman menjalankan kerja-kerja amal seperti mencuci tandas awam dan membersihkan sampah sarap di lebuh raya. Setiap kali menjalankan kerja itu, di tubuh mereka digantung papan bertulis, ‘‘Saya pemandu degil.’’

Hakikatnya, sudah berjuta-juta ringgit mungkin berbilion wang rakyat dihabiskan semata-mata untuk menyediakan infrastruktur jalan raya dan lebuh raya sempurna untuk orang ramai. Malah dalam masa yang sama juga berjuta-juta ringgit sudah dihabiskan bagi memperbaiki kerosakan akibat kedegilan pemandu kita.

Justeru adalah lebih baik jika selepas ini tumpuan diberikan untuk memastikan pemandu degil berkenaan mengakhiri nyawa mereka di jalan raya. Biarkan sahaja mereka ‘mati katak’ akibat kebodohan sendiri.

Kalau perlu tambah laluan di lebuh raya daripada dua laluan kepada tiga laluan dan tiga laluan kepada empat laluan. Tambahan satu laluan itu dikhaskan untuk pemandu degil. Apabila mereka terlibat dalam kemalangan, kalau mereka meninggal dunia, panggil sahaja ahli keluarga mereka menguruskan mayat di tempat kejadian manakala kalau yang cedera pula, kos membawa mereka ke hospital adalah tanggungan sendiri.

Mungkin apa yang dikatakan di sini akan dipandang sinis atau mungkin ada yang menyifatkan ia agak ekstrem tetapi apa lagi yang boleh kita lakukan.

Selama ini kerajaan sudah melakukan segalanya untuk menjaga nyawa pengguna jalan raya tetapi semuanya sia-sia. Oleh itu tidak perlulah lagi kerajaan bersusah payah dan membazirkan wang untuk menjaga nyawa pemandu yang tidak tahu menghargai nyawa sendiri.

Kita tidak menafikan bahawa malang tidak berbau, atas sebab itulah pengguna jalan raya diminta berhati-hati. Kalau di negara lain biarpun mempunyai penduduk yang lebih ramai tidak banyak yang mati di jalan raya, tetapi kenapakah di negara kita jumlah kematian akibat tragedi itu terlalu tinggi.

Jawapannya mudah segalanya akibat sikap pemandu. Jalan raya dan lebuh raya yang sempurna bukan dihargai bagi memudahkan perjalanan sebaliknya menjadi landasan untuk mereka menempah maut. Kalau itulah yang mereka mahu biarkanlah mereka mati atau cedera di jalan raya. Sesungguhnya mana-mana negara tidak memerlukan rakyat yang tidak mempunyai kesedaran sivik dan tidak menghargai apa yang kerajaan lakukan demi kebaikan mereka.

Sumber : http ://www. utusan.com.my/