Selasa, 1 Jun 2010

Langkah terbaru diharap tambah kesedaran perokok

SEMPENA Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada tahun ini, Kementerian Kesihatan sekali lagi memberikan beberapa 'hadiah dan insentif tambahan' kepada perokok-perokok di Malaysia, sebagaimana yang dijangkakan. 'Hadiah' itu adalah sebahagian daripada 'ganjaran dua kali setahun' yang sentiasa diberikan oleh kerajaan, yang satu lagi adalah pada pembentangan belanjawan setiap tahun.

Perjuangan Kementerian Kesihatan membela komuniti bukan perokok yang terseksa menanggung kesan sampingan, yang jumlahnya jauh lebih besar akan diteruskan sehingga bilangan perokok dapat disifarkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan bahawa antara intervensi yang terawal akan dilaksanakan adalah menambahkan satu lagi zon larangan merokok yang kini mengandungi 20 lokasi.

Apa yang menarik ialah tambahan lokaliti sektor swasta yang mempunyai sistem penghawa dingin berpusat merupakan suatu tindakan yang menuntut kerjasama dan pengorbanan daripada pihak-pihak seperti majikan sesebuah institusi swasta.

Kita telah dimaklumkan bahawa kesan asap rokok kepada orang yang berada di sekitar tidak kurang hebatnya berbanding dengan kesan kepada perokok itu sendiri. Tambahan pula dalam keadaan tertutup dan peredaran udara yang terhad, ruang kerja atau pejabat yang tersedia sistem pendingin hawa berpusat ini akan menambahkan lagi risiko kepada rakan sepejabat.

Tahniah kepada kementerian yang memahami jiwa-jiwa rakan sepejabat yang selama ini tertekan akibat terpaksa hidup dan bekerja dalam keadaan bukan sahaja tidak selesa dari segi bau busuk tembakau tetapi juga tidak baik untuk kesihatan perokok.

Apa yang diperlukan adalah penguatkuasaannya harus diperkemaskan. Kita dapat melihat bukan sahaja dalam paparan media bahawa sikap perokok adakalanya sengaja ingin mencabar larangan-larangan ini.

Mereka tidak menghiraukan sama ada kawasan itu diwartakan atau tidak larangan merokok, asalkan tiada orang yang menangkap dan mengenakan denda, maka selama itulah asap rokok akan berkepul-kepul di kawasan tersebut.

Paparan di media yang pernah menunjukkan perokok begitu bergaya menggantungkan puntung rokok di mulut di hadapan papan tanda 'Dilarang Merokok' merupakan satu manifestasi betapa hitamnya pemikiran mereka untuk memahami nasihat yang begitu mudah, hatta yang mudah difahami oleh seorang kanak-kanak sekolah rendah.

Kajian demi kajian yang salah satunya terbaru diterbitkan dalam jurnal perubatan antarabangsa (Substance Use and Misuse keluaran Jun 2010) mengesahkan kaitan antara kebijakan emosi yang rendah dalam kalangan perokok berbanding bukan perokok.

Penukaran gambar amaran pada kotak rokok juga dilihat bertepatan kerana seperti yang dinyatakan oleh menteri, perokok sudah lali dengan paparan yang sama. Mungkin mereka juga akan lali dengan paparan-paparan amaran baru tetapi itulah hakikat yang harus kita terima apabila ketagihan telah menguasai pemikiran, yang buruk tak nampak teruk.

Namun, mesej tetap harus disampaikan bahawa komplikasi merokok bukan sahaja apa yang mereka selalu atau pernah lihat, bahkan masih banyak lagi perhiasan ngeri yang harus mereka bawa di dalam poket.

Walaupun terdapat kekangan untuk kerajaan melaksanakan pengharaman penjualan rokok kurang 14 batang kerana aspek rokok seludup haram yang angkanya berlegar sekitar 40 peratus juga perlu dipertimbangkan, namun insentif-insentif baru yang diumumkan oleh kementerian ini menunjukkan betapa usaha memberitahu masyarakat bahawa 'tolonglah jangan merokok' merupakan satu usaha berterusan yang tidak pernah dilupakan.

Kita harus menyokong tindakan-tindakan ini. Sesungguhnya apa yang dilakukan semuanya untuk kebaikan perokok juga serta mereka yang berada di sekitarnya.

Jika mereka melihat usaha-usaha ini sebagai suatu halangan, maka mereka telah tersilap besar. Bahkan mereka harus berterima kasih kepada kementerian yang membantu dan memaksa menyedarkan mereka yang hanyut dan kelam akibat diselubungi asap rokok.

Dr. Irfan Mohamad

Pusat Pengajian Sains Perubatan

Universiti Sains Malaysia, Kelantan

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Kesan buruk rokok dari hujung rambut ke hujung kaki

Oleh Abu Bakar Abdul Majeed

KIRA-KIRA 20 peratus daripada lebih satu bilion perokok di dunia sekarang ini adalah wanita. Namun begitu, wanita yang merokok semakin meningkat di beberapa negara.

Untuk menangani isu ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memilih ‘Gender dan tembakau dengan penekanan pemasaran kepada wanita’ sebagai tema hari tanpa tembakau sedunia tahun ini, yang disambut setiap 31 Mei.

Hari Tanpa Tembakau Sedunia diadakan setiap tahun bertujuan memberi kesedaran bahaya tabiat merokok secara berterusan. Mengawal penggunaan rokok di kalangan wanita adalah penting sebagai sebahagian strategi pengawalan tembaka
Industri tembakau menjadikan wanita sebagai sasaran utama. Pihak industri perlu mewujudkan perokok baru bagi menggantikan perokok tegar yang separuh daripadanya sudah meninggal dunia akibat rokok.

Wanita yang merokok bermula sejak remaja boleh meningkatkan risiko putus haid dua hingga tiga tahun lebih awal daripada sepatutnya. Masalah ketidaktentuan haid seperti pendarahan yang tidak normal, haid yang tidak teratur atau tiada haid adalah masalah yang sering dihadapi perokok wanita.

Haid yang tidak normal dan putus haid awal mungkin disebabkan oleh kesan toksik bahan kimia dalam asap rokok terhadap ovari, atau pengurangan hormon estrogen yang signifikan. Tambahan pula, wanita yang merokok sekotak rokok setiap hari akan menghadapi kehilangan ketumpatan tulang sebanyak lima hingga 10 peratus lebih berbanding yang tidak merokok.

Kajian mendapati perokok wanita mempunyai 80 peratus risiko untuk mendapat barah pangkal rahim. Kajian diterbitkan Persatuan Barah Amerika Syarikat pada 1994 menunjukkan risiko kematian di kalangan pesakit barah payudara meningkat kepada 75 peratus apabila merokok dua kotak atau lebih sehari.

Merokok adalah risiko yang dikaitkan dengan penyakit Sekatan Pulmonari Kronik (COPD), penambahan jumlah wanita yang merokok kebelakangan ini menyebabkan kadar penyakit ini meningkat.

Di beberapa negara, peningkatan kadar perokok di kalangan wanita amat membimbangkan. WHO sudah mengeluarkan laporan bertajuk ‘Women and health: today’s evidence, tomorrow’s agenda’ yang mempunyai bukti berkaitan peningkatan iklan rokok yang menjadikan wanita sebagai sasaran utama.

Data dari 151 negara menunjukkan hampir tujuh peratus gadis remaja merokok, berbanding 12 peratus remaja lelaki. Di sesetengah negara, bilangan remaja perempuan yang merokok hampir sama dengan remaja lelaki. Mempromosi dan melindungi kesihatan wanita adalah penting bukan saja untuk hari ini malah untuk generasi akan datang.

Lebih banyak bukti saintifik mengenai bagaimana merokok mendatangkan bahaya kepada kesihatan ditemui pada 1980-an. Sejak itu kerajaan Malaysia menggiatkan kempen anti-merokok. Namun demikian, secara umumnya kempen hanya didapati berkesan terhadap golongan berpelajaran dan berpendapatan tinggi.

Merokok adalah satu polemik yang paling kerap diperkatakan. Setiap isu yang diketengahkan oleh kumpulan anti-merokok akan ditentang sama ada secara tersurat atau tersirat oleh kumpulan yang menggalakkan merokok,
terutama sekali industri tembakau. Maka dengan itu, usaha untuk mengubah tabiat merokok menjadi amat sukar.

Bukti saintifik semakin jelas menunjukkan bahawa rokok menyebabkan kematian, penyakit dan hilang upaya. Wujud asas kukuh menyatakan rokok menjadi penyebab utama kepada kematian yang boleh dielakkan. Setiap tahun, kira-kira lima juta orang mati disebabkan rokok. Kebanyakan kematian berlaku di negara yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Mengimbas kesan buruk merokok, ia merangkumi segala sistem yang ada di dalam tubuh manusia dan boleh dikatakan bahawa kesan buruk rokok berlaku dari hujung rambut sehingga hujung kuku. Masalah serangan angin ahmar atau strok boleh berlaku dalam sistem saraf pusat iaitu di bahagian otak.

Serangan ini boleh membawa padah kepada perokok, jika saluran darah yang pecah terletak di bahagian utama otak yang mengawal pergerakan, pertuturan, memori dan sebagainya. Hilanglah keupayaan menjaga diri sendiri ketika itu, dan seseorang mungkin terpaksa bergantung kepada penjagaan orang lain sepanjang hayat.

Serangan jantung juga boleh berlaku disebabkan penyempitan saluran darah koronari di jantung. Serangan jantung yang serius boleh saja membawa maut dalam masa beberapa ketika. Kalau pun ditakdirkan hidup, tempoh pemulihan mungkin mengambil masa yang sangat panjang dan kualiti kehidupan tidak lagi sama baik seperti sebelumnya.

Merokok menyumbang kepada lebih 25 jenis barah. Antaranya barah mulut, paru-paru, tekak, esofagus, perut, pundi kencing, pankreas dan ginjal. Sembilan puluh peratus daripada kes kanser jenis ini adalah disebabkan oleh tabiat merokok. Merokok juga menyebabkan ulser atau radang perut, masalah penghazaman makanan dan gangguan selera makan.

Bagi lelaki, tahap kesuburan perokok didapati lebih rendah daripada biasa. Perokok akan mengalami masalah kekurangan bilangan sperma, di samping masalah sperma tidak sihat dan tidak normal. Perokok juga lebih terdedah kepada masalah mati pucuk kerana tindakan bahan kimia dalam rokok menyebabkan saluran darah di alat kelamin mengalami penguncupan, justeru darah tidak dapat mengalir ke situ.

Seperti perokok lelaki, perokok wanita turut terdedah dengan risiko barah, termasuk barah paru-paru, mulut, tekak, kerongkong, buah pinggang, pankreas dan pundi kencing. Jika tabiat merokok diteruskan ketika hamil, maka janin dalam kandungan mengalami masalah pertumbuhan dada, kepala dan saiz keseluruhan tubuh yang lebih kecil daripada biasa.

Bayi juga apabila dilahirkan akan menghadapi lebih tinggi risiko terdedah kepada jangkitan paru-paru, pengurangan keupayaan fungsi jantung, dan sindrom kematian bayi secara tiba-tiba atau sudden infant death syndrome (SIDS).

Mengikut fakta, tahap kesuburan perokok wanita adalah lebih rendah iaitu sebanyak 72 peratus jika dibandingkan dengan mereka yang tidak merokok. Hakikatnya, perokok muda terutama di kalangan golongan hawa semakin meningkat.

Melalui iklan dan promosi yang tidak beretika, ramai wanita beranggapan merokok boleh mengurangkan berat badan. Walhal ia hanya untuk mengelirukan generasi muda untuk merokok.

Penulis ialah Penolong Naib Canselor (Penyelidikan) Institut Pengurusan Penyelidikan (RMI) UiTM, Shah Alam

Sumber : http : //www.bharian.com.my/