Ahad, 17 Jun 2012

ISU PENDIDIKAN : Profesionalisme Perguruan Jadi Fokus Utama Transformasi Pendidikan


KUALA LUMPUR : Bidang profesionalisme perguruan dan aspirasi rakyat terhadap sistem pendidikan serta kemenjadian murid menjadi fokus utama yang perlu diberi perhatian dalam usaha mentransformasi pendidikan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata ia merupakan dapatan awal daripada lapan siri Dialog Nasional Pendidikan yang melibatkan 8,415 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang pendidikan termasuk wakil daripada bidang keagamaan yang telah dilaksanakan sehingga kini.

Beliau berkata masih terdapat lima siri dialog akan berlangsung sehingga pertengahan bulan ini yang bertujuan mendapatkan maklumat dan pandangan masyarakat bagi menyediakan hala tuju pendidikan yang lebih baik pada masa hadapan.

"Oleh itu, saya menyeru kepada semua pihak agar dapat memanfaatkan peluang yang masih ada ini untuk bersama-sama memberi input dan pandangan demi masa depan sistem pendidikan negara," katanya ketika menjawab pertanyaan Teng Boon Soon (BN-Tebrau) pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin.

Teng meminta Menteri Pelajaran menyatakan hala tuju atau arah baru Kementerian Pelajaran dalam usaha mentransformasi Dasar Pelajaran Negara.

Muhyiddin berkata tujuh sesi perbincangan meja bulat melibatkan kumpulan berfokus dan berkepentingan dalam sistem pendidikan telah dilaksana mulai April lepas dan masih terdapat lapan sesi perbincangan untuk diselesaikan.

Katanya isu yang dibangkitkan semasa sesi perbincangan kebanyakannya menyentuh persoalan hampir sama seperti yang dibincang dalam siri dialog nasional seperti kualiti guru, sistem pendidikan, kurikulum dan pentaksiran, kualiti sekolah, kepimpinan sekolah, penekanan kepada nilai dan disiplin murid, penglibatan ibu bapa serta pendidikan yang bebas daripada campur tangan politik.

Beliau berkata perkara yang menjadi topik popular dalam lapan siri dialog dan tujuh perbincangan meja bulat itu ialah 27 peratus responden menyentuh aspek profesionalisme perguruan, kebajikan dan kemahiran pengajaran guru.

Aspek lain, kata beliau adalah aspirasi sistem pendidikan dan pembangunan modal insan yang lebih menyeluruh (14 peratus), kualiti sekolah (12 peratus), kepimpinan sekolah (11 peratus), kurikulum dan pentaksiran (10 peratus), peranan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta (sembilan peratus).

"Selain itu, kapasiti dan keupayaan sistem penyampaian (tujuh peratus), kecekapan dan keberkesanan penggunaan sumber (lima peratus), profesiensi pelbagai bahasa (tiga peratus) dan peluang lepasan menengah (satu peratus)," katanya.

Muhyiddin turut melahirkan penghargaan kepada pertubuhan, persatuan, kumpulan komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan yang menghantar 22 memorandum mengandungi pandangan, resolusi dan cadangan dalam usaha ke arah penambahbaikan sistem pendidikan negara.

Selepas semua maklumat dikumpul, dinilai dan dirumus, laporan akhir akan disediakan dan menjadi input penting dalam menentukan hala tuju pendidikan yang baru atau rangka tindakan pendidikan, katanya.

Beliau berkata rangka tindakan itu akan dibentang semula kepada rakyat pada tempoh masa yang akan dimaklumkan kelak untuk mendapat maklum balas akhir masyarakat yang kemudiannya akan dibentang kepada Kabinet untuk diluluskan.

Muhyiddin berharap laporan hala tuju pendidikan yang komprehensif dan bersepadu itu akan dapat merealisasikan satu sistem pendidikan yang holistik serta memenuhi harapan dan aspirasi rakyat. - BERNAMA

ISU PENGAJIAN TINGGI : Berkahwin ketika belajar



Bergantung kepada kemampuan

Oleh Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali

APAKAH reaksi anda jika anak yang belum menggenggam segulung ijazah membuka mulut memberitahu ingin berkahwin?

Ramai menganggap mahasiswa berkahwin ketika belajar di menara gading hanya memperjudikan nasib dan masa depan.

Apatah lagi tanpa sokongan kewangan kukuh sementelaah usia masih mentah, perkahwinan dianggap landasan merealisasikan perasaan yang membara.

Berilah apa jua alasan, ironinya masyarakat tetap beranggapan perkahwinan semasa belajar bukan pilihan terbaik untuk memiliki kejayaan.

Persoalannya, sejauh manakah tepatnya tanggapan itu?

Bagaimana pula mereka yang berkahwin namun mampu cemerlang?

Timbalan Pendaftar Kanan di Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zainab Othman, berkata berkahwin atau tidak, ia bergantung kepada kemampuan individu itu menentukan corak pengajian.

Beliau berkata, penerimaan individu mengenai perkahwinan berbeza, justeru tiada jawapan konkrit sama ada ia boleh menghancur atau menjayakan pengajian seseorang.

“Perkahwinan fitrah manusia dan bukan sesuatu yang perlu ditakuti. Cuma, apabila pelaksanaannya dilakukan sewaktu melanjutkan pengajian, ada pihak akan mempertikaikan.

“Dan, pertikaian itu berkait rapat faktor tertentu seperti ekonomi dan usia.

Pada dasarnya tidak menolak cuma melahirkan rasa kebimbangan.

“Perkahwinan bukan suka-suka kerana komitmennya terlalu tinggi. Cuba yang berkahwin itu tidak belajar, pasti tiada pertikaian,” katanya.

Perkahwinan semasa belajar meskipun tidak menjadi kesalahan, ia masih mampu mengundang kesangsian kerana dianggap penyekat kejayaan mahasiswa.

Meskipun ada yang berjaya membuktikan sebaliknya, ramai beranggapan mereka hanyalah segelintir golongan bernasib baik.

Yang lain, terkandas di tengah jalan atau terpaksa membuat pilihan sukar sama ada meneruskan pengajian atau mengorbankan perkahwinan.

Beliau berkata, aspek perlu ditekankan ialah bagaimana mahasiswa itu pandai membahagikan masa serta membuat perancangan yang baik sepanjang pengajian.

“Ada yang tidak berkahwin namun hidupnya tetap kelam kabut, tidak terurus hingga mengakibatkan keputusan diterima mengecewakan.

“Yang berkahwin pula lebih cemerlang. Keadaan sebaliknya juga boleh berlaku sekali gus membuktikan semuanya bergantung pada sikap dan kemahuan diri,” katanya tidak menafikan perkahwinan menuntut mahasiswa berusaha berkali ganda berbanding mahasiswa bujang.

“Berkahwin semasa belajar bukan saja memikul tanggungjawab pengajian malah membabitkan permainan emosi, persefahaman pasangan, keluarga dan sebagainya.

“Jika tiada kekuatan diri dan emosi, semuanya boleh tunggang langgang. Sebab itu, kalau ingin berkahwin, pastikan benar-benar bersedia.

“Faktor inilah menyebabkan masyarakat terutama ibu bapa kurang selesa jika anak meminta kebenaran berkahwin. Bukan tidak faham tapi takut mereka kecundang,” katanya.

Ditanya apakah faktor menyebabkan mahasiswa mengambil keputusan menamatkan zaman bujang ketika rakan lain berseronok melayari alam pengajian, beliau berkata perhubungan terjalin lama selain alasan sudah bertemu teman sehati sejiwa menjadikan mereka bulat tekad berkahwin.

“Ikutkan logik, alasan diterima masih boleh ditangguhkan. Bagaimanapun selepas membuat pilihan, timbul pula persoalan adakah melakukannya selepas berfikir semasak - masaknya atau hanya mengikut gelora hati?

“Paling dibimbangi mereka hanya terbayangkan keseronokan berkahwin tanpa peduli tanggungjawab yang lain. Maklumlah sedang asyik dilambung perasaan.

“Pada saya, kahwinlah jika yakin boleh melakukannya selain jangan ketepikan peranan keluarga. Mereka boleh menjadi tempat bimbingan emosi serta kewangan.

“Pastikan jika berkahwin, jangan gadaikan pengajian semata-mata kerana perkahwinan,” katanya.

Bagi pasangan suami isteri dari Tawau, Sabah, Ng King Kwong dan isterinya, Nur Iman Maryam Yusop, perkahwinan mereka penuh dengan cabaran.

Ng, 25, mahasiswa Sarjana Pendidikan Matematik dan isterinya yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Geografi, berkata selain usia muda, soal agama juga menjadi dugaan hebatnya.

“Kami berdua ingin memeluk Islam dan melangsungkan perkahwinan. Biarpun mendapat tentangan keluarga untuk berkahwin, kami harungi juga dengan janji membawa pelajaran bersama.

“Kami akui, cabaran selepas berkahwin lebih hebat. Di samping terpaksa menyesuaikan diri dengan suasana baru, tanggungjawab juga semakin bertambah.

“Saya akui, ada kalanya timbul emosi negatif, namun cuba mencari jalan penyelesaian supaya perkahwinan ini tidak menjadi cemuhan,” katanya.

Mengakui isterinya sangat memahami, beliau menyifatkan perkahwinan sebagai landasan untuk lebih berjaya.

“Prosesnya lebih mudah kerana kami dapat mengulang kaji bersama-sama di mana-mana jua. Kami saling memberi dorongan dan tunjuk ajar.

“Ini satu motivasi dan nikmat perkahwinan masih belajar. Kami sentiasa pastikan segala perancangan tidak keciciran,” katanya.

Manakala pasangan Ahmad Rafei Ab Halim, 22, dan isterinya, Norhafiza Mahasan, 23, dari Terengganu, lebih bernasib baik kerana keluarga menyokong penuh keputusan mereka berkahwin semasa belajar.

Ahmad Rafei yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Kemahiran Hidup manakala Norhafiza Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Ekonomi Rumahtangga, berkata keluarga memahami hasrat mereka selain memastikan tidak terjebak perkara tidak diingini.

“Apabila menyuarakan hasrat, keluarga tidak membantah sebaliknya yakin kami bersedia memikul tanggungjawab. Mereka memberi penuh sokongan dan kebebasan.

“Malah, perkahwinan ini satu nikmat apabila prestasi pengajian lebih meningkat hingga mampu memperoleh Anugerah Dekan bersama.

“Semuanya terpulang pada diri sendiri sama ada mahukan kejayaan atau kegagalan.
Perkahwinan hanya sekelumit penyebab,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Syor rekod disiplin syarat ke SBP



Oleh Syuhada Choo Abdullah

Kementerian dicadang perkenal mekanisme pantau tingkah laku pelajar

KUALA LUMPUR : Rekod disiplin dan sahsiah pelajar wajar dijadikan kriteria dalam mempertimbangkan permohonan biasiswa atau kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP) dan universiti.

Bagi tujuan itu, Kementerian Pelajaran dicadang memperkenalkan mekanisme untuk memantau dan merekod secara berterusan melalui penilaian di sekolah untuk mengenal pasti perkembangan sahsiah dan disiplin setiap pelajar bermula dari Tahun Satu.

Cadangan itu adalah sebahagian daripada kandungan memorandum dikemukakan Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) kepada kerajaan sebagai input kepada transformasi sistem pendidikan negara yang sedang dirangka.

Yang Dipertua MPSM, Muhamad Khailani Abdul Jalil, berkata kriteria itu dapat mendidik dan memupuk pelajar supaya sentiasa peka kepada kepentingan sahsiah, sekali gus membantu mengatasi masalah disiplin di sekolah.

“Antara komponen penilaian boleh diambil kira dalam pemantauan terhadap sahsiah dan disiplin pelajar ialah sikap, tingkah laku dan kehadiran ke sekolah. Malah, boleh diperkenalkan sistem merit dan demerit untuk menilai disiplin pelajar.

“Sudah sampai masanya aspek sahsiah dan disiplin tidak lagi hanya diajar sebagai mata pelajaran, tetapi diberi penekanan lebih berat melalui penilaian terhadap amalan sebenar supaya ia dapat dihayati dengan berkesan oleh pelajar di sekolah dan ibu bapa.


“Ukuran kecemerlangan seseorang pelajar tidak harus terbatas kepada pencapaian akademik semata-mata, tetapi perlu holistik meliputi kokurikulum, kepemimpinan dan kemasyarakatan, sahsiah serta disiplin yang dilihat penting untuk pembinaan karakter generasi muda negara.

“Semua pembaharuan ini mesti berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk masa depan. Falsafah sedia ada sudah bagus dan tidak perlu digugurkan, cuma pelaksanaannya boleh ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Dalam pada itu, Muhamad Khailani, berkata dalam memorandumnya, MPSM turut meminta kerajaan terus mengekalkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara.

“Ini berikutan melalui Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) 2012 yang sedang berlangsung, dilihat ada kecenderungan sesetengah peserta yang mahu supaya diwujudkan semula sekolah aliran Inggeris sebagai pilihan dalam sistem pendidikan negara.

“Kita tak setuju. MPSM akan bergabung usaha dengan pejuang bahasa untuk memastikan bahasa Melayu kekal sebagai bahasa pengantar tunggal dalam sistem pen-didikan negara seperti termaktub dalam Dasar Bahasa Kebangsaan dan Penyata Razak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata hasil perbincangan siri DNPN 2012 yang kini memasuki fasa pertengahan akan diserahkan kepada Pengerusi Panel Penilai Bebas Kajian Semula Sistem Pendidikan Negara, Profesor Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak, Ogos depan.

Panel itu sudah menjelajahi lima tempat setakat ini, iaitu Putrajaya, Labuan, Miri, Shah Alam dan Pulau Pinang, manakala yang terakhir di Johor Bharu akan diadakan bulan depan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Kekurangan bekalan air bersih bukan isu remeh



Oleh Rosmidzatul Azila Mat Yamin
bhagama@bharian.com.my

Masyarakat perlu bersama  memulihara anugerah Ilahi atasi kemelut kian meruncing

AIR anugerah Allah SWT yang sangat penting terhadap kehidupan sejagat. Tanpa sumber air mencukupi adalah mustahil bagi manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup. Penegasan berhubung kepentingan sumber air banyak dinukilkan dalam al-Quran.

Antaranya firman Allah bermaksud: “Dan Dia menurunkan air hujan dari langit, kemudian Dia mengeluarkan dengan air hujan itu pelbagai jenis buah-buahan yang menjadi rezeki untukmu. Dia juga telah menundukkan bahtera bagimu supaya bahtera itu belayar di lautan dengan kehendak-Nya, dan Dia telah pula menundukkan sungai-sungai bagimu.” (Surah Ibrahim, ayat 32)

Secara umumnya negara kita mempunyai banyak sumber air. Namun, dewasa ini bekalan sumber air bersih semakin berkurangan sedangkan permintaan terhadapnya semakin meningkat selari peningkatan jumlah populasi penduduk.

Mungkin timbul persoalan mengapa situasi sedemikian boleh berlaku sedangkan kita mempunyai sumber air yang banyak di sekeliling kita.

Sebenarnya, keadaan ini timbul ekoran peningkatan jumlah penduduk dari semasa ke semasa, selain pelbagai kegiatan berkaitan mengakibatkan berlakunya pencemaran terhadap sumber air yang ada. Ia sekali gus meletakkan kita dalam krisis yang meruncing untuk mendapatkan bekalan air bersih mencukupi bagi menampung segala aktiviti seharian.

Bukan itu saja, terdapat pelbagai faktor lain menyumbang kepada berlakunya masalah kekurangan bekalan air bersih antaranya peningkatan suhu global yang menyebabkan kadar kehilangan air berlaku lebih cepat akibat proses penyejatan air yang tinggi ke atmosfera.

Selain itu, pencemaran akibat pengurusan sisa buangan yang tidak sistematik juga menyebabkan sumber air bersih tercemar. Misalnya, longgokan sampah di tapak pelupusan sampah menyebabkan terhasilnya sisa toksik yang seterusnya akan mengalir ke sungai dan sumber air bersih lain.

Pengaliran sampah dan sisa toksik ini akhirnya menyebabkan air tercemar dan bekalan air bersih semakin berkurang. Lebih memburukkan lagi krisis sumber air bersih ialah apabila simpanan air bawah tanah, sumber bekalan air bersih yang sepatutnya dipelihara juga semakin berkurangan.

Situasi ini terjadi kerana kegiatan pembalakan yang kian berleluasa hari ini hingga menjejaskan kawasan tadahan air. Pembangunan pesat yang berlaku secara tidak terancang juga menyebabkan air hujan tidak serap ke dalam tanah, sebaliknya terus mengalir ke sungai.

Keadaan ini mengakibatkan kuantiti air bawah tanah menjadi semakin berkurangan dan seterusnya menjejaskan mutu bekalan air.

Kekurangan bekalan air bersih akan turut menjejaskan kesihatan masyarakat. Contohnya, akibat kekurangan sumber air bersih untuk minuman menyebabkan berlakunya dehidrasi (kekurangan air dalam badan) selain menyebabkan berlaku penyakit seperti taun kerana meminum air tercemar.

Masalah kekurangan bekalan air turut memberi kesan terhadap sumber tanah iaitu menyebabkan tanah menjadi kontang. Air yang tercemar turut menjejaskan kualiti tanah dan ini sekali gus menjejaskan aktiviti pertanian seterusnya memberi kesan terhadap bekalan makanan serta kadar pertumbuhan ekonomi negara.

Melihat kesan bakal dihadapi akibat kekurangan bekalan air bersih, seharusnya kita bermuhasabah diri dan berusaha menanganinya. Kesedaran awal memelihara dan memulihara sumber bekalan air penting bagi memastikan bekalan air bersih mencukupi.

Langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan bekalan air bersih ialah dengan memperbanyakkan loji rawatan air bagi membolehkan air sungai, air tasik dan air dari sumber lain yang tercemar diproses menjadi sumber air bersih.

Selain itu, peningkatan dari aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga penting bagi membantu menambah sumber bekalan air bersih. Aktiviti R&D secara proaktif akan membuka laluan lebih luas kepada penciptaan alatan moden dan canggih bagi merawat air buangan secara efektif. Melalui R&D juga air laut boleh diproses untuk dijadikan air minuman.

Langkah seterusnya ialah menyediakan lebih banyak kawasan tadahan air bagi memastikan bekalan air bawah tanah dapat dimaksimumkan. Oleh itu, segala aktiviti pembalakan dan penerokaan hutan perlu dipantau dan dikawal supaya dapat menyediakan lebih banyak kawasan tadahan air.

Di samping itu, pembuangan sisa kimia dan toksik juga perlu dikawal bagi memastikan sumber bekalan air tidak terdedah kepada sebarang bentuk pencemaran. Sudah tiba masanya kita memikirkan dengan lebih serius isu kekurangan bekalan air bersih yang bukan saja melanda negara kita, tetapi juga negara lain di seluruh dunia.

Pembabitan seluruh masyarakat dalam usaha memulihara sumber air penting untuk mengatasi kemelut ini. Mudah-mudahan kesedaran itu dapat mempertingkatkan lagi tahap kebersihan sumber air untuk diwarisi anak cucu kita.

Penulis ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Tindakan holistik bendung budaya samseng generasi muda


KEJADIAN lebih 30 remaja bersenjatakan kayu, besi, cota dan topi keledar menyerang pelajar dan guru SMK Cheras Perdana, Kajang, Jumaat lalu benar-benar menggemparkan warga sekolah berkenaan serta penduduk sekitarnya. Walaupun pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan menyifatkan ia kes terpencil, namun kejadian itu tidak sepatutnya berlaku di sekolah dan menjadikan pelajar sebagai mangsa. Sehingga semalam, polis menahan 20 remaja, termasuk pelajar untuk membantu siasatan. Serangan ala samseng dilakukan remaja berusia antara 15 hingga 21 tahun ternyata meresahkan banyak pihak, apatah lagi berlaku berhampiran kawasan sekolah. Berdasarkan bilangan mereka yang terbabit dalam serangan itu adalah ramai, kita percaya kejadian itu tidak berlaku secara spontan, sebaliknya dirancang rapi. Tentunya ada kaitan yang menjadi sebab dan akibatnya. Pergaduhan, apatah lagi membabitkan tindakan ganas sehingga mencederakan 10 pelajar dan seorang guru bukan budaya rakyat negara in, justeru tindakan  holistik perlu dilakukan untuk membendung gejala ini kerana ia melibatkan generasi muda yang menjadi aset negara pada masa depan. Walaupun kejadian itu sudah menjadi kes polis, namun kita harap pihak sekolah harus bertanggungjawab melakukan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Ia akan membolehkan pengurusan sekolah memperketat kawalan disiplin pelajarnya bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang, memandangkan antara suspek yang disiasat polis adalah beberapa pelajar sekolah itu sendiri. Mereka juga boleh meningkatkan kawalan keselamatan untuk melindungi warga sekolah berkenaan.

Ketika kita menyambut baik tindakan segera polis menyiasat dan memastikan golongan terbabit dikenakan tindakan tegas, kita juga berharap pelbagai pihak melapangkan fikiran mencari kaedah menangani isu disiplin yang semakin ketara sekarang. Tindakan undang-undang saja tidak memadai kerana isu jenayah kekerasan membabitkan gejala sosial memerlukan tindakan kemanusiaan dan pendekatan holistik. Mencari punca keganasan generasi muda wajar diutamakan kerana isu sosial bagaikan barah yang perlu ditangani sejak awal. Psikologi remaja, apatah lagi di kawasan urban di Lembah Klang memerlukan kajian menyeluruh. Masalah rumah tangga, krisis keyakinan dan ekonomi keluarga di kawasan pesat membangun memerlukan pendekatan menyeluruh. Keganasan dan tindakan samseng tidak datang dengan sendiri. Banyak faktor penyumbang. Ahli kaji sosial wajar memberi fokus apakah keganasan generasi muda ada kaitan dengan perubahan cara hidup yang kini didominasi persekitaran yang lebih kompleks? Memang kita akui bukan semua generasi muda terbabit dengan keganasan, namun tindakan segelintir pihak boleh menyebabkan masyarakat bimbang ia menular menjadi budaya baru yang menghakis nilai murni amalan masyarakat Malaysia yang menjadi amalan sejak dulu.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Memulih imej SPR



Oleh : ANIS YUSAL YUSOFF


Menjelang PRU 13


MALAYSIA sebagai sebuah negara demokrasi yang dihormati di rantau ini, tentunya tidak terlepas daripada menjadi fokus dunia apabila amalan demokrasi di Asia Tenggara diperkatakan.

Lebih ketara lagi apabila yang diperkatakan itu adalah mengenai prinsip keadilan dalam pilihan raya yang menjadi alat rasmi untuk mengesahkan kewujudan sesebuah kerajaan/pemerintah.

Di negara ini mereka yang layak boleh mengundi untuk memilih wakil mereka di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) sekali dalam lima tahun.

Mana-mana parti atau pakatan yang mempunyai majoriti wakil akan memerintah negara atau membentuk kerajaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai badan bebas dan berkecuali dipertanggungjawab untuk menentukan pilihan raya diadakan dengan bebas, adil dan saksama agar sesiapa juga yang menang atau kalah tidak mempertikaikannya.

Sesuai dengan tanggungjawab yang di pikul, SPR menjadi badan yang diharapkan rakyat untuk mengadili pertandingan antara parti-parti politik atau calon bebas yang berhasrat untuk menawarkan diri bagi mewakili mereka.

Oleh yang demikian, ekspektasi rakyat kepada SPR menjadi sangat penting dalam kita menilai keberkesanannya pada masa ini.

SPR dengan moto Cekap dan Telus mempunyai sejarah tersendiri. Ia telah berjaya menguruskan 12 pilihan raya umum di Malaysia serta berapa puluh atau ratus kali pilihan raya kecil.

Ini rekod yang tidak ada siapa pun boleh ragui. Namun demikian entah kenapa terutama di ambang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), SPR dilihat agak lemah terutama dalam menangkis dan menangani kritikan dan tohmahan yang dilemparkan ke atasnya.

Apakah agaknya isu-isu yang perlu kita amati bersama dalam usaha untuk mencari jalan agar orang ramai tidak terus sangsi dengan ketelusan SPR?

Ketika ini, SPR dilihat mempunyai masalah imej bebas dan telus kerana dianggap memihak dan dilihat seolah-olah menjadi jurucakap kerajaan yang memerintah dalam banyak tindak-tanduknya.

Imejnya turut terjejas apabila membiarkan isu tuntutan Bersih berlarutan sehingga menjadi polemik politik sedangkan ia boleh diselesaikan pada ketika ia mula ditimbulkan dulu. Juga pada ketika Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR dituduh menjadi ahli Umno, cara kedua-duanya menjawab tuduhan tersebut juga tidak menunjukkan kesungguhan bahawa mereka benar-benar ingin memisahkan diri daripada dikaitkan dengan mana-mana parti politik.

Terkini, cara SPR menjawab penemuan-penemuan Projek Analisis Daftar Pemilih Malaysia atau MERAP menjadikan kita lebih sangsi daripada menjawab kesangsian.

SPR pada waktu ini dilihat berada dalam 'defensive mode' dan ada kalanya dalam 'denial mode' pada pandangan ramai.

SPR sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang sangat besar dan penting terutama ke arah menentukan maruah negara Malaysia terus dijaga dan tidak tercemar di mata dunia.

Selain dari menentukan integriti daftar pemilih bersih dan terkini, SPR juga mempunyai tugas-tugas lain. Kesemua ini harus dijelaskan dalam satu kerangka demokrasi yang telus.

Pada waktu ini, sekiranya satu kajian persepsi dibuat dalam kalangan rakyat, sudah pasti majoriti tidak tahu peranan sebenar SPR. Ini yang menyebabkan semua masalah diarahkan kepada SPR termasuk yang bukan dalam bidang kuasa dan bidang tugas mereka.

Dalam beberapa perkara terutama tentang maklumat yang tidak lengkap dalam daftar pemilih sebenarnya adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Pendaftar Negara dan sesiapa juga yang datang dengan kad pengenalan yang sah, maka SPR bertanggungjawab untuk mendaftar mereka sebagai pemilih dan tidak boleh menolaknya.

Dalam era sosial media di mana maklumat diperoleh hanya dengan sentuhan jari sahaja, adalah tidak wajar untuk memberi alasan tanpa mengambil kira bagaimana teknologi dapat menyelesaikan masalah yang dibangkitkan.

Sistem di Jabatan Pendaftaran Negara perlu diselaraskan dengan SPR, malah perlu diselaraskan dengan semua kementerian bagi memudahkan perkhidmatan kerajaan agar sistem penyampaian akan lebih berkesan.

Dengan ini apabila ada kesangsian bahawa terdapat lima nama yang sama dalam daftar pengundi makadengan mudah pihak SPR dapat menunjukkan bahawa mereka sebenarnya adalah individu yang berlainan berdasarkan gambar-gambar dan alamat serta nombor kad pengenalan.

Bukanlah sesuatu yang pelik bagi sebuah negara dengan 28 juta penduduk untuk mempunyai dua atau lebih rakyat yang mempunyai nama dan tarikh lahir yang sama. Cuma cara kita menjelaskan perkara ini yang perlu diperbaiki.

SPR mungkin sudah melakukan ini, tetapi sekiranya belum, adalah sangat wajar untuk SPR melatih beberapa orang jurucakap bagi pihak badan ini dalam pelbagai bahasa (Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil, Iban, Kadazan dan lain-lain) yang bukan sahaja mempunyai maklumat yang tepat tetapi mahir untuk berkomunikasi dan memberi penjelasan yang logik.

Pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam perlu melihat SPR sebagai sebuah agensi penting dalam negara dan menghantar pegawai-pegawai yang terbaik dalam kerajaan untuk bertugas di sini.

Agensi seperti Mampu perlu dipanggil untuk memberi cadangan bagaimana untuk memodenisasi SPR dan menentukan ada koordinasi dan integrasi dengan jabatan-jabatan lain.

Jangan nanti kegagalan kita berkembang mengikut arus kemodenan sistem demokrasi di dunia mengakibatkan orang ramai yang mahukan perubahan dan pembaharuan dalam amalan-amalan pilihan raya yang semakin lapuk membuat desakan yang lebih kuat.

Kita sedia maklum, di sebalik kesulitan yang dihadapi, SPR masih dapat mengawal keadaan serta bertindak dengan cemerlang dalam bahagian-bahagian penting melaksanakan proses pilihan raya sebenar, iaitu pencalonan, pengundian, pengiraan dan pengumuman keputusan pilihan raya.

Satu tahap kecekapan dan ketelusan yang tinggi dicapai dalam perkara-perkara berkenaan, walaupun hakikatnya ialah pihak SPR terpaksa bergantung pada kejujuran dan keadilan pegawai-pegawai kerajaan dalam melaksanakan fungsi-fungsi tersebut.

Dari segi kebertanggungjawaban, pada waktu pilihan raya nanti, pegawai-pegawai kerajaan yang bertugas perlu bersikap neutral. Sukar untuk SPR mendapatkan keyakinan rakyat dan lebih sukar lagi untuk mengekalkan keyakinan parti-parti pembangkang sekiranya mereka mendapati pegawai-pegawai SPR memihak kepada parti yang memerintah.

Bersandarkan elemen yang agak menonjol ini dalam sistem pilihan raya, SPR harus menjaga keseimbangan bagi mengekalkan laluan bersih agar perjalanan pilihan raya yang bebas dan adil dapat dicapai.

Sebarang kelemahan dan kekurangan dalam sistem pilihan raya dan proses pengurusan pilihan raya akan mengakibatkan rakyat Malaysia dan juga masyarakat luar merasa sangsi terhadap kesahihan kerajaan yang kita pilih serta prinsip kebebasan memilih yang diamalkan di negara ini.

Adalah penting untuk mengatasi kelemahan-kelemahan tersebut kerana ia boleh mendatangkan keburukan kepada prinsip kebebasan memilih yang diamalkan di negara ini.

* Anis Yusal Yusoff, Felo Utama Institut Kajian Etnik, UKM


Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU GLOBAL : Rohingya perlu pembelaan segera



Mustafa Kamal Basri

KRISIS keganasan kaum dan agama di Myanmar sejak 3 Jun lalu yang melibatkan penduduk etnik Rohingya di negeri Rakhine di barat negara itu, kini bukan sahaja menjadi 'duri dalam daging' kepada kerajaan baru Myanmar tetapi juga kepada rantau ASEAN.

Kerajaan baru Myanmar di bawah kepimpinan Presiden Thein Sein kini mengalas tugas berat untuk mencari jalan menyelesaikan segera krisis itu terutama bagi melindungi keselamatan penduduk Rohingya.

Krisis di Rakhine ini memerlukan keikhlasan, komitmen dan kesungguhan daripada kerajaan baru Myanmar bagi mencari punca sebenar, seterusnya menyelesaikannya segera dan untuk selama-lamanya.

Isu utama yang perlu diberi perhatian segera oleh kerajaan baru Myanmar ialah mengkaji semula status penduduk Rohingya yang tidak diiktiraf sebagai rakyat Myanmar, sekaligus menafikan hak mereka untuk menikmati kehidupan sama seperti rakyat Myanmar lain daripada segi pendidikan, kesihatan, sosial, ekonomi dan mengamalkan kepercayaan agama secara bebas.

Maka tidak hairan mengapa Thein Sein mengambil berat terhadap insiden keganasan di negeri Rakhine yang merupakan negeri 'tanah tumpah darah' bagi majoriti penduduk Rohingya yang dinafikan kerakyatannya sejak 1982, semasa zaman pemerintahan junta tentera.

Menggugat

Thein Sein yang mengambil alih pemerintahan awam selepas pilihan raya umum Myanmar pada 2010, berasa bimbang krisis keganasan di negeri Rakhine itu akan merebak kerana ia boleh mengugat dasar pembaharuan yang sedang rancak dilaksanakan oleh kerajaannya yang mula mendapat perhatian daripada masyarakat antarabangsa.

Masyarakat antarabangsa termasuk Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) dilihat sudah mula berlembut dengan Myanmar dan perlahan-lahan menarik sekatan yang dikenakan ke atas Yangoon sebelum ini berikutan rekod hak asasi manusia yang buruk semasa zaman pemerintahan junta.

Thein Sein juga sudah mula dapat merasakan dasar pembaharuannya juga menerima sokongan daripada parti pembangkang termasuk daripada musuh ketat junta tentera sebelum ini, ikon demokrasi Aung San Suu Kyi yang kini mengetuai pembangkang di Parlimen.

Dalam hal ini, Thein Sein mungkin boleh bekerjasama dengan Suu Kyi yang simpati terhadap penderitaan penduduk Rohingya dengan terlebih dahulu menyelesaikan segera masalah kerakyatan penduduk minoriti Islam di Myanmar itu.

Melihat situasi yang berlaku baru-baru ini membabitkan penduduk Rohingya yang beragama Islam dan penduduk negeri Rakhine yang majoriti beragama Buddha menyebabkan Myanmar kini tidak mempunyai pilihan selain menyelesaikan segera isu tersebut.

Kegagalan Myanmar menyelesaikan isu status kerakyatan penduduk Rohingya bukan sahaja akan mengugat dasar transformasi dan pembaharuan demokrasi oleh kerajaan baru Myanmar tetapi juga boleh menggugat perpaduan dan keselamatan Myanmar.

Dasar-dasar penindasan perlu digantikan dengan dasar-dasar keadilan dengan memberi peluang kepada penduduk Rohingya untuk menjalani kehidupan biasa sama seperti penduduk Myanmar yang lain.

Wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi hak asasi manusia di Myammar, Tomas Ojea Quintana turut menggesa kerajaan baru Myanmar segera menyelesaikan 'isu pokok' iaitu diskriminasi ke atas etnik Rohingya.

''Ketegangan (di negeri Rakhine kini) berpunca daripada diskriminasi ke atas etnik dan agama minoriti mengancam pembaharuan demokrasi dan kestabilan Myanmar,'' katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Geneva, kelmarin.

Apa yang penting pada masa ini ialah jaminan keselamatan kerajaan terhadap penduduk Rohingya untuk meneruskan kehidupan seperti biasa dan tindakan segera kerajaan dalam menamatkan konflik berdarah di wilayah itu.

Ini berikutan laporan pelbagai pihak yang menyatakan bahawa keadaan di Rakhine semakin meruncing dengan kejadian pembunuhan masih berterusan, walaupun kerajaan menyatakan situasi kini semakin pulih.

Terbiar


Menurut Pertubuhan Hak Asasi Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia (MERHROM), terdapat laporan menyatakan masih berlaku kejadian rogol dan pembunuhan, selain ramai penduduk Rohingya yang hilang serta beribu-ribu terbiar tanpa makanan, air, perlindungan dan perubatan.

Selain itu, terdapat laporan mendakwa tentera Myanmar yang dihantar ke wilayah itu meminta rasuah dengan mengugut penduduk Rohingya.

PBB perlu bertindak segera menghentikan keganasan ini, bagi mengelakkan keadaan menjadi semakin buruk dengan menghantar wakilnya atau pasukan khas untuk menyiasat keadaan yang berlaku di wilayah itu.

PBB perlu menggunakan segala mekanisme yang perlu untuk campur tangan segera menangani isu keganasan itu sebelum ia menjadi konflik yang boleh mengugat rantau ini.

Kerajaan Bangladesh juga perlu bekerjasama dalam situasi genting sekarang dengan membenarkan pelarian Rohingya terutama wanita dan kanak-kanak yang menaiki bot, untuk memasuki sempadan negara itu bagi mendapatkan perlindungan sementara.

Selain itu, isu kedua yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan baru Myanmar ialah isu berbangkit daripada krisis penduduk Rohingya ini yang sebahagian besarnya menjadi orang pelarian di banyak negara jiran termasuk di Bangladesh, Thailand dan Malaysia.

Di Malaysia sahaja, pada masa ini terdapat terdapat antara 10,000 dan 12,000 orang pelarian Rohingya yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR).

Nasib mereka ini terutama kanak-kanak Rohingya terabai tanpa mendapat pendidikan dan kesihatan yang sempurna.

Kerajaan baru Myanmar perlu menimbang membenarkan pelarian Rohingya untuk pulang ke tanah air mereka dan menerima kerakyatan Myanmar serta diberi jaminan keselamatan tinggal di negara mereka.

Jaminan keselamatan merupakan syarat utama bagi penyelesaian kepada isu pelarian Rohingya ini, memandangkan sebahagian besar daripada kira-kira tiga juta penduduk Rohingya, lari meninggalkan Myanmar dan memilih menjadi orang pelarian adalah kerana mereka merasakan keselamatan mereka tidak dijamin oleh kerajaan junta tentera sebelum ini.

Dalam insiden keganasan terbaru di Myanmar itu, yang disifatkan yang terburuk dalam tempoh beberapa dekad, lebih 30,000 penduduk di wilayah itu kini menjadi pelarian.

Menteri Hal Ehwal Sempadan dan Keselamatan bagi Rakhine, Htein Lin berkata, ''Hampir 31,900 etnik Rohingya dan Rakhine kini ditempatkan di 37 khemah pelarian di seluruh Rakhine.''

Beratus-ratus etnik Rohingya, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak pula cuba melarikan diri ke negara jiran Bangladesh dengan menaiki bot sejak beberapa hari lalu.

Isu orang pelarian Rohingya bukan lagi menjadi masalah dalaman Myanmar dan ASEAN lagi tetapi isu global yang perlu mendapat perhatian badan dunia itu.

Kerajaan Myanmar juga perlu bersedia mengiktiraf pertubuhan-pertubuhan yang mewakili penduduk Rohingya untuk mengadakan perbincangan mengenai nasib dan masa depan penduduk Rohingya.

ASEAN sebagai badan serantau yang turut dianggotai Myanmar boleh bertindak membantu merealisasikan rundingan ini dan seterusnya merangka jalan penyelesaian yang boleh mengatasi masalah penduduk Rohingya selama-lamanya.

Malaysia yang turut menghadapi tempias daripada krisis penduduk Rohingya dengan menanggung kedatangan lebih 12,000 pelarian Rohingya boleh memainkan peranan sebagai orang tengah seperti yang berjaya dilakukan oleh Malaysia dalam isu selatan Thailand dan krisis di selatan Filipina.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Hidup bahagia bergantung kepada keredaan ibu bapa



Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Tanggungjawab, kasih sayang orang tua usah dibeza

SAMBUTAN Hari Bapa mungkin tidak sehebat Hari Ibu daripada segi promosi serta cara meraikannya tetapi itu sedikitpun tidak mengurangkan rasa taat, hormat serta kasih sayang sepatutnya dicurahkan seorang anak kepada bapa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tuhanmu telah memerintah supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada kedua-duanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’, ayat 23).

Jelas kepada kita tanggungjawab anak kepada kedua-dua ibu bapa tidak sepatutnya berbeza walaupun tidak dinafikan kebanyakan anak lebih rapat dengan ibu berbanding bapa disebabkan naluri keibuan yang menyentuh jiwa anak secara langsung.

Walaupun kita sering merujuk hadis yang popular iaitu bagaimana Rasulullah SAW mengulangi kewajipan mentaati ibu sebanyak tiga kali selepas mentaati Allah ketika ditanyakan sahabat Baginda, itu tidak bermakna kedudukan bapa tidak penting seperti ibu.

Pakar Motivasi yang juga Perunding Utama Fitrah Power Resources, Ahmad Shukri Yusoff, berkata keutamaan anak mentaati ibu bapa tidak sepatutnya terpisah kerana kebanyakan ayat Allah menggabungkan hak kedua-dua ibu bapa.

Oleh itu katanya, apabila sesuatu perintah atau tanggungjawab diberi kepada anak untuk disempurnakan terhadap kedua-dua ibu bapanya, bermakna ibu dan bapa sewajarnya menerima hak yang sama.



“Keutamaan kita lihat sentiasa diberikan kepada ibu kerana pengorbanan serta cabaran terpaksa ditempuhi mereka daripada mengandungkan, melahirkan serta memelihara. Lagipun, sikap ibu yang sentiasa bersedia berkorban membuatkan anak lebih rapat dengan ibu mereka.

“Mungkin juga keadaan berlaku disebabkan bapa lebih cenderung dilihat sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab menyediakan keperluan hidup. Kesibukan itu menjadikan mereka tidak rapat, namun ini mungkin saja kerana ada juga anak lebih rapat dengan bapa berbanding ibu,” katanya.

Beliau berkata, budaya mengutamakan ibu bukan berlaku kepada masyarakat di negara ini tetapi ia adalah fenomena bersifat sejagat kerana di mana saja, dapat dilihat anak lebih senang meluahkan perasaan atau mengadu dengan ibu mereka.

Katanya, dari sudut  tanggungjawab  membimbing  serta mendidik anak juga tiada beza kerana kedua-dua ibu bapa wajib memenuhi amanah itu. Jadi, dari sudut layanan juga, tidak ada istilah anak emak atau anak bapa.

Ahmad Shukri berkata, sama seperti kata-kata popular biasa di dengar, ‘di sebalik kejayaan setiap lelaki ada wanita yang menjadi pendorong’, anak-anak boleh menyemat satu lagi kata-kata indah iaitu ‘di sebalik kejayaan seorang anak, ada ibu yang mendoakan’.

Justeru, anak tidak boleh bermegah bahawa semua kebahagiaan atau kejayaan dicapai adalah atas usaha dirinya sendiri kerana tanpa reda Allah serta kedua ibu bapa, mungkin mereka tidak berada di  mana mereka berada sekarang.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Reda Allah bergantung pada reda dua ibu bapa dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.” (Hadis riwayat al-Hakim)

Melihat keadaan masyarakat hari ini, suka atau tidak, kita terpaksa menelan hakikat wujud anak yang tidak menghargai jasa kedua ibu bapa hingga sanggup membiarkan mereka hidup bersendirian tanpa jagaan sempurna.

Tanggungjawab anak terhadap kedua-dua ibu bapa terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab sewaktu mereka masih hidup dan tanggungjawab selepas mereka meninggal dunia.

Ketika kedua-dua ibu bapa masih hidup anak hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada mereka kerana ibu bapa adalah orang yang paling banyak berjasa kepada anak. Apabila kedua-dua meninggal dunia, menjadi tanggungjawab anak mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka.

Sesungguhnya bagi setiap anak, meskipun sudah mempunyai keluarga sendiri, tetap wajib mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa. Anak yang tidak mentaati ibu bapa dianggap anak derhaka dan kesalahan menderhaka termasuk dalam dosa besar.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/