JENAYAH terutamanya yang
melibatkan seksual amat membimbangkan kita sejak kebelakangan ini. Ini kerana
kes-kes yang melibatkan serangan seksual amat luar biasa sekali, malah ia
membabitkan penderaan kanak-kanak hingga membawa maut.
Hati mana yang tidak hiba membaca
laporan akhbar mengenai anak remaja yang diperkosa oleh hampir 40 lelaki,
isteri orang diperkosa beberapa lelaki dan anak kecil dikelar hingga mati.
Semuanya adalah sebahagian episod
sedih yang amat menyayat hati. Malangnya, tidak ada sangat kedengaran
suara-suara lantang mengutuk kekejaman ini oleh pertubuhan sukarela atau mereka
yang selama ini begitu prihatin apabila orang tertentu yang dikatakan dizalimi
mereka membelanya dengan bangkit melakukan pelbagai provokasi yang mengganggu
ketenteraman awam.
Jika ada pun, kebanyakannya hanya
pandai menuding jari menyalahkan pihak berkuasa dan orang lain, bukan mahu
bersama-sama menggembleng tenaga untuk menangani pelbagai kekejaman ini.
Kita tentunya masih ingat kes-kes
perkosaan yang mangsa dicampak keluar daripada bas, dibakar hangus dan banyak
lagi yang berlaku dalam masyarakat kita dalam beberapa tahun sebelum ini.
Adakah kesibukan kita mencari
wang untuk mencari kesenangan hidup atau terlalu sibuk dengan berpolitik dari
pilihan raya umum ke pilihan raya kecil menjadikan isu-isu seperti ini tidak
berbekas di hati kita?
Alangkah malangnya bagi
masyarakat kita yang melihat sesetengah orang yang lantang bersuara di pentas
politik menelanjangkan musuhnya, sedangkan musuh sebenar ini yang menakutkan
kehidupan kita seharian, hanya dilihat sebelah mata dan tidak pun berusaha
memainkan peranan dan pengaruhnya kepada masyarakat untuk menanganinya.
Adakah kita hanya menunggu mangsa
seterusnya yang mungkin anak-anak kita, adik-adik kita, ibu kita malah kaum
keluarga terdekat atau bau-bau bacang malah juga sahabat taulan yang melalui
pengalaman ngeri ini baharulah kita bangkit dan marah semua orang, kecuali diri
sendiri?
Sudah sampai masanya kita
memainkan peranan bersama-sama menangani isu serius ini. Kecelaruan dan
kekeliruan nilai dan pemikiran ternyata menjadi sebab utama mengapa hal seperti
ini tidak dilihat sebagai tanggungjawab bersama.
Kita agaknya keliru antara
kebebasan peribadi dengan hak masyarakat, antara keperluan dan tanggungjawab
bersama dengan tanggungjawab pihak berkuasa malah nilai-nilai mengambil berat,
saling mengambil tahu dan kekeluargaan yang semakin jauh jaraknya dari kita.
Agak malang, tatkala kita
menghampiri usaha untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi,
nilai-nilai ini semakin jauh daripada kita. Jiran tetangga sudah tidak bertegur
sapa. Sahabat handai lebih selesa berkomunikasi melalui khidmat pesanan
ringkas, Internet dan media sosial.
Konsep langit terbuka mengundang
padah dan membentuk nilai-nilai baharu yang berteraskan kebebasan individu yang
keterlaluan, memancing kepada tarikan-tarikan seksual yang bagi setengah pihak
lebih mudah menyalahkan orang lain daripada memperkasakan konsep keimanan dan
kesejahteraan yang diinginkan bersama.
Sudah sampai masanya kita melihat
semula seluruh nilai yang ada dan berusaha membangunkannya semula dalam
kerangka keperluan semasa secara serius, walaupun dengan berpatah balik kepada
nilai-nilai tradisional yang dianggap lapuk dan ketinggalan.
Nilai-nilai tradisional yang
berteraskan kepada kearifan luar biasa yang menyatukan masyarakat dan saling
bersikap prihatin, menjaga kemaslahatan bersama dan berusaha keras menegur dan
memberikan isyarat sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku dalam masyarakat.
Ini juga perlu dilihat secara
menyeluruh yang melibatkan seluruh anggota masyarakat, ilmuwan, pemimpin
politik, pemimpin institusi dan organisasi, ibu bapa dan pelbagai pertubuhan
yang ada.
Kecelaruan nilai yang membentuk
generasi hari ini yang hanya berteraskan matlamat menghalalkan cara seharusnya
dilihat dan difikirkan semula untuk menangani pelbagai gejala yang ada.
Cukup-cukuplah kita memaki hamun
orang lain semata-mata kerana perbezaan pendapat dan pegangan politik
sebaliknya lihatlah kepada usaha positif untuk membangunkan masyarakat masa
depan yang lebih sejahtera dan bahagia, menghormati pendapat orang lain dan
prihatin kepada pelbagai isu yang ada.
Yang penting kembali membangunkan
kekuatan untuk menghadapi gejala-gejala jenayah yang kita depani sekarang ini.
Gunalah saluran agama yang sering
membentuk kita dalam saling menyayangi dan menghormati hak sesama manusia serta
mengawal diri daripada nafsu serakah.
Kita harus mengutuk keras segala
bentuk ancaman ini dan menggembleng apa jua kekuatan yang ada untuk
membanterasnya secara bersama walaupun berbeza pegangan politik dan pandangan.
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar
Kanan, Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/