Rabu, 28 April 2010

Hukuman melampau bukan cara mendidik

Oleh Rejal Arbee
rejal@mcoba.org


Jabatan Pelajaran patut pantau tindakan guru disiplin sekolah


APAKAH sebenarnya yang sedang melanda sekolah kita? Beberapa perlakuan guru sekolah terhadap murid mereka dalam tempoh beberapa hari ini menimbulkan persoalan mengenai tahap kualiti guru. Apa tidaknya jika seorang murid berusia 14 tahun yang dirogol bukan saja tidak mendapat simpati daripada pengurusan sekolahnya, malah dihukum pula dengan menurunkan kelasnya.

Tidak cukup dengan itu, statusnya sebagai seorang pengawas pun ditarik balik. Akibatnya, bukan saja gadis malang ini menghadapi trauma dirogol, malah sekolahnya sendiri menghukumnya dan memencilkannya hingga membuatnya berat untuk kembali ke sekolah. Apa jenis pengurusan sekolah yang kita ada sekarang ini ?

Apakah yang boleh kita harapkan untuk anak kita sekiranya wujud pengurusan jelek seperti ini yang bukan saja tidak berperikemanusiaan, malah memberi gambaran bahawa tidak berhati perutnya mereka itu.

Dalam pada itu, ada pula berita mengenai sikap ganas dan tidak berhati perut seorang guru disiplin terhadap muridnya yang didapati bersalah kerana lambat masuk sekolah atau mengenakan pakaian yang dianggap tidak mematuhi peraturan. Satu kes ialah mengenai seorang pelajar Tingkatan Lima yang menghadapi pelbagai masalah di rumah berikutan kematian bapanya yang memberikan tekanan untuk hidup bagi keluarga malang ini.

Gadis itu mempunyai hanya dua ‘camisole’, satu berwarna putih dan satu lagi berwarna merah muda. Pada satu hari dia terpaksa memakai pakaian dalamnya itu yang berwarna kerana yang putihnya belum kering selepas dibasuh. (Murid ini mempunyai hanya dua helai pakaian itu saja). Disebabkan kesalahan ini, dia ditampar dan dipaksa menanggalkan camisolenya yang digantung dalam bilik guru itu untuk tatapan ramai.

Seorang lagi rakannya yang memakai coli berbintik dipaksa oleh guru disiplin itu menanggalkan colinya dan terpaksa berada dalam kelas tanpa coli. Tidak diberitakan pula apakah sekolah itu sekolah perempuan atau sekolah bercampur. Jika peristiwa itu berlaku di sekolah perempuan hukumannya itu tidaklah seteruk ia berlaku di sekolah campuran.

Tidakkah guru ini prihatin terhadap maruah seseorang hatta muridnya? Bagi saya orang macam ini tidak layak menjadi guru disiplin. Malah tidak layak jadi guru pun. Dia ini tidak tahu untuk bertindak sebagai seorang pendidik.

Menghukum seseorang murid tidak kiralah bagaimana teruk sekali pun kesalahannya bukanlah dengan cara memalukannya. Ini bukanlah satu usaha mendidik namanya. Lebih baik guru disiplin ini cari kerja lain saja.

Dalam pada itu, berita mengenai wujudnya golongan samseng di sekolah juga tidak putus-putus mendapat ruang dalam akhbar. Terakhir mengenai bagaimana seorang murid Tingkatan Dua yang juga seorang anak yatim dikelilingi rakan sekelasnya (perempuan) ketika kawan rakannya itu merogolnya dalam bilik darjah.

Diberitakan juga, itu bukanlah kali pertama dia dirogol. Murid malang itu kemudian dimasukkan sebatang pensel pula dalam kemaluannya. Apa sebenarnya yang sedang melanda sekolah kita ini? Kononnya mahu memantapkan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan. Apakah begini caranya untuk mendapatkan keyakinan ibu bapa terhadap sekolah kebangsaan?

Yang utamanya ialah memastikan semua guru sekolah itu terdiri daripada mereka yang benar-benar berdedikasi dan boleh diharapkan menjadi pendidik berwibawa dan tahu bagaimana hendak menangani pelbagai kerenah murid.

Tetapi apabila ada segelintir saja guru yang sebenarnya tidak layak menjadi guru yang boleh memberikan didikan terbaik bagi murid mereka, maka nama baik sesebuah sekolah itu hatta nama baik keseluruhan sekolah kebangsaan sendiri boleh tercemar. Guru tidak prihatin ini boleh diumpamakan sebagai nila yang setitik itu.

Inilah masalahnya apabila sekolah mempunyai guru seperti itu. Mereka ini bukan saja tidak tahu bagaimana hendak mendidik, tidak tahu bagaimana hendak berikan motivasi dan dalam pada itu, tidak prihatin pula terhadap masalah yang terpaksa dihadapi murid khususnya yang mengharungi kesempitan hidup kerana menghadapi pelbagai kekurangan.

Umum mengetahui kerjaya ini bukanlah menjadi satu profesion pilihan di kalangan ramai yang menjadi guru. Ada antara mereka ini menjadi guru bukan kerana mahu menjadi pendidik, tetapi kerana tidak berjaya mendapatkan pekerjaan lain.

Begitu pun, apabila sudah diterima masuk jadi guru, dia hendaklah sedaya upaya berusaha menjadi seorang guru dan pendidik berwibawa dan penuh dedikasi. Saya akui memang ramai berusaha ke arah demikian untuk menjadi guru yang amat dedikasi dan berusaha memberikan pendidikan terbaik kepada murid mereka.

Malangnya ada pula sejumlah guru yang tidak langsung tahu bagaimana hendak menjadi pendidik jauh sekali pendidik berkaliber. Seperti guru disiplin ini yang sedikit pun tidak tahu bagaimana hendak menjaga maruah muridnya. Malah dia ini sengaja pula mahu memalukan mereka itu.

Ini juga menimbulkan persoalan bagaimana seseorang guru itu dipilih menjadi guru disiplin. Khabarnya buat masa ini pemilihan bergantung kepada guru besar atau pengetua sesebuah sekolah. Tidak tahulah pula apakah sudah ada kriteria yang harus diikuti sekolah apabila hendak melantik seseorang guru menjadi guru disiplin.

Katanya, pemilihan dibuat mengikut urutan mukanya apakah dia seorang yang berperwatakan cenge dan kelihatan garang. Jika inilah kriterianya, maka tidak hairanlah kenapa guru ini hanya tahu menghukum saja. Bukan untuk mencari sebab musabab murid membuat kesalahan dan berusaha menangani masalah dihadapi murid dan memberikan kaunseling.

Mungkin bagi guru ini dia tidak bertanggungjawab mencari punca kenapa seseorang murid bertindak demikian. Diakui majoriti guru memang berdedikasi.

Tetapi apabila wujud watak yang jelas tidak langsung prihatin terhadap kesulitan murid atau tidak mahu tahu latar belakang dan pelbagai hal yang murid terbabit terpaksa tempuhi, apakah ini tidak menampakkan bahawa ada guru yang tidak patut terus membabitkan diri dalam profesion ini?

Dalam pada itu, timbul pula persoalan mengenai Jabatan Pelajaran. Ini adalah kali ketiga dalam bulan ini saya menulis mengenai pelajaran dalam kolum ini. Malangnya tiada sedikit pun reaksi jabatan itu terhadap pelbagai persoalan yang ditimbulkan. Kita lihat pula apakah akan ada reaksi terhadap apa yang dibangkitkan kali ini.

Jika tidak ada juga apa pun reaksi mereka, jelaslah mereka ini tidak ambil kisah atau kata orang tidak ambil ‘pot’ terhadap apa yang dibangkitkan. Tulislah apa yang kamu mahu kami tidak peduli. Apa sangat ia hanyalah satu pandangan oleh seorang yang sudah bersara yang tidak mempunyai apa-apa pun pengaruh.

Kami akan tetap terus saja dengan apa yang kami lakukan selama ini. Apakah ini yang sedang berlaku di Jabatan Pelajaran dan sekolah kita?

Datuk Rejal Arbee ialah Felo Kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia

Sumber : http : //www. bharian.com.my/

Kaedah penentuan harga menurut Islam

Islam tidak melarang peniaga mengambil untung tetapi jangan sampai menindas pengguna. - Gambar hiasan


HARGA memainkan peranan penting dalam menentukan keuntungan kepada penjual. Semakin tinggi harga barang, maka semakin tinggi keuntungan yang diraih oleh entiti yang mengeluar, menjual dan memasarkan barangan tersebut.

Namun, ramai yang tidak memahami bahawa setiap kali mereka menaikkan harga barang, maka semakin meningkat bebanan yang terpaksa ditanggung oleh pengguna.

Maknanya keuntungan yang berlipat-kali ganda akan mendatangkan kesusahan kepada orang lain.

Islam amat menitikberatkan keadilan dan kesaksamaan. Ia selaras dengan salah satu sifat Allah, iaitu Maha Adil. Sekiranya diperhatikan dan diselidiki secara mendalam terhadap hukum-hakam Allah, kita akan mendapati bahawa terdapat banyak nilai-nilai Islam yang dipaparkan secara tersurat dan tersirat.

Allah SWT berfirman: Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang-orang yang benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah, biarpun terhadap dirimu sendiri ataupun ibu bapamu dan kaum keluargamu. Jika ia kaya ataupun miskin, Allah lebih mengetahui keadaan keduanya, maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, sehingga kamu tidak berlaku adil. Jika kamu memutar belitkan, atau enggan menjadi saksi, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan. (An-Nisa': 135)

Sejajar dengan itu, Islam juga mengharamkan kezaliman. Bahkan, Allah menegah daripada cenderung atau menyokong perbuatan zalim walaupun ia dilakukan oleh orang lain.

Firman Allah SWT: Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan. (Hud: 113)

Dalam membicarakan kaedah penentuan harga, sebenarnya tiada dalil dari nas al-Quran dan hadis secara jelas yang khusus menyentuh tentangnya.

Namun, kita boleh menggunakan garis panduan umum berdasarkan prinsip menegakkan keadilan dan menolak kezaliman sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat-ayat sebelum ini.

Maka kaedah paling tepat dalam penetapan harga ialah jangan sampai menyebabkan ada pihak yang dizalimi.

Harga yang diletakkan kepada sesuatu barang yang ingin dikeluarkan jangan sampai menindas pengguna dan jangan mengabaikan hak penjual untuk mendapatkan keuntungan.

Sebaliknya, ia mestilah berada di pertengahan. Ini sejajar dengan sifat 'ibadurrahman (hamba Allah) yang bersifat pertengahan dalam melakukan perbelanjaan sebagaimana yang dicatatkan dalam al-Quran: Dan (hamba-hamba itu) apabila berbelanja tidak boros dan tidak kedekut, dan adalah perbelanjaan itu di tengah-tengah antara yang demikian. (al-Furqan : 67)

Penetapan harga juga perlu berdasarkan kualiti dan kuantiti sesuatu produk. Di sinilah pentingnya kejujuran dan ketelusan di pihak peniaga atau penjual.

Kadang-kadang ada di antara kita yang sanggup meniru atau menciplak produk lain sehingga seakan-akan sama.

Lalu diletakkan harga yang sama untuk mengabui pengguna.

Maka berlakulah suasana yang tidak harmoni di antara pihak penjual dan pembeli. Justeru, letakkanlah harga berdasarkan kualiti sebenar barangan tersebut.

Janganlah disebabkan keghairahan meraih keuntungan yang berlipat kali ganda, kita sanggup menipu para pengguna.

Firman Allah SWT: Dan janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim-hakim dengan tujuan supaya kamu dapat memakan sebahagian dari harta orang lain dengan cara yang berdosa, sedangkan kamu mengetahui. (al-Baqarah: 188)

Namun begitu, kita perlu menyedari bahawa turun-naik harga berlaku akibat daktiviti permintaan dan penawaran di pasaran. Salah seorang ulama tersohor dalam bidang fiqh dan siasah syar'iyyah, Ibn Taimiah (1263-1328) mempunyai gagasan yang jelas tentang persoalan menetapkan harga.

Ibn Taimiah atau nama sebenarnya Taqiad-Din Abul Abbas Ahmad ibn Abd. al-Halim ibn Abd. as-Salam Ibn Taymiya al-Harrani menekankan bahawa sesiapa sahaja termasuk kerajaan tidak boleh terlibat dalam mengaturkan harga.

Ia perlu diserahkan kepada proses normal yang bersandarkan aktiviti pasaran semasa.

Teori yang sama juga dikemukakan oleh Adam Smith (1723-1790) melalui karyanya Wealth of Nation iaitu menyerahkan penentuan harga kepada pasaran bebas. Beliau mengkritik pihak kerajaan yang cuba masuk campur dalam proses penetapan harga.

Pada pandangan saya, kita perlu meraikan harga pasaran dalam menetapkan harga produk yang ingin dijual sekiranya produk-produk sama atau hampir sama spesifikasinya sudah wujud di pasaran.

Namun, kadang-kala pihak kerajaan juga perlu campur tangan dalam meletakkan harga. Contohnya harga siling sesuatu barangan keperluan harian untuk menyeimbangkan keperluan pengguna dan kehendak peniaga-peniaga.

Tanpa kawalan ini, maka peniaga yang tamak pastinya akan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya tanpa mempedulikan perasaan dan bebanan pengguna.

Namun begitu, penjual diharus menaikkan sedikit harga melebihi harga pasaran jika produk tersebut mempunyai nilai tambah (value added). Ini menyebabkan produk berkenaan mempunyai perbezaan dan keistimewaan berbanding dengan produk-produk yang sama di pasaran.

Sebagai contoh, harga sebuah rumah di sebuah lokasi adalah RM150,000. Namun, kerana pemilik rumah itu mahu menjualnya bersama dengan perabot beserta reka bentuk dan dekorasi yang sangat cantik, maka beliau diharuskan menjualnya dengan harga RM200,000 atau lebih.

Islam tidak mengehadkan nisbah untung yang boleh diambil oleh pihak penjual. Sebagai contoh, sekiranya rumah yang dibeli dengan harga RM50,000 pada 10 tahun dahulu, mungkin dapat dijual dengan harga RM1 juta pada masa sekarang.

Banyak faktor yang boleh menyebabkan aplikasi tersebut diharuskan. Antaranya, pembangunan yang pesat di kawasan tersebut atau lokasi yang strategik seperti adanya pasar raya, pengangkutan awam, sekolah dan kemudahan hospital. Oleh itu, permintaan terhadap rumah di kawasan tersebut meningkat.

Rasulullah SAW pernah membenarkan peniaga meningkatkan keuntungan sehingga melebihi 100% dari harga asal.

Ini dapat dilihat melalui Hadis Urwah Al-Bariqi; Sesungguhnya Nabi SAW memberi Urwah satu dinar untuk membeli seekor kambing, maka (atas kebijaksanaannya) dapat dibelinya dua ekor kambing, lalu dijualnya seekor dengan harga satu dinar, lalu ia datang bertemu Nabi membawa satu dinar dan seekor kambing, maka Nabi terus mendoakannya dalam jualannya, yang jika ia membeli tanah sekalipun pasti ia akan mendapat untung. (riwayat Al-Bukhari, no 3642 )

Hadis ini jelas memaparkan bahawa Urwah al-Bariqi telah membeli dua ekor kambing tersebut dengan harga setengah dinar. Namun, beliau menjualnya pula dengan harga satu dinar iaitu 100 peratus nilai untung yang diambil. Rasulullah SAW telah mengiktiraf perbuatan tersebut dan mendoakan Urwah al-Bariqi.

Kesimpulannya, penetapan harga banyak bergantung kepada kejujuran dan ketelusan penjual di samping melihat harga pasaran semasa.

Maka janganlah kita terlalu tamak untuk mendapatkan keuntungan berlebihan sehingga sanggup untuk menaikkan harga barang secara melampau-lampau.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/