Oleh : Tan Sri Alimuddin Mohd
Dom
SEPERTI tahun-tahun lalu,
Persidangan Perkhidmatan Awam (PPA) Ke-17 anjuran Persatuan Pegawai Tadbir dan
Diplomatik (PPTD) dihadiri lebih 800 orang pegawai kanan diadakan di Institut
Tadbiran Awam Negara (Intan) pada bulan lepas. Persidangan bertujuan menyebar
luas maklumat terkini bagi meningkatkan kualiti Perkhidmatan Awam melalui
ceramah, forum dan pameran. Tema persidangan kali ini ialah 'Perkhidmatan Awam
Masa Depan: Peluang dan Cabaran.'
Dalam ucaptama dan perasmian,
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyeru sektor awam supaya
memperkukuhkan konsep 'Agenda Pilihan Rakyat' iaitu menyediakan perkhidmatan
berasaskan kehendak dan permintaan pelanggan.
Menurut beliau, dalam era
pengurusan moden kaedah penyampaian dan peningkatan kualiti perkhidmatan perlu
seiring dengan maklum balas dan keperluan semasa rakyat.
Pendekatan kini tidak hanya
memenuhi kepuasan pelanggan tetapi menjurus kepada kesetiaan pelanggan. Dengan
kata lain penjawat awam perlu memiliki sikap dedikasi, bijaksana dan bersungguh
dalam menilai dan bertindak pantas menyelesaikan sesuatu isu atau aduan. Beliau
menekankan, perkhidmatan awam mestilah menggarap sepenuhnya inovasi dan
kreativiti sebagai pemangkin dalam meningkatkan kecekapan serta keberkesanan
sistem penyampaiannya.
Usia perkhidmatan awam bermula
sejak negara kita dijajah oleh Inggeris. Selepas negara mencapai kemerdekaan ia
diubahsuai mengikut keperluan dan acuan kita sendiri. Perkhidmatan Awam
termaktub dalam Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan yang mengandungi Perkhidmatan
Awam Am Persekutuan, Perkhidmatan Awam Negeri, Perkhidmatan Awam Bersama,
Perkhidmatan Pendidikan, Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, Pasukan Polis
dan Angkatan Tentera. Kini jumlah keseluruhan penjawat awam ialah hampir 1.5
juta orang.
Hakikatnya kemajuan dan
pembangunan negara hari ini mempunyai hubungan signifikan dengan keberkesanan
perkhidmatan awam. Usaha meningkatkan kualiti dan produktiviti sentiasa
dilakukan terutama awal 1990an yang diterajui oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan
Perancangan Pengurusan (MAMPU). Sepanjang 1991 hingga 2007 sebanyak 30 Surat
Pekeliling diterbitkan yang memberi garis panduan dan tumpuan kepada memenuhi
kehendak pelanggan serta menyediakan proses perkhidmatan yang menepati piawaian
berimpak tinggi. Hasil usaha peningkatan kualiti pengurusan perkhidamtan itu
menampakkan kejayaan. Misalnya, inisiatif tahun 2007 memperkenalkan pengurusan
perkhidmatan secara elektronik, pendaftaran perniagaan baru dalam tempoh 1 jam,
bayaran bil dalam tempoh 14 hari, pemulangan cukai dalam tempoh 30 hari,
pasport siap dalam tempoh 24 jam dan penubuhan pusat setempat bagi menguruskan
proses permohonan. Di samping itu dilaksanakan Sistem Perakaunan Berkomputer
yang standard dan menetapkan garis panduan bagi mewujudkan Petunjuk Prestasi
Utama (KPI).
Dalam usaha memacu pembangunan
negara dan menangani persaingan peringkat global anjakan paradigma dan
transformasi perlu dilakukan. Cabaran bidang ekonomi hendaklah dihadapi dengan
impak yang seminimum mungkin dan berusaha keluar daripada kemelut tersebut
dengan kadar yang segera. Rakyat juga perlu dibantu dalam menghadapi keperitan
hidup akibat kegawatan ekonomi.
Pendekatan ekonomi memerlukan
perubahan struktural melalui model berteraskan inovasi dan kreativiti. Strategi
ini membolehkan sektor perkhidmatan berperanan sebagai peneraju kepada
pertumbuhan sektor pembuatan dan perindustrian. Model baru ekonomi ini
diharapkan berupaya melonjakkan ekonomi negara ke peringkat yang lebih tinggi
dan seterusnya menjadi pemangkin daripada negara upper middle income kepada
high income menjelang tahun 2020.
Selain itu penjawat awam perlu
menghayati konsep Gagasan 1Malaysia melalui tema 'Rakyat Didahulukan dan
Pencapaian Diutamakan.' Realitinya mana-mana rakyat yang memerlukan bantuan
perlu dibantu. Dengan itu tiada rakyat yang merasakan diri mereka terpinggir
atau terabai. Setiap individu adalah modal insan yang penting kepada
pembangunan negara di mana kebolehan dan keupayaan mereka perlu dimanfaatkan
sepenuhnya.
Dalam usaha mendepani cabaran
pentadbiran yang berkualiti dan berdaya maju tanggungjawab utama adalah
memastikan negara terus aman, maju dan makmur. Dalam usaha mencapai matlamat
itu penjawat awam hendaklah sentiasa cekap, responsif dan berani membuat
perubahan melalui anjakan paradigma dan melakukan transformasi. Pendekatan
pengurusan bukan sahaja bersifat top-down tetapi melibatkan gabung jalin semua
segmen perkhidmatan yang bermula daripada pemimpin atasan hingga ke jawatan
paling rendah. Sektor awam perlu menjadi pemudahcara kepada penjanaan kekayaan
sektor swasta tanpa mengetepikan peranan mereka sebagai pemelihara kepentingan
awam.
Bagi menilai keberkesanan
perkhidmatan seharusnya tidak hanya melihat kejayaan berasaskan output tetapi
hendaklah berasaskan outcome. Misalnya dalam bidang pendidikan kejayaannya
bukan dikira daripada berapa jumlah sekolah yang dibina atau makmal komputer
yang didirikan tetapi juga melihat pembangunan modal insan. Pendidikan perlu
mengambil kira tiada murid yang buta huruf, akhlak yang terpuji dan pembangunan
sahsiah secara menyeluruh. Dalam melawan najis dadah pula bukan diukur berapa
banyak pusat serenti dibina tetapi menekankan jumlah penagih yang berkurangan
setiap tahun.
Sesungguhnya untuk meningkatkan
tahap pencapaian negara dalam carta kompetitif peringkat dunia dan pelaksanaan
strategi lautan biru maka perkhidmatan awam mestilah sentiasa berdaya saing dan
sedia menghadapi cabaran. Seperti yang dikatakan oleh Datuk Seri Zainal Rahim
Seman, Presiden PPTD dalam ucapan aluan semasa PPA - ''Bagi menjayakan anjakan
paradigma dan transformasi kerajaan maka penjawat awam tidak boleh menggunakan
pendekatan lama untuk menghadapi cabaran pengurusan baru''.
PENULIS ialah Pengerusi Yayasan
Guru Malaysia Berhad dan Ahli Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi
Perkhidmatan Awam.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/