Rabu, 4 Mei 2011

ISU BAHASA : UKM Tubuh Penabayu Martabat Bahasa Melayu

Oleh SUSAN ALBERT KASSIM

BANGI: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dengan mewujudkan sebuah jawatankuasa Penataran Bahasa Melayu (Penabayu).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jawatankuasa itu bertanggungjawab menyelaras aktiviti terjemahan karya-karya besar dunia ke dalam bahasa Melayu selain menjalankan kajian berterusan mengenai pendaulatan bahasa itu.

"UKM tidak pernah tergelincir daripada mendukung misi ini kerana sedar perjuangan Bahasa Melayu terus gagah berasaskan tiga landasan utama," katanya ketika menyampaikan syarahan utama bertajuk Memartabatkan Ekosistem Kegemilangan Ilmu di sini pada Selasa.

Menurut Mohamed Khaled, tiga landasan utama itu merangkumi ilmu global tidak relevan selagi tidak ditafsir, diadun dan dimanfaatkan dalam konteks tempatan, penghormatan dunia kepada kepelbagaian bahasa dan peradaban dunia tidak akan berkembang jika hanya didominasi satu bahasa.

Justeru, bahasa kebangsaan itu tetap memainkan peranan besar kerana ia turut digunakan sebagai bahasa istana, adat istiadat, perdagangan, bahasa ilmu dan pembentukan jati diri.

"Namun, penggunaan bahasa Melayu juga tidak sesekali menafikan kepentingan bahasa dunia lain untuk diperkukuhkan di kalangan warga universiti," ujarnya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, UKM turut berusaha mengantarabangsakan bahasa berkenaan dengan menghasilkan buku panduan penggunaan tatabahasa yang baik dan tepat menerusi projek Kod Amalan Bahasa Melayu di Persada Antarabangsa (KAMPA).

Jelas beliau, buku panduan itu dihasilkan untuk menjadi rujukan masyarakat antarabangsa.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Penyelidik Tempatan Diiktiraf

Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

LANGKAH kerajaan memberi penumpuan dan galakan penuh terhadap penyelidikan dan pembangunan inovasi di institusi pendidikan tinggi (IPT) membuktikan bidang itu mempunyai masa depan cerah untuk dikomersialkan.

Penyelidikan dan inovasi mempunyai impak besar mempengaruhi perjalanan serta perubahan kehidupan sejagat.

Malangnya masih ada mempertikaikan kemampuan hasil penyelidikan dan inovasi tempatan kononnya tidak setandingan dengan penyelidikan di luar negara.

Persoalannya mengapakah sentimen ini wujud di kalangan masyarakat sedangkan mereka sepatutnya berbangga dengan penghasilan produk anak tempatan?

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Noraini Idris, berkata sikap masyarakat yang terlalu mengagungkan hasil penyelidikan dan inovasi luar, perasaan tidak yakin terhadap penemuan anak tempatan serta kurangnya maklumat dan publisiti antara punca wujudnya pandangan skeptikal itu.

Beliau berkata, memang menjadi budaya masyarakat negara ini yang terlalu memandang kejayaan orang luar berbanding hasil sendiri walaupun ia tidak banyak berbeza.

“Malah sudah banyak produk dan kejayaan penyelidikan negara mencipta nama di peringkat antarabangsa, malangnya masih belum mampu membuka mata masyarakat kita.

“Masalah masyarakat sering dimomokkan dengan perspektif salah menyebabkan penyelidikan dan inovasi kita dikelaskan taraf kedua padahal ia tidak benar,” katanya.

Biarpun dibarisi kejayaan demi kejayaan selain pelbagai penemuan baru hingga dunia turut mengiktiraf, bagi masyarakat itu hanya kejayaan picisan jika dibandingkan penemuan luar.

Beliau berkata, sebagai sebuah negara membangun, usaha kini boleh dibanggakan kerana bukan mudah bersaing dengan dunia luar yang berpengalaman dan berkepakaran.

Jika mengikut ukuran kemampuan, katanya, penyelidikan dan inovasi di negara ini masih jauh ketinggalan selain memerlukan pelbagai kemudahan canggih yang tidak mungkin dapat disediakan sekelip mata.

“Namun dalam kekurangan itu, kita masih lagi mampu menghasilkan kejayaan dan ini jelas memperlihatkan usaha keras pelbagai pihak untuk bersaing.

“Kita belum mampu bersaing sepenuhnya, tapi ini bukan bermakna penyelidik tempatan tidak bijak atau berkebolehan, malah penyelidik kita membuktikan hasil penyelidikan mereka turut menjadi rujukan orang luar.

“Ini patut dibanggakan kerana bukan mudah mereka yang lebih maju mengiktiraf kejayaan orang lain. Tapi jika mereka boleh, mengapa kita tidak menyokong?

“Pengukuhan nama negara bukan saja bergantung pada kestabilan ekonomi, politik dan sosial malah pendidikan juga kini menjadi fokus utama negara luar,” katanya.

Menurutnya, kepelbagaian serta pengukuhan penyelidikan dan inovasi memberi gambaran awal kemampuan negara dalam menyediakan sistem pendidikan yang baik.

“Masyarakat perlu faham, pengukuhan itu bukan saja boleh melonjakkan lagi nama negara, malah membuka banyak peluang kerjasama yang boleh menghasilkan impak positif terhadap pembangunan dan sosio ekonomi.

“Jadi, mengapa kita mesti memperlekeh satu usaha murni yang dilakukan ini?,” katanya.

Mengakui kejayaan penyelidikan dan inovasi tidak boleh dinikmati sekelip mata, malangnya itulah kesilapan masyarakat yang sentiasa berharap hasil kajian dibentangkan secepat mungkin.

“Penyelidikan dan inovasi bukan semudah melaksanakan kertas pembentangan kerja, ada standard, prosedur dan pelbagai lagi perlu dipatuhi.

“Ia adalah proses pembelajaran, penambahbaikan dan penyesuaian yang berterusan, kerana itu hasilnya bukan sekelip mata.

“Tambahan pula ada penyelidik yang turut terikat dengan tanggungjawab akademik serta kekangan bajet, menjadikan bidang ini satu cabaran berat.

“Apapun, penyelidik perlu mempunyai semangat kental dan mengetepikan segala tohmahan sebaliknya buktikan dalam keadaan serba kekurangan, mereka boleh berjaya,” katanya.

INFO

CIRI-ciri penyelidikan yang baik adalah berasaskan prinsip saintifik dan etika. Antara ciri saintifik ialah penjelasan, ramalan, corak , pengulangan , replikasi dan kuantifikasi.

Manakala ciri-ciri am adalah seperti objektiviti, keesahan, kebolehpercayaan, kebolehtadbiran serta kebolehtafsiran dan mesti mematuhi nilai atau kod etika yang ditetapkan.

Antara kejayaan dicapai penyelidik negara di persada antarabangsa:

1. Ketua Pusat Kejuruteraan Tisu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ruszymah Idrus dengan jayanya menumbuhkan kulit manusia di makmal menggunakan darah dan sel kulit pesakit itu sendiri.

Usaha ini akan dapat membantu mangsa kebakaran dan pesakit kencing manis pulih lebih cepat sambil mengenepikan risiko penolakan tisu. Inovasi dalam kejuruteraan tisu kulit ini mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila mereka memenangi Anugerah Pingat Emas Geneva di Pameran Antarabangsa Ciptaan, Teknik dan Produk Baru pada 2004.

2. Profesor Dr Fatimah Md Yusoff dari Institut Biosains Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi penyelidikannya bertajuk ‘Natural Booster Kit for High Quality Microalgal Production’ dan Azlan Abdul Aziz (Fakulti Kejuruteraan) dengan penyelidikan ‘A Long Term Triaxial Filration Test System’ yang memenangi emas dalam Pameran Antarabangsa Idea, Rekacipta dan Inovasi (IENA) 2006 di Nuremberg, Jerman.

3. Penyelidik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Faridah Yusuf muncul satu-satunya wanita negara yang berjaya meraih pingat pada pertandingan Invention and New Product Exposition (Inpex) 2007 di Pittsburgh, Amerika Syarikat dengan hasil penyelidikan Carbon Nanotubes/Standard Malaysian Rubber Nanocomposite.

4. Penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Mohamad Nasir Mohamad Ibrahim merangkul emas di pertandingan penyelidikan antarabangsa, 39th International Exhibition Of Inventions di Geneva, Switzerland 2011 melalui hasil penyelidikan, ViscoLigno iaitu formulasi lumpur gerudi yang berupaya mendatangkan manfaat besar dalam industri penggerudian.

5. Profesor Madya Dr Sheikh Hussain Sheikh Salleh dan Profesor Madya Dr Ahmad Zuri Sha’ameri dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memenangi pingat perak di Pameran Ciptaan Antarabangsa ke-29 di Geneva, Switzerland melalui sistem yang dapat mengesan seseorang itu menghidap penyakit angin ahmar dan jantung.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU SOSIAL : Urus kewangan secara bijak pastikan hidup selesa apabila bersara

TEMPOH persaraan sering dianggap hari bagi seseorang berehat daripada alam pekerjaan yang diceburi sejak berpuluh-puluh tahun. Apabila bersara lazimnya seseorang akan berasa gembira kerana mempunyai lebih banyak masa untuk berehat. Mereka juga dapat meluangkan masa bersama keluarga, melakukan amal ibadat dan memberi tumpuan kepada bidang diminati yang selama ini tidak dapat dilakukan kerana kesibukan tugas. Malangnya, ramai juga pesara, walaupun sudah melewati usia emas terpaksa bekerja semula kerana menghadapi masalah kewangan. Ini berikutan kegagalan mengurus wang yang diterima sama ada daripada sumber pencen atau caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Keadaan menjadi bertambah buruk sekiranya ketiadaan tabungan sendiri. Berdasarkan kajian, KWSP mendapati 70 peratus daripada ahli KWSP bersara pada usia 55 tahun menghabiskan caruman mereka antara tahun pertama hingga tahun ke-10. Hasil kajian itu pastinya membimbangkan kita kerana tanpa kedudukan kewangan yang stabil, ia boleh mencetuskan masalah sosial pada penghujung kehidupan seseorang. Bagi pesara mempunyai anak yang mampu menjaga apabila bersara, pastinya dapat menjalani hari tua dengan lebih selesa, tetapi bagaimana pula jika sebaliknya.

Golongan inilah yang terpaksa hidup merempat. Ada yang terpaksa tinggal di rumah orang tua kerana tidak mampu menyara kehidupan sendiri. Kos hidup yang semakin tinggi, terutama kos perubatan menjejaskan kualiti hidup pesara. Justeru, saranan Persatuan Pesara Kerajaan (PPK) agar diwajibkan kakitangan kerajaan menjalani kursus prapersaraan amat bertepatan. Presidennya, Datuk Wan Mahmood Pawan Teh, kelmarin mencadangkan agar kursus berkenaan dilaksanakan sekurang-kurangnya setahun sebelum tamat tempoh perkhidmatan kakitangan kerajaan terbabit. Kita yakin kursus seumpamanya dapat membantu pesara merancang kewangan dengan sebaik-baiknya. Kita akui tidak semua pekerja, termasuk daripada sektor swasta dapat mengurus wang secara bijak. Kita mahu setiap pekerja memahami selok-belok menabung, melabur dan membelanjakan wang secara berhemah menjelang hari persaraan.

Kita tidak mahu pesara menggunakan sebahagian besar wang diperoleh apabila bersara untuk membayar hutang seperti rumah atau kenderaan sehingga tidak dapat menampung kehidupan lain, setidak-tidaknya bagi keperluan makan dan minum. Pesara sewajarnya dapat menambah pendapatan melalui perniagaan yang terhindar daripada risiko kerugian atau penipuan. Kita juga mahu mereka berhati-hati menggunakan wang bagi tujuan pelaburan. Apapun, kursus perancangan kewangan ini tidak sewajarnya diikuti pekerja yang menghampiri usia persaraan saja. Ia sepatutnya turut diberi perhatian kepada pekerja muda agar tidak membelanjakan gaji sesuka hati sehingga tiada tabungan. Mengikut pakar perancangan kewangan, individu bersara memerlukan kira-kira 60 peratus daripada pendapatan akhirnya untuk mengekalkan taraf hidup seperti sebelum bersara. Malah, rakyat Malaysia memerlukan simpanan sekurang-kurangnya RM1 juta untuk memastikan kehidupan selesa apabila bersara. Namun berdasarkan maklumat KWSP, sehingga akhir 2009 bilangan pencarum mempunyai nilai simpanan mencecah RM1 juta cuma 7,464 ahli. Ia satu jumlah yang kecil jika diambil kira 12.35 juta keseluruhan ahli KWSP setakat Mac tahun lalu. Ini bermakna tidak sampai satu peratus pencarum hidup selesa apabila bersara. Justeru, setiap pekerja perlu berhemah dan bijak mengurus kewangan menjelang hari persaraan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/