Selasa, 19 Mac 2013

ISU EKONOMI : Negara menuju status berpendapatan tinggi


Oleh : Ahmad Farizal Hajat dan Shahrizan Salian
 
Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang berada dalam tahun kedua pelaksanaannya pada 2012 mengekalkan momentumnya untuk membawa Malaysia mencapai sasaran menjadi negara berpendapatan tinggi pada 2020.

Sejak dilancarkan pada 2010, program itu telah menambah bilangan projek permulaan (EPP) di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) daripada 131 kepada 152 yang mana daripada jumlah itu, 149 projek telah diumumkan membabitkan komitmen pelaburan RM211.34 bilion tahun lalu.

Menjelang 2020, pelaburan itu dijangka diterjemahkan kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) bernilai RM135.64 bilion dengan sejumlah 408,443 peluang pekerjaan akan diwujudkan.

Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) dalam kenyataannya semalam, berkata bagi 2012 saja, ETP menerima 39 projek dengan menarik pelaburan bernilai RM32.14 bilion yang diunjurkan menyumbang RM6.63 bilion kepada PNK pada 2020 serta mewujudkan 94,702 peluang pekerjaan.

Katanya, semua NKEA telah melepasi petunjuk prestasi utama (KPI) keseluruhan dengan 118 peratus pencapaian manakala Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) hampir mencapai KPI penuh pada 93 peratus.

“Mengikut perangkaan Kementerian Kewangan, PNK perkapita pada 2012 berada pada AS$9,970. Dengan momentum pertumbuhan yang mapan. Unjuran semasa menunjukkan bahawa Malaysia sedang dalam landasan mencapai sasaran PNK perkapita AS$15,000 menjelang 2020,” kata PEMANDU.

Sebagai salah satu komponen Program Transformasi Negara (NTP) yang diusahakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, ETP ialah inisiatif serampang dua mata untuk membina daya tahan ekonomi Malaysia.

Ia mengandungi 12 NKEA yang menzahirkan beberapa sektor penting membabitkan peluang ekonomi di negara ini.

Tumpuan kedua program itu ialah pembentukan landskap ekonomi berdaya saing bagi membolehkan perniagaan di negara ini berkembang menerusi enam dasar penstrukturan bersilang yang dikenali sebagai SRI.

Matlamat utama ETP adalah untuk mencapai PNK perkapita AS$15,000 (RM46,800), mewujudkan 3.3 juta pekerjaan dan meraih pelaburan berjumlah AS$444 bilion (RM1.4 bilion) menjelang 2020 untuk mengangkat Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.

Kenyataan PEMANDU itu menegaskan, kemajuan ketara yang ditunjukkan Malaysia menerusi NTP itu telah diiktiraf pihak luar.

Antaranya, Bank Dunia meningkatkan penarafan global Malaysia dalam Laporan Menjalankan Perniagaan daripada kedudukan ke-18 pada 2012 kepada ke-12 pada 2013 di depan Sweden, Taiwan, Jerman, Jepun dan Switzerland.

Indeks Keyakinan FDI AT Kearney pula meningkat daripada ke-21 pada 2010 kepada ke-10 pada 2012 mendahului negara seperti Perancis, Korea Selatan, Thailand, Vietnam, Kanada dan Turki.

Sementara itu, kedudukan Malaysia dalam Buku Tahunan Daya Saing Dunia Institute for Management Development (IMD) pula meningkat daripada tempat ke-16 pada 2011 kepada ke-14 pada 2012 di depan Australia, United Kingdom (UK), Korea Selatan, Jepun dan Perancis.

PEMANDU berkata, bagi memastikan ketelusan dan ketepatan Laporan Tahunan ETP 2012, firma perkhidmatan profesional bebas, PricewaterhouseCoopers (PwC) dilantik mengendalikan beberapa siri Prosedur Dipersetujui (AUP) untuk projek serta hasil yang diumumkan.

Selain itu, katanya bagi mengekalkan proses yang bebas dan berdisiplin, pencapaian bagi 2012 disemak semula oleh panel Penilai Prestasi Antarabangsa (IPR) yang terdiri daripada sekumpulan individu yang dihormati di peringkat dunia dalam pelbagai sektor serta bidang kepakaran.

Panel IPR itu terdiri daripada Michael Hershman (Presiden Fairfax Group); Ravi Balakrishnan (Perwakilan Residen IMF); Stephen Sedgwick (Pseuruhjaya Perkhidmatan Awam, Kerajaan Australia); Dr Yukon Huang (Penasihat Kanan, Carnegie Asia Program); HK Yong (Penasihat Kerjasama Awam Swasta, Sekretariat Komanwel); Michael Thatcher (Ketua Pegawai Teknologi Asia Microsoft Corporation); Ombeni Yohana Sefue (Ketua Setiausaha Kerajaan Tanzania); Sir Michael Barber (Ketua Penasihat Pendidikan Pearson PLC) dan Dr Andrew Lee (Pengarah Dasar Strategi dan Tadbir Urus Kerajaan Australia Barat).

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Penyatuan masyarakat benteng pertahanan negara


Pandangan IKIM

APABILA negara diceroboh, mempertahankan negara daripada ancaman dan serangan tersebut menjadi tanggungjawab ke atas masyarakat. Bukan hanya barisan pertahanan yang perlu terkehadapan untuk membentengi negara tetapi setiap individu yang bergelar rakyat dalam negara itu perlu juga membentengi diri bagi menghadapi segala kemungkinan.

Apakah bentuk pertahanan itu? Ia bukan lagi turun ke medan juang tetapi masyarakat perlu bersatu hati dan berpadu kata sebagai simbol penyatuan ummah. Sejarah merakamkan contoh yang baik buat kita semua. Kesatuan ummah menjadi faktor persediaan yang menjamin kemenangan umat Islam pada zaman awal dalam mempertahankan negara Islam menghadapi musuh.

Contohnya, walaupun terdiri daripada penduduk asal Madinah yang dikenali sebagai “Ansar" dan para pendatang dari Mekah yang dikenali sebagai “Muhajirin", namun perbezaan asal usul itu tidak menghalang mereka daripada membentuk suatu ummah yang bersaudara dan bersatu padu.

Malah, kekuatan ummah ini bukan sahaja merangkumi mereka yang beragama Islam, tetapi juga para penduduk asal Madinah yang bukan Islam, seperti orang Yahudi, Nasrani dan pelbagai kaum serta suku-suku lain lagi. Bukankah itu sudah cukup menggambarkan kepada kita betapa penyatuan masyarakat ini dilihat sebagai satu pertahanan yang kukuh buat negara?

Dalam konteks sekarang, kesatuan ummah yang wujud pada masa itu biasa disebut sebagai ketahanan nasional. Semua pihak dalam negara berkenaan bersatu hati untuk mempertahankan negara tanpa mengira apa-apa perbezaan yang ada dalam kalangan mereka.

Selari dengan keadaan ini, Allah menyifatkannya dalam Surah as-Saff ayat 4 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh."

Dalam situasi hari ini, apabila tentera dan barisan pertahanan negara sedang berjuang di medan perang, apakah kita turut menyertainya? Mungkin ramai antara kita yang berkobar-kobar semangat juangnya namun kita perlu akur bukan semua orang mempunyai kepakaran, kemampuan dan kemahiran untuk tujuan itu.

Lantas, apakah peranan kita sebagai rakyat? Bukan memporak-perandakan keadaan tetapi terus membentengi negara dengan bersatu dan tidak tuding menuding, cerca mencerca dan saling menyalahi antara satu sama lain.

Pasukan keselamatan menjalankan tanggungjawabnya untuk berjuang mempertahankan negara, dan masyarakat juga perlu berjuang mengelakkan diri daripada mengeruhkan keadaan dengan pertelagahan yang tidak kunjung selesai.

Bagaimanapun, semangat jihad yang berkobar-kobar dan perasaan sanggup mati dalam peperangan tidak dengan sendirinya akan menjamin kejayaan.

Sebaliknya, jihad dalam mempertahankan negara memerlukan persenjataan canggih yang bukan sahaja mampu digunakan dengan sebaiknya, tetapi mampu mengimbangi kuasa ketenteraan malah bertaraf lebih canggih daripada yang dipunyai oleh musuh.

Prinsip tentang persenjataan dan juga teknologi yang berkait dengannya dapat difahami dengan jelas daripada firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 60 yang bermaksud: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh - musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya."

Ia merupakan suatu bidang ilmu yang sangat dituntut agama, kerana menjadi tunggak kepada jihad mempertahankan negara. Justeru, keamanan negara bukan sekadar terletak kepada barisan pasukan keselamatan semata-mata tetapi juga perlu persenjataan dan ilmu ketenteraan yang perlu disinergikan bersama.

Inilah yang harus dipikul oleh masyarakat pelapis hari ini di samping peranan pemerintah dalam menyediakan benteng pertahanan yang kukuh demi kedaulatan negara.

Suatu hakikat yang jelas bahawa bilangan tentera yang ramai dan persenjataan yang canggih tidak semestinya mampu menjamin kemenangan jika angkatan tentera berkenaan mempunyai moral perjuangan yang rendah. Banyak pendapat yang mengatakan, kejayaan dalam peperangan itu banyak bergantung kepada moral atau semangat perjuangan pasukan tentera yang terlibat.

Justeru, jika masyarakat di luar asyik bertelagah, tidak memberi sokongan moral, kata semangat malah mengirimkan doa buat mereka, apakah ia mampu menaikkan semangat juang tentera-tentera negara?

Sejarah Islam membuktikan bahawa moral atau semangat perjuangan ini diberi perhatian yang sangat penting, sehinggakan dianggap sebagai syarat utama dalam menjayakan pertahanan negara.

Namun, sudah pasti ia tidak menjadi halangan dan kesukaran pada ketika itu disebabkan keimanan dan rasa keagamaan yang tinggi dalam diri umat Islam. Ini menjadikan mereka terus bersemangat dalam mempertahankan Islam dan menghapuskan segala halangan terhadap dakwahnya.

Kata-kata yang diungkapkan oleh Khalid Ibn al-Walid, panglima Islam sewaktu berhadapan dengan para pemimpin tentera Parsi sudah cukup menggambarkan keimanan dan ketakwaan yang tinggi kepada Allah SWT. “Saya bawa kepada kamu semua orang-orang yang sukakan mati seperti mana kamu sukakan hidup."

Jika semangat ini dipegang oleh semua anggota pertahanan malah juga masyarakat, ia meletakkan suatu pengharapan dan tawakal yang tinggi kepada Allah setelah berusaha dengan pelbagai bentuk persediaan yang lain. Maka, tidak wajarlah sekiranya hanya pasukan keselamatan yang mempunyai semangat juang tetapi rakyat hanya bersemangat dengan ungkapan di bibir.

Masyarakat di luar juga perlu bersatu padu mengetepikan perbezaan fahaman politik dan merapatkan jurang yang sedia wujud agar ia tidak dilihat sebagai suatu kelompongan oleh musuh negara yang cuba mengambil kesempatan di atas kelemahan kita. Tonjolkan kesepaduan kita dengan mengelakkan pertelingkahan, memurnikan kembali salah faham dan tidak mengkesampingkan doa dan solat hajat.

Ia merupakan salah satu cara kita memanifestasikan kecintaan kepada tanah air dan sokongan kepada anggota keselamatan negara di medan juang di samping memohon bantuan agar dilindungi daripada musibah secara keseluruhannya.

Keamanan negara begitu bernilai, justeru hargailah ia dengan sokongan dan penyatuan kita sebagai rakyat Malaysia yang menjadi tunggak pertahanan sebuah negara. Persepakatan dan permuafakatan setiap anggota masyarakat dan juga pemerintah akan membawa berkat.

Di samping itu, tidak mengetepikan ajaran-ajaran Islam yang lain agar terbinanya sebuah negara yang aman makmur daripada segala persengketaan dan mendapat kerahmatan daripada Allah.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Institut Kefahaman Islam (IKIM).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENCEROBOHAN BERSENJATA DI SABAH : ESSCOM mampu atasi ancaman pengganas


Oleh : Manja Ismail
 
Kerajaan utama keselamatan rakyat

Seorang bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia yang pernah bertugas di Lahad Datu kira-kira 20 tahun lalu memberitahu penulis, perihal orang Suluk keluar masuk ke kawasan Pantai Timur Sabah dengan membawa senjata api, bukanlah perkara baru.

Pada pandangan pihak keselamatan ketika itu, selagi kedatangan mereka tidak mengancam keselamatan penduduk tempatan, tiada tindakan diambil. Lagipun, hampir sebahagian besar yang keluar masuk itu sama ada untuk berniaga secara ‘barter trade’ atau mempunyai hubungan keluarga dengan rakyat tempatan.

“Membawa senjata api di kalangan mereka dari kepulauan Sulu sama seperti orang kampung membawa parang dan golok di negara ini satu ketika dulu. Begitu juga dengan keluar masuk mereka ke negara ini, sama seperti Rantau Panjang dan Sungai Golok atau Padang Besar,” katanya.

Barangkali kerana kebiasaan itulah, sebarang niat jahat mereka ke atas negara ini sukar dihidu oleh pihak berkuasa. Ini ditambah dengan kurangnya kerjasama penduduk tempatan untuk melaporkan kepada pihak berkuasa sama ada kerana hubungan keluarga, bersubahat atau takut.

Berdasarkan senario ini, ancaman keselamatan terhadap rakyat di sepanjang Pantai Timur Sabah tidak mungkin berakhir segera walaupun usaha polis dan tentera menamatkan pencerobohan serta memburu saki baki pengganas mungkin tamat tidak lama lagi. Selain itu, orang Suluk terkenal dengan sifat pendendam dan dengan apa yang berlaku sekarang, kemungkinan mereka datang semula, amat besar.

RASCOM terbukti berkesan

Justeru, pengumuman kerajaan mengenai pembentukan kawasan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu, memang tepat pada waktunya. Walaupun pada sesetengah pihak ia agak terlambat, tiada siapa menjangka rakyat di seberang sempadan yang sejak berpuluh tahun dilayan dengan baik bertukar menjadi musuh.

Kewujudan kawasan keselamatan khas terbukti berkesan dalam menghapuskan ancaman pengganas komunis di Sarawak melalui Rajang Area Security Command (RASCOM) satu ketika dulu. RASCOM yang ditubuhkan pada 1972 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein, ekoran beberapa insiden pembunuhan, kekacauan dan pemusnahan harta awam oleh ahli Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) di Bahagian Ketiga Sarawak.

Kawasan operasi RASCOM meliputi keseluruhan Bahagian Sibu, Sarikei dan Kapit. Ia mempunyai tiga komponen terdiri daripada unit tentera, polis dan awam dengan Ketua Menteri Sarawak dilantik sebagai Pengarah Operasi Negeri.

RASCOM berjaya menghakis ancaman komunis di Sarawak apabila 585 ahli PKKU yang diketuai oleh Bong Kee Chok menyerah diri dalam Operasi Aman pada 1973 dan Ubong anak Nuing beserta 40 ahli turut mengangkat senjata pada 1986. Ancaman komunis di Sarawak berakhir secara rasmi pada 17 Oktober 1990 apabila kerajaan dan PKKU menandatangani perjanjian di Kuching. Berikutan itu, Kabinet membubarkan RASCOM pada 9 November 1994.

Cadangan dipersetujui Kabinet

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika mengumumkan penubuhan ESSCOM baru-baru ini berkata, cadangan yang dipersetujui oleh Kabinet itu akan memberi keyakinan kepada rakyat khususnya di Sabah bahawa kerajaan melakukan apa saja bagi menjamin keselamatan rakyat dan mempertahankan kedaulatan negara.

Kelmarin, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata struktur organisasi ESSCOM akan disiapkan dalam tempoh terdekat oleh sebuah pasukan perundangan. Sebaik saja penubuhan ESSCOM dipersetujui dari segi undang-undang, pelantikan ketua eksekutifnya akan dibuat dengan persetujuan kerajaan negeri.

Buat permulaan, enam balai polis dan tiga lagi pusat kastam, imigresen dan kuarantin akan diwujudkan di kawasan ESSCOM dalam tempoh sebulan. Sebagai langkah jangka panjang, kerajaan mengkaji untuk mewujudkan lebih banyak pembangunan termasuk dalam bidang perumahan dan infrastruktur.

Pasukan keselamatan juga mencadangkan penempatan haram di beberapa kampung di wilayah ESSCOM dibersihkan bagi memastikannya bebas daripada anasir keganasan dan aktiviti haram seperti penyeludupan senjata api dan dadah.

Walaupun penubuhan ESSCOM ini cuba dipolitikkan oleh pihak tertentu, rakyat Sabah, khususnya yang merasai sendiri ancaman keganasan pihak asing itu, pastinya lebih yakin dengan keselamatan masa depan mereka.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/