Khamis, 26 Julai 2012

ISU GLOBAL : Syria menuju kehancuran


Oleh : Mohd Azizuddin Mohd Sani

Syria di ambang perang saudara yang dahsyat sekali. Kehancuran, kejahatan, jenayah perang dan jenayah kemanusiaan yang berlaku menjadikan konflik yang berlaku di Syria adalah yang terburuk pada era revolusi Arab selepas Libya yang membawa kepada pembunuhan pemimpinnya, Muammar Gaddafi.

Setakat hari ini, pemimpin atau Presiden Syria, Bashar al-Assad masih bertahan daripada serangan dan pemberontakan yang dilakukan oleh golongan yang tidak puas hati dengan kekejaman yang dilakukan oleh rejim al-Assad sepanjang revolusi Arab bermula tahun lalu.

Sejak akhir 2011, sekumpulan rakyat yang disertai sebahagian tentera Syria yang berpaling tadah menentang rejim al-Assad dan pejuang jihad dari Kuwait, Tunisia, Algeria dan Pakistan bergabung membentuk Tentera Pembebasan Syria.

Mereka memulakan kempen menentang tentera Syria secara bersenjata. Namun tidak jelas siapa yang memimpin tentera pemberontak ini, namun ia didominasi oleh pejuang Muslim Sunnah menentang tentera Syria yang didominasi golongan Muslim Alawite yang berfahaman Syiah.

Pada 18 Julai 2012, rejim al-Assad menerima tamparan hebat apabila gerakan pemberontakan memasuki Damsyik dan berjaya meletupkan bangunan keselamatan negara ketika mesyuarat penting keselamatan sedang berlangsung.

Serangan itu menyebabkan Menteri Pertahanan, Dawood Rajiha; Timbalan Menteri Pertahanan, Assef Shawkat yang juga abang ipar al-Assad; Ketua Penasihat Keselamatan, Hisham Ikhtiar dan Penasihat Keselamatan, Hasan Turkmani terbunuh dalam insiden itu, manakala Menteri Dalam Negeri, Ibrahim al-Shaar pula cedera parah.

Untuk menghadapi keadaan ini, al-Assad terus melantik Jeneral Fahd Jassem al-Freij sebagai Menteri Pertahanan yang baru. Insiden ini menyebabkan tentera Syria mengukuhkan kedudukannya di Damsyik dan cuba mencari dalang kepada pengeboman itu yang sudah pasti dilakukan oleh orang dalam yang berpaling tadah menyokong puak pemberontak.

Walaupun apa yang berlaku selepas ini, konflik di Syria menyebabkan krisis kemanusiaan yang amat dahsyat. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa setakat ini, antara 9,000 hingga 11,000 penduduk Syria terbunuh, termasuk 2,400 hingga 3,500 puak bersenjata dan 400 kanak-kanak, khususnya dalam peristiwa di selatan bandar Daraa pada Mac 2011.

Ini termasuk juga pembunuhan beramai-ramai 100 penduduk sebuah kampung Al-Qubair yang dikatakan dilakukan oleh tentera Syria. Nilai kemanusiaan diketepikan oleh rejim al-Assad apabila mereka mengebom Homs. Malah, kumpulan militia separa tentera prokerajaan, Shabiha, juga banyak melakukan jenayah perang dan penyeksaan terhadap penduduk awam.

Sebenarnya, jenayah perang dan kemanusiaan juga dilakukan oleh puak pemberontak. Banyak insiden pencabulan hak asasi manusia dilakukan seperti penyeksaan terhadap tahanan, penculikan, dan pembunuhan terhadap penduduk awam, penyokong kerajaan, golongan Shabila dan tentera Syria.

Puak pemberontak juga dikatakan melakukan kesilapan strategi dengan menguasai sebahagian wilayah Homs seperti di Baba Amr yang menyebabkan tentera artileri Syria dihantar untuk memusnahkan pemberontak lantas menyebabkan kemusnahan penempatan dan kematian awam yang berleluasa.

Akhbar yang berpusat di Jerman, Frankfurter Allegemeine Zeitung (FAZ) melaporkan bahawa peristiwa pembunuhan beramai-ramai di al-Qubair dan juga yang berlaku di Hula sebenarnya bukan dilakukan oleh tentera Syria, malah dilakukan oleh pemberontak sendiri.

Mangsa adalah daripada komuniti Syiah dan Alawite. Jadi jenayah pembunuhan kanak-kanak di tempat terbabit sebenarnya dilakukan oleh puak pemberontak. Bagaimanapun, wakil PBB masih belum dapat memastikan siapa dalang yang melakukan jenayah kemanusiaan itu dan masih menyiasat insiden berkenaan.

Apa yang pasti, konflik yang berlaku di Syria menyebabkan lebih 200,000 penduduk awam Syria menjadi pelarian di negara jiran seperti Jordan, Turki, Lubnan dan Iraq.

Tidak banyak tindakan dan tekanan masyarakat antarabangsa yang dapat membantu menyelesaikan konflik di Syria. Pihak pemberontak cuba menarik perhatian dunia akan jenayah perang dan perikemanusiaan yang dilakukan rejim al-Assad untuk menarik campur tangan ketenteraan asing ke Syria seperti yang berlaku dalam konflik di Libya. Puak pemberontak menyedari yang mereka tidak akan dapat menjatuhkan rejim al-Assad sekiranya tiada campur tangan asing walaupun bantuan senjata dan kewangan disalurkan secara rahsia oleh elemen yang menyokong perjuangan pemberontak dan golongan Sunnah di Syria.

Apa yang pasti konflik di Syria adalah lebih kompleks dan rumit untuk diselesaikan berbanding konflik di Libya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my

ISU GLOBAL : ASEAN perlu sepakat berhadapan China

Oleh : Azmi Hassan

BUKAN menjadi rahsia lagi ASEAN sebagai sebuah pertubuhan tidak mempunyai kata sepakat apabila berhadapan dengan masalah tuntutan sempadan maritim yang bertindih di Laut China Selatan walaupun empat negara ahli iaitu Malaysia, Filipina, Vietnam dan Brunei terlibat secara langsung.

Masalah tersebut bagaikan duri dalam daging bukan kerana isu pertindihan di antara sesama negara ahli tetapi kerana ke semua tuntutan empat negara ASEAN itu berkaitan dengan hak yang dituntut pula oleh China.

Ini adalah kerana secara dasarnya Beijing menuntut hampir 80 peratus kawasan maritim Laut China Selatan sebagai hak mereka.

Kegagalan ASEAN mengeluarkan kenyataan bersama selepas Persidangan Menteri-Menteri Luar yang diadakan di Phnom Penh pada 6-13 Julai lepas berpunca daripada masalah tuntutan bertindih Laut China Selatan.

Begitu mengaibkan kerana buat pertama kali dalam 45 tahun sejarah ASEAN, kenyataan bersama yang merupakan manifestasi kesepakatan mesyuarat gagal mencapai persetujuan semua ahli.

Punca utama adalah kerana Pengerusi ASEAN iaitu Kemboja berkeras enggan menerima isu pergeseran Filipina dan China di Scarborough Shoal dan definisi Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) yang masing-masing disarankan oleh Manila dan Hanoi sebagai kenyataan bersama ASEAN.

Alasan yang digunakan oleh Hor Nam Hong iaitu Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Kemboja sebagai Pengerusi sidang adalah kedua-dua isu tersebut bukan masalah ASEAN tetapi masalah bilateral.

Episod tersebut menyerlahkan bagaimana Manila dan Hanoi berpendirian masalah tuntutan bertindih Laut China Selatan perlu ditangani oleh ASEAN sebagai sebuah pertubuhan untuk berhadapan dengan Beijing. Phnom Penh pula berpendapat negara yang mempunyai isu tuntutan tersebut perlu berunding dengan China secara bersendirian tanpa melibatkan ASEAN.

Agak kucar-kacir pendirian ASEAN kerana seminggu selepas kegagalan sidang mencapai kata sepakat, satu kenyataan yang digelar konsensus enam perkara dikeluarkan bagi menebus kegagalan sebelum ini.

Inti pati konsensus tersebut adalah untuk mempercepatkan proses penerimaan Kod Tatacara Laut China Selatan. Paling menarik adalah disaran pertelingkahan sempadan maritim mengguna pakai prinsip perundangan antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).

Walaupun tidak disertakan saranan asal Manila dan Hanoi, tetapi penyataan penggunaan UNCLOS sebagai prinsip penyelesaian pertelingkahan Laut China Selatan adalah pendirian ASEAN yang agak keras kerana selama ini Beijing mengetepikan kehendak perundangan antarabangsa dalam mengesahkan tuntutan mereka.

Walaupun UNCLOS tidak mempunyai peruntukan untuk menentukan kedaulatan kawasan yang dituntut, tetapi definisi mengenai batuan atau pulau yang akan memberi kesan terhadap tuntutan EEZ sesebuah negara adalah begitu rapi dan lengkap.

Begitu pentingnya persetujuan definisi EEZ adalah kerana tuntutan keempat-empat negara ASEAN berlandaskan peruntukan EEZ dalam UNCLOS. Sebab itu garis sempadan maritim yang dituntut adalah spesifik dan nyata.

Masalah dengan tuntutan Beijing pula ialah ia tidak bersandarkan EEZ tetapi hanya berpaksikan kepada sejarah lampau China. Sebab itu garis sempadan yang dituntut adalah begitu kabur dan sukar dinyatakan dengan spesifik oleh Beijing.

Amat mustahil bagi Beijing untuk menerima pakai Kod Tatacara yang mempunyai penggunaan UNCLOS kerana ia langsung tidak memberi kelebihan kepada mereka.

Kesungguhan Beijing untuk menghindari masalah Laut China Selatan dijadikan sebagai isu ASEAN agak berjaya ekoran kegagalan mengeluarkan kenyataan bersama di Phnom Penh.

Strategi bilateral memberi kelebihan kepada Beijing kerana kekuatan ekonomi dan ketenteraan mereka jauh lebih hebat berbanding apa yang dimiliki oleh Manila, Hanoi, Bandar Seri Begawan atau Kuala Lumpur.

Malah pada hari sama konsensus enam perkara dikeluarkan, Beijing telah mengumumkan perasmian bandar Sansha sebagai pusat pentadbiran bagi keseluruhan kawasan Laut China Selatan yang dituntut.

Sansha yang terletak di pulau terpencil Laut China Selatan bukan hanya mempunyai pangkalan pentadbiran tetapi juga pangkalan tentera. Perkembangan ini adalah fasa terbaru strategi tuntutan China untuk memperkukuhkan tuntutan mereka.

Kejayaan ASEAN mengeluarkan konsensus enam perkara walaupun agak terlewat boleh dibaratkan sebagai pencapaian positif ASEAN menangani isu Laut China Selatan.

Tidak dinafikan bahawa Beijing telah memainkan peranan dalam kegagalan ASEAN mengeluarkan kenyataan bersama semasa di Phnom Penh dan tidak keterlaluan jika diandaikan konsensus enam perkara pula berjaya dipersetujui kerana tiada penglibatan China.

Lebih menarik adalah apa yang akan terjadi pada Sidang Kemuncak ASEAN bulan November akan datang kerana ia akan dipengerusikan sekali lagi oleh Kemboja dengan kehadiran China.

Sudah pasti konsensus enam perkara akan dibincangkan sekali lagi dan jika Scarborough Shoal tidak dibincangkan tetapi amat nyata UNCLOS bakal menjadi bahan pergeseran.

Lebih panas lagi adalah selepas tamat jawatan pengerusi ASEAN oleh Kemboja, ia akan diikuti oleh Brunei, Myanmar, Malaysia dan Laos. Struktur organisasi ASEAN memberi kuasa yang agak luas kepada pengerusi untuk mewarnakan setiap keputusan yang dibuat seperti yang telah dipamerkan oleh Kemboja.

Seperti mana yang diandaikan Beijing telah berjaya mempengaruhi Kemboja. China dari awal lagi telah mengintai bagaimana untuk meyakinkan keempat-empat bakal pengerusi ASEAN bahawa masalah Laut China Selatan adalah isu bilateral.

Situasi akan datang dijangka menjadi tidak menentu kerana dua negara bakal pengerusi mempunyai pendirian bahawa isu tersebut adalah masalah ASEAN dan tidak boleh diselesaikan secara bilateral.

PENULIS ialah Geostrategis Institut GeoSpatial dan Sekolah Perdana UTM.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Pegangan agama perkukuh integriti



Oleh : PROF. DATUK OMAR OSMAN

RAMADAN Al-Mubarak datang bersama keberkatan dan kerahmatan, masa untuk kita bermuhasabah untuk bersama-sama melihat di dalam diri kita terhadap amalan, tabiat dan tingkah laku selama ini dalam menjalani kehidupan seharian. Ini juga masa terbaik untuk menilai sendiri sejauh mana integriti kita dengan diri sendiri dan yang lebih penting dengan Allah SWT yang mempengaruhi apa yang kita lakukan dalam kehidupan seharian.

Integriti bukan hanya berkait rapat dengan soal rasuah dan wang ringgit, tetapi jauh daripada itu adalah keyakinan terhadap kewujudan Tuhan dan Maha Pencipta yang menjadikan Dia sebagai Hakim paling berkuasa jika percaya ada kehidupan selepas kematian.

Ini juga berkait rapat dengan kepercayaan terhadap lima teras Rukun Islam dan enam teras Rukun Iman yang diajar sejak awal usia bagi umat Islam. Bukan sahaja kepada umat Islam, mereka yang bukan Islam pun mempunyai teras kepercayaan dan hukum karma yang memandang jijik kepada sikap tidak amanah dan menyeleweng dalam apa jua tindakan dan nilai yang ada. Ini juga adalah prinsip Rukun Negara yang pertama, yang harus dipegang teguh untuk menzahirkan kecemerlangan pada semua peringkat.

Ia menjadi titik tolak integriti yang utama dalam membangunkan sesuatu bangsa yang kuat, sesuatu ummah yang boleh membangunkan tamadun hebat, suatu institusi yang dapat digembleng kekuatannya untuk menzahir pencapaian dengan membangunkan masyarakat, nusa dan bangsanya sekali gus berbangga dipercayai dan dipandang tinggi kepada kekuatan akal budi kita sebagai satu bangsa.

Tiga trilogi budi harus menjadi ingatan bersama iaitu sentiasa berbudi bahasa, berbudi pekerti dan sentiasa berbudi bicara. Ikatan budi yang kuat tidak akan berkompromi kepada perlanggaran kepada nilai-nilai integriti dan sentiasa menjadi pertimbangan utama untuk menunaikan amanah. Tiada kompromi terhadap mereka yang menggadaikan maruah keindahan budi.

Perkara ini juga menjadi tanggungjawab semua yang berada di dalam sesebuah organisasi. Seorang pegawai keselamatan yang memberikan senyuman manis tatkala kita mula memasuki premis organisasi yang memberikan kesegaran untuk memulakan hari yang cemerlang. Kita rasa bahagia apabila pegawai keselamatan kita segak bergaya memeriksa kenderaan lalu lalang, membuat pemeriksaan teliti setiap penjuru organisasi, memastikan harta benda terpelihara dan berbangga tiap kali segala apa yang terkandung dalam deskripsi kerjanya terjaga dan ditunaikan dengan sempurna.

Seorang yang bekerja dan menjaga amanah dalam pejabat, datang dan pulang mengikut masa ditetapkan, tidak membawa balik segala aset pejabat untuk melakukan kerja peribadi, tidak membuang masa dengan kerja-kerja tidak berfaedah kepada tugas dan tanggungjawabnya, mengawal, menyelia dan memastikan tanggungjawab yang diberi dilakukan dengan sempurna termasuk melakukan bayaran mengikut prosedur yang ada. Punchcard sama ada manual mahu pun elektronik bukan menjadi punca menepati masa, tetapi hatilah yang mengingatkan bahawa itu adalah amanah yang dipegang dan ditunaikan.

Bagi universiti atau institusi ilmu, seorang pensyarah atau guru menurunkan ilmunya dengan penuh amanah, sentiasa terkehadapan dalam ilmunya, tidak menyalahgunakan peluang, menjaga tatasusila sebagai pengajar dan pelajar, sentiasa berusaha mendidik anak bangsanya dengan cemerlang, tidak mengambil kesempatan terhadap pelajar dan apa jua yang di bawah kawalan dan kelolaannya, bersikap profesional, tidak memandang rendah dan remeh kepada pelajar bermasalah dan banyak lagi yang harus datang dari hatinya untuk mengelakkan daripada bersikap negatif.

Apatah lagi bagi para penyelidik yang memegang geran besar mahu pun kecil, sedar dan tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukannya, menganggap geran sebagai amanah besar, sedar bahawa setiap sen yang dibelanjakan adalah amanah dan memastikan hasilnya menepati apa yang dijanjikan dan memberi faedah dan kesan kepada proses keilmuan.

Manakala pelajar juga memegang amanah besar dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya. Mereka sedar dengan tugas untuk bersama-sama membanteras segala perbuatan tidak bermoral dan melanggar nilai integriti yang ada dalam mencari ilmu, tidak mengambil kesempatan terhadap pensyarah dengan melakukan tindakan yang tidak sewajarnya malah berusaha keras untuk memastikan kejayaan dicapai melalui jalan yang betul dan mengikut laluan yang diredai Tuhan.

Bagi ketua jabatan, tentunya amanah itu jauh lebih besar. Agama berpesan bahawa setiap kita ada pertanggungjawaban yang harus dijawab di akhirat kelak. Setiap pemimpin ada orang yang dipimpin untuk diselesaikan pertanggungjawaban di sana nanti. Sama ada seorang ibu dan ayah, seorang pemimpin masyarakat mahu pun pejabat, seseorang itu ada integriti dan amanah yang dipikul yang harus kita menjawabnya kelak.

Ini adalah antara contoh kecil yang bermula dari diri sendiri. Tentunya ada hal-hal yang lebih besar, tetapi jika kita lupa kepada hal-hal yang kecil ini, lupa terhadap pentingnya memulakan dengan diri sendiri, lupa bahawa Tuhan menyaksikan setiap apa yang ada dalam hati apatah lagi yang ditunjukkan melalui amalan dan tindakan, maka bermulalah segala tragedi yang menyedihkan kita. Alah bisa tegal biasa. Demikian pesanan orang yang harus kita pertimbangkan apabila kita memulakan sesuatu termasuklah perkara-perkara yang bertentangan dengan etika dan moral mahu pun adab dan trilogi budi yang jika dibiarkan boleh bersarang dalam diri seseorang.

Kita harus belajar rasa bersalah dan rasa berdosa yang teramat apabila kita tahu apa yang kita lakukan itu adalah satu dosa. Agama jelas mengajar kita tentang makna dosa - iaitu satu perbuatan yang kita tahu salah dan tidak mahu orang lain lihat kita lakukannya jika ada orang lain melihatnya.

Ramadan ini seharusnya berupaya untuk kita bertekad, mengukuhkan ikrar, bermuhasabah dan sentiasa bertanyakan kepada diri, adakah rezeki yang diperoleh ini sebenarnya mendapat keberkatan, adakah ia berbaloi dengan apa yang dilakukan, adakah daripada sumber yang halal atau mencurigakan atau shubhah. Kita harus menjawabnya dengan ikhlas, jika berpegang kepada prinsip agama, yakin dan percaya terhadap apa yang kita yakini dan ikhlas sayangkan agama, bangsa, institusi dan tanah air kita ini.

Hanya dengan cara itu, seseorang dapat sama-sama mengemudi seluruh kehidupan untuk mencapai kejayaan, malah kegemilangan dengan penuh amanah, tanggungjawab dan berintegriti tinggi dalam membawa negara mencapai negara maju dalam acuan sendiri yang dapat meneruskan kelangsungan tamadun hidup kita.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SUKAN : Olimpik London 2012: Pentas kecemerlangan atlet




Oleh HAMDAN AHMAD

SELEPAS Sukan Olimpik Beijing 2008, sukan kali ini akan berlangsung bermula 25 Julai hingga 12 Ogos di kota London, sebuah kota metropolitan. London mengambil masa tujuh tahun dalam membuat persiapan bagi menganjurkan sukan berprestij ini dengan perbelanjaan £9.9 bilion (RM46 bilion).

Siri Sukan Olimpik kali ini melibatkan penyertaan 10,490 atlet seluruh dunia, 302 pingat emas untuk dimenangi dan melibatkan 3.500 pegawai keselamatan. Di sini akan tertumpunya atlet-atlet hebat dunia dalam usaha mahu mempamerkan aksi-aksi hebat mereka.

Antara atlet yang akan turun gelanggang di London ialah Usain Bolt, Michael Phelps, Liu Xiang, Yelena Isinbayeva, Roger Federer dan ramai lagi.

Ada antara atlet ini pernah beraksi di Sukan Olimpik Beijing 2008 dahulu dan kali ini mereka berada di kota London untuk beradu tenaga dan kehebatan dengan peserta lain untuk memenangi pingat gangsa, perak atau emas dan pada masa sama untuk memperbaiki rekod pencapaian masing-masing.

Boris Johnson, Datuk Bandar London sudah tentu menjadi individu paling sibuk ketika sukan ini berlangsung bagi memastikan semua tetamu yang datang mendapat layanan yang terbaik.

Begitu juga pegawai keselamatan, mereka juga golongan paling sibuk dalam memastikan keselamatan para atlet dan pengunjung sentiasa terjamin dan bagi mengelak berulangnya tragedi Olimpik Munich 1972.

Falsafah Olimpik adalah berteraskan semangat kesukanan tulen dan juga kecemerlangan pencapaian. Sejak lebih 100 tahun Sukan Olimpik diadakan, salah satu falsafah utama sukan ini diadakan adalah bagi memupuk perpaduan di kalangan para atlet dunia yang bertanding dan masyarakat dunia.

Sukan sudah terbukti mampu merentasi benua dalam konteks memupuk semangat perpaduan dan kesefahaman tanpa mengira perbezaan ideologi di kalangan para atlet dan masyarakat dunia. Kita seharusnya mengangkat setinggi hormat kepada para atlet dari Syria yang turut hadir di London walaupun negara mereka dalam keadaan tidak menentu.

Setiap atlet yang bertanding akan mencuba sedaya upaya menunjukkan kehebatan masing-masing dengan semangat kesukanan tinggi seperti mana yang dituntut oleh piagam Sukan Olimpik itu sendiri. Kalah menang itu memang adat pertandingan. Hanya atlet yang hebat sahaja mampu meraih pingat. Yang lain-lain juga tetap hebat walaupun tewas dalam konteks bertanding dengan semangat kesukanan yang tinggi.

Banyak sebab kenapa ramai atlet beria-ia untuk memenangi pingat di Sukan Olimpik. Dengan memenangi pingat, para atlet akan disanjungi, dikenali dan menjadi iri hati sesetengah individu  atas kejayaan dicapai. Kejayaan yang dicapai oleh seseorang atlet itu dapat menaikkan imej negara yang diwakili di mata dunia. Sebagai contoh, sebut sahaja nama ahli sukan seperti Usain Bolt, orang ramai akan ketahui akan nama negara Jamaica. Ekonomi Jamaica mungkin tidak sehebat Amerika Syarikat, tetapi negara ini hebat kerana dibarisi pelari pecut unggul dunia.

Di samping itu, para atlet yang berjaya dalam Olimpik, terutama mereka yang memperoleh pingat emas, akan dilimpahi ganjaran kewangan daripada kerajaan dan pihak swasta.

Di Malaysia baru-baru ini ada individu yang menawarkan ganjaran berupa jongkong emas bernilai RM2 juta kepada pemain badminton pertama memenangi emas di Olimpik nanti. Tawaran sedemikian sepatutnya dapat mencetus gelombang menaikkan semangat para atlet negara yang akan bertarung di London nanti. Kalaulah dengan ganjaran yang sedemikian, masih lagi atlet negara gagal meraih emas, tidak tahulah apa lagi yang harus kerajaan dan pihak swasta lakukan. Mereka telah melakukan yang terbaik untuk para atlet.

Pihak kerajaan pula ada menawarkan ganjaran pencen RM3,000 sebulan untuk atlet yang berjaya meraih pingat emas. Difahamkan atlet akan dapat menikmati ganjaran pencen ini selepas Olimpik nanti. Ini amat jauh berbeza dengan kakitangan kerajaan yang hanya memperolehi pencen mereka apabila bersara.

Walau apa pun yang diperkatakan, isu pokok adalah tertumpu kepada kecemerlangan sukan itu sendiri. Kecemerlangan sukan perlu ditonjolkan dan dihayati oleh para atlet dan difahami oleh masyarakat dunia.

PENULIS ialah bekas Pemangku Dekan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.


Sumber : http : //www.utusan.com.my/