Rabu, 17 Februari 2010

Bahasa oh bahasa!

Islam menggalakkan umatnya menggunakan bahasa yang indah dan baik-baik apabila bertutur. -Gambar hiasan

BAHASA merupakan suatu elemen yang penting dalam kehidupan. Manusia menggunakan bahasa sebagai medium untuk berkomunikasi, sama ada secara langsung atau bertulis.

Percakapan atau tulisan yang menggunakan bahasa yang baik dan teratur akan memberi makna mendalam dan juga mampu menyentuh perasaan.

Justeru, Islam menggalakkan umatnya menggunakan bahasa yang indah dan baik-baik apabila bertutur.

Rasulullah SAW sendiri berdakwah menggunakan bahasa yang paling baik dan halus dan tidak pernah menggunakan bahasa yang kesat dan kasar dalam pengucapan baginda.

Sifat ini seharusnya dicontohi terutama sekali para remaja supaya dapat menggunakan bahasa yang baik dan teratur dalam percakapan seharian.

Luqman Al-Hakim juga berpesan kepada anaknya, menggunakan istilah 'wahai anakku' yang menggambarkan kelembutan seorang ayah dalam menasihati anaknya sehingga termaktub dalam al-Quran (Luqman:12-19).

Penulis buku motivasi terkenal, La Tahzan (Jangan Bersedih), Dr. Aidh Abdullah al-Qarni juga ada berkata dalam suatu temuramah, "Islamlah yang mengajak orang untuk memiliki kebebasan berekspresi. Tapi ada dua syarat dalam hal ini. Jangan sampai menghina suatu agama dan, kedua, jangan sampai merosak dan memfitnah orang lain."

Ini menunjukkan bahawa bersuara tidak mengehadkan batas pemikiran manusia, tetapi harus dilakukan dengan batas lingkungan yang benar dan beretika.

Namun dapat diperhatikan senario pada hari ini, ialah penggunaan bahasa yang semakin kasar dan kadangkala juga boleh menggugat keimanan.

Ia terserlah dalam penggunaan bahasa di kalangan muda-mudi termasuk remaja, dalam blog penulisan, bait lagu dan puisi, serta dalam rancangan di televisyen atau radio.

Penggunaan bahasa pasar dan bahasa kasar sememangnya kurang enak didengar, namun itulah realiti yang terpaksa ditelan hari ini.

Persoalannya, adakah rancangan-rancangan tidak akan laku sekiranya tidak menggunakan bahasa yang indah dan teratur?

Adakah setiap program memerlukan jenaka yang kadangkala berlebihan dan kurang sedap didengar untuk menarik perhatian penonton?

Adakah bahasa yang digunakan dalam lagu misalnya tidak melambangkan sikap dan jiwa sebenar seseorang itu?

Oleh itu, remaja perlu berfikir secara mendalam akan penggunaan bahasa agar ia tidak menyinggung perasaan orang lain sekalipun untuk menyatakan kebenaran.

Antara gurauan dan igauan

Dalam menggunakan bahasa, perkara-perkara seperti sebutan, ejaan, kosa kata, tanda baca dan sebagainya dipanggil tatabahasa dan ia merujuk kepada struktur dan binaan ayat.

Manakala peraturan-peraturan bagi memilih bentuk sapaan, ganti nama, bentuk hormat, dan perbuatan menyentuh orang, mengiktiraf taraf sosial, taraf pendidikan, usia orang dan lain-lain pula boleh dipanggil sebagai budi bahasa.

Budi bahasa adalah sesuatu yang penting apabila bertutur dan berkomunikasi, walaupun sedang berjenaka dan bergurau.

Yang menjadi masalahnya ialah apabila ramai antara kita yang cuba bergurau tetapi menggunakan bahasa yang kurang enak didengar dan kadangkala mengaibkan orang lain.

Islam tidak melarang berjenaka dan bergurau, tetapi tidak harus berlebih-lebihan. Menghiburkan diri dengan jenaka atau kata-kata gurauan boleh menghilangkan kerisauan hati tetapi dalam masa yang sama ia kadangkala mengundang sensitiviti kepada orang yang terlibat dan mendengar.

Oleh itu, remaja harus sentiasa berhati-hati agar tidak menyinggung perasaan sesiapa dan pastinya kita mengharapkan perbuatan yang serupa daripada orang lain juga.

Allah mencipta manusia dengan akal dan hati, yang saling berbeza tabiat dalam memberikan reaksi kepada perkataan. Akal memproses logik dan hati memproses emosi.

Apabila seseorang memberi tindak balas yang positif, secara automatik emosi akan berasa ceria dan bersemangat dan begitulah sebaliknya.

Apatah lagi sekiranya berjenaka tentang agama yang bermaksud untuk memperlekehkan agama.

Ia mungkin berlaku tanpa disedari, sebagai misalnya berlawak mengenai hukum-hakam yang sudah sedia maklum wajib dilakukan seperti bersolat, berpuasa, dan asas-asas rukun Islam dan rukun Iman yang lain.

Ada juga yang tanpa sedar berjenaka mengenai tuntutan yang wajib dilakukan seperti menutup aurat, menjaga kewajipan dengan jiran dan guru, poligami dan sebagainya.

Paling tidak pun, bergurau dengan memendekkan istilah-istilah yang baik seperti astaga, La'ilah, dan sebagainya dengan tujuan menimbulkan rasa geli hati kepada pendengar. Semua ini akan menjejaskan keimanan walaupun dilakukan tanpa sedar dan niat.

Adalah menjadi suatu kebiasaan pula di masa kini untuk menyelitkan lawak jenaka dalam majlis-majlis ilmu.

Sesetengah orang berpendapat bahawa tanpa jenaka sesebuah ceramah akan menjadi bosan dan tidak menarik.

Mungkin ada benar. Dan mungkin juga ia kurang tepat. Bagaimana ilmu boleh disampaikan secara berkesan sekiranya disampaikan dengan lawak dan terlalu santai? Apakah matlamat sebenar apabila berceramah? Memastikan matlamat seminar tercapai atau membuat orang ketawa?

Justeru, penggunaan bahasa dalam bergurau dan jenaka mesti digunakan sebaik-baiknya kerana dibimbangi boleh membawa interpretasi yang salah yang menyinggung manusia dan hukum-hukum Allah.

Sekiranya ia dilafazkan untuk meredakan ketegangan minda dan sekadar menaikkan suasana ceria, bolehlah dilakukan sekadarnya.

Apa yang penting, gurauan dan jenaka bukanlah jalan untuk mengalih dan menutup pintu kebenaran. Kerana apabila manusia sudah terlalu gembira, kadangkala mereka terlupa akan isu pangkal dan fokus sebenar.

Syirik tanpa sedar

Selain itu kita juga sering disajikan dengan lagu-lagu, sajak, drama atau filem yang menggunakan bahasa-bahasa yang menggambarkan cinta manusia lebih unggul daripada cinta kepada Allah SWT.

Lambakan lagu yang menggunakan istilah seperti 'tidak boleh hidup tanpamu', 'hidup matiku hanya untukmu' dan sebagainya menggambarkan bahawa manusia seolah-olah telah menjadi hamba kepada cinta dan manusia bergantung kepada manusia yang lain sedangkan Allah telah menjadikan manusia dengan kemampuan dan kelebihan yang tersendiri.

Terdapat juga lagu-lagu yang tanpa kita sedari menyalahkan takdir atas musibah yang berlaku, sedangkan dalam Islam kita harus percaya kepada ketentuan qadar dan qada yang Allah tentukan. Lagu digambarkan seolah-olah hidup akan hancur selepas kehilangan sesuatu atau seseorang, ataupun sedangkan kita dituntut untuk bersabar, percaya dan bertawakal kepada Allah.

Begitu juga dengan nyanyian, iaitu pada dasarnya ia tidak sepatutnya melekakan apatah lagi memuja-muja sesuatu selain Nya yang boleh membawa ke arah syirik.

Menggunakan perkataan seperti dewa, dewi, idola dan lain-lain sebagai manifestasi kepada orang yang dicintai adalah sesuatu yang salah.

Sungguhpun ia digunakan untuk menggambarkan betapa agungnya kecintaan terhadap seseorang, ia menyalahi konsep bahawa yang perlu diagungkan adalah Tuhan yang kekal abadi, dan bukan manusia dan dunia yang fana ini.

Harus diingat bahawa pengucapan kepada manusia tidak boleh melebihi tingginya kuasa Allah. Malang sekali apabila radio dan stesen TV juga menyiarkan lagu ini sewenangnya tanpa berfikir akan implikasinya apabila ia menjadi siulan ramai.

Memang tidak salah para remaja menjadi orang-orang yang dinamik dalam menggunakan istilah dan konsep. Tetapi setiap istilah terkandung makna dan makna dalam istilah agama berkait rapat dengan al-Quran dan hadis.

Seperti juga orang-orang Barat mengemukakan istilah-istilah tertentu untuk dipopularkan, tetapi ia terkandung maksud yang bercanggah atau tidak serasi dengan tradisi dan budaya orang Islam.

Orang Barat mengguna pakai sesuatu istilah, kadang-kadang berkait rapat dengan tradisi, budaya dan pancaran daripada sistem kepercayaan atau agamanya.

Para remaja yang hidup dalam negara merdeka amat mustahak menjaga kepentingan jati diri. Memelihara jati diri tidak semestinya menyebabkan para remaja menjadi tertutup terhadap pengaruh baik daripada budaya dan tradisi orang lain.

Budi bahasa yang baik sememangnya menyenangkan hati semua orang dan lebih baik disertakan dengan perbuatan yang yang baik. Bak kata pepatah Melayu, 'Orang berbudi kita berbahasa, Orang memberi kita merasa'.

Kesimpulan

Penggunaan bahasa dalam komunikasi seharian bukan kecil fungsinya. Penggunaan bahasa yang tepat dan benar memberikan makna mendalam dan struktur yang kukuh dalam menyampaikan sesuatu maksud.

Untuk bercakap mengenai kebenaran, tidak semestinya dalam nada yang keras dan kasar. Ia boleh disampaikan dengan nada yang lembut, tetapi tegas dan berprinsip.

Untuk berbeza pendapat juga tidak semestinya meninggi suara atau melukakan, tetapi harus dibalas dengan ilmu, fakta dan berbudi bahasa. Oleh itu, remaja harus berupaya membezakan antara yang baik dan buruk, serta tidak hanya terikut-ikut sesuatu perkataan atau perbuatan hanya dikatakan untuk mengikut peredaran zaman.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Usaha martabat bahasa Melayu dibelit lingkaran lapuk

Bersama Salbiah Ani
dahiyah@nstp.com.my

SAMBUTAN Hari Pejuang Bahasa 152 - 14 Februari - dalam bentuk beberapa program yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Rumah Pena disambut baik sesetengah pengguna bahasa, tetapi ada juga melihatnya sebagai tidak memberi kesan ampuh untuk mengembalikan kegemilangan yang pernah dicatat bahasa itu suatu waktu dulu.

Penat lelah Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam), DBP, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dilihat masih bergerak dalam lingkaran lapuk!

Begitu juga dengan Ceramah dan Forum Bahasa Kebangsaan sempena genap setahun Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) melancarkan perarakan menyampaikan memorandum membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akan diadakan pada 7 Mac ini.

Pandangan yang tidak memihak kepada usaha terbabit disebabkan penganjur lupa mengambil kira aspek bahawa sasaran sebenarnya ialah kesedaran dan mendapatkan penyertaan serta perhatian daripada kelompok yang tidak peduli terhadap daya hayat bahasa Melayu, baik sebagai bahasa harian apalagi dalam hal berkaitan ilmu!

Seorang pengguna bahasa dan pakar linguistik bahasa Melayu ketika ditanya pandangan mengenai Hari Pejuang Bahasa menjawab pertanyaan penulis dengan selamba lagi mengejutkan sehingga penulis terpinga-pinga: “Saya tak ambil peduli mengenai hari itu. Hari kelahiran sendiri pun tak ingat.”

Pengakuan ini pasti mengguris hati pejuang bahasa Melayu, tetapi perlu diingat majoriti rakyat Malaysia kini berfikiran demikian, apalagi masyarakat kelompok bawahan yang terpaksa bertungkus lumus demi meneruskan kehidupan, manakala kelompok menengah atas tidak peduli kerana dibelenggu kemewahan, lalu ‘biaq pi’ bahasa Melayu!

Perkara seumpama ini terjadi bukan saja kerana kesilapan di kalangan kelompok berwewenang yang lupa diri apabila diri sudah menikmati kemewahan dan kuasa, tetapi juga ekoran kealpaan orang bahasa dan sastera selama ini kerana ‘mencicirkan’ kelompok di luar lingkungan sehingga mereka terus jauh daripada milik bangsa sendiri!

Untuk menyuburkan kembali rasa sayang kepada bahasa Melayu dan betapa penting mempertahankan haknya seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Fasal 152 pasti mengambil jangka masa panjang, malahan mungkin lebih lama daripada ulang tahun kemerdekaan negara yang mencatat usia 53 tahun ini!

Dalam hal kebahasaan, Indonesia selalu beruntung kerana kata sepakat yang dicapai dalam memartabatkan bahasa Indonesia sebagai bahasa untuk semua rakyatnya seperti dipersetujui pada Sumpah Pemuda 28 Oktober 1928, terus bertahan sehingga ke hari ini!

Tidak seperti di Malaysia, meskipun haknya sudah diperakukan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1968, Akta Pelajaran 1961/1996, tetapi sentiasa ada usaha mengganggu gugat, seolah-olah seperti suatu dosa jika membiarkan ia bertahan sebagai bahasa untuk semua bangsa, usia dan kedudukan di negara ini!

Kelompok yang memandang remeh hari terbabit juga tidak mahu melihat program itu digunakan sesetengah pihak yang hanya membisu seribu bahasa ketika bahasa Melayu dilanyak dan hanya bersuara selepas dicabar beberapa pihak sehingga mengeluar janji untuk menyaman dan mengadakan perarakan Keranda 152, tetapi akhirnya hanya tinggal janji!

Golongan yang memandang sepi itu juga melihat Hari Pejuang Bahasa tidak perlu kecuali jika bahasa Melayu sudah pupus kerana memperingati sesuatu adalah untuk perkara dan orang yang sudah tiada dan perjuangan bahasa suatu yang bersifat berterusan,

Mereka tidak nampak kewajaran hari terbabit dan Tabung Pembangunan Kegiatan Bahasa dan Sastera yang dilancarkan tanpa sebarang dana daripada pihak berwajib bukan saja tampak lucu, suatu sandiwara dan temberang, tetapi juga boleh digunakan golongan pengambil kesempatan!

Meskipun merah telinga dan terbakar hati mendengar hujah kelompok terbabit, tetapi hakikatnya itulah kenyataan yang sering diabaikan iaitu golongan bahasa mahupun sastera bergerak secara syok sendiri sehingga tampak usaha seperti anjing menyalak bukit, sedangkan bukit yang disalak tidak runtuh dan si penyalak akhirnya kering tekak dan kepenatan!

Sudah pasti gerakan lebih wajar ialah dengan mengambil tindakan seperti memberi ingatan, mengadakan perbincangan dari hati ke hati dan menghantar memorandum apabila berlaku pencabulan bahasa tanpa perlu menunggu kes menjadi busung seperti dalam hal Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)!

Tanpa menafikan hakikat bahawa ia menjadi amanah semua insan bernama Melayu, tetapi tanggungjawab terbabit lebih terpikul di tangan pejuang bahasa dan sastera, apalagi mereka yang terbabit sama serta menyaksikan peristiwa Keranda 152 kerana mereka lebih berpengetahuan, berpengalaman selain disegani kelompok berwewenang negara ini!

Tidak banyak pilihan yang tinggal kini bagi memartabat, memperkasa dan mengangkasa bahasa Melayu di negara ini kerana hakikatnya majoriti Melayu sudah lama tidak boleh bergantung kepada senator yang dilantik ke Parlimen bagi membawa usul berhubung bahasa Melayu.

Peta sejarah negara ini merakam kelompok ini hanya mengulangi apa yang pernah diutarakan editor dan wartawan sastera, meskipun hakikatnya pelantikan mereka berdasarkan ‘wibawa’ masing-masing, lalu tampak semangat juang mereka tidak ke mana dan lebih kepada gah diri selain asal fulus masuk saku!

Peristiwa demonstrasi besar-besaran Kongres Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan (BBBK) di Balai Budaya DBP, Kuala Lumpur, pada 3 Mac 1967 dan perarakan membawa Keranda 152 sambil membawa sepanduk ke kediaman Tunku Abdul Rahman bagi menyampaikan surat protes rakyat akan sikap liberal terhadap bahasa Melayu, akan kekal sebagai tindakan paling berani bangsa Melayu dalam mempertahankan hak bahasa itu!

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Nilai kemanusiaan kian terhakis

Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my

Gejala buang bayi bukti remaja longgar pegangan agama

Dalam tempoh selang beberapa minggu lalu saja sekurang-kurangnya empat kes buang bayi dilaporkan. Gejala itu semakin berleluasa tanpa ada rasa sifat belas kasihan dan perikemanusiaan.

Kejadian terkini, mayat bayi lelaki baru dilahirkan lengkap tali pusat, cukup sifat ditemui dalam keadaan mengerikan, hampir rentung serta kakinya terpisah dalam tong sampah Majlis Daerah Kuala Krai di Jalan Tengku Zainal Abidin, Sabtu lalu.

Seminggu sebelum itu, mayat seorang bayi perempuan baru dilahirkan dihurungi semut ditemui terdampar di pintu pagar Masjid Permatang, Duyong, Melaka selain mayat seorang bayi perempuan ditemui tertanam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang diikuti penemuan bayi perempuan yang masih hidup di Alor Setar, Kedah.

Secara purata, statistik menunjukkan sebanyak 304 kes buang bayi dilaporkan antara 2004 hingga 2007 manakala sejumlah 50 kes buang bayi dicatatkan sepanjang Januari hingga September 2008.

Justeru, pembuangan bayi bukan lagi dianggap kes terpencil, sebaliknya angka yang dicatatkan menggambarkan masalah berkenaan semakin membimbangkan dan ini menggambarkan wujudnya kepincangan isu keruntuhan moral, nilai dan sosial di kalangan masyarakat yang perlu ditangani dengan lebih berkesan.

Apabila ada kes pembuangan bayi, ia turut memperlihatkan nilai kemanusiaan, kasih sayang dan tahap keimanan seseorang itu semakin tipis, seakan tidak tahu hukum dosa dan pahala. Jerih payah sepanjang sembilan bulan mengandungkan bayi itu juga seperti tidak dirasainya. Berdasarkan laporan, kebanyakan gejala pembuangan bayi ini membabitkan belia dan remaja termasuk di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi serta sekolah menengah.

Nada kekesalan terhadap pemasalahan pembuangan bayi mendapat perhatian isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang mahu belia, terutama wanita supaya tidak bersikap terburu-buru dalam melakukan sebarang tindakan termasuk membuang bayi yang dikandung tanpa memikirkan akibatnya.

Rosmah yang kesal dan sedih dengan peningkatan kes yang semakin ketara sejak kebelakangan ini menyifatkan tindakan terbabit sebagai kejam.

Keterlanjuran hubungan terlarang antara lelaki dan perempuan yang lahir daripada pergaulan bebas, hiburan melampau, persekitaran institusi kekeluargaan tidak kondusif, tiada kawalan diri, longgar pegangan agama dan pengaruh televisyen serta internet menyumbang kepada permasalahan itu menjadi semakin parah.

Pensyarah Psikologi Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mariani Md Nor menyifatkan gejala pembuangan bayi tidak lagi dianggap jenayah bermusim kerana setiap saat sebenarnya, di seluruh dunia ada saja kes itu dilaporkan.

Di negara kita, kejadian itu semakin menular terutama remaja dan belia di negara ini yang terdedah kepada banyak sumber yang merangsang mereka untuk membuang bayi dengan mudah tanpa rasa bersalah.

Dunia tanpa sempadan dengan kemudahan berkomunikasi dan melayari internet membuka seluas-luasnya pergaulan mereka, berbeza pada zaman dulu yang remaja tidak mengenal apa itu teknologi.

Malah, ada kalangan remaja yang belajar mengenai seks juga menerusi internet, selain daripada banyak filem lucah dan drama yang mengamit mereka untuk melakukan perbuatan tidak bermoral itu tanpa berfikir kesan jangka pendek dan panjang.

Mariani berkata, keadaan bertambah parah apabila kurang pengawasan dan pemantauan ibu bapa terhadap aktiviti anak.

"Suasana dan keharmonian institusi keluarga serta pegangan agama yang longgar memburukkan lagi keadaan. Remaja sudah hilang nilai moral dan sahsiah diri sehingga sanggup buat apa saja sama ada berzina sehingga lahir anak luar nikah. Akibat takut kepada ibu bapa mereka bertindak membuang anak. Tidak mustahil ada kes pelajar yang bersalin di dalam tandas sekolah tanpa pengetahuan ibu bapa dan guru.

"Ada juga kes ibu bapa tahu anak mereka melahirkan anak luar nikah, tetapi dipaksa membuangnya di tempat lain atau dibunuh kerana tidak mahu menanggung malu dengan perbuatan anaknya. Sikap mementingkan diri sendiri ini membuatkan mereka hilang nilai kemanusiaan sehingga sanggup membuang bayi," katanya.

Senario masyarakat sekarang juga yang gemar menjaga tepi kain serta menyisih, mengeji, dan menyindir mereka yang berkelakuan sumbang turut mengundang wanita membuang anak di merata tempat.

Mariani berkata, mereka yang membuang anak itu juga seakan sudah tertanam di fikiran, sekiranya buang anak pasti akan ada orang yang akan mengambil atau menjaganya.

"Di Malaysia, jika ada sesiapa yang menemui anak baru lahir yang dibuang, akan ditempatkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat, rumah perlindungan atau hospital. Fikiran sebegini menjadikan mereka dengan mudah melakukannya tanpa rasa bersalah.

"Justeru, masyarakat perlu mengubah minda dengan lebih positif, bukan lagi berfikiran ortodoks bahawa anak luar nikah itu patut disisih dan jika dibuang ada yang akan mengambilnya," katanya.

Sudah tiba masanya, pihak berkuasa lebih tegas dari segi penguatkuasaan terhadap mereka yang membuang anak termasuk bapa kepada bayi itu dengan dihadapkan ke mahkamah, selain meminda Akta Kanak-Kanak 2001 mengena hukuman berat kepada pesalah bagi membendung masalah itu.

Mariani berkata, jika di negara Barat, ibu bapa akan dikenakan tindakan mahkamah sekiranya mereka didapati membuang anak, sebagai langkah membendung kegiatan dan mengapa tidak dilakukan perkara perkara sama di negara ini.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Kadar Kelahiran dan Kematian Malaysia 2009

KUALA LUMPUR (Bernama) – Malaysia menyambut kedatangan 516,645 bayi tahun lepas (2009), meningkat 3.9% atau 20,231 berbanding tahun 2008.

Selangor kekal dengan kadar kelahiran paling tinggi iaitu 80,110 diikuti dengan Sabah (60,190) dan Johor (58,597), menurut statistik yang diperolehi daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pada 2008, Selangor mendahului dengan 76,932, Johor (58,517) dan Sabah (51,773).

Kadar Kematian

Jumlah kematian tahun lepas ialah 129,922 berbanding 123,335 pada tahun 2008, peningkatan 5.1% atau 6,587.

Selangor juga negeri yang mencatat kadar kematian yang paling tinggi iaitu 16,494 diikuti Johor (15,749) dan Perak (15,467).

Jumlah Penduduk

Menurut laman web Jabatan Perangkaan Negara, jumlah penduduk Malaysia pada 2007 mencapai 27.17 juta dan meningkat kepada 27.73 juta pada 2008 dan dianggarkan bertambah kepada 28.31 juta bagi 2009.

Sejak beberapa tahun lepas, penduduk dalam lingkungan umur 15 hingga 64 tahun merupakan 63% daripada jumlah penduduk negara, 32% berumur bawah 15 tahun, manakala selebihnya berumur 65 tahun ke atas.

Sumber : http : http://info-kesihatan-anda.blogspot.com/