Sabtu, 14 September 2013

ISU PENDIDIKAN : Guru Bahasa Inggeris perlu tingkat kemahiran


JOHOR BAHRU - Guru Bahasa Inggeris perlu mengambil inisiatif untuk mempertingkatkan kaedah pengajaran mereka dan bukan hanya bergantung semata-mata kepada program Kementerian Pendidikan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, inisiatif itu boleh jadi dalam bentuk menghadiri kelas, persidangan malah bertukar-tukar pengalaman sesama kelompok mereka.

"Salah satu bentuk pembangunan profesionalisme ialah guru itu berusaha sendiri untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris melalui kelas tuisyen dan sebagainya.

“Sebagai contoh semasa saya jadi guru besar, apabila dapat tahu Bahasa Inggeris akan jadi bahasa yang digunakan, guru Bahasa Inggeris ambil inisiatif mengajar guru-guru lain. Itu sepatutnya kita lakukan begitu. Jangan hanya berharap pada kementerian semata-mata,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Bahasa Inggeris Negeri Johor kali ke-5, di sini, semalam.

Persidangan itu dihadiri 200 guru sekolah Bahasa Inggeris dari sekolah rendah dan menengah dari Johor serta Tawau, Sabah.

Mary berkata, persidangan tiga hari itu merupakan medan buat guru berkongsi idea dan pendapat dalam meningkatkan pengajaran Bahasa Inggeris dengan lebih berkesan.

Menurutnya, usaha Jabatan Pendidikan Johor menganjurkan persidangan sedemikian patut dicontohi Jabatan Pendidikan di negeri-negeri lain.

“Ini penting kerana apabila hanya membaca dari buku teks sahaja, ia hanya konsep dan teori. “Tapi di sini kita boleh berkongsi pengalaman dan idea bersama guru-guru dan pensyarah lain,” katanya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Bilik darjah makmal pembentuk generasi


Oleh : AHMAD FOA'AD HASHIM

KESUNGGUHAN Kementerian Pendidikan membawa perubahan dan penambahbaikan terhadap sistem pendidikan memang nampak jelas. Program demi program termasuk yang berskala besar seperti penggubalan Pelan Pembangunan Pendidikan, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) atau Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sedang giat dijalankan.

Pada masa sama, program lebih awal yang menjurus kepada usaha peningkatan kualiti sekolah terus juga dijalankan seperti program Kluster Kecemerlangan Sekolah, Sekolah Berprestasi Tinggi dan Tawaran Baru (New Deal). Semuanya memperlihatkan iltizam kementerian untuk mendorong sekolah supaya bekerja lebih keras bagi meningkatkan kecemerlangan masing-masing.

Memikirkan beban membuat perubahan yang bukan sedikit, tentulah rakyat yang juga pelanggan perkhidmatan pendidikan melihat dengan penuh debaran usaha-usaha mengimplimentasikan program-program ini.

Tiada siapa dapat menolak hakikat bahawa operasi teras sekolah sebagai institusi pendidikan adalah melaksanakan pembelajaran dan pengajaran. Tidak hairanlah apabila pembaharuan dilaksanakan, banyak pihak ingin tahu sejauhmanakah program-program ini telah benar-benar sampai ke bilik darjah.

Melalui pembelajaran dan pengajaran inilah berlakunya proses murid mempelajari sesuatu yang kemudiannya membawa perubahan dalam tingkah laku mereka. Faktor ini menyebabkan proses pembelajaran dan pengajaran dijadikan kayu ukur kemampuan mana-mana sistem persekolahan.

Proses pembelajaran

Justeru 'The moment of truth' sebuah sistem pendidikan adalah apabila beribu orang guru melangkah masuk ke bilik darjah dan mengendalikan proses pembelajaran murid. Apa-apa yang mereka mampu lakukan dan yang tidak mampu dilakukan ketika itu, itulah petunjuk kepada keupayaan sebuah sistem pendidikan.

Walaupun ada kegiatan pendidikan di luar bilik darjah seperti aktiviti kokurikulum tetapi kesan langsung pendidikan yang kritikal masih lagi proses pembelajaran di bilik darjah. Bukan untuk tujuan akademik sahaja, proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah sebenarnya dipertanggungjawabkan untuk mencapai matlamat pendidikan yang lebih unggul iaitu sebagai wahana membentuk dan membina generasi baru seperti yang dicita-citakan oleh masyarakat semasa.

Semua kelompok masyarakat di dunia ini menggunakan agenda pendidikan sebagai saluran untuk menjamin keberlangsungan kelompok masing-masing. Hasrat inilah yang diolah oleh kementerian dan diterjemahkan melalui penggubalan pelan induk kurikulum iaitu Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) dan yang terkini KSSR.

Justifikasi

Gagasan yang terkandung dalam kurikulum ini kemudiannya diterjemahkan dengan lebih jelas dan tegas dalam sukatan pelajaran. Hampir semua sukatan pelajaran menghuraikan selengkapnya latar belakang, matlamat dan objektif pembelajaran masing-masing.

Satu usaha memberikan justifikasi kepentingan mata pelajaran berkenaan untuk hadir dalam pembelajaran anak-anak kita. Pembelajaran Sejarah yang diwajibkan dari Tingkatan Satu hingga ke Tingkatan Lima misalnya menyebut antara lain objektif pembelajarannya untuk membina semangat patriotik dan membangunkan kebijaksanaan dengan memanfaat iktibar daripada sejarah.

Manakala matlamat pembelajaran Sains termasuklah untuk menyubur sikap suka menyelidik. Secara ringkasnya, tujuan asal proses pembelajaran dan pengajaran adalah untuk mengupayakan murid mengalami perkembangan diri sehingga mampu mencapai tahap seperti yang dinyatakan dalam matlamat dan objektif sukatan pelajaran.

Kepentingan pembelajaran dan pengajaran juga adalah disebabkan wujudnya apa yang dikenali sebagai keupayaan strategik dan tersendiri mata-mata pelajaran berkenaan. Misalnya pembelajaran Muzik, Seni Visual dan Kesusasteraan berupaya menyentuh sisi halus jiwa manusia yang sangat penting dalam pembentukan manusia yang harmonis.

Manakala pembelajaran berbahasa pula dapat melatih kecekapan dalam berkomunikasi yang menjadi prasyarat kepada berkembangnya pemikiran dan kematangan. Pendidikan agama dan moral dijadikan mata pelajaran kerana keupayaan mata pelajaran ini dalam memupuk sifat diri insan yang mulia. Atas sebab yang sama jugalah mata-mata pelajaran yang lain diajarkan di sekolah.

Wahana

Mata pelajaran ini bila digabungkan menjadi suatu pakej yang lengkap untuk pendidikan generasi muda kita. Jelas sekali semuanya menggunakan pembelajaran dan pengajaran sebagai saluran dan wahana. Demikian besarnya beban yang dipertanggungjawabkan kepada proses pembelajaran dan pengajaran.

Oleh sebab itulah perancangan penambahbaikan sistem pendidikan perlu dipastikan benar-benar sampai ke dalam bilik darjah khususnya yang berkaitan soal kualiti pembelajaran dan pengajaran. Dengan menyentuh titik kritikal proses pendidikan ini diharap lebih berupayalah transformasi pendidikan ini meningkatkan kualiti pendidikan kita.

Sejarah menunjukkan kementerian pernah melaksanakan pelbagai program yang berfokus kepada pengukuhan kurikulum. Awal 80-an KBSR dilancarkan ketika warga pendidik diperdengarkan tentang pembinaan insan kamil.

Diikuti pula dengan KBSM yang menekankan pembentukan insan yang bersepadu ilmu pengetahuannya. Dalam tahun 90-an, digerakkan pula Sekolah Bestari dan Pembelajaran Bestari dengan sasaran penguasaan kemahiran berfikir aras tinggi.

Di samping itu pelbagai program berskala kecil turut dijalankan seperti KBKK (Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif), Pembelajaran Masteri, Penyerapan Nilai Murni, Bahasa Melayu Merentas Kurikulum, Penyungguhan Kendiri, Kemahiran Sempoa dan berbagai-bagai lagi.

Satu tekad yang hadir merentasi semua program ini adalah pembelajaran di bilik darjah mesti diuruskan sedemikian rupa supaya mampu menjadi wahana pembangunan modal insan yang unggul. Bagaimanapun hari ini program-program ini sukar dikesan kedudukannya.

Apakah ada halangan atau apakah wujud arus bawah permukaan yang menyimpangkan pembelajaran dan pengajaran daripada landasan matlamat murni pendidikan ini?

Mungkin elok juga dianalisis mengapa dasar dan program yang digubal dengan begitu sempurna, yang mengadun konstruk teoritikal yang terbaik daripada disiplin ilmu pendidikan; tidak pula dapat bertahan setelah dihantar ke bilik darjah.

Para anggota pendidikan tentu sedar di bilik darjah gagasan KBSR, KBSM atau Pendidikan Bestari tidak terdaya bertahan setelah berhadapan dengan gelombang 'pembelajaran dan pengajaran untuk peperiksaan'.

Persepsi pengajaran sebagai usaha membantu murid lulus peperiksaan membawa kepada amalan pengajaran yang mudah yakni 'menyampaikan pengetahuan dan kemahiran' kepada murid dengan menyebut semula kandungan buku teks atau buku kerja.

Termasuk dalam pakej ini ialah tekanan kepada hafalan, latih tubi, ujian berulang kali, kebergantungan kepada buku kerja dan kepopularan soalan-soalan peperiksaan yang lepas.

Di bilik darjah contoh-contoh soalan peperiksaan dan buku kerja mengatasi peranan sukatan pelajaran. Menghadiri kursus memeriksa kertas jawapan pula menjadi pilihan utama guru. Latar belakang, matlamat, objektif dan fokus sukatan pelajaran yang dicetuskan melalui usaha berfikir dan berbincang dengan panjang lebar, hampir tidak membawa makna lagi.

Pencapaian

Kesan pembelajaran tanpa penyerapan ilmu sukar dilihat dengan mata kasar tetapi yang pasti ia berbahaya. Misalnya, sudah bertahun-tahun kita mewajibkan pembelajaran Sejarah. Tetapi pembelajaran sejarah tanpa menginsafi kandungannya menyebabkan banyak pihak melihat generasi muda kita hari ini seperti tidak belajar sejarah.

Banyak masalah dalam masyarakat hari ini dapat dielakkan jika setiap pembelajaran Sejarah disasarkan untuk pencapaian matlamat pembelajarannya iaitu pemupukan semangat setia negara dan jati diri.

Pembelajaran bahasa sepatutnya melahirkan generasi baru yang mempunyai daya artikulatif yakni kepetahan dan kebijaksanaan dalam mengemukakan pandangan.

Tapi pembelajaran bahasa yang dipelajari sepanjang tempoh persekolahan oleh semua murid yang melalui sistem persekolahan tidak dapat mengelakkan fenomena media sosial kita diserbu oleh penulisan berbentuk emosi, bukannya kupasan dan penelitian yang berteraskan daya keintelektualan.

Baru-baru ini sebuah panel 31 pemikir New York yang diketuai oleh Condoleezza Rice, mantan Setiausaha Negara Amerika Syarikat menerbitkan satu kajian yang merumuskan sistem persekolahan yang lemah adalah satu ancaman kepada keselamatan Amerika (laporan penuhnya US Education Reform and National Security). Di mana-mana bahagian dunia ini termasuk di negara ini, keselamatan negara dan ketenteraman masyarakat memang boleh disusurgalurkan dengan sistem pendidikan.

Guru dari satu sudut merupakan sekumpulan tenaga kerja yang beroperasi di bawah satu sistem pengurusan. Oleh itu, kaedah mengurus dan mengelola kerja mengajar juga perlukan semakan semula.

Di sebalik pelbagai inisiatif yang dijalankan di sekolah kini, belum pula ada pembaharuan, rombakan atau anjakan dibuat ke atas struktur organisasi atau mekanisme pengurusan kerja mengajar. Sekarang ini siapakah yang memberi inspirasi kepada guru ketika bekerja di bilik darjah?

Mungkinkah kekaburan inspirasi ini mewujudkan lompang (vakum) hingga kerja guru tanpa disedari terperangkap dalam amalan yang menjulang peperiksaan lantas terseret pula ke kitaran 'memberi reaksi yang berlebihan' terhadap peperiksaan? Keadaan sudah amat ranum untuk pembaharuan.

Akhir kata, petunjuk-petunjuk yang ada kini sama ada di dalam atau di luar sekolah, semuanya memperlihatkan adanya keperluan yang mendesak agar pelan transformasi pendidikan kita memberi tumpuan yang konkrit kepada selok-belok pembelajaran dan pengajaran.

Bilik darjah perlu terus dipastikan berupaya menjadi makmal pembentuk generasi baru Malaysia menurut acuan yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara. Jika harapan ini diletakkan kepada KSSR, kita masih perlu memikirkan murid di peringkat lain kerana KSSR baru dilaksanakan setakat Tahun Tiga sekolah rendah.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Malaysia Rangkul Juara Pestabola Merdeka 2013



Oleh : SURYATI MOHD NOR

KUANTAN : Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka Edisi ke-41 selepas menewaskan Myanmar 2-0 pada aksi akhir di Stadium Darul Makmur, Sabtu.

Percaturan ketua jurulatih Harimau Muda A ini ternyata berbeza daripada perlawanan sebelum ini dengan menggandingkan dua penyerang di bahagian atas, Wan Zack Haikal dan Rozaimi Ab Rahman.

Rozaimi yang meledakkan dua gol pada aksi sebelum ini menjadi pilihan untuk diturunkan dalam barisan kesebelasan utama.

Juga peluang kepada pemain kelahiran Kelantan, Syahrul Azwari Ibrahim yang diturunkan buat kali pertama dalam barisan utama di bahagian kiri yang sebelum ini dimainkan oleh D. Saarvindran.

Junior Eldstal yang tidak beraksi pada perlawanan menentang Thailand Rabu lalu kelihatan masih belum cergas sepenuhnya selepas mengalami cirit-birit dua hari lalu.

Ternyata permainan kali kedua selepas aksi peringkat kumpulan sebelum ini lebih sengit dengan menyaksikan serangan dilancarkan sebaik sahaja wisel mula dibunyikan oleh pasukan Myanmar.

Kad kuning pertama dilayangkan oleh pengadil, dari Thailand Teetichai Nualjan pada minit kelima kepada Rozaimi selepas pemain itu cuba menyentuh bola menggunakan tangan ketika di depan gol lawan.

Corak permainan agresif skuad kendalian jurulatih dari Korea Selatan, Park Sung Hwa itu tidak menghalang skuad negara untuk melakukan cubaan ke arah gol oleh Junior pada minit ke-16 namun gagal.

Selepas berhempas-pulas cuba mencari gol pertama, cubaan Wan Zack Haikal ditepis penjaga gol Myanmar, Pyaye Phyo Aung lantas Rozaimi yang berada berdekatan dengan gol menyempurnakan bola muntah tersebut.

Dengan kehadiran lebih kurang 30,000 penyokong serta sokongan padu Ultras Malaya menjadikan kerancakan permainan berterusan ke babak kedua.

Aksi kemas penjaga gol negara, Mohd Izham Tarmizi menambah tekanan pasukan Myanmar mencari gol penyamaan.

Minit ke-62 jurulatih Malaysia, Ong Kim Swee melakukan pertukaran pemain pertama dengan mengeluarkan Rozaimi dan memasukan S.Sivanesan.

Biarpun hujan renyai-renyai berterusan, skuad Bawah 23 kebangsaan ini terus mendominasi permainan.

Minit ke-80 Kim Swee sekali lagi melakukan pertukaran pemain dengan memasukkan Saarvindran menggantikan Syahrul Azwari.

Selepas bebebrapa kali percubaan, Junior akhirnya berjaya menjaringkan gol kedua pasukan Malaysia sekali gus mencapai impian untuk meraikan gol pertamanya di kejohanan ini pada minit ke-93 permainan.

Dengan kemenangan ini melayakkan pasukan Malaysia meraih hadiah wang tunai ASD50,000 (RM164,500) selain daripada trofi kejohanan.

Naib juara, Myanmar meraih wang ASD 30,000 (RM987,00), tempat ketiga, Singapura juga meraih wang tunai ASD 20,000 (RM65,800) manakala tempat keempat, pasukan Thailand ASD10,000 (RM329,00)

Sementara itu, Wan Zack Haikal dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai kejohanan, manakalah Rozaimi dipilih sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan tiga gol.

Senarai pemain:

Malaysia

T. Reuben, Md Fadhli Shas, Mohd Irfan Fazail (kapten), A.Thamil Arasu, Wan Zack Haikal Wan Nor, Md Rozaimi Ab Rahman, Junior Eldstal, Mohd Zubir Mohd Azmi, Nik Mohd Shahrul Azim, Mohd Izham Tarmizi, Syahrul Azwari Ibrahim

Myanmar

Pyaye Phyo Aung, Zaw Min Tun, Aung Hein Kyaw, David Htan, Yan Aung Win, Kyaw Zayar Win (kapten), Kyi Lin, Kyaw Ko Ko, Ye Lin Aung, Htoo Htoo Aung, Thein Than Win

Sumber : http : //www.mstar.com.my/