Khamis, 23 Julai 2009

Kelebihan, peristiwa penting Syaaban

HARI ini merupakan hari kedua bulan Syaaban dan kedatangan bulan kelapan dalam takwim Islam itu amat dinanti-nantikan, khususnya golongan 'abidin' kerana ia sebagai petanda bahawa Ramadan al-Mubarak semakin hampir.

Dari segi bahasa, Syaaban membawa maksud berpecah-pecah atau berpuak- puak dan perkataan itu terbit daripada budaya hidup masyarakat Quraisy yang terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.

Pendapat lain pula mengatakan, Syaaban adalah tanda pemisah antara bulan Rejab dan Ramadan.

Rasulullah SAW pada bulan Syaaban telah memperbanyakkan puasa hingga diriwayatkan, baginda berpuasa sebahagian besar pada bulan tersebut.

Seperti mana maksud satu hadis daripada Aisyah r.a katanya: Rasulullah SAW sering berpuasa sehingga kami mengira bahawa baginda akan berpuasa seterusnya dan baginda sering berbuka sehingga kami mengira beliau akan berbuka terus. Dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban. (riwayat al-Bukhari).

Berdasarkan maksud hadis tersebut, jelas Rasulullah telah memperbanyakkan ibadat puasa pada bulan Syaaban berbanding bulan-bulan lain sebelum baginda berpuasa penuh pada bulan Ramadan.

Tidak dinafikan usaha untuk menggandakan amal ibadat tidak seharusnya ditumpukan pada bulan-bulan tertentu tetapi ibadat yang dikerjakan oleh Rasulullah ini wajar diikuti kerana pasti ia mempunyai banyak kelebihan.

Siapa lagi yang harus mendukung sunnah Rasulullah jika bukan kita sebagai umat Nabi Muhammad.

Selain digalakkan berpuasa sunat, kita juga digalakkan memperbanyak bersedekah, membaca al-Quran, bermunajat, berdoa, berzikir, qiamullail dan membaca selawat ke atas junjungan Rasulullah.

Sementara itu terdapat satu peristiwa besar dan paling bersejarah berlaku pada bulan Syaaban iaitu pertukaran arah kiblat daripada Masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis ke Kaabah di Masjidilharam.

Peristiwa pertukaran kiblat itu berlaku di dalam masjid Qiblatain di Madinah iaitu ketika Rasulullah serta para sahabat sedang menunaikan solat Asar.

Peristiwa tersebut berlaku pada tahun kedua Hijrah, dalam bulan Syaaban.

Ia telah dirakamkan oleh Allah di dalam kitab suci al-Quran al-Karim pada ayat 144 surah al-Baqarah yang bermaksud: Kerap kali kami melihat engkau (wahai Muhammad) berulang-ulang menadah ke langit, maka kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai, oleh itu palingkanlah muka ke arah Al-Masjidil Haram (tempat letaknya Kaabah) dan di mana sahaja kamu berada, maka hadapkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar daripada Tuhan mereka, dan Allah SWT tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.

Perubahan arah kiblat itu juga adalah satu tamparan cukup hebat kepada kaum Yahudi yang selama ini berbangga dengan kiblat mereka iaitu Baitulmuqaddis hingga mencemuh dan mengejek umat Islam kerana terpaksa bergantung dan mengikut mereka walaupun dalam menentukan arah solat pada ketika itu.

Artikel asal oleh : SAIFULIZAM MOHAMAD (pengarang@utusan.com.my)

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Asia saksi gerhana matahari

VARANASI, India 22 Julai - Gerhana matahari paling lama pada abad ke-21 menjerumuskan berjuta-juta penduduk di serata Asia ke dalam kegelapan sementara hari ini, mencetuskan suasana keagamaan, ketakutan dan keseronokan di seluruh India dan China.

Peluang yang datang sekali seumur hidup itu dipercayai menjadi gerhana yang disaksikan paling banyak orang dalam sejarah disebabkan laluannya yang meliputi kawasan paling padat dengan penduduk di muka bumi.

Namun peluang itu dibiarkan berlalu oleh berjuta-juta lagi yang berkurung di dalam rumah kerana mempercayai fenomena tersebut membawa petanda buruk.

Seorang wanita terbunuh dalam kejadian rempuhan di kota suci Hindu, Varanasi di mana puluhan ribu penganut agama itu berhimpun di tebing Sungai Gangga sejak subuh lagi.

Polis berkata, wanita berusia 80 tahun itu pitam semasa pengunjung berasak-asak untuk memasuki sebuah kuil dekat tebing sungai tersebut, kemudian meninggal dunia akibat sesak nafas.

Kejadian itu mencetuskan panik yang turut menyebabkan lebih 20 orang lain cedera.

Gerhana matahari penuh selalunya berlaku setiap 18 bulan tetapi gerhana hari ini istimewa kerana tempoh kegelapan 'menyeluruh' yang maksimum selama enam minit dan 39 saat apabila matahari dilindungi seluruhnya oleh bulan.

Tempoh gerhana penuh selama itu hanya akan berulang pada 2132.

Stesen rasmi China Central Television membuat liputan secara langsung tentang peristiwa yang dipaparkannya sebagai 'Gerhana Matahari Sungai Yangtze' kerana laluan fenomena itu meliputi lembangan saliran sungai tersebut.

Berjuta-juta penduduk di beberapa kawasan di barat daya China berpeluang menyaksikan fenomena itu dengan jelas, tetapi pemandangan di sebahagian besar laluannya terjejas disebabkan awan mendung.

Penduduk di Shanghai tidak mempedulikan hujan dan cuaca mendung untuk menyaksikan gerhana itu apabila kegelapan mula menyelubungi pusat perdagangan China tersebut pada 9.36 pagi (waktu sama di Malaysia).

"Sekarang waktu kerja, tetapi kami tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan pemandangan yang begitu menakjubkan. Pengalaman ini sungguh menyeronokkan," kata seorang pekerja di Shanghai, Allen Chen yang keluar ke jalan raya untuk menyaksikan peristiwa itu.

Mereka yang mampu membeli tiket mahal untuk menaiki pesawat sewa khas yang disediakan oleh agensi pelancongan untuk membawa mereka menyaksikan gerhana tersebut bagi tempoh yang lebih lama dengan mengejar bayangnya menghala ke timur.

Bayang atau umbra yang dihasilkan oleh gerhana penuh itu mula kelihatan di negeri Gujarat, barat India sejurus sebelum 6.30 pagi ini (9 pagi waktu Malaysia).

Ia kemudian merentasi India dan meliputi kawasan di antara Bangladesh dan Nepal sebelum menyelubungi sebahagian besar Bhutan, merentasi tanah besar China dan menghala ke laut dekat Shanghai.

Dari sana ia bergerak merentasi pulau-pulau dekat selatan Jepun sebelum membelok ke barat Pasifik. - AFP

Sumber : http://www.utusan.com.my/

KEPENTINGAN MENGUASAI PELBAGAI BAHASA

Perkasa bahasa, perkasa ilmu

TANGGAL 8 Julai 2009 menjadi tarikh bersejarah dalam senario sistem pendidikan di negara kita. Pada hari tersebut, Menteri Pelajaran , Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pendidikan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2012.

Pengumuman ini menjadi klimaks kepada polemik isu PPSMI ini yang berlarutan sejak pelaksanaannya. Pihak kerajaan membuat keputusan tersebut setelah mengambil kira pelbagai aspek termasuk kajian ilmiah, pandangan ilmuwan serta umum dan realiti pelaksanaan dasar.

Sebagai remaja, situasi yang berlaku ini seharusnya menyedarkan kita tentang kepentingan menguasai pelbagai bahasa. Sebagai rakyat Malaysia, bahasa Melayu perlu kita martabatkan, tetapi bahasa lain juga perlu dikuasai demi meluaskan skop pergaulan dan membina jambatan untuk meneroka gudang ilmu daripada bahasa lain.

Memartabatkan Bahasa Melayu

Mengapa bahasa Melayu perlu dimartabatkan? Ini kerana bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi yang dipersetujui semua pihak dalam asas pembentukan negara Malaysia. Bahasa Melayu merupakan bahasa perpaduan, yang diharapkan berhasil menyatukan seluruh masyarakat Malaysia yang berbilang etnik dan budaya.

Terdapat lebih daripada 2,000 istilah dalam bahasa Melayu yang berasal daripada bahasa Arab, seperti rahmat, insan, solat dan sebagainya. Bermakna apabila seseorang itu menguasai bahasa Melayu, secara tidak langsung ia dapat memahami asas maksud 2,000 perkataan Bahasa Arab yang terkait dengan ajaran Islam.

Hubungan bahasa Melayu dengan ajaran Islam terkait menerusi istilah-istilah berkenaan dan ia merupakan satu warisan yang amat berharga untuk kita. Memahami istilah-istilah tersebut seharusnya memudahkan kita memahami asas ajaran Islam dan menghayatinya.

Sebagai contoh, perkataan akhlak berasal daripada bahasa Arab yang merujuk kepada adab, budi, pekerti dan perangai. Dalam bahasa Inggeris, secara umumnya akhlak ditafsirkan sebagai morality. Tetapi sebenarnya terdapat perbezaan maksud di antara kedua-duanya.

Perkataan akhlak mempunyai konotasi berbeza yakni berlandaskan perspektif Islam. Hal ini berbeza dengan maksud morality yang bersandarkan kepada nilai-nilai atau pegangan masyarakat setempat.

Tetapi kewujudan perkataan akhlak dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu sudah sedia difahami justeru kayu ukur yang kita gunakan dalam mencirikan akhlak seseorang secara tanpa kita sedari adalah berpandukan nilai keislaman itu sendiri.

Kepentingan Bahasa Inggeris

Bahasa Inggeris sememangnya diguna pakai secara meluas dalam semua bidang, tidak hanya dalam sains dan teknologi. Terdapat rujukan keilmuan dalam bahasa Inggeris bagi pelbagai bidang yang lain juga umpamanya undang-undang, ekonomi dan sains kemanusiaan.

Justeru fokus pengajaran bahasa Inggeris tidak sepatutnya terhad demi bidang sains dan teknologi semata-mata. Pokoknya, asas kemahiran berbahas Inggeris itu perlu diberi perhatian terlebih dahulu demi mendidik pelajar mahir berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Terdapat banyak istilah dalam bahasa Inggeris yang diguna pakai dalam perisian komputer dan di Internet. Justeru tidak dinafikan bahawa pemahaman istilah-istilah yang digunakan adalah perlu demi memudahkan generasi muda menguasai bidang teknologi maklumat.

Tetapi golongan kanak-kanak dan remaja sebenarnya mempunyai upaya mempelajari istilah baru dengan cepat terutamanya apabila mereka didedahkan secara langsung kepada sumber pengajaran berkaitan dan diberi peluang untuk menerokainya.

Sebagai contoh, dengan mewujudkan akses untuk pelajar menggunakan komputer dan Internet, para pelajar akan tertarik untuk menggunakannya dan meneroka perisian yang ada. Melalui penggunaan berterusan, secara automatik pelajar akan terbiasa dengan istilah-istilah yang digunakan serta maksudnya.

Apa yang penting ialah kemudahan untuk mengakses komputer dan internet itu perlu ditambahkan demi membolehkan lebih ramai pelajar khasnya di luar bandar agar mereka juga tidak ketinggalan dalam arus kemajuan teknologi maklumat.

Harapan Semua

Kita percaya bahawa polemik PPSMI ini didasari oleh keinginan semua pihak untuk melihat remaja negara kita hari ini hebat penguasaan bahasa Melayunya, bahasa Inggerisnya, bahasa ibundanya atau mungkin juga bahasa-bahasa lain.

Tentunya melalui penguasaan pelbagai bahasa, diharapkan para remaja dapat sama-sama memacu kemajuan untuk diri, bangsa, agama dan negara, dan pada masa yang sama memperkasa jati diri dan sahsiah yang dimiliki.

Keputusan kerajaan untuk menyemak kembali dasar PPSMI serta pelaksanaannya berdasarkan penilaian terperinci merupakan satu langkah yang patut dipuji. Impak pelaksanaan dasar ini seharusnya dapat ditelaah dan diambil pengajaran demi membentuk sistem pendidikan negara yang lebih mapan dan bersepadu.

Ibarat Membina Menara

Mungkin hari ini kita bermula semula dari bawah untuk menanam pasak bahasa dengan acuan baru. Tetapi pasak ini bukan sebarang utuh, bukan sebarang tegak, tetapi utuh dan tegak demi menjadi menara setinggi Gunung Fiji.

Mengapa sebanding Gunung Fuji, kerana pada sekitarnya didiami oleh satu bangsa berteladan, yang perkasa reka terbangnya, tetapi tetap unggul bersama bahasa miliknya.

Panahan suria globalisasi bukan untuk mencairkan, tetapi menuntut teduhan, olahan, tapisan agar manfaat cahayanya tetap mampu menerangi. Ribut teknologi bukan untuk membadai, tetapi menjadi kayu ukur sejauh mana kekuatan pasak yang terbina.

Itulah aspirasi kita terhadap bahasa. Manfaat ilmu menerusi bahasa lain ingin kita gapai, dan seterusnya kita semai serta suburi pada bahasa sendiri.

Semoga buah keilmuan yang terhasil dapat dinikmati dan dapat juga disebarkan pada semaian bahasa lain demi manfaat bersama dan martabat bahasa.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

ISU FILEM TEMPATAN

Filem tempatan perlu ada nilai tanggungjawab kemasyarakatan

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

LAPORAN akhbar sebelum ini menyebut kerajaan mungkin mengharamkan filem atau drama tempatan yang memaparkan aksi lumba haram dan mat rempit. Bagaimanapun, tidak dipastikan lagi sama ada pengharaman itu akan dilakukan atau tidak.

Tetapi yang pasti, banyak filem seumpamanya di layar perak sehingga mencetuskan polemik orang ramai sama ada wajar atau tidak mengeluarkan filem, yang akhirnya menjadi ikutan remaja masa kini.

Kita tertanya-tanya mengapa filem seperti Anak Bapa, Musang Berjanggut, Anakku Sazali, Semerah Padi, Antara Dua Darjat dan Hang Jebat berjaya mendapat tempat di hati peminat filem Melayu dan menjadi box office.

Filem arahan Tan Sri P Ramlee itu sebenarnya ada mesej tersendiri yang kebanyakannya menghukum orang yang bersalah sebagai pengajaran kepada masyarakat umum, bukan mengangkat martabat perilaku seperti mat rempit.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya (UM), Dr Abu Hassan Hasbullah, berkata filem Melayu tidak boleh menjadi naskhah hiburan semata-mata atau komoditi perniagaan kerana filem turut berperanan menyebar elemen kebaikan supaya menjadi contoh.

Katanya, filem yang sangat besar pengaruhnya perlu bertanggungjawab mengangkat nilai identiti budaya masyarakat Melayu, memperkukuhkan apa yang kurang dan menguatkan kembali yang lemah.

"Itu yang hilang dalam kebanyakan filem dihasilkan hari ini kerana rata-rata hanya membangkitkan isu tetapi tidak menyediakan jawapan atau cadangan kepada cara menyelesaikan masalah diketengahkan.

"Filem perlu ada nilai tanggungjawab yang dipandu oleh matlamat utama kenapa isu dalam filem itu dibangkitkan serta apa jalan penyelesaiannya supaya akhirnya nanti penonton memperoleh kebaikan daripadanya," katanya.

Beliau yang pernah mencetuskan idea filem menjadi perutusan melalui pembentangan kertas kerja bertajuk 'Filem sebagai al-Risalah' menemukan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian supaya penonton mendapat manfaat daripada industri filem negara.

Justeru, filem Melayu perlu mempunyai elemen tradisi dan Islam serta lima ciri membentuk pemikiran filem iaitu kualiti ilmu, susila, minda, kerja atau tanggungjawab dan pimpinan. Filem Melayu yang diatur sebagai seni dan hiburan tetap ada matlamat membangunkan identiti, moral dan akhlak masyarakat.

Abu Hassan berkata, filem seperti Anakku Sazali, Semerah Padi, Antara Dua Darjat dan Hang Jebat berjaya mendapat tempat di hati peminat filem Melayu dan menjadi box office kerana filem itu memiliki ciri menepati fungsi 'Filem sebagai al-Risalah'.

Beliau berkata, masyarakat inginkan penyelesaian atau melihat yang bersalah menerima hukuman mereka dan hasrat itu berjaya ditonjolkan dalam filem karya P Ramlee, menjadikan ia naskhah yang tidak jemu ditonton hingga sekarang.

Disebabkan tiada kualiti ilmu katanya, filem Melayu yang ada sekarang memberi gambaran seolah-olah masyarakat hari ini tidak ada perkara besar hendak difikirkan, pada hal tanggungjawab dan pimpinan dalam maksud filem cuba membentuk pengaruh untuk masyarakat lebih berani serta progresif.

Mungkin sudah tiba masanya kerajaan mengeluarkan garis panduan tertentu untuk diikuti pengeluar filem.

Bagaimanapun, baru-baru ini Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya mengeluarkan arahan untuk mengharamkan sesebuah filem atau drama televisyen keluaran produksi tempatan yang mengandungi adegan lumba haram atau aksi mat rempit.

Ahad lalu, laporan muka depan akhbar Sunday Times menyatakan peraturan baru oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mengharamkan aksi mat rempit serta lelaki memakai baju perempuan dalam filem dan drama.

Arahan itu berikutan surat dihantar Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengharamkan perkataan mat rempit serta adegan lumba haram dan aktiviti membabitkan mat rempit dalam filem dan drama.

Apabila menteri kata tidak ada, kesimpulan yang boleh dibuat ialah tiada isu pengharaman aksi mat rempit atau pondan dalam filem dan drama. Persoalan kedua boleh dikemukakan, macam mana isu itu boleh timbul jika tidak ada asas kepada usaha mengharamkan perkara terbabit.

Tambahan pula dalam keadaan sekarang, setiap hari ada saja berita menggemparkan yang memerlukan pihak berkuasa mengambil tindakan pantas, pastinya isu mat rempit dan bohsia jika boleh tidak menambahkan pening kepala.

Apa pun rentetan kenyataan demi kenyataan mengenai gejala sosial yang membimbangkan itu dan sehingga kini belum ada kaedah berkesan mengatasinya, isu dibangkitkan wajar mendapat pertimbangan semua pihak.

Di sebalik keghairahan penerbit filem dan drama menghasilkan cerita memaparkan masalah melanda masyarakat terutama belia hari ini, sebenarnya banyak pihak yang gusar dengan tindakan itu.

Alasan diberi penerbit atau pengarah bahawa isu yang dijadikan jalan cerita bertujuan memahami golongan mat rempit, pondan dan bohsia juga mengundang rasa tidak puas hati pihak yang tidak bersetuju dengan pembikinan filem seumpama itu.

Ada pihak berpendapat apa yang dilakukan seperti menjadikan kumpulan berkenaan sebagai tajuk filem yang menggegarkan perasaan seolah-olah memuliakan mereka sedangkan kehadiran mat rempit bukan saja mengganggu ketenangan masyarakat, malah menyalahi norma serta fitrah kejadian manusia.

Persoalan yang mungkin terlupa untuk ditanya oleh mereka yang terbabit dalam penghasilan filem seumpama itu ialah bagaimana jika apa yang didedahkan tidak menghasilkan keputusan diharapkan, sebaliknya keadaan semakin tidak terkawal.

Itulah susahnya apabila nilai komersial mengatasi kesedaran tanggungjawab sosial atau fardu kifayah kerana kebanyakan kita suka menganggap untuk fardu kifayah ini biar orang lain saja yang buat, kita tak payah.

Namun, bagi orang filem, mereka juga sebenarnya mempunyai tanggungjawab besar membentuk corak kehidupan orang di luar sana kerana semua mengakui kuasa televisyen dan layar perak mempengaruhi minda penonton.

Justeru, ada pihak mengharapkan supaya penayangan aksi mat rempit, pondan, bohsia dan terbaru ingin dipopularkan iaitu kumpulan gay, diharamkan.

Tujuannya, supaya kumpulan yang kini dinaikkan martabat serta diagungkan melalui filem sedar bahawa sudah tiba masanya jalan cerita hidup mereka diubah kerana tiada gunanya menjadi duri dalam daging, denyut sakitnya terus mengganggu selagi duri tidak dikeluarkan.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Budayakan konsep kebersihan tandas

Oleh DR. IRFAN MOHAMAD

RASA tidak puas hati Timbalan Perdana Menteri terhadap mutu kebersihan tandas awam memang tepat. Ketika ini, 30 peratus daripada 16,990 tandas awam milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan swasta masih di tahap gred C dan D.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyuarakan perkara itu ketika perasmian Kempen Kebersihan Awam Bagi Menangani Influenza. Walaupun objektif kempen itu secara spesifik disebut sebagai sebahagian daripada 10 langkah menangani penularan wabak H1N1, pelaksanaannya bakal mendatangkan faedah lebih meluas. Ia berdasarkan peranan tandas yang begitu besar dalam mempengaruhi tahap kesihatan secara khususnya dan taraf kehidupan masyarakat Malaysia secara amnya.

Keadaan tandas awam boleh menjadi ukuran kepada pelancong asing mengenai tahap kebersihan keseluruhan rakyat Malaysia. Bagaimanapun, agak sukar untuk membudayakan penjagaan kebersihan tandas dalam kalangan masyarakat.

Puncanya boleh dibahagikan kepada sikap pengguna, kekerapan penyelengaraan dan prasarana yang tidak sempurna.

Sikap kebanyakan pengguna ialah apa sahaja yang berlabel awam maka akan ada orang lain yang menjaga dan menguruskannya. Apatah lagi jika memasuki tandas awam berbayar.

Selagi sikap ini tidak diubah, maka selama itulah masalah kebersihan tandas menjadi "penyakit kronik" masyarakat kita.

Kekerapan penyelenggaraan adalah bergantung kepada kadar turn-over pengguna di sesuatu lokasi. Misalnya, di kawasan perhentian bas ekspres, kekerapan pembersihan pada waktu puncak seharusnya digandakan. Faktor ini jugalah yang menjadikan kenapa kebanyakan tandas awam di kawasan Rehat dan Rawat (R&R)lebih bersih. Ia kerana kekerapan penyelengaraan yang bergantung kepada keperluan.

Keadaan prasarana yang tidak sempurna memudaratkan lagi senario kebersihan tandas. Kes-kes di mana pam tidak dapat berfungsi, bekalan air tidak mencukupi, kebocoran daripada tempat takungan air yang menyebabkan air sentiasa menitis dan menitik ke atas pengguna menyebabkan wujud rasa kurang selesa.

Dalam keadaan yang lebih parah, ada juga dalam kalangan pengguna yang masih menggunakan prasarana yang tidak sempurna ini walaupun dilabel sebagai 'tandas rosak'.

Ini mungkin salah tetapi ada ketikanya masalah 'tandas rosak' itu tidak diatasi oleh penyelia perkhidmatan dalam tempoh yang lama. Label 'tandas rosak' seharusnya hanya bersifat sementara dan tindakan membaikinya harus segera diambil untuk mengelakkan rasa kurang selesa di kalangan pengguna.

Pihak Majlis Perbandaran sememangnya telah lama cuba meletakkan imej tandas awam ditempat yang lebih baik. Pelbagai usaha dijalankan baik berbentuk penilaian dari semasa ke semasa mahupun kempen-kempen. Antaranya ialah Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah yang mengeluarkan laporan bulanan pemeriksaan tandas awam yang mengklasifikasikan prestasi dalam kategori cemerlang, baik, memuaskan atau kotor.

Pengemaskinian data itu mungkin boleh dilakukan dengan lebih terkini dan dicontohi oleh PBT lain. Rasanya tahap kebersihan tandas jug aperlu melalui KPI sebagai tanda aras pencapaian pelaksanaan usaha sesebuah PBT.

Kemudahan tandas awam diwujudkan selaras dengan tujuan memudahkan orang awam yang sentiasa memerlukannya. Namun seringkali tahap kebersihannya menjadi igauan ngeri pengguna terutamanya pelancong asing yang sudah terbiasa dengan keadaan tandas awam yang bersih dan kering di tempat mereka.

Maka janganlah dibiarkan keadaan tandas awam yang buruk imejnya memalitkan kekotoran yang mampu mencemarkan nama negara di mata dunia.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia.

Sumber : http://www.utusan.com.my/