RASUAH lebih bersifat abstrak dan kerana itu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) menentang rasuah di bawah Jabatan Perdana Menteri lebih sukar untuk diberi penilaian berbanding lima cabang NKRA yang lain.
Untuk itu, NKRA ini menumpukan perhatian dalam mengubah persepsi umum terhadap agensi penguat kuasa, pemerolehan kerajaan dan hukuman individu berprofil tinggi.
Persepsi rendah didapati membelenggu empat agensi penyelaras dan penguat kuasa iaitu polis, kastam, imigresen dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dianggap paling banyak terlibat dengan rasuah.
Empat agensi itu juga mempunyai jumlah kes rasuah tertinggi di bawah siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan skor tanggapan integriti paling rendah di kalangan orang ramai dan komuniti perniagaan.
Persepsi sama turut dilemparkan terhadap amalan pemerolehan kerajaan sementara individu berprofil tinggi dianggap terlepas hukuman yang banyak kepada 'ikan bilis' dan bukannya 'jerung'.
Bagi mengatasi persepsi itu, NKRA ini mengambil inisiatif mengukuhkan langkah pencegahan rasuah serta penguatkuasaan lebih berkesan terhadap penjawat awam melalui penambahbaikan penyampaian sistem perundangan kes rasuah.
Ia akan dibantu melalui penubuhan 'unit pematuhan' di semua badan penyelaras dan agensi penguat kuasa termasuk juga SPRM. Untuk pemerolehan kerajaan, ketirisan dana awam akan dikurangkan melalui penekanan terhadap ketelusan dan kebertanggungjawapan lebih tinggi dalam pemberian dan pelaksaan kontrak, panduan menguruskan surat sokongan dan pendedahan maklumat kontrak kepada umum.
Untuk meningkatkan kembali keyakinan rakyat terhadap agensi penguat kuasa, peluang menyalah guna kuasa di kalangan kakitangan agensi terbabit dikurangkan sementara pendakwaan kes rasuah dipercepatkan supaya selesai dalam tempoh satu tahun.
Inisiatif lain di bawah NKRA ini termasuk hukuman lebih berat untuk pemberi dan penerima rasuah, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, pangkalan data awam memaparkan maklumat pesalah yang disabitkan jenayah rasuah dan Pakatan Integriti (IP) supaya pemerolehan kerajaan bebas aktiviti rasuah.
Satu kajian juga akan dijalankan pada 2011 untuk mengukuhkan keberkesanan institusi penting seperti Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), Pejabat Ketua Juruaudit dan SPRM melalui peningkatan kebebasan (autonomi).
Antara kejayaan paling menyerlah NKRA ini adalah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 yang digazetkan pada 10 Jun 2010 berkuat kuasa sejak 15 Disember 2010 untuk melindungi identiti pemberi maklumat, imuniti daripada liabiliti sivil atau jenayah serta perlindungan daripada sebarang tindak balas.
Nama 284 pesalah jenayah rasuah turut didedahkan dalam pangkalan data SPRM berbanding sasaran awal 84 pesalah selepas dilancarkan pada 4 Mac 2010, mendedahkan nama, gambar, nombor MyKad dan butiran kes individu yang disabitkan kesalahan bagi mewujudkan stigma terhadap amalan rasuah.
Lebih 3,500 tender dan kontrak kerajaan juga disenarai melalui portal MyProcurement untuk mencerminkan komitmen kerajaan terhadap ketelusan. Kegagalan mencapai sasaran Indeks Persepsi Rasuah pada 2010 dikaitkan dengan tempoh tinjauan dibuat pada 2009 iaitu sebelum beberapa inisiatif NKRA ini dilaksanakan.
Bagaimanapun, Barometer Rasuah Global menunjukkan persepsi rakyat menganggap tindakan kerajaan berkesan dalam menentang rasuah yang jatuh dari 53 peratus pada 2007 kepada 28 peratus pada 2009, kembali melonjak kepada 48 peratus pada tahun lalu.
Selain itu, perbicaraan kes rasuah kini dipercepatkan melalui 14 sesi khas mahkamah dan empat Mahkamah Tinggi khas untuk Rasuah di samping menambah baik Kanun Acara Jenayah (CPC).
Kamera litar tertutup (CCTV) juga digunakan di tempat pemeriksaan 'panas' kastam serta imigresen, sementara kakitangan yang memegang jawatan 'panas' dipindahkan secara berkala seperti setiap tiga tahun untuk kakitangan kastam.
Maklum balas Jawatankuasa Antarabangsa Penilaian Prestasi (IPR) untuk NKRA memperakui usaha kerajaan menentang gejala rasuah serta meningkatkan kebertanggungjawapan dan ketelusan dengan pujian atas penubuhan SPRM, inisiatif mendedahkan pemerolehan, melindungi pemberi maklumat serta penggunaan IP.
Beberapa langkah tambahan turut dicadangkan seperti mengharamkan surat sokongan, ketua pemeriksa di semua agensi kerajaan melapor terus kepada SPRM dan ketua agensi, serta pendaftaran semua agen (orang tengah) untuk pembida kontrak.
Presiden Transparency Malaysia, Datuk Paul Low turut menyatakan sokongan terhadap inisiatif yang dikemuka kerajaan bagi menentang rasuah dan percaya usaha ini membantu mengubah persepsi rakyat.
"Laporan Barometer Rasuah Global untuk Malaysia tahun lalu menunjukkan perubahan drastik pandangan umum terhadap usaha kerajaan menentang rasuah berbanding tahun sebelumnya.
"Berbanding 28 peratus pada 2009, 48 peratus rakyat Malaysia beranggapan usaha berkesan dalam menentang rasuah pada 2010 iaitu melangkaui sasaran awal 37 peratus," jelasnya.
Laporan barometer 2010 itu turut menunjukkan penurunan mendadak golongan yang menganggap usaha kerajaan tidak berkesan bagi menentang rasuah dari 67 peratus pada 2009 kepada hanya 20 peratus tahun lalu.
Untuk 2011, beberapa Sasaran Petunjuk Prestasi Utama Negara (NKPI) baru telah ditetapkan sementara beberapa sasaran lama dimansuhkan berikutan maklumat yang diperoleh kurang memberi kesan kepada NKRA ini.
Antara NKPI baru itu adalah merekodkan IP Kementerian Kewangan dengan ikrar integriti sektor swasta serta tinjauan persepsi tempatan yang mencerminkan Barometer Rasuah Global.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/