Oleh : Nor Hartini Saari
Setiap insan perlu berjaya dunia,
akhirat
Keputusan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) sudah diumumkan Khamis lalu dan segala penantian berakhir sudah.
Bagi mereka yang cemerlang, tahniah diucapkan.
Namun, bagaimana nasib segelintir
pelajar yang dikatakan kurang cemerlang atau gagal memperoleh sebarang ‘A’
dalam mata pelajaran? Adakah mereka ini dianggap gagal untuk meneruskan
kejayaan atau kelangsungan hidup yang cemerlang pada masa depan?
Cuba kita perhatikan setiap kali
keputusan peperiksaan diumumkan, ramailah orang sekeliling akan sibuk bertanya
bilangan ‘A’ yang diperoleh pelajar itu. Sama ada dia cemerlang di sekolah atau
tidak, masyarakat sekeliling tetap menilai berdasarkan bilangan ‘A’ yang
diperoleh pelajar.
Persoalannya, adakah dengan
ukuran bilangan ‘A’ yang mereka peroleh mencerminkan kejayaan dan kecemerlangan
diri pelajar itu?
Tidak dinafikan mereka yang
mendapat keputusan cemerlang dalam akademik telah melepasi piawaian atau
prasyarat yang ditetapkan Kementerian Pelajaran. Mahu tidak mahu pelajar perlu
mencapai hasrat murni KPM dan akur kepada sistem yang telah ditetapkan.
Graduan menganggur
Melepasi standard yang ditetapkan
oleh kementerian ini antara tiket untuk pelajar lulusan SPM dan Sijil Tinggi
Persekolahan Malaysia (STPM) melangkah masuk ke alam universiti dan mendapat
kelulusan tinggi. Sehinggakan kerajaan meletakkan sasaran 40 peratus penduduk
mesti mempunyai kelulusan tertinggi.
Soalnya berapa peratus pelajar
yang berjaya masuk ke universiti adalah kelompok yang akan berjaya sesudah
tamat pengajian kelak. Dahulu, menggenggam keputusan cemerlang dalam akademik
bermakna sudah pasti masa depan cerah atau mendapat pekerjaan hebat. Kini, semuanya berubah.
Walhal mereka ini boleh dikatakan
antara kelompok yang cemerlang dalam akademik sebelum memasuki universiti.
Begitulah kitarannya apabila melihat seseorang yang berjaya dan cemerlang dalam
perlumbaan mencari ilmu tetapi jika tidak dimanfaat ilmu itu ibarat pohon yang
tidak berbuah.
Mereka inilah sebenarnya dianggap
gagal. Akan tetapi bagi seseorang yang bangkit dan berusaha bersungguh-sungguh
untuk memperbaiki taraf hidup pendidikannya sehingga berjaya, maka dialah yang
dianggap telah berjaya dengan cemerlang.
Bukan peluang terakhir
Hari ini kita lihat berapa ramai
pelajar yang dulunya gagal di peringkat SPM namun bangkit dan berjaya dalam
bidang perniagaan. Apa yang penting, bagi yang gagal jangan menganggap inilah
peluang terakhir mereka.
Mereka perlulah berusaha dengan
tekun, bersungguh-sungguh serta berterusan untuk menjadikan mereka berjaya di
dunia dan akhirat.
Justeru, kecemerlangan dalam
akademik saja masih tidak memadai. Kecemerlangan akademik tidak sepatutnya
menjadi sasaran utama pelajar secara menyeluruh tetapi bukan sesekali kita
mengabaikannya, namun faktor lain yang berkaitan patut diambil kira.
Hal ini kerana dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan, kecemerlangan pendidikan adalah satu usaha berterusan ke
arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu
untuk melahirkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi
dan jasmani berdasarkan kepercayaan serta kepatuhan kepada Tuhan.
Usaha ini bukan saja untuk
melahirkan pelajar cemerlang dan berilmu, malah apa yang lebih penting ialah
melahirkan lebih banyak individu berkeperibadian tinggi dan berakhlak mulia,
bertanggungjawab, amanah serta berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri,
keluarga, masyarakat dan negara.
Perkara inilah dianggap dapat
membantu menghadapi cabaran hebat dalam kehidupan masa ini yang sangat
mencabar. Selain itu, penguasaan kemahiran insaniah yang mencakupi aspek
kualiti peribadi adalah pendekatan yang baik dalam memajukan diri.
Justeru, kecemerlangan diri bukan
hanya diukur dengan pencapaian akademik semata-mata atau ukuran berapa bilangan
‘A’ tetapi apa yang penting ialah pelajar itu dapat melahirkan keperibadian dan
akhlak yang baik, seterusnya menjadi umat yang hebat sepanjang zaman.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/