PERKATAAN sayang tergolong ke
dalam sejumlah kata adjektif yang membawa konsep perasaan. Contoh lain,
antaranya malu, marah, benci, berani, kasih, ragu, takut dan lain-lain lagi.
Dalam bahasa Melayu, jika kata
adjektif hendak diluaskan struktur unsurnya (konstituen) dengan menambahkan
kata nama selepasnya, maka lazimnya, kata adjektif itu diikuti oleh kata sendi
nama seperti 'akan', 'pada', 'kepada' dan seumpamanya.
Perhatikan ayat-ayat contoh
berikut ini:
1. (a) Penduduk di kampung itu
sangat benci dengan perangai buruk pemuda itu.
(b) Penduduk di kampung itu sangat benci
akan perangai buruk pemuda itu.
2. (a) Anak muda kini suka akan
hiburan bercorak muzik.
(b) Anak muda kini suka pada hiburan bercorak muzik.
3. (a) Adik bongsu Kuswadi takut
akan hantu.
(b) Adik bongsu Kuswadi takut pada hantu.
4. (a) Megawati amat sayang
terhadap anak dan menantunya.
(b) Megawati amat sayang akan anak dan menantunya.
(c) Megawati amat sayang kepada anak dan menantunya.
Kata-kata adjektif dalam ayat (1)
hingga (4) diikuti oleh kata sendi 'dengan', 'akan', 'pada' 'kepada' dan
'terhadap'.
Ayat-ayat tersebut salah jikalau
ayat-ayat itu tidak mengandungi kata sendi nama selepas kata adjektif kerana
kata-kata adjektif itu merupakan kata adjektif yang memerlukan kata sendi nama
selepasnya.
Oleh yang demikian, salahlah
jikalau ayat-ayat di atas ditulis begini:
1. (c) *Penduduk di kampung itu
sangat bencikan perangai buruk pemuda itu..
2. (c) *Anak muda kini sukakan
hiburan bercorak muzik.
3. (c) *Adik bongsu Kuswadi
takutkan hantu.
4. (c) * Megawati amat sayangkan
anak dan menantunya.
Lain pula halnya jikalau
kata-kata adjektif itu dijadikan kata kerja dengan menambahkan imbuhan yang
sesuai.
Misalnya, sayang dijadikan
menyayangi, benci menjadi membenci, suka menjadi menyukai dan menyukakan, kata
adjektif takut menjadi menakuti dan menakutkan, dan kata adjektif rindu menjadi
merindu, dan merindukan.
Bagi kata adjektif rindu,
kadang-kadang orang tersilap dalam penggunaan bentuk rindu akan, merindu dan
merindukan.
Frasa rindu akan ialah frasa
adjektif (kata adjektif + kata sendi), manakala merindu dan merindukan ialah
kata kerja transitif. Daripada ketiga-tiga bentuk kata tersebut dapat dibinakan
ayat-ayat seperti yang berikut:
5. Latifah rindu akan kekasihnya.
6. Sejak pemergian kekasihnya di
perbatasan, sejak itulah dia merindu.
7. Rosnita merindukan kampung
halamannya.
Frasa sendi rindu akan tidak
boleh menjadi *rindukan seperti dalam ayat:
(9) *Pungguk rindukan bulan.
Ayat ini salah kerana kata
adjektif rindu tidak dapat menerima akhiran -kan (semua kata adjektif tidak
boleh menerima akhiran -kan dalam bahasa Melayu melainkan jika hendak mengubah
kelas katanya). Sebaliknya kata adjektif rindu itu perlu menerima kata sendi
'akan'.
Jikalau akhiran -kan hendak
digunakan, maka perlulah kata adjektif rindu diubah menjadi kata kerja
merindukan. Jadi ayat (9) itu betul jika kata rindukan menjadi merindukan
seperti dalam ayat
(10) Pungguk merindukan bulan.
Harus diingat juga, apabila kata
adjektif disertai akhiran -kan, maka kata yang tadinya daripada golongan kata
adjektif itu berubah kelasnya menjadi kata kerja pasif, dan hal ini akan
melibatkan berlakunya hukum tentang bentuk ayat pasif pula.
Misalnya, kata adjektif takut
ditiadakan maka terbentuklah perkataan takutkan. Perkataan takutkan bukan kata
kerja transitif, tetapi kata kerja pasif.
Dengan kata kerja transitif
menakutkan kita dapat membentuk ayat aktif transitif seperti:
(11) Saya menakutkan kanak-kanak
itu.
dengan maksud 'menyebabkan' atau
'menjadikan' kanak-kanak itu takut.
Daripada ayat-ayat aktif ini
sebagai ayat dasar, kita dapat membentuk ayat pasif songsang seperti yang
berikut:
(11a) Saya takutkan kanak-kanak
itu.
Ayat (11a) ini berbeza dari segi
semantik dengan ayat (12) di bawah
(12) Saya takut akan kanak-kanak
itu.
Makna ayat (11a) ialah bahawa
'kanak-kanak itu takut', sementara makna ayat (12) ialah bahawa 'saya dan bukan
kanak-kanak itu yang takut'.
Perhatikan perbezaan ketiga-tiga
ayat berikut ini:
(13) Saya gemarkan buah-buahan
tempatan.
(13a) Saya gemar akan buah-buahan
tempatan.
(13b) Saya menggemari buah-buahan
tempatan.
Ayat (13) *Saya gemarkan
buah-buahan tempatan, berbeza maknanya dengan ayat (13a) Saya gemar akan
buah-buahan tempatan, atau (13c) Saya menggemari buah-buahan tempatan. Ayat
(13) bermakna buah-buahan menjadi gemar oleh perbuatan saya, tetapi bukanlah
saya gemar akan (menggemari) buah-buahan tempatan.
Demikianlah beberapa tatacara
penggunaan kata adjektif bahasa Melayu yang betul. Penggunaan tatacara yang
betul ini dapat membantu pengguna bahasa Melayu berbahasa persis.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/