Selasa, 20 Mac 2012

ISU PENDIDIKAN : STPM baharu - Mampukah menarik ramai pelajar?


Oleh : Allmuddin Mohd. Dom

TRANSFORMASI pendidikan melalui pelaksanaan sistem pentaksiran baharu Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dilihat seperti serampang dua mata iaitu ingin menarik lebih ramai pelajar untuk menduduki peperiksaan tersebut kerana jumlahnya semakin berkurangan tahun demi tahun.

Keduanya untuk menyesuaikan dengan perkembangan baru dalam dunia pendidikan pra universiti iaitu berasaskan 'outcome based education' bertujuan melahirkan modal insan cemerlang yang menekankan 'character building' dan memiliki kemahiran insaniah atau 'soft skills.' Pendekatan dan kaedah ini telah pun diamalkan dalam kurikulum dan peperiksaan peringkat antara bangsa iaitu 'A Level' dan 'International Baccalaureate' (IB).

Seperti biasa selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan hampir setengah juta pelajar akan mengikut haluan sendiri untuk mengejar cita-cita masing-masing.

Nampaknya mereka mempunyai pilihan yang terbuka luas sama ada ingin mengikuti pengajian di peringkat diploma, mengambil sijil kemahiran, mengikuti kelas matrikulasi atau memasuki tingkatan enam bagi mengambil STPM.

Bagi mereka yang tidak berminat melanjutkan pelajaran boleh saja memohon pekerjaan di sektor awam atau swasta. Atau yang memiliki bakat keusahawanan mungkin akan melakukan kerja sendiri sama ada berniaga, bertani dan sebagainya. Sementara itu, mereka yang ingin melanjutkan pelajaran di seberang laut boleh mengambil peperiksaan 'A Level' atau 'IB' yang ditawarkan di kolej-kolej swasta tertentu.

Sesungguhnya tidak sukar melanjutkan pelajaran tinggi di negara kita. Terdapat ratusan institusi pendidikan tinggi awam dan swasta di seluruh negara yang menawarkan ratusan jenis kursus. Pilihlah mana yang sesuai dengan minat dan keupayaan sendiri atau seperti kata pepatah 'tepuk dada tanya selera.' Jangan lupa bidang yang dipilih mestilah mempunyai nilai dan permintaan tinggi di pasaran pekerjaan jika tidak mungkin akan menimbulkan masalah selepas bergraduat nanti.

Dari segi kewangan pula jangan bimbang, kita ada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) atau Pinjaman Pelajaran MARA yang sedia membiayai pengajian secara pinjaman bagi mereka yang memenuhi syarat.

Beruntunglah mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM kerana Jabatan Perkhidmatan Awam, Bank Negara dan banyak lagi institusi awam, swasta dan badan-badan persendirian yang sudi membiayai pengajian mereka sama ada di dalam atau luar negara.

Bagi tujuan menarik minat lebih ramai pelajar untuk memasuki tingkatan 6, Majlis Peperiksaan Negara (MPM) akan memperkenalkan peperiksaan STPM baharu yang diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada pada 4 Januari 2012.

Perubahan ini akan dimulakan kepada pelajar tingkatan 6 bawah yang akan mendaftar mulai Mei 2012 ini. Mereka merupakan pelajar kohort pertama yang akan mengambil peperiksaan STPM baharu yang akan diduduki pada akhir tahun 2013 nanti.

STPM dulunya dikenali sebagai High School Certificate (HSC) telah dimulakan sejak 1950an yang merupakan satu-satunya peperiksaan untuk membolehkan seseorang diterima masuki universiti. Apabila Dasar Pendidikan Kebangsaan diperkenalkan mulai 1970 maka secara beransur-ansur peperiksaan STPM menggantikan HSC.

STPM mempunyai kelebihan kerana kurikulumnya berbentuk umum. Misalnya pelajar aliran kemanusiaan akan mengambil subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Ekonomi, Sejarah dan Pengajian Am di mana mereka boleh memilih untuk memasuki sama ada fakulti Ekonomi, Undang-Undang, Pengajian Perniagaan, Sastera atau Sains Sosial apabila memasuki universiti nanti.

Ini berbeza dengan pelajar yang mengambil diploma atau matrikulasi di mana bidangnya lebih menjurus kepada pengkhususan. Misalnya, bagi mereka yang mengambil Diploma Pendidikan akan mengikuti Ijazah Pendidikan apabila memasuki universiti. Demikian juga aliran matrikulasi yang kebiasaan akan mengikuti ijazah dalam sains tulen.

Bagi melaksanakan transformasi ini kajian dan projek rintis telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas. Ini bagi memastikan supaya perubahan ini dapat dilaksanakan dengan lancar seperti yang dirancangkan. Bermula pengambilan pelajar tahun ini mereka akan mengikuti pengajian berbentuk penggal iaitu setiap hujung penggal akan diadakan peperiksaan.

Ini bermakna pelajar tidak lagi dibebankan dengan peperiksaan di akhir tahun. Peperiksaan setiap penggal akan diberikan wajaran iaitu 20% hingga 40% dan dikendalikan secara Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS).

Sementara itu, peperiksaan akhir wajarannya sebanyak 60% hingga 80% adalah peperiksaan berpusat yang dikendalikan oleh MPM. Ini bermakna kandungan kurikulum menjadi lebih ringan kerana dibahagi kepada tiga penggal. Pelajar-pelajar akan mempunyai masa lebih untuk membahagikan aktiviti pembelajaran mereka.

Apa yang menarik dengan kaedah baru ini sekiranya pelajar mendapat keputusan yang tidak memuaskan bagi setiap akhir penggal mereka boleh mengulang semula subjek berkenaan di penggal seterusnya. Pelajar yang tidak mencapai keputusan yang baik bagi penggal 3 boleh juga menduduki semula peperiksaan akhir penggal 3 sahaja pada Mac/April tahun berikutnya.

Keputusan keseluruhan peperiksaan STPM Baharu ini adalah berdasarkan gabungan keputusan terbaik bagi ketiga-tiga penggal. Dengan cara ini memberi peluang kepada pelajar untuk memperbaiki keputusan peperiksaan supaya ia benar-benar terbaik. Keputusan ini dijangkakan memberi peluang lebih besar kepada pelajar untuk terpilih memasuki universiti nanti.

STPM baharu ini disediakan agar selari dengan perkembangan penilaian dan peperiksaan di peringkat antarabangsa. Misalnya kurikulum 'A Level' dan 'IB' bukan lagi menekankan peperiksaan bertulis semata-mata tetapi turut menilai pelajar melalui tugasan dan kerja kursus seperti penyediaan kertas projek, kertas seminar dan kajian luar.

Bagi melahirkan modal insan cemerlang ditekankan pula kemahiran insaniah atau 'soft skills' seperti menggalakkan aktiviti secara berkumpulan, kemahiran berkomunikasi, membina asas kepimpinan dan menggalakkan mereka sentiasa berfikir secara kritis. Dalam STPM baharu ini semua kaedah tersebut diterapkan dengan memberikan markah kepada gerak kerja dan aktiviti tersebut melalui PBS.

Penyebaran maklumat tentang STPM baharu ini perlu dilakukan secara meluas kepada pelajar dan ibu bapa agar lebih ramai pelajar memasuki tingkatan 6 dan menduduki peperiksaan STPM.

Moga-moga kita akan dapat melahirkan lebih ramai pelajar yang berketerampilan dan berdaya saing sebelum mereka menjejakkan kaki ke universiti nanti. Walau apa pun tahniah dan syabas kepada MPM.

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Ke arah sistem pendidikan holistik


Oleh ROHAMI SHAFIE

ROMBAKAN menyeluruh dasar pendidikan yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini memberi seribu satu makna kepada sistem pendidikan negara pada masa akan datang.

Sistem pendidikan negara kita sudah lama tidak dirombak iaitu sejak 1979 lagi. Pada asasnya, sistem pendidikan negara tidak boleh sesekali statik, sebaliknya perlu sentiasa dinamik mengikut keperluan pada masa hadapan.

Atas tujuan ini, panel Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik Sistem Pendidikan ditubuhkan bagi mengadakan siri dialog pendidikan nasional yang dijadualkan diadakan bermula bulan depan.

Apa yang menarik di sini adalah masih terdapat kelemahan dalam sistem pendidikan negara ketika ini yang perlu ditangani segera.

Paling ketara sistem pendidikan negara terlalu menumpukan aspek kejayaan meritokrasi melalui penilaian berasaskan peperiksaan semata-mata dengan meminggirkan aspek akhlak mulia para pelajar.

Penerapan aspek akhlak dan adab mulia sepatutnya menjadi keutamaan tertinggi dalam membentuk karakter para pelajar. Negara kini dibelenggu pelbagai masalah sosial yang melibatkan generasi muda. Mungkin tidak keterlaluan dikatakan salah satu penyebab utama berlakunya kebejatan sosial adalah kerana pendidikan itu sendiri tidak boleh menjaga dan melindungi akhlak generasi muda.

Lihatlah di sekeliling kita, bermula daripada kurangnya perasaan hormat generasi muda kepada orang tua sehinggalah jenayah berat seperti samseng jalanan, merompak, penagihan dadah dan memecah masuk rumah. Kebanyakan kes-kes jenayah ini melibatkan generasi muda.

Senario ini tidak sepatutnya berlaku dalam suasana negara menuju ke arah negara maju pada tahun 2020. Akhlak dan adab perlu diberi penekanan menyeluruh dalam sistem pendidikan negara.

Kejayaan sistem pendidikan yang berasaskan akhlak dan adab akan membentuk sifat-sifat mulia di kalangan generasi akan datang seperti jujur, amanah, bertanggungjawab, sabar, tabah, cekal, yakin pada diri sendiri, mempunyai jati diri yang tinggi dan berani menyuarakan pendapat dengan cara yang berhemah.

Penulis tidak menafikan kepentingan pendidikan dalam memenuhi keperluan pasaran kerja. Para pelajar juga perlu berkemahiran tinggi dengan menguasai sains dan teknologi dan mempunyai keupayaan berfikir di luar kotak di samping kritis, analitikal, kreatif dan inovasi. Namun, kesemua ini tidak membawa apa-apa manfaat jika generasi muda 'kosong' akhlak dan rendah adabnya.

Melalui penekanan akhlak dan adab jugalah kita tidak perlu sesekali sangsi atau ragu-ragu apa akan terjadi pada negara kita pada masa akan datang. Ketika itu, negara kita akan ditadbir oleh para pemimpin yang boleh dipercayai sepenuhnya.

Sudah tentu, tiada siapa yang sanggup melihat negara kita berada di tangan para pemimpin yang sanggup menggadaikan masa depan negara demi kepentingan diri sendiri dan keluarga. Apalah gunanya kita melahirkan begitu ramai cerdik pandai yang akan menjadi pemimpin pada masa akan datang tetapi suka menipu, menyalah guna kuasa dan terlibat dengan rasuah.

Begitu juga, apalah gunanya kita berjaya membentuk ilmuwan yang hebat ilmunya, jika sekiranya mereka menggunakan ilmu tersebut untuk tujuan membangga diri, riak dan takbur walhal ilmunya hanya sedikit cuma berbanding ilmu Allah SWT.

Tidak ketinggalan, tiada gunanya kita melahirkan ramai golongan yang kaya raya tetapi amat lokek dan tidak sanggup membantu golongan miskin yang memerlukan. Jika ini terjadi, punahlah kehidupan rakyat Malaysia dan negara kita pada masa akan datang.

Jika dahulu, sesuatu yang luar biasa dipandang negatif tetapi kini banyak terdapat perkara yang luar biasa menjadi kebiasaan. Puncanya tidak lain tidak bukan kerana kurangnya pemahaman dan penghayatan agama yang akhirnya membentuk akhlak dan adab yang rendah di kalangan generasi muda.

Tanda-tanda kerosakan itu amat jelas sama sekali apabila ada golongan yang bermati-matian mempertahankan kesaksamaan seksual atau lebih dikenali sebagai pendokong Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT). Mereka ini golongan cerdik pandai dan professional tetapi menjadi pendokong kuat LGBT. Di manakah silapnya sistem pendidikan negara kita?

Perkara inilah yang perlu dikaji sedalam-dalamnya dan bukan sekadar melahirkan generasi muda yang dikatakan amat berjaya mengikut acuan sistem meritokrasi sedia ada. Penulis mengesyorkan agar sistem meritokrasi ini dikaji secara menyeluruh kerana tidak mustahil ia boleh membawa bahana kepada negara.

Sebagai contoh, sistem ini telah menyebabkan ketidakseimbangan di antara para pelajar perempuan dan lelaki. Ambil contoh di universiti-universiti tempatan kadar peratusan para pelajar lelaki amat sikit sama sekali.

Maka, golongan perempuan akan mudah mendapat pekerjaan bergaji lumayan manakala lelaki pula sentiasa ketinggalan dan akhirnya ia boleh merosakkan institusi kekeluargaan pada masa akan datang. Kesannya bukan kepalang kerana ia boleh memberi implikasi sosial pada rakyat Malaysia.

Justeru, sistem pendidikan negara pada masa akan datang memerlukan idea-idea bernas daripada tokoh-tokoh agama, guru-guru yang berkualiti, sabar dan ikhlas mengajar demi anak bangsa serta ibu bapa yang menaruh kepercayaan sepenuhnya pada sistem pendidikan. Jika ini dapat dilaksanakan dengan baik, tidak syak lagi, negara bakal melahirkan pelajar yang berkualiti dan mempunyai akhlak yang tinggi pada setiap masa.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan dan Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan , Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PEMBANTU RUMAH ASING : Asuh anak-anak berdikari


Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN

PERMASALAHAN mendapat pembantu rumah untuk mengasuh anak-anak dan membantu kerja rumahtangga mungkin dapat diatasi sekiranya struktur kehidupan masyarakat Malaysia berubah mengikut perubahan masa dan persekitaran.

Lazimnya, masyarakat Malaysia membebankan urusan rumah tangga kepada wanita atau isteri. Konsep kerjasama suami isteri dalam menguruskan rumahtangga dan anak-anak sepatutnya dijadikan sebagai tradisi masyarakat dalam negara ini.

Kerjasama begini bukan sahaja boleh menjalinkan perasaan kasih sayang di antara suami isteri malah ia juga boleh mengelakkan diri daripada mengambil pembantu rumah untuk mengendalikan urusan rumah tangga.

Corak hidup masyarakat Barat di mana suami membantu isteri melakukan kerja rumahtangga sepatutnya dijadikan panduan kepada masyarakat yang hidup dalam negara yang meningkat maju di mana kos kehidupan semakin mahal. Urusan rumah tangga jika disusuli dengan disiplin ahli-ahli keluarga bukan sahaja boleh mengelakkan pasangan suami isteri menghadapi permasalahan pembantu rumah malah ia juga boleh menjadikan urusan rumahtangga lebih ringan dan kehidupan kekeluargaan menjadi lebih tersusun.

Cara didikan anak-anak dalam mengendalikan urusan kehidupan seharian mereka adalah amat penting. Ibu bapa sepatutnya mengasuh dan melatih anak-anak berdikari di mana setiap urusan membersih pakaian dan hal ehwal diri mereka dikendalikan sendiri apabila mereka sudah besar. Cara ibu bapa zaman dahulu melatih anak-anak berdikari dan bertanggungjawab terhadap keluarga sepatutnya dijadikan tauladan oleh ibu bapa masa kini. Anak-anak yang sudah besar dilatih membantu ibu bapa mengendalikan urusan rumahtangga dan keluarga. Kanak-kanak perempuan dilatih supaya menjaga adik-adik apabila sudah besar , anak-anak gadis membantu ibu di dapur. Begitu juga dengan anak-anak lelaki memenuhi masa lapang membantu bapa mencari nafkah untuk ahli-ahli keluarga.

Didikan asas begini bukan sahaja menjadikan urusan rumahtangga lebih ringan malah ia juga boleh menjadikan anak-anak berdikari dan mempunyai perasaan bertanggungjawab. Corak orientasi anak-anak masa kini lebih menjurus kepada sikap pergantungan kepada ibu bapa. Ramai ibu bapa gemar menyediakan pelbagai kemudahan kepada anak-anak sehingga tidak sedar bahawa bentuk pendidikan begini boleh menyebabkan anak-anak menjadi terlalu manja dan tidak berdikari. Anak-anak gadis selepas waktu sekolah begitu bebas berkeliaran bersama rakan-rakan atau menghabiskan masa berada di hadapan komputer untuk berinteraksi dengan rakan-rakan melalui Facebook dan sebagainya. Jika ibu bapa melatih anak-anak berdikari dan membantu mereka mengendalikan urusan rumahtangga maka permasalahan untuk mendapat pembantu rumah tidak menjadi satu isu yang besar dalam negara ini.

Dalam era teknologi moden terdapat pelbagai jenis mesin dan peralatan dapur yang boleh membantu meringankan beban menyediakan pemakanan dan minuman dan urusan rumahtangga. Peralatan moden tidak memerlukan terlalu banyak tenaga dan masa dalam penyediaan pemakanan dan minuman serta urusan pembersihan rumahtangga. Perkara yang penting yang sepatutnya dilaksanakan oleh ibu bapa adalah mendisiplinkan anak-anak memelihara kebersihan di dalam dan di luar rumah. Disiplin diri dalam kehidupan seharian amat penting bagi setiap individu jika mereka ingin berjaya dan memudahkan urusan rumahtangga.

Sikap malas bergerak dan kurang menggunakan tenaga adalah salah satu faktor yang menyebabkan individu tertentu terlalu bergantung kepada pembantu rumah bagi mengendalikan urusan rumahtangga.

Mengendalikan urusan rumahtangga dan anak-anak dalam era moden tidak sesukar wanita pada zaman dahulu apabila semua perkara berkaitan dengan pemeliharaan anak-anak dan urusan rumah tangga memerlukan tenaga dan masa yang lama. Namun mereka berjaya mendidik anak-anak menjadi orang berdikari dan bertanggungjawab walaupun mempunyai anak yang ramai tanpa memerlukan bantuan pembantu rumah.

Disiplin dan cara mereka mengendalikan kehidupan kekeluargaan dan rumahtangga sepatutnya dijadikan panduan. Selain itu, kerajaan juga perlu menyediakan pusat latihan bagi suri rumah melatih diri menjadi pengasuh profesional. Mereka yang mempunyai masa lapang sepatutnya diberi peluang menghadiri kursus didikan kanak-kanak supaya mendapat lesen menjaga anak-anak rakan dan jiran yang berpendapatan rendah.

Ini juga boleh mengelakkan masyarakat mengimport pembantu rumah dari luar. Oleh itu suami isteri dan ahli keluarga perlu bekerjasama mengendalikan urusan rumahtangga supaya pergantungan terhadap pembantu rumah dapat dikurangkan.

PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Mengekang budaya berhutang


DR ASYRAF WAJDI DUSUKI

Budaya berhutang dengan kad kredit mahupun melalui pembiayaan peribadi semakin menjadi-jadi dan memudaratkan masyarakat ketika ini. Lebih mencemaskan rata-rata diisytiharkan muflis kad kredit merupakan golongan muda yang merupakan aset penting negara masa depan.

Sikap sesetengah institusi perbankan tempatan yang cuba mengaut keuntungan jangka pendek dengan menawarkan pelbagai insentif terhadap produk-produk berupa pembiayaan peribadi juga turut menyumbang kepada gaya hidup berhutang. Sering kali juga fokus pemasaran produk-produk pembiayaan ini tertumpu kepada golongan penjawat awam yang mempunyai gaji tetap. Namun pembiayaan sebegini hanya menjurus kepada budaya berhutang bagi tujuan hidup bermewah-mewah melebihi apa diperlukan.

Ramai menyuarakan kebimbangan terhadap fenomena sebegini hingga mencetuskan pelbagai cadangan termasuklah memperketat pengeluaran kad kredit dan syarat-syarat membolehkan individu mendapatkan pembiayaan peribadi daripada bank-bank tempatan. Namun bagi penulis, isu ini perlu ditangani secara bersepadu yang tidak hanya bersifat penguatkuasaan mahupun sekatan.

Apa yang juga mustahak ialah mengambil pendekatan mendidik generasi muda dan masyarakat amnya agar lebih berhemah dan bijak dalam menguruskan kewangan dan perbelanjaan hidup berasaskan prinsip dan nilai-nilai muamalah Islam sejati.

Sememangnya aspek perbelanjaan dan pengurusan kewangan merupakan antara sifat utama seorang mukmin. Bahkan dalam permulaan surah Al-Baqarah, kita akan dapati bahawa kedudukannya disejajarkan ALLAH dengan ibadah solat sebagai tiang agama sebagaimana firman-Nya: “...mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan membelanjakan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka.” (Al-Baqarah: 3).

Ayat ini jelas mengisyaratkan bahawa setiap rezeki dan harta yang dimiliki merupakan kurniaan ALLAH yang wajib dibelanjakan berasaskan prinsip dan nilai syariat. Dalam konteks ini, syariat Islam sememangnya jelas memperincikan ikatan-ikatan dan batasan-batasan dalam perbelanjaan.

Setiap sen daripada harta yang diperoleh mahupun dibelanjakan akan dipertanggungjawabkan ALLAH pada setiap insan. Sebagaimana seorang Muslim tidak bebas untuk memperoleh harta daripada sumber haram, maka dia juga tidak bebas untuk membelanjakan hartanya dalam perkara haram.

Islam turut menentang keras, bahkan mengisytiharkan perang menentang kecenderungan bermewah-mewah. Al-Quran jelas menyebut, kemewahan merupakan ciri-ciri utama penghuni neraka yang bakal mendapat kemurkaan dan seksa pedih daripada ALLAH.

Firman ALLAH: Dan golongan kiri, siapakah golongan kiri itu? Dalam (seksaan) angin yang amat panas dan air panas yang mendidih, dan dalam naungan asap yang hitam, tidak sejuk dan tidak menyenangkan. Sesungguhnya mereka sebelum itu hidup bermewah-mewah. Dan mereka terus-menerus mengerjakan dosa yang besar. (Al-Waqiah: 41-46)

Jika diselidiki secara rasional dan objektif, kita akan dapati bahawa kecenderungan untuk hidup mewah dan bergayalah yang sering kali menjerumus seseorang untuk berbelanja melebihi kemampuan. Keghairahan untuk memenuhi tuntutan gaya hidup bermewah-mewah jugalah sering menjerumus seseorang untuk berhutang melalui kad kredit mahupun produk pembiayaan peribadi lain.

Kedangkalan ilmu, kebobrokan nilai dan kegelojohan berbelanja akhirnya mengakibatkan umat terbelenggu dalam malapetaka hutang yang mampu menghakis jati diri, memporak-perandakan maruah dan menjahanamkan masa depan negara. Bahkan umat yang dibebani hutang lantaran kerakusan berbelanja adalah umat yang bakal terjerumus ke dalam kancah kegawatan, kebejatan dan kecelakaan.

Justeru, pendidikan mengurus kewangan dan perbelanjaan berhemah merupakan suatu keperluan mendesak untuk diperluas dan diperhebat dalam masyarakat ketika ini. Umat harus dipasakkan dalam pemikiran bahawa kad kredit hanya sekadar wahana untuk pembayaran dan bukannya berlagak mewah atau berlebih-lebihan.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : Penguatkuasa syariah kena bendung gejala sosial


Oleh Mahfudzah Mohamad

Mencegah khalwat boleh elak zina, kes buang bayi

GEJALA sosial yang tidak pernah menunjukkan tanda pengurangan kini berubah kepada keadaan amat membimbangkan khususnya kes pembuangan bayi. Trend pembuangan bayi di Malaysia seperti menjadi sumpahan apabila tabiat kejam dan tidak berperikemanusiaan ini semakin popular dalam kalangan remaja.

Malah bagi tempoh empat bulan pertama 2010, sejumlah 24 kes pembuangan bayi dilaporkan. Ini menyamai trend membunuh tiga nyawa tidak berdosa bagi setiap dua minggu atau dengan kata lain, wujud tiga pembunuh atau pembuang senyap dalam setiap minggu.

Persoalannya, apakah punca utama masalah ini dan adakah tidak ada jalan penyelesaian bagi mengatasinya? Adakah peruntukan undang-undang berkaitan masih tidak mencukupi dan penguatkuasaannya masih longgar sehingga menyebabkan ‘pembuang senyap’ ini amat berani beraksi tanpa mengambil kira keadaan sekeliling?

Atau adakah institusi kekeluargaan kini sudah sampai kepada tahap kritikal sehingga keadaan anak perempuan mereka yang hamil ini langsung tidak disedari oleh ibu bapa dan penjaga?

Selain usaha menerapkan nilai agama dalam masyarakat khususnya di dalam institusi keluarga, tindakan penguatkuasaan terhadap jenayah buang bayi juga amat perlu ditingkatkan memandangkan gejala ini dilihat semakin menjadi-jadi. Bagi tindakan penguatkuasaan syariah pula, ia lebih kepada pencegahan kerana peruntukan kesalahan buang bayi atau menyembunyikan kelahiran tidak diperuntukkan di bawah Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah.

Namun tindakan pencegahan inilah menjadi perkara amat penting kerana ia membabitkan penguatkuasaan terhadap kesalahan khalwat, perbuatan tidak sopan di tempat awam, hamil luar nikah, persetubuhan luar nikah dan lain-lain kesalahan berkaitan.

Namun masyarakat sering kali mempersoal tindakan penguatkuasaan syariah yang dilakukan oleh pegawai penguatkuasa agama (PPA) ini. Segala macam tohmahan dilempar kepada PPA yang kononnya hanya ingin ‘menjaga tepi kain orang’.

Apabila kes berjaya disabitkan dan hukuman dijatuhkan, timbul pula tohmahan bahawa hukuman yang dijatuhkan adalah bersifat menghina, kolot, menghalang kebebasan individu dan menjatuhkan maruah wanita khasnya bagi hukuman sebat syariah.

Falsafah hukuman jenayah dalam Islam dan matlamat hukuman dalam Enakmen Jenayah Syariah ialah untuk pencegahan, pembalasan terhadap perbuatan salah, ganti rugi dan pemulihan. Aspek pencegahan adalah untuk mencegah manusia daripada melakukan kejahatan.

Pencegahan akan berhasil apabila timbul rasa takut dalam kalangan masyarakat terhadap hukuman yang dikenakan. Pencegahan seperti ini terdapat pada semua hukuman yang ditetapkan oleh Undang-Undang Islam. Ini kerana keseluruhan hukuman ini mengandungi unsur-unsur yang membuatkan masyarakat takut untuk menghadapinya.

Aspek pembalasan pula dinyatakan dengan tegas oleh Allah di dalam Surah al-Maidah ayat 38 yang bermaksud - “Pencuri lelaki dan pencuri perempuan, maka potonglah tangan kedua-duanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka telah lakukan.”

Hukuman yang berbentuk ganti rugi pula adalah hukuman yang dikenali sebagai hukuman diyat. Secara jelasnya ia terdapat dalam kes pencerobohan yang dilakukan terhadap kepentingan orang lain.

Ada juga hukuman yang diperuntukkan bertujuan pemulihan bagi pesalah jenayah syariah. Pelaksanaan hukuman terhadap pesalah diharap dapat mengembalikan pesalah berkenaan ke jalan kebenaran dan menjauhkannya dari kemaksiatan. Firman Allah dalam Surah az-Zukhruf ayat 48 yang bermaksud - “Dan kami timpakan ke atas mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar.”

Dalam Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah negeri terdapat peruntukan yang bertujuan untuk membanteras kegiatan jenayah ini pada peringkat awal lagi. Contohnya peruntukan bagi kesalahan khalwat. Jika diteliti secara mendalam, khalwat adalah faktor utama yang membawa kepada perzinaan yang akhirnya membawa kepada gejala hamil luar nikah dan buang bayi.

Maka di sinilah peranan penguatkuasaan syariah yang harus ‘menjaga tepi kain orang’ bagi membendung gejala sosial daripada terus berleluasa. Ini kerana tindakan ‘menjaga tepi kain orang’ ini tidak menjadi satu kesalahan dalam usaha membasmi gejala sosial, bahkan sikap seperti ini adalah sangat dituntut oleh Islam.

Ibu bapa atau penjaga juga perlu memainkan peranan mereka dalam mendidik anak dengan didikan agama bermula dari peringkat awal lagi kerana fitrah manusia khususnya remaja yang cepat terpengaruh oleh anasir luar yang merosakkan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/