Rabu, 27 Jun 2012

ISU PENDIDIKAN : Sekolah luar bandar perlukan perhatian PPD


SAYA ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh warga pendidik daerah Lipis khususnya Pejabat Pelajaran Daerah Lipis kerana telah berjaya melaksanakan tugas selaku tuan rumah Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang 2012 dengan begitu jayanya.

Hal ini membuktikan kepada umum bahawa warga pendidik sememangnya bertaraf dunia, dapat melaksanakan apa sahaja tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh kebertanggungjawaban.

Sambutan bermula dengan pertandingan memancing, memasak gulai tempoyak ikan patin, pertandingan woodball, pertandingan golf, kayuhan pendeta, mendaki Gua Bama, pameran pendidikan, rawatan kesihatan, ziarah hospital, makan malam, sehinggalah ke hari pelancaran oleh Menteri Besar Pahang. Sambutan daripada warga pendidik sangat menggalakkan dari seluruh negeri Pahang.

Saya ingin respons  tentang program 'Pengarah Turun Padang' yang dinyatakan oleh Yahaya Zainal Abidin, Pengarah JPN Pahang dalam ucapannya. Tahniah kerana beliau telah banyak melawat sekolah dan sesi perjumpaan dengan warga pendidik telah dilakukan. Beliau menunjukkan komitmen berjumpa dengan seluruh warga pendidik dan memberikan motivasi kepada guru-guru. Warga pendidik sangat-sangat teruja dan berterima kasih kerana dikunjungi dalam suasana mesra dan santai. Guru-guru dapat meluahkan masalah tanpa ada rasa tertekan. Inilah yang guru-guru mahukan apabila pegawai peringkat atasan sanggup turun ke akar umbi menyelami masalah dalam kalangan ahli.

Bagaimanapun, kami mengharapkan pelaksanaan program ini dapat diterjemahkan kepada 'Pegawai Pelajaran Daerah Turun Padang' atau ringkasnya 'PPD Turun Padang'.

Banyak maklumat akan diperoleh  apabila pegawai  PPD turun sendiri ke sekolah. Ini bukan  bermakna  kami tidak percaya kepada pegawai-pegawai yang sebegitu ramai di PPD.

Kami mahu Pegawai PPD melihat sendiri keadaan sekolah di daerah masing-masing terutamanya Sekolah Kurang Murid (SKM) dan  jauh di pedalaman.

Lihat sendiri keadaan fizikal sekolah dan hulurkan bantuan segera. Jangan asyik tertumpu kepada sekolah-sekolah elit di bandar.

Guru-guru akan berasa bangga sekiranya Pegawai PPD datang ke sekolah tanpa perlu dijemput dengan surat panjang berjela. Guru-guru begitu memerlukan perhatian dan suntikan semangat   daripada  Pegawai  PPD.

Jangan tunggu sehingga  keputusan peperiksaan sudah merosot barulah datang untuk mencari kelemahan guru-guru. Musim peperiksaan UPSR, PMR dan SPM tidak lama lagi.  Inilah masanya Pegawai PPD  dapat bertemu murid-murid yang akan menduduki peperiksaan dan juga guru-guru yang bertungkus-lumus tanpa mengira waktu.

Lihat sendiri bagaimana bersemangatnya guru-guru mencurahkan ilmu bagi menaikkan nama sekolah dan daerah masing-masing. Semoga tema 'Guru Menjana Transformasi Pendidikan Negara' dihayati dan dekat di hati seluruh warga pendidik.

SECUPAK
Pahang Darul Makmur.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : DBP mungkin diberi kuasa ambil tindakan salah guna Bahasa Melayu dalam iklan


KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan untuk memberi  kuasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mengambil tindakan terhadap sebarang kesalahan penggunaan Bahasa Melayu dalam iklan di tempat awam, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata pada masa ini kuasa memantau kesalahan penggunaan Bahasa Melayu dalam iklan di tempat awam terletak di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Penasihat undang-undang (kementerian) sedang jalankan kajian sama ada DBP akan diberi kuasa untuk ambil tindakan. Pada masa ini, kita masih mengharapkan kerjasama PBT untuk memastikan Bahasa Melayu dimartabatkan terutama oleh pihak swasta," katanya pada sesi soal jawab.

Katanya pendekatan DBP adalah lebih kepada menegur, menasihat dan mendidik dalam memartabat Bahasa Melayu berbanding menghukum pihak-pihak yang tidak menggunakannya dengan betul.

Menjawab soalan tambahan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) yang ingin tahu sama ada DBP mempunyai kepakaran untuk melaksanakan penggunaan Bahasa Melayu dalam semua aspek, Mohd Puad berkata DBP mempunyai satu unit yang sentiasa membuat teguran dalam memastikan tahap dan mutu penggunaan Bahasa Melayu yang betul dan tepat oleh semua pihak.

Katanya, sehingga kini lebih sejuta istilah dalam kira-kira 60 bidang ilmu dalam 289 judul daftar istilah, glosari dan kamus dihasilkan oleh DBP sejak penggubalan istilah dibuat pada tahun 1956.

Justeru, beliau menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa mata pelajaran Sains dan Matematik tidak boleh diajar dalam Bahasa Melayu.

"Saya yakin Bahasa Melayu boleh jadi bukan sahaja bahasa ilmu, tetapi bahasa perpaduan. Bahasa Melayu yang moden ini mampu bersaing dan tanggungjawab kita untuk pertahankannya agar tidak hilang di dunia," katanya.

Menjawab soalan asal Salleh Kalbi (BN-Silam) mengenai penggunaan istilah bahasa asing dalam bahasa Melayu yang dilihat semakin berleluasa, Mohd Puad menjelaskan bahawa perkataan yang berasal daripada  bahasa asing tetapi disesuaikan bentuk dan ejaan sebenarnya telah menjadi kata bahasa Melayu bukan lagi bahasa asing.

"Pengambilan istilah dari bahasa asing boleh dibuat jika sudah tiada lagi sumber dalam Bahasa Melayu baku, dialek atau bahasa serumpun," katanya.- Bernama

ISU BAHASA : Laporan Program Audit Bahasa Akan Dibawa Ke Kabinet


KUALA LUMPUR : Laporan Program Audit Bahasa akan dibentang di Kabinet bagi merangka tindakan susulan untuk memastikan masalah pengunaan bahasa kebangsaan ditangani dengan lebih serius.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr Awang Sariyan berkata laporan tersebut akan meliputi tahap penggunaan dan mutu bahasa kebangsaan di semua jabatan kerajaan yang akan terlibat dengan program itu nanti.

"Penggunaan bahasa akan direkodkan tahapnya melalui aplikasi bahasa kebangsaan di setiap aktiviti organisasi seperti dokumentasi dan perjalanan mesyuarat.

"Bagi aspek mutu bahasa, kumpulan audit bahasa DBP akan menilai penggunaan bahasa kebangsaan yang bermutu dan sempurna dari segi ejaan, tanda baca serta penggunaan perkataan kerana dikhuatiri jika terdapat kesalahan bahasa, ia berpotensi merencatkan kelancaran pentadbiran negara khususnya," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya, pada Rabu.

Program Audit Bahasa yang bermula hujung tahun ini sehingga 2014 akan melibatkan badan kerajaan pada tahap pertama sebelum diperluas kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau juga memaklumkan program perintis DBP itu digerakkan atas dasar bagi memenuhi peranan akta (5) dan (6) Bahasa Kebangsaan berkaitan perluasaan bahasa kebangsaan dalam pelbagai sektor meliputi penggunaan bahasa yang baik dan bermutu.

"DBP juga sedar akan peranan dan kedudukan bahasa kebangsaan seperti termaktub di dalam Perkara 152 Perlembagaan iaitu bahasa kebangsaan sebagai wahana pentadbiran negara secara rasmi," katanya.

Ekoran sedar usaha memartabatkan bahasa kebangsaan semakin dijauhkan daripada masyarakat, beliau berkata penjawat awam akan menjadi sasaran utama bagi memastikan program itu mencapai matlamatnya.

"Selepas 54 tahun negara merdeka, usaha mengangkat dan martabat bahasa kebangsaan semakin pudar terutamanya di sektor kerajaan dan kakitangan awam.

"Penjawat awam dan jabatan kerajaan tidak wajar memberi alasan untuk tidak memartabatkan dan menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik kerana mereka ini adalah pendukung utama kepada segala dasar kerajaan.

Katanya program itu adalah sebahagian daripada Dasar Bahasa Kebangsaan sama seperti dasar-dasar kerajaan yang lain.

"Saya harap kesemua jabatan kerajaan melihat program ini sebagai satu program positif dan ia tidak berniat sama sekali untuk mencari kesilapan organisasi berhubung penggunaan bahasa kebangsaan... Ini untuk penambah baik kepada bahasa kebangsan kita sendiri," katanya.

Beliau dalam masa yang sama yakin akan melihat lonjakan bagi mengutamakan bahasa kebangsaan dengan baik dan bermutu dalam setiap urusan kerajaan dalam masa dua hingga tiga tahun dari sekarang hasil pelaksanaan program itu. - BERNAMA

ISU BAHASA : Malam Bahasa Jiwa Bangsa


Oleh Latifah Arifin

Semangat khalayak dibakar deklamasi puisi, nyanyian, sketsa dan gurindam

MALAM Bahasa Jiwa Bangsa bersempena ulang tahun Ke-56 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sarat mesej mengenai perjuangan bahasa yang disampaikan dalam pelbagai bentuk termasuk deklamasi puisi, nyanyian, sketsa dan gurindam indah.

Acara yang bermula jam 9 malam itu dibuka dengan persembahan pelajar Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di bawah pimpinan pensyarahnya, Mazlan Tahir, begitu bersemangat menyanyi, berpuisi dan bersketsa dengan membawa tema Bahasa Jiwa Bangsa.

Pentas puisi kemudian disambut dengan duet penyair muda berbangsa Cina dan India, Cheng Kui Qiang dan Raguvaran Subramaniam yang penuh bersemangat melontarkan suara ketika membaca puisi berjudul DBP: Obor Satu Episod Sejarah Terus Menyala dan Membara.

Gema puisi bertambah panas dengan deklamasi Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2011, Syed Mohd Syed Othman atau SM Zakir yang menterjemah ranah bahasa dengan menggunakan warna sebagai simbol dalam karyanya, Warna Kata-kata.

Kata-kata adalah warna hitam
kehilangan segala kekuatan
untuk bangkit dan berjuang memaknakan hak kedaulatan
yang tenggelam dalam kekeliruan
kata-kata adalah warna air
yang turun mengalir membasahi
jiwa dan jasad yang kejang
dibelit segala kekalahan diri
sungguh, kata-kata adalah warna merah
darah yang meruap untuk kembali
bangkit dan berjuang
kata-kata, adalah warna bahasa
yang mewujudkan diri
kedaulatan, maruah dan hak
kata-kata adalah merah
darah yang berjuang.

Sasterawan Negara (SN) Ke-11, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala pula, lantang mendeklamasikan puisinya, Memorandum Violet Ini yang membidas sikap bangsa Melayu yang suka berdiam diri melihat kejatuhan bahasanya yang semakin hari semakin terpinggir.

Kupahat memorandum violet ini
dari darah, keringat dan air mata rakyat
waktu angin akhir bulan Jun membawa gerimis
senja yang ngilu
sampai kapan dialog-dialog ini
meracau membawa sembilu tajam merobek
Perlembagaan kita? Lihatlah tenaga, masa dan wang
terbuang sia-sia, sejuta ulat tengkulak
memakan kertas-kertas yang dilembagakan
kita berteriak untuk 55 tahun yang basi
“Mimpi kita sempoyongan.
harga diri kita dikoyak semau-mau
mereka paksakan wira rakyatnya
untuk tanah bertuah ini? Dan mengapa
mereka menghunjam Hang Tuah yang setiawan
Wira Seribu tahun Numera!”

Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar memberi warna kepada persembahan puisi dengan mencabar kumpulan peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dari Kem Setia Ikhlas, Semenyih, naik ke pentas untuk mencipta serangkap pantun secara spontan.

Kesediaan peserta PLKN, Nurul Haslina Abdul Kahar, menyahut cabaran dengan mengalunkan pantun indah mendapat tepukan gemuruh khalayak, sekali gus membuktikan genre pantun masih digemari generasi muda.

Johan tidak ketinggalan menyampaikan puisi panjang, Cerita Orang Desa di Kota, ciptaannya pada 1966 yang sarat kisah mengenai pemuda kampung, Seman Koping yang kuat berangan dan mengimpikan hidup mewah di Kuala Lumpur.

Tersohor merata
anak muda jadi orang kota
maklumlah anak kepalang sayang,
cucu Ladin Pandak Melah
yang ayahnya ronggeng di Batu Pahat
khabarnya bukan main hebat di KL.

Lama-lama Seman Koping terasa lebih hebat dari dulu
pecacai pun pecacailah, asalkan bahagia
di kampung gah namanya
anak kampung Ketipang Payung berjaya di KL
Wak Gomleh minum teh di Kedai Ali Ketupi
menjejerkan cerita anak saudaranya rapat dengan menteri
Mbok Munah melihat sekali kelibat Seman Koping di TV
Di belakang body guard menteri
alangkah bangganya kalian
anak kampung berjaya di KL
lalu dilagukan orang.

Pasti ramai tidak percaya dua orang kuat DBP, Ketua Pengarahnya, Dr Awang Sariyan dengan puisi, Mitos Bahasa, kritik sinis terhadap bangsa Melayu yang mengagungkan bahasa Inggeris dan Naib Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar, lewat puisi, Balada Orang Kehilangan Jiwa Dalam Ceritera Merdeka.

Kepada anak yang mula menggaru kepala, si bapa masih juga bercerita
Ha, itu pun LRT yang melengkar kota
Dari KL Sentral ia meluncur hingga KLIA
Tentunya sepanjang Multimedia Super Corridor
MSC, mercu tanda sains dan teknologi.

Sampai di Lembah Pantai akhirnya si anak bertanya
Bapa, tidak adakah apa-apa yang namanya dalam bahasa Melayu
Bahasa yang menurut guru sejarah saya pernah dianggap jiwa bangsa.

Bapa, bukankah di Muzium Negara, tanya si anak
Mungkin juga, jawab bapanya selamba.

Bagaikan diserang histeria, jeritan khalayak dapat didengar tatkala dua penyanyi popular tanah air, Ramli Sarip dan Ana Raffali, mengambil alih pentas dengan menyampaikan beberapa lagu popular serta lagu puisi terkenal tanah air.

Malah, Ramli Sarip yang turut beraksi dengan gitar itu berjaya menyentuh hati khalayak tatkala menyampaikan lagu, Bahasa Terindah, sekali gus menyedarkan masyarakat pentingnya mendaulatkan bahasa.

Malam apresiasi puisi lebih dua jam itu turut dimeriahkan dengan deklamasi puisi oleh Editor Kanan Astro, Marcus Lim Han King yang menyampaikan Bacalah Dalam Bahasa Kita dan alunan medley gurindam dan nazam daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temenggong Kati, Kuala Kangsar, Shafaiz Zakaria.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PERKHIDMATAN AWAM : Menjaga kebajikan veteran ATM


Oleh : AZMI ABDUL MALEK

Pengorbanan anggota tentera untuk mempertahankan maruah, keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa dihargai oleh kerajaan dan rakyat.

Sehubungan itu kerajaan sentiasa menyediakan kemudahan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ahli keluarganya semasa bertugas dan selepas tamat perkhidmatan secara berterusan dan berkekalan.

Melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Kementerian Pertahanan, kerajaan menyediakan peruntukan jutaan ringgit setahun untuk menanggung sebahagian besar kos perubatan anggota dan ahli keluarga ATM serta bantuan pendidikan anak-anak mereka selepas menamatkan perkhidmatan.

Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan, berkata JHEV ditubuhkan bertujuan menguruskan pengagihan manfaat persaraan termasuk pencen dan program kebajikan bagi veteran ATM dan tanggungan mereka yang layak.

Menurutnya, pada masa ini bilangan anggota veteran ATM dianggarkan 301,200 orang yang sebahagian besarnya merupakan bekas tentera tidak berpencen. Secara purata dianggarkan seramai 3,000 anggota ATM menamatkan perkhidmatan setiap tahun.

Veteran ATM adalah berbeza dengan pesara-pesara perkhidmatan awam yang lain dari segi terma perkhidmatan. Ada antara mereka yang berpencen (berkhidmat melebihi 21 tahun) dan ada pula yang tidak berpencen (berkhidmat kurang daripada 21 tahun).

Antara keistimewaan veteran ATM berbanding perkhidmatan awam yang lain ialah mempunyai kemudahan rawatan perubatan percuma kepada semua veteran ATM tidak kira yang berpencen dan tidak berpencen.

"Secara purata, pembayaran kemudahan rawatan perubatan kepada veteran ATM berpencen dan tidak berpencen adalah sebanyak RM38.1 juta setahun kepada 10,500 penerima.

"Bagi golongan veteran yang miskin, tidak kira yang berpencen atau tidak berpencen, jabatan menyediakan skim bantuan kebajikan dan pendidikan seperti bantuan sara hidup, bantuan persekolahan anak-anak, bantuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi anak-anak veteran ATM, bantuan peralatan pesakit dan bantuan bencana alam," kata Zulkifli.

Semua veteran ATM yang tidak berpencen, berpencen tetapi kurang dari paras garis kemiskinan atau yang tidak berupaya bekerja (lumpuh), JHEV menyediakan beberapa skim bantuan kebajikan dan pendidikan seperti bantuan sara hidup iaitu bantuan kewangan untuk meringankan beban veteran atau tanggungannya yang kurang mampu pada kadar maksimum RM300 sebulan.

Menurut Zulkifli, bantuan persekolahan anak-anak veteran turut diberikan bagi meringankan beban perbelanjaan persekolahan iaitu jumlah bantuan kewangan tahunan bagi sekolah rendah RM500 manakala bagi sekolah menengah RM700 dan ia hanya diberikan kepada seorang anak bagi satu keluarga.

JHEV turut menyediakan bantuan kemasukan ke IPTA bernilai RM1,000 di peringkat diploma RM1,500 peringkat ijazah pertama.

Bantuan peralatan pesakit turut disediakan yang bertujuan memberi bantuan kewangan sekali gus kepada veteran, isteri/suami dan tanggungan yang layak untuk membeli peralatan bantuan sokongan seperti kerusi roda, tongkat, katil, tilam dan sebagainya - dengan bantuan maksimum sebanyak RM5,000. Struktur rumah veteran yang mengalami kerosakan akibat kebakaran, ribut taufan dan banjir turut mendapat bantuan maksimum sebanyak RM5,000.

Secara purata, JHEV mengeluarkan perbelanjaan skim bantuan kebajikan dan pendidikan sebanyak RM10.5 juta setahun kepada 9,500 penerima.

Zulkifli berkata, kerajaan turut memberi kemudahan dan kebajikan kepada bakal-bakal pesara dan bekas pesara termasuk untuk veteran ATM yang ingin dan mampu bekerja.

Menurutnya, sebelum menjalani latihan di Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), bakal pesara akan mengambil ujian profiling untuk membantu mereka memilih dan menentukan jenis kemahiran dan kecenderungan supaya memilih kursus yang sesuai.

"Forum khidmat nasihat diberikan kepada bakal pesara yang menjalani latihan peralihan untuk memberi pengetahuan serta pengenalan kepada mereka. Usaha mencari dan mencadangkan pekerjaan yang sesuai dengan pesara melalui sesi suai kenal dengan bakal-bakal majikan juga diadakan," katanya.

Pesara akan didedahkan dengan peluang-peluang kerjaya yang bersesuaian dengan kemahiran dan kepakaran masing-masing.

Kementerian menerusi JHEV juga melaksanakan program bagi membangunkan usahawan melalui khidmat perunding dan pemantauan berkala. Pemantauan dibuat supaya sebarang isu dan masalah dapat dibantu demi memantapkan usahawan yang terlibat.

Dalam masa terdekat, Perhebat akan melancarkan program melahirkan usahawan dan kerjaya kedua untuk veteran ATM yang tidak berpencen melalui peruntukan RM50 juta di bawah bajet 2012.

Katanya, sejak 15 Oktober 2010 veteran ATM berpencen dan tidak berpencen serta tanggungannya layak memohon bantuan mengurus jenazah daripada JHEV. Bantuan ini bertujuan meringankan beban perbelanjaan pengurusan jenazah bagi veteran dan tanggungan mereka.

Jumlah bantuan yang diberikan adalah RM3,000 bagi veteran dan RM1,500.00 bagi tanggungannya (pasangan dan anak).

Zulkifli berkata, dari tempoh awal Januari sehingga akhir bulan Mei 2012, bayaran mengurus jenazah yang dibayar JHEV adalah berjumlah RM2,458,500 yang melibatkan 944 kes kematian.

Selain dari JHEV, Kementerian Pertahanan juga menubuhkan Yayasan Veteran ATM (YVATM) untuk melaksanakan program kebajikan tambahan dalam membantu meringankan beban veteran ATM dan tanggungannya seperti melaksanakan sumbangan perayaan kepada penerima bantuan sara hidup veteran berumur 70 tahun ke atas, balu, anak yatim veteran ATM, veteran yang cedera semasa operasi dan veteran penerima peralatan pesakit terlantar/OKU. Setiap penerima akan mendapat sumbangan RM500.

Kemudahan dan bantuan yang disediakan kepada veteran ATM bukan sedikit. Kerajaan mampu berbuat demikian kerana kecekapan pengurusan kewangan dan menstabilkan program ekonomi sepanjang memerintah negara ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, veteran ATM hendaklah terus menyokong dan berdiri teguh di belakang kerajaan sedia ada demi menjamin masa depan diri dan ahli keluarga masing-masing terutamanya balu-balu ATM yang memerlukan bantuan.

"Kerajaan tidak pernah mungkir janji di samping memberi keutamaan bantuan dan kemudahan mengikut kepentingan terdahulu," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : 75% graduan IPT dapat kerja selepas 6 bulan tamat pengajian


PUTRAJAYA 27 Jun - Sebanyak 75 peratus graduan institusi pengajian tinggi (IPT) berjaya memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Kajian Pengesanan Graduan Kementerian Pengajian Tinggi 2011 juga menunjukkan trend graduan mendapat pekerja meningkat daripada 71.3 peratus pada 2007 kepada 77.4 peratus tahun lalu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peningkatan tersebut membuktikan keberkesanan sistem pengajian di negara ini selain peluang pekerjaan yang sentiasa ada bagi memenuhi permintaan pasaran. 

Sumber : http : //www.utusan.com.my/