Oleh : Ahmad Baei Jaafar
Pelik juga kalau ada orang Melayu
yang dilahirkan sebagai Melayu tetapi tidak berasa bangga dengan kemelayuannya.
Namun tidaklah sampai tidak mahu mengaku Melayu. Di mana salahnya Melayu?
Lainlah kalau Melayu ini asal usulnya penjenayah, pemberontak dan seumpamanya
dan kekal sehingga ke hari ini, tidak mahu saya mengaku Melayu. Malu saya
menjadi Melayu.
Rasanya Melayu tidak begitu,
tidak tahulah kalau begitu pada zaman purbanya. Sekarang Melayu sudah
bertamadun, sudah berada dalam negara merdeka. Jadi, apakah salahnya kalau kita
dilahirkan sebagai Melayu. Kalau kita tidak gembira dengan Melayu kita, tentu
secara tidak langsung kita telah menyalahkan ibu bapa yang melahirkan kita.
Silap-silap pula kita salahkan Allah yang melahirkan kita sebagai orang Melayu.
Sesungguhnya Melayu dan orang
Melayu tidak salah apa-apa kerana Melayu hanyalah salah satu bangsa yang
diwujudkan Allah bagi tujuan memberi peluang kepada manusia berkenalan antara
mereka.
Firman Allah yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya
Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah
menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan
(dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Namun, semulia-mulia kamu di
sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih
keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat :
13)
Allah takdirkan kita lahir
sebagai orang Melayu tentu ada hikmah kebaikannya. Kita boleh berkenalan dengan
bangsa lain dan berbaik-baik dengan bangsa lain secara harmoni. Malah lebih
patut kita berasa bangga kerana dilahirkan di Malaysia yang secara automatiknya
orang Melayu adalah orang Islam. Orang Melayu di sini ditakrifkan dalam
Perlembagaan Persekutuan sebagai orang Islam. Maknanya orang Melayu dan Islam
tidak boleh dipisahkan. Jadi, dari segi undang-undang orang Melayu mustahil
boleh menjadi murtad. Kenapa?
Yalah, bangsa seseorang tidak
boleh bertukar sejak daripada lahirnya sehingga ke tarikh matinya. Katalah
orang Melayu berkahwin dengan orang India, maka bangsanya tetap Melayu. Begitu
juga orang India itu, dia tetap India walaupun berkahwin dengan orang Cina.
Keadaan yang sama akan berlaku kepada bangsa lain seperti Cina atau orang
Afrika dan lain-lain. Mereka tetap dikira bangsa itu walaupun sudah
bertahun-tahun tinggal di Malaysia. Jadi, orang Melayu selagi berbangsa Melayu
dia tetap dikira orang Islam.
Sebenarnya Rasulullah sendiri
bangga yang dirinya orang Quraisy dengan katanya, ana (saya) Quraisy. Baginda
juga menyebut tentang kepimpinan kota Makkah khususnya Kaabah mestilah dalam
kalangan Quraisy. Namun bukanlah Quraisy segala-galanya. Ada juga keburukan
pada orang Quraisy di sudut kepimpinan seperti sabdanya yang bermaksud:
“Daripada Nabi SAW sabdanya,
sebaik-baik manusia ialah sebaik-baik Quraisy, sejahat-jahat Quraisy ialah
sejahat-jahat manusia, sebaik-baik kepimpinan Quraisy adalah sebaik-baik kepimpinan
manusia, dan sejahat-jahat kepimpinan mereka adalah sejahat-jahat kepimpinan
manusia dan sebaik-baik manusia adalah yang mengikut kebaikan mereka dan
sebaliknya seburuk-buruk manusia ialah yang mengikut keburukan mereka.”
(Riwayat al-Tabrani)
Jelasnya, setiap bangsa manusia
ada baik dan ada jahatnya. Yang penting pada kita ialah mana yang baik kena
ikut dan mana yang jahat perlu dijauhi. Oleh sebab itu dalam hal ini baginda
mengingatkan umatnya agar tidak taksub kepada bangsa apatah lagi pemimpin.
Taksub tersebut Rasulullah sebut sebagai asabiah seperti sabda Rasulullah SAW
yang bermaksud;
“Daripada Wasilah bin al-Asqa’;
aku bertanya akan Rasulullah SAW. Maka aku berkata, wahai Rasulullah, adakah
sebahagian daripada asabiah itu seseorang lelaki mencintai (menyukai) akan
kaumnya (bangsanya)? Jawab Baginda: “tidak, tetapi sebahagian daripada asabiah
itu, seseorang itu menolong kaumnya atas kerja-kerja kezaliman.” (Riwayat
Ahmad)
Dengan hadis ini kita boleh
mengesan siapa yang banyak mengamalkan asabiah. Kita boleh menilai sendiri
sejauh mana kita menyokong bangsa kita dalam melakukan kezaliman. Kita boleh
menilai sejauh mana pemimpin negara ini yang menyokong bangsanya dalam
melakukan kezaliman. Kalau semua itu ada pada diri kita atau pemimpin kita,
itulah tandanya kita terlibat dalam asabiah. Maka atas kesedaran itu jauhilah
perkara itu.
Melayu Malaysia
Isu Melayu ini perlu dijelaskan
di sini berdasarkan Perlembagaan Persekutuan yang mentakrifkan orang Melayu
sebagai orang yang lazimnya bercakap dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat
istiadat Melayu. Untuk lebih jelas kita rujuk Perkara 160.
Tafsiran: "Orang Melayu" ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan ;
Tafsiran: "Orang Melayu" ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan ;
(a) yang lahir sebelum Hari Merdeka
di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau
bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari
Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau
(b) ialah zuriat seseorang yang
sedemikian.
Sebenarnya berdasarkan perkara
ini, orang Cina atau India yang memeluk Islam sebelum Merdeka dan dia fasih
berbahasa Melayu dan mengamalkan adat Melayu, maka boleh dikira sebagai Melayu.
Tetapi jika Islam selepas Merdeka walaupun fasih berbahasa Melayu dan mahu
mengamalkan adat Melayu tidak boleh dikategorikan sebagai orang Melayu. Namun
kalau dia berkahwin dengan orang Melayu, maka anaknya boleh dikategorikan
sebagai orang Melayu menurut perenggan (a).
Berdasarkan perkara ini juga
mana-mana orang Indonesia yang menetap di Malaysia selepas Merdeka dan
kemudiannya mereka berkahwin dengan pasangan Indonesia juga, maka anak yang
dilahirkan itu tidak boleh dikategorikan sebagai Melayu. Walaupun mereka selama
ini orang Melayu (Indonesia), tetapi di sudut undang-undang mereka bukan
Melayu. Oleh sebab itu mereka tidak layak mendapat hak keistimewaan Melayu di
Malaysia.
Berbeza pula kalau mereka itu
berkahwin dengan orang Melayu Malaysia, maka anaknya adalah dikira sebagai
orang Melayu. Maka atas dasar itu mereka juga boleh mendapat segala
keistimewaan orang Melayu seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.
Malangnya, orang Melayu sendiri
tidak faham kedudukan mereka dan status mereka di negara sendiri. Atas
ketidakfahaman itulah, banyak hak keistimewaan mereka terlepas begitu sahaja.
Sebaliknya, orang bukan Melayu termasuk orang Indonesia boleh dengan senang
hati mengambil hak kita. Dan kita sendiri tidak mampu menghalangnya kerana kita
tidak tahu hak itu. Barangkali nasib ini padan dengan sikap orang Melayu yang
tidak mahu faham apatah lagi yang malas.
Selalunya orang Melayu suka
bising apabila telah hilang hak mereka, kita akan bising dan riuh sekampung
bila didapati rumah banglow di pinggir kota diduduki oleh orang Indonesia,
padahal dia selalu nampak pembinaan itu dibuat oleh orang Indonesia. Kita tidak
peka lalu membiarkan aktiviti itu. Baru-baru ini kita bising bila mendapati
pemilik gerai ikan dan buah di Pasar Chow Kit itu adalah orang Indonesia dan
Bangla.
Yalah, semua itu berlaku kerana
kita tidak faham peruntukan perlembagaan itu, tetapi bagaimana dengan pihak
berkuasa kerajaan, pemimpin negeri dan pusat, adakah mereka juga tidak tahu dan
tidak faham. Inilah masalah yang patut kita sedar kalau kita benar-benar mahu
membela orang Melayu. Apakah ertinya kita mendapat keistimewaan itu sedangkan
rakyat yang berbangsa Melayu tidak mendapat keistimewaan itu.
Islam Agama Negara
Selain hak orang Melayu kita juga
harus bersyukur kerana agama Islam diletakkan sebagai agama persekutuan di
dalam Perlembagaan Persekutuan. Maka dengan peruntukan itu bukan sahaja setiap
orang Islam boleh mengamalkan ajaran Islam dengan bebas malah segala yang
berjalan dalam negara ini seharusnya mengikut kehendak Islam. Namun realitinya,
peruntukan perlembagaan itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak berkuasa
apatah lagi rakyat jelata.
Cuba kita teliti peruntukan
Perlembagaan Persekutuan berikut:
Perkara 3. Agama bagi Persekutuan.
(1) Islam ialah agama bagi
Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di
mana-mana Bahagian Persekutuan.
Apabila perlembagaan menyebut
agama bagi Persekutuan bermakna seluruh negara mesti berasaskan Islam. Segala
aktiviti di mana-mana bahagian negara mesti berpaksikan Islam. Tetapi
persoalannya, apakah peruntukan ini telah dimanfaatkan? Adakah Islam hanya
sekadar nama sehingga sesetengah pihak boleh menganggap Islam hanya untuk
urusan rasmi negara sahaja?
Saya percaya, anggapan mereka itu
adalah berdasarkan realiti pada masa itu. Apa tidaknya, apabila hendak mulakan
program, baca al-Quran dan baca doa dan penutupnya dengan doa lagi. Tetapi di
tengah-tengahnya apatah lagi kemuncaknya banyak acara maksiat. Keadaan yang
sama berlaku dalam program radio dan televisyen.
Melihat realiti itu, saya tidak
katakan mereka tersalah faham, tetapi kemungkinan besar mereka sengaja hendak
menyindir pihak berkuasa kerajaan. Sepatutnya pihak pemerintah peka dengan
peruntukan ini dengan meletakkan Islam dalam segala program. Maka, mana-mana
acara yang berlawanan dengan Islam perlu dihentikan. Maknanya setiap orang
Islam sama ada pemerintah atau rakyat perlu amalkan Islam dalam kehidupannya.
Apa buktinya? Bacalah perkara
3(1) sehingga habis, bukankah secara jelas disebut; “tetapi agama-agama lain boleh
diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan”. Maknanya
apa? Kalau orang bukan Islam dibenarkan mengamalkan agama mereka dengan aman
dan damai di negara ini, tentulah orang Islam lebih berhak lagi untuk
mengamalkannya. Kitalah yang sepatutnya mengambil peluang mengamalkan Islam di
mana-mana tanpa had.
Malangnya, perkara ini kita tidak
ambil kisah. Kita lihat pada hari ini, orang bukan Islam amat serius
mengamalkan ajaran mereka termasuk agama Hindu, setiap malam Jumaat dan Ahad sanggup
memenuhi kuil. Sedangkan orang Islam, boleh dikira berapa ramai yang boleh
pergi masjid dan surau. Malah pada waktu solat Jumaat pun ada yang sanggup
ponteng solat. Sedih.
Kita tidak boleh halang orang
lain melakukan ibadat mereka kerana Perlembagaan membenarkannya. Tetapi kita
seharusnya rasa cemburu dengan mereka kalau kita tidak lebih hebat daripada
mereka dalam beribadah. Marilah kita bersaing dalam menuju kebenaran Ilahi
kerana peluang itu sudah dibuka luas dalam Perkara 11. Kebebasan beragama.
(1) Tiap-tiap orang berhak
menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4),
mengembangkannya.
Jelas peruntukan ini memberi
kebebasan kepada semua orang untuk mengamalkan agama yang dianutinya. Maknanya
orang Islam boleh amalkan semua ajaran Islam sepenuhnya. Kita boleh solat,
puasa, mengeluarkan zakat, menunaikan haji, kita juga boleh buat yang sunat
semahu kita. Pendek kata, apa-apa yang ada dalam ajaran Islam boleh diamalkan
tanpa ragu. Kerajaan tidak ada hak untuk melarangnya kecuali kalau ajaran itu
hendak dikembangkan kepada orang lain. Maka dalam keadaan ini kita tertakluk
kepada Fasal (4) iaitu; “Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan
Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang
persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau
kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”.
Maknanya kerajaan negeri dan
Wilayah Persekutuan boleh mengawal dan menyekat ajaran sesat atau songsang
termasuk ajaran agama lain terhadap orang Islam. Atas sebab itulah mengapa
semua guru agama atau pendakwah yang penyebar Islam diwajibkan mendapat
tauliah. Bayangkan kalau orang Islam pun tidak boleh sewenang-wenangnya
menyebarkan Islam kepada orang Islam, tentulah lebih patut orang bukan Islam
tidak boleh menyebarkan agama mereka kepada orang Islam.
Sungguhpun begitu, peruntukan ini
tidak disambut secara serius oleh beberapa kerajaan negeri, lalu mereka tidak
segera mengubal enakmen bagi mengawal dan menyekat ajaran agama lain kepada
orang Islam. Kita mengenal pasti hanya negeri Kelantan, Kedah, Melaka dan
Selangor telah meluluskan enakmen untuk tujuan itu.
Walau bagaimanapun seperti yang
dijelaskan di atas, negeri lain masih
boleh mengawal dan menyekat agama lain berdasarkan peruntukan fasal (4) itu,
cuma kekuatannya belum terjamin. Hal ini kerana kerajaan melalui pihak berkuasa
agama boleh bertindak terhadap mereka tetapi tiada bentuk hukuman yang boleh
diambil terhadap mereka.
Tetapi, apakah pihak berkuasa
negeri telah lakukan sehingga setakat ini. Kita tidak berani bertindak.
Kalaupun ada pihak yang bertindak, orang Islam sendiri yang cuba menghalang.
Kita sepatutnya malu kepada Allah kerana kelemahan kita bertindak sehingga
menyebabkan agama lain sanggup mencabar kewibawaan kita.
Kita mengaku beragama Islam dan
berbangga berada dalam negara Islam, tetapi kita tidak banyak melakukan amalan
atau ajaran Islam baik dalam diri mahupun negara. Kalau beginilah keadaan kita,
pasti Allah tidak mahu memihak kepada kita.
Semarakkan Amalan Islam
Sebenarnya berdasarkan peruntukan
Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Undang-undang Islam negeri-negeri, kita sudah
boleh menyemarakkan ajaran dan amalan Islam tanpa had. Semua umat Islam boleh
melaksanakan semua ajaran Islam tanpa boleh disekat oleh mana-mana pihak apatah
lagi orang bukan Islam. Malah kita boleh menyebarkan Islam kepada semua orang
termasuk kepada orang Kristian tanpa sebarang sekatan.
Sebagai pemimpin, mereka boleh
amalkan ajaran Islam di peringkat kepimpinannya. Setiap program yang dibuat
dipastikan menepati ajaran Islam. Mereka amat amanah dan adil kepada rakyat.
Dan sebagai rakyat mereka boleh amalkan ajaran Islam tanpa rasa malu kepada
pihak lain. Sebagai pelajar pula mereka boleh amalkan ajaran Islam di mana-mana
sahaja mereka berada.
Perlu ditegaskan di sini, amalan
Islam terdapat dua kategori; fardu ain dan fardu kifayah. Fardu ain yang melibatkan
persoalan akidah, syariah dan tasauf menjadi tanggungjawab setiap orang. Maka
ketiga-tiga itu boleh kita laksanakan dalam kehidupan ini tanpa dihalang oleh
sesiapa pun. Manakala fardu kifayah yang melibatkan aktiviti umum dan kerja
profesional tidak melibatkan semua orang. Maka sesiapa yang berkemampuan
melaksanakannya lakukanlah, asalkan perkara itu boleh memberi manfaat kepada
orang ramai.
Sehingga ke setakat ini, cuba
kita bertanya kepada diri sendiri, sudahkah kita lakukan semua itu? Kalau sudah
lakukannya apakah selama ini terdapat halangan? Saya pasti tidak ada pihak yang
menghalang kecuali nafsu dan syaitan. Kerajaan tidak mungkin akan bertindak
menghalang aktiviti kita kecuali kalau amalan kita itu bercanggah dengan
peraturan dan ajaran Islam.
Kalau begitu, jangan salahkan
orang lain kalau kita belum mampu melakukan segala ajaran atau amalan Islam.
Untuk itu, perlu ada satu pihak yang boleh turun padang bagi mengingatkan umat
Islam yang masih tidur untuk melaksanakan ajaran Islam. Percayalah kalau semua
umat Islam boleh laksanakan Islam dengan serius, orang bukan Islam tentu takut
untuk menggugat keimanan umat Islam.
Selain itu kita juga perlu tahu
membezakan antara tanggungjawab kita sebagai rakyat dengan tanggungjawab
kerajaan dalam mengamalkan Islam. Jadi, mana-mana tanggungjawab kita lakukan
sepenuhnya, tetapi mana-mana tanggungjawab kerajaan biar pemimpin yang
memikirkannya. Ketahuilah, kita tidak berdosa atas kesalahan pemimpin. Namun
sebagai rakyat kita ada saham jika menyokong kepimpinan yang enggan melakukan
tanggungjawab tersebut.
Jadi, kalau anda mengaku orang
Melayu marilah kita menyemarakkan amalan Islam di negara ini dengan serius.
Dengan sebab itu kita boleh berbangga bahawa kita berada dalam negara Islam.
Sumber : http://baei.blogspot.com/