Sabtu, 11 Februari 2012

ISU BAHASA : Ketua Pengarah DBP: Dr Awang ganti Termuzi


KUALA LUMPUR, 8 Feb: Dr Awang Sariyan telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang baharu berkuat kuasa 1 Februari lalu.

Beliau menggantikan Datuk Termuzi Abdul Aziz yang telah tamat perkhidmatan sebagai Ketua Pengarah DBP pada 31 Januari yang lalu.

Jawatan tersebut telah disandang oleh beliau sejak 1 Februari 2009.

DBP dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan satu Majlis Serahan Tugas Ketua Pengarah telah diadakan pada 31 Januari yang lalu di Bilik Mesyuarat Tun Perak, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Prof. Datuk Dr. Md. Salleh Yaapar, Naib Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Pengarah-pengarah Jabatan dan juga Ketua-ketua Bahagian DBP.


Biodata ringkas Dr Awang

Prof. Dr. Awang bin Sariyan ialah Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Republik Rakyat China, yang berpangkalan di Beijing. Foreign Studies University, Beijing (Januari 2008 – Julai 2011).

Sebelumnya beliau merupakan Pengarah Jabatan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Profesor Bahasa di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putera Malaysia dan Profesor Bahasa di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, selain pernah menjadi tenaga akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, universiti Brunei Darussalam dan Universiti Pendidikan Sultan Idris. Beliau pernah dua kali menjadi Profesor Tamu di Universiti Frankfurt Jerman dan beberapa kali di Universiti Sumatera Utara, Indonesia.

Beliau turut dilantik menjadi Perunding Seberang Laut Kementerian Pendidikan Singapura sejak tahun 1992 dan telah membentangkan kira-kira 200 syarahan, kertas kerja utama, kertas dasar dan kertas kerja di dalam dan di luar negara (termasuk Australia, Belanda, Brunei Darussalam, Indonesia, Jerman, Kampuchea, Korea Selatan, Perancis, Republik Rakyat China, Singapura, Sri Lanka dan Thailand). Tulisannya meliputi lebih 60 judul buku dan ratusan makalah.

Beliau pernah menjadi Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (2000 – 2008), Anggota Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM), Anggota Perwakilan Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Eksekutif Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM).

Antara hadiah dan anugerah yang pernah diperolehnya termasuklah Hadiah Persuratan Sambutan 10 Tahun UKM, Anugerah Khidmat Cemerlang DBP, Hadiah bahasa PLM-Public Bank, hadiah dua Dekad UPM, Anugerah Tinta Kencana (kategori Makalah Ilmiah), Pengiktirafan Siswazah Cemerlang Sambutan 35 tahun UKM dan Kesateria Mangku Negara daripada Yang di-Pertuan Agong.

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/

ISU KENEGARAAN : Ketua negara Islam kena kuasai semua bidang


Oleh Syuhada Choo Abdullah

GOMBAK: Tugas kepemimpinan kini semakin kompleks yang memerlukan pemimpin negara Islam tidak hanya memiliki ilmu kerohanian tetapi pengetahuan serta kemahiran dalam pelbagai bidang untuk membolehkan mereka mempertahankan keselamatan dan kesejahteraan umat seperti disyariatkan agama.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata pemimpin umat harus memiliki kedua-dua cabang ilmu pengetahuan berkenaan kerana Islam tidak hanya terbatas kepada kerohanian tetapi adalah gaya hidup meliputi keseluruhan aktiviti manusia dengan berpandukan al-Quran serta hadis.

"Pemimpin hari ini tidak memadai sekadar mampu membuat petikan daripada al-Quran serta hadis dan memberikan penterjemahannya, tetapi mesti berilmu pengetahuan dalam bidang lain supaya memahami keperluan berkaitan yang akan memberi sumbangan penting kepada keselamatan, kesejahteraan, kestabilan, keamanan, kemakmuran dan kebajikan umat.

“Pemimpin tidak dapat menerajui umat dan negara dengan baik kerana hanya menumpu kepada salah satu cabang berkenaan, terutama dalam keadaan dunia yang huru-hara kini,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Kepemimpinan dan Perubahan Sosial dalam Dunia Islam: Prospek dan Cabaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, semalam.

Sebagai contoh, Dr Mahathir berkata, pemimpin harus memastikan keselamatan rakyat dipertahankan dengan kemahiran ketenteraan dan keupayaan mencipta senjata canggih terbaru yang memerlukan kemajuan penyelidikan dan pembangunan serta penggemblengan ilmu dalam pelbagai bidang saintifik.

Akibat tiada keupayaan menghasilkan senjata berikutan tidak memiliki ilmu diperlukan, katanya, ada negara Islam kini lemah dan tidak berupaya mempertahankan diri sehingga terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar membeli senjata pada kualiti tidak setanding daripada pihak lain.

Dalam konteks ini, Dr Mahathir berkata, umat Islam memerlukan sistem pendidikan bagus yang mendedahkan mereka kepada semua bidang ilmu pengetahuan mencakupi kedua-dua cabang keagamaan dan juga bukan kerohanian, bagi melahirkan pemimpin sedemikian.

Dalam pada itu, beliau berkata, antara peranan pertama terpenting perlu dilakukan pemimpin ialah mewujudkan peluang pekerjaan untuk memberi kehidupan lebih baik kepada rakyat, seperti dilakukan kerajaan negara ini sejak merdeka.

Sumber : http : //www.bharian.com/

ISU BAHASA : Bukti jelas Melayu bukan suku kaum


BETAPA adanya orang Melayu di dunia yang dahulu dipanggil Gugusan Kepulauan Melayu (Malay Archipelago) diperkenalkan?

Antara yang menghuraikan identiti mereka Contasting Malayness: Malay Identity Across Boundaries (Singapore University Press, 2004).

Turut memberi sumbangan ialah Profesor Shamsul Amri Baharudin dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Tenas Effendy dari Indonesia dan sejarawan dari Australia, Belanda, Singapura dan Amerika.

Lalu Profesor Shamsul menyentuh tiga aspek kemelayuan - bahasa, raja dan agama.

Antara lain disebut betapa seseorang keturunan Arab menjadi orang Melayu di Kedah, tetapi tidak di Johor. Seorang keturunan Siam menjadi orang Melayu di Kelantan, tetapi tidak di Negeri Sembilan.

Juga disebut bahawa pada awal 1840-an, Abdullah Munshi menggunakan istilah bangsa Melayu.

Banci pihak penjajah pada 1891 mengakui tiga bangsa: Cina, Tamil, Melayu.

Pengasas-pengasas akhbar pertama bahasa Melayu di Singapura pada 1907 memilih nama Utusan Melayu.

Sumbangan Tenas dari Indonesia pula ialah Syair Nasib Melayu. Nama asalnya Tengku Nasyaruddin yang bermastautin di Pekan Baru, Indonesia.

Syairnya diterjemah ke bahasa Inggeris. Salah satu berbunyi:

Each outsider has to understand,

The Malay people have a good character,

Because they are nice don't underestimate them,

Malays also will bravely face their death.


Leonard P. Andaya, Profesor dari Universiti Hawai pula menulis mengenai Istana Melaka pada abad ke-15 menjadi pusat dunia Melayu melalui Sulalat al-Salatin.

Juga terbit Hikayat Hang Tuah. Ia menjadi kisah terkenal dan popular. Dicatat perkataan "Tanah Melayu".

Profesor Heather Sutherland dari universiti Belanda menulis mengenai Melayu Makassar yang terkenal kerana kecergasan mereka dalam urusan perniagaan.

Lalu bahasa Melayu menjadi Lingua Franca Perdagangan dan diplomasi (di samping bahasa Portugis).

Olehnya dicatat: "Di Makassar sesiapa sahaja dari sebelah Barat termasuk orang Jawa dipanggil Melayu, malahan juga orang Melayu Islam Minangkabau, orang dari pantai Sumatera dan Kalimantan (Borneo)".

Profesor Jan Van Der Putter, Sarjana Pengajian Melayu Universiti Singapura, menulis mengenai peranan keturunan Bugis.

Antara lain dicatat: "Kita diberitahu bahawa orang Bugis pada abad ke-19 begitu rapat dengan kerajaan penjajah dan membantu melenyapkan Sultan Mahmud pada 1859".

Profesor Virginia Hooker dari Universiti Kebangsaan Australia juga menulis A Short History of Malaysia dan membuat kajian mengenai Islam di Indonesia.

Beliau menulis mengenai Tun Dr. Mahathir Mohammad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim antara lainnya.

Profesor James T. Collins menulis mengenai Kalimantan Barat yang kira-kira 80 peratus penduduknya Melayu atau Dayak - Dayak 41 peratus dan Melayu 39 peratus.

Turut memberi sumbangan ialah Profesor Anthony Milner dari Universiti Kebangsaan Australia. Antara lain dicatat peranan Gabenor Singapura, Stamford Raffles mengubah nama Sejarah Melayu untuk mengutamakan peranan rakyat Melayu, bukan keturunan raja-raja.

Bila berucap dan menulis beliau menyebut "orang Melayu dan "bangsa Melayu". Beliau mempengaruhi penulis Abdullah Munshi.

Seperti disebut dalam bab lain Abdullah Munshi, keturunan lain, menganggap dirinya Melayu. Bahasa Melayu menjadi bahasa pilihannya dan beliau diterima sebagai pakar budaya dan bahasa Melayu.

Profesor Milner dalam kesimpulannya antara lain menulis mengenai aspek keasingan manakala tercapai kemerdekaan - Malaysia (Barat dan Timur), Indonesia, Brunei dan lain-lain.

Juga disebut penghijrahan orang Melayu semasa dahulu ke Sri Lanka dan Afrika Selatan.

Maka dari peta yang dahulu Gugusan Kepulauan Melayu dan senarai muncul pelbagai nama: Aceh, Minangkabau, Rawa, Makasar, Kerinci, Madura, Jambi, Palembang, Bidayuh, Kampar, Sulawesi, Maluku, Pekan Baru, Sumatera, Jawa Borneo dan lain-lain.

Melayu sebagai identiti nyata dan bahasa Melayu dalam dunia tenggara Asia pelbagai golongan. Melayu bukan suku kaum.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KESIHATAN : Kementerian Kesihatan Perhebat Kempen Berhenti Merokok


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan memperhebatkan kempen berhenti merokok tahun ini dalam usaha mengurangkan jumlah perokok di negara ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pada masa ini, 20 peratus daripada 28 juta penduduk Malaysia adalah perokok.

Beliau berkata sebagai sebahagian daripada program itu, semua pesakit di klinik dan hospital kerajaan, yang merupakan perokok, akan disaran agar mengikuti program berhenti merokok, bermula tahun ini.

"Program ini adalah percuma. Saya harap perokok akan menyertai program ini bagi membantu mereka mengurangkan ketagihan merokok," katanya selepas merasmikan karnival kesihatan di Gombak dekat sini, Sabtu.

Liow berkata mengurangkan tabiat merokok akan turut merendahkan kebarangkalian menghidap penyakit tidak berjangkit. Beliau berkata usaha akan diambil untuk mengurangkan kemasukan rokok seludup ke negara ini.

Rokok seludup membentuk sehingga 40 peratus daripada jumlah keseluruhan rokok yang berada dalam pasaran Malaysia.

Terlebih dahulu dalam ucapannya, Liow menyarankan supaya orang ramai yang berumur 30 tahun ke atas menjalani saringan kesihatan faktor risiko NCD secara tetap setiap tahun.

Katanya saringan kesihatan yang dilakukan secara tetap mampu mengesan penyakit di peringkat awal sebelum berlaku komplikasi kepada organ-organ dalaman seperti jantung dan buah pinggang. -BERNAMA