OLEH
: MOHD AZMI ABDUL HAMID
SEMEMANGNYA
ALLAH menentukan berlakunya sesuatu musibah. Akan tetapi sebab-musabab daripada
tingkah-laku kita, tidak mempedulikan kerosakan alam sekitar dan mengkhianati
amanah ALLAH sebagai khalifah alam, juga perlu diberi perhatian.
Lihat
bagaimana kita berlaku biadab atas nama pembangunan, merosakkan hutan, sungai,
pantai, laut, bukit, gunung dan sejumlah flora serta fauna yang diamanahkan
kepada kita. Pencemaran air dan udara, keracunan akibat penggunaan bahan kimia
yang berleluasa dan penyebaran wabak penyakit. Semua natijah daripada
kebiadaban kita 'memperkosa' alam tanpa batas.
Lantaran
itu kita menerima akibat sehingga alam turut 'mengamuk'. Atas nama pembangunan
yang kita laksanakan, kita telah mengetepikan sensitiviti bumi ini. Ekologi
yang cukup seimbang telah kita rosakkan sehingga bencana alam semakin kerap dan
merata. Insiden bencana yang semakin kerap seperti gempa bumi, ribut taufan,
banjir besar, tanah runtuh, penghakisan pantai dan kemarau yang berpanjangan
adalah petanda keseimbangan alam telah dirosakkan oleh tangan manusia sendiri.
Perhatikan
bagaimana kita menggondolkan bukit kita di seluruh negara. Lihat bagaimana kita
menebang hampir semua hutan sehingga sistem tadahan air kita musnah. Bukan
sedikit kesan pembalakan rakus yang kita benarkan sehingga sanggup menipu diri
dengan menggelar adanya pembalakan haram. Sedangkan balak yang dapat dilihat
berlori-lori jelas di atas jalan raya tidak mungkin boleh dikata haram kerana
ia bukan bergerak secara sembunyi seperti orang menyeludup dadah.
Kini
kita semakin melenyapkan hutan tropika kita, bukan sekadar suatu khazanah yang
tidak ternilai malah juga sebagai pengimbang alam untuk dunia. Kekayaan fauna
dan flora yang tersimpan di dalamnya diiktiraf sebagai hutan yang mempunyai
kepelbagaian spesies yang tertinggi di dunia. Kini kita menghadapi kepupusan
pelbagai spesies. Persekitaran kita diporak-perandakan tanpa rasional atas nama
mengejar gelaran negara maju.
Sungai
yang menjadi sebahagian keperluan manusia telah kita tukar menjadi parit-parit
besar. Sampah domestik dan sisa buangan industri dalam skala yang sangat besar
disalirkan ke sungai sehingga kondisi sungai berada dalam keadaan parah. Sungai
mula 'mengamuk' dengan melimpahkan airnya sehingga berlaku banjir besar yang
memusnahkan harta-benda dan meragut nyawa, gara-gara kebiadaban kita merosakkan
sistem sungai.
Demikian
juga keghairahan kita mendirikan ratusan empangan kononnya untuk pembekalan air
dan tenaga hidro, ternyata kesannya telah memusnahkan aliran air sungai yang
alami. Kita menenggelamkan ribuan hektar tanah yang melibatkan ratusan
perkampungan tradisional atas nama pembangunan menyebabkan puluhan ribu
penduduk terpaksa dipindahkan. Bukan sahaja ia merosakkan mata pencarian
penduduk desa, malah menimbulkan pelbagai kesan sosial kepada masyarakat yang
menjadi mangsa kepada pembangunan.
Keghairahan
kita menggali sumber bumi dan melombong apa sahaja yang ada dalam bumi, tidak
diteliti kesannya kepada kestabilan permukaan bumi. Natijah jangka panjang
tidak dipedulikan sama sekali. Eksploitasi terhadap apa sahaja yang ada di
perut bumi jelas tidak terbatas.
Natijah
yang kita terima akibat 'maksiat' ke atas alam adalah himpunan dosa yang
nampaknya dibalas dengan pelbagai bencana alam yang semakin kerap dan kronik.
Ribut taufan semakin kerap melanda, banjir berlaku pada kadar yang besar dan
meluas, tanah runtuh yang terjadi di mana-mana dan hakisan pantai semakin
berleluasa.
Kemungkaran
kerana kerosakan moral yang dipamerkan oleh segelintir manusia tidak bertamadun
di atas Gunung Kinabalu lalu sepatutnya dibanteras dan jangan dibenarkan
berulang lagi. Konsep bumi dan alam yang ada nilai kudus tidak ada dalam kamus
sistem hidup sekular dalam masyarakat Barat. Akan tetapi merosakkan alam dengan
sengaja oleh tangan kita sendiri melalui polisi pembangunan yang kita biaya dan
rancang sendiri, juga adalah kemungkaran yang perlu kita banteras.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/