Oleh :
Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom
PENGUMUMAN Bajet 2013 nampaknya
mempunyai kaitan yang signifikan dalam usaha menjayakan transformasi pendidikan
melalui Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2025 yang dilancarkan oleh
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.
Melalui Bajet 2013 ternyata
peruntukan besar disediakan bagi melaksanakan tiga aspek penting iaitu untuk
peningkatan kualiti pengajaran guru, melengkapkan infrastruktur sekolah dan
memastikan keberkesanan pelaksanaan melalui pemantauan transformasi tersebut.
Apabila Bajet 2013 diumumkan pada
28 September lepas didapati sektor pendidikan terus mendapat peruntukan tinggi
iaitu sebanyak RM38.7 bilion meliputi peruntukan mengurus dan pembangunan
daripada jumlah keseluruhan bajet RM251.6 bilion.
Bajet 2013 memberi tumpuan bagi
menjayakan transformasi pendidikan. Aspek pertama ialah meningkatkan kualiti
pengajaran guru. Bagi tujuan tersebut disediakan peruntukan tambahan sebanyak
RM500 juta untuk membolehkan guru melaksanakan pengajaran melalui pendekatan
kemahiran berfikir aras tinggi dalam pengajaran subjek-subjek teras iaitu
Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
Sesungguhnya penekanan kepada
peningkatan kualiti guru melalui pendekatan tersebut dinyatakan dalam PPP
2013-2025 dengan Anjakan Pertama iaitu menyediakan kesemarataan akses kepada
pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.
Hakikatnya apabila murid
dikatakan telah berjaya menguasai ilmu, mereka berupaya menganalisis maklumat,
berfikir secara kritis dan berkomunikasi dengan berkesan. Inilah bentuk
kemahiran berfikir aras tinggi yang telah pun dimiliki oleh murid di negara
maju. Sementara itu Anjakan Kedua menekankan setiap murid mahir dalam bahasa
Melayu dan bahasa Inggeris.
Ini dilakukan dengan meluaskan
program LINUS supaya meliputi literasi Bahasa Inggeris. Peningkatan kemahiran
Bahasa Inggeris juga dilakukan dengan memastikan semua 70,000 guru bahasa
tersebut lulus Cambridge Placement Test (CPT) dalam tempoh dua tahun. Peluasan
pendedahan kemahiran berbahasa juga dilakukan dengan memperkenalkan modul
Sastera Inggeris yang akan diwajibkan kepada murid sekolah menengah.
Bagi memastikan pelaksanaan
pendekatan pengajaran kemahiran berfikir aras tinggi guru-guru akan terus
didedahkan kaedah pengajaran yang berpusatkan kepada pelajar. Aktiviti yang
menyeronokkan dan menarik minat pelajar seperti main peranan, lakonan,
syarahan, debat, forum, simulasi, perbincangan, tugasan luar bilik darjah dan
kerja dalam kumpulan kecil akan menggalakkan murid sentiasa berfikir dan
berusaha meningkatkan daya pemikiran mereka.
Sementara itu Anjakan Ketujuh
iaitu memanfaatkan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran adalah berkait rapat
dengan usaha meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi. Perbelanjaan yang
besar diperlukan untuk meningkatkan akses internet dan persekitaran
pembelajaran maya.
Ini akan dilakukan melalui
pelaksanaan 1BestariNet bagi semua 10,000 buah sekolah. Dengan adanya akses
kepada rangkaian 4G di sekolah maka landasan untuk pelaksanaan pembelajaran
secara interaktif akan dapat dilaksanakan.
Aspek kedua bagi menjayakan PPP
ialah melengkapkan infrastruktur sekolah. Kemudahan yang baik disediakan di
sekolah akan membolehkan guru menyampaikan pengajaran dengan lebih berkesan.
Bajet 2013 telah menyediakan
peruntukan besar iaitu sebanyak RM1 bilion di bawah Tabung Khas Pembinaan,
Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah.
Peruntukan ini akan digunakan
bagi keperluan seperti membaikpulih bangunan sekolah, penyelenggaraan,
pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan.
Bagi memastikan infrastruktur
sekolah dapat disempurnakan terutama sekolah di kawasan luar bandar dan
pedalaman maka kerajaan telah memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM1
bilion lagi. Ini bermakna bagi tujuan meningkatkan keupayaan infrastruktur
sekolah sebanyak RM2 bilion telah disediakan.
Di samping itu Tabung Khas pula
diwujudkan iaitu peruntukan sebanyak RM400 juta daripada RM2 bilion itu akan
disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan dan RM100 juta lagi diperuntukkan kepada
setiap aliran sekolah lain iaitu SRJK(C), SRJK(T), sekolah mubaligh, sekolah
agama bantuan kerajaan dan sekolah berasrama penuh.
Aspek ketiga yang penting bagi
menjayakan PPP 2013-2025 ialah memastikan keberkesanaan pelaksanaan dan
pemantauan. Dalam majlis pelancaran PPP yang lalu, Perdana Menteri menekankan
bahawa perancangan yang nampak cantik dan lengkap belum menjanjikan kejayaan
tanpa penekanan kepada aspek pemantauan dan diikuti penilaian serta
penambahbaikan.
Oleh itu dalam Bajet 2013 Perdana
Menteri mencadangkan penubuhan Unit Pelaksanaan Pendidikan bertujuan memantau
dan menilai keberkesanan pelaksanaan transformasi tersebut. Pelaksanaannya
boleh menggunakan peruntukan tambahan RM500 juta yang turut digunakan dalam
meningkatkan kemahiran guru.
Aspek pelaksanaan dan pemantauan
ini ada dinyatakan dalam PPP melalui Anjakan Keenam iaitu pengupayaan serta
memperkasakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah
(PPD).
Peranan mereka bukan sahaja untuk
menyelesaikan isu berasaskan keperluan seperti menempatkan Jurulatih Mata
Pelajaran Khusus, Jurulatih Pengetua Rakan Penambahbaikan tetapi juga
memastikan semua perancangan yang telah disediakan dapat dilaksanakan dengan
teratur dan berkesan.
Penambahan pegawai dan kakitangan
di JPN dan PPD diperlukan untuk melaksanakan peranan dan tanggungjawab yang
diberikan di samping mendapat latihan yang bersesuaian. Keberkesanan Unit ini
adalah indikator kepada kejayaan PPP 2013-2025.
Sesungguhnya Bajet 2013 yang
bertemakan Memakmurkan Negara,
Mensejahterakan Rakyat: Sebuah Janji Ditepati
itu menyediakan keperluan transformasi pendidikan selaras dengan Pelan
Pembangunan Pendidikan 2013-2025 bagi memacu peningkatan kualiti pendidikan.
PENULIS ialah Pengerusi Yayasan
Guru Malaysia Berhad.
Sumber : http : //www,utusan.com.my/