Oleh : MOHD. HAFIZ
ABD. MUTALIB
KOTA BHARU 1 Okt. -
Kerajaan disaran mewajibkan pelajar dan warga asing yang bekerja di negara ini
menguasai bahasa Melayu dalam usaha menjamin kedudukannya sebagai bahasa
kebangsaan.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) Dr. Awang Sariyan berkata, usaha itu boleh dilakukan dengan
mewajibkan mereka mengambil Ujian Kecekapan Bahasa Melayu.
Beliau berkata, pihaknya telah
menggubal dasar mengenai perkara tersebut dan akan mengemukakannya kepada
kerajaan serta berharap ia dapat dilaksanakan segera.
Katanya, pendekatan mewajibkan
warga asing belajar bahasa tempatan telah dipraktikkan di kebanyakan negara dan
turut dilalui oleh pelajar Malaysia yang menuntut di negara berkenaan.
Malangnya kata beliau, dasar
tersebut tidak berlaku di negara ini dan dikhuatiri akan menyebabkan bahasa
Melayu semakin hilang.
"Sebagai contoh, pelajar
kita yang berada di luar negara seperti Jerman, Korea Selatan dan Jepun perlu
belajar sekurang-kurang setahun untuk menguasai bahasa mereka.
"Di Malaysia warga asing ini
terus menggunakan bahasa mereka dan lebih malang kita juga terpaksa mengikut
mereka apabila berkomunikasi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada
pemberita selepas majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 Peringkat
Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.
Majlis tersebut telah
disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Mengulas lanjut, Awang Sariyan
berkata, selain warga asing, rakyat negara ini yang masih belum fasih berbahasa
Melayu juga seharusnya diwajibkan mengambil ujian sama.
"Terdapat ramai rakyat di
negara ini masih tidak tahu berbahasa Melayu dan situasi itu amat
mengecewakan," katanya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/