"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak
sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal
yang ikhlas yang berdasarkan taqwa daripada kamu. Demikianlah ia memudahkan
binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat
nikmat petunjuk-Nya dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang
sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya" (AL
HAJJ : 37)
Rabu, 24 Oktober 2012
ISU EKONOMI : KL Di Tempat Ke-18 Senarai "Cities Of Opportunity"
KUALA LUMPUR : Kuala Lumpur berada dalam kedudukan lima teratas
dua kategori penting perkembangan ekonomi dalam edisi kelima "Cities of
Opportunity", yang dikeluarkan oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) dan
Partnership Bandar Raya New York.
Merupakan pendatang baharu untuk kajian 2012 berkenaan, Kuala Lumpur,
secara keseluruhan, berada di tangga ke-18, di tengah-tengah ranking antara
Shanghai dan Beijing.
Dalam ranking 2012, "Cities of Opportunity" melaporkan
yang Kuala Lumpur berada di tempat ketiga di dunia untuk kos rendah dan ke-10
untuk kelegaan menjalankan perniagaan.
Dari segi menjadi Bandar raya yang berkos rendah, Kuala Lumpur berada di
belakang Seoul dan Berlin, tetapi mendahului Istanbul dan Mexico City.
Langkah-langkah petunjuk kos mengukur kos untuk ahli perniagaan yang
tinggal di bandar raya termasuk kos transnasional, cara hidup kelas
pertengahan.
Pengarah Eksekutif PwC Advisory Services Malaysia, Andrew Chan Yik
Hong berkata kos rendah Kuala Lumpur dan kelegaan menjalankan perniagaan
mewakili poin permulaan transformasi bandar menjadi hab dunia untuk bakat dan
daya saing.
"Dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan kita, kita
berada di landasan yang baik," kata beliau.
Antara yang memberikan pemarkahan yang baik untuk Kuala Lumpur ialah kos
penginapan perniagaan, kos sewa, indeks harga pengguna dan kadar cukai yang
rendah.
Dari segi kelegaan menjalankan perniagaan, Kuala Lumpur terikat dengan San
Francisco di nombor 10 dalam petunjuk, di belakang Tokyo dan mendahului bandar
raya mesra-perniagaan seperti Sydney dan Seoul.
Kedudukan kukuh Kuala Lumpur dari sudut ini, secara asasnya disokong
daripada perlindungan pemegang saham, peraturan pekerja dan dasar visa yang
agak fleksibel.
Bandar ini juga berada di tempat keenam dalam pertumbuhan keluaran dalam negara kasar dan
kelima dalam aktiviti pembinaan utama.
Chan berkata Kuala Lumpur dipilih untuk laporan "Cities of
Opportunity" 2012 kerana ia adalah antara ibu negara Asia paling
dinamik dan pesat berkembang sebagai bandar global utama.
Kaji selidik 27 pusat kewangan, perdagangan dan kebudayaan turut
mengunjurkan Kuala Lumpur untuk meneruskan pertumbuhannya ke tahun 2025. -
BERNAMA
ISU AGAMA : Pelajaran kebapaan daripada perintah korban
KISAH mengenai korban
mencernakan pelajaran mengenai kebapaan
dan aplikasi dalam bidang kehidupan lain.
Pelajaran Pertama
Al-Quran mementingkan kebapaan
yang positif. Hal ini dapat dilihat daripada interaksi dan komunikasi Nabi
Ibrahim as dan anaknya. Mengapa Nabi Ibrahim as yang bercakap soal korban,
bukan ibu Nabi Ismail as?
Lebih menarik lagi, dalam semua
dialog antara anak dan orang tuanya melibatkan si bapa - iaitu dialog antara
Lukman dan anaknya (Lukman:12-19), Yaakob dan anaknya Yusuf (lihat seluruh
surah Yusuf) dan Nuh dan anaknya (Hud:42-3). Al-Quran tidak merakam walau satu
pun dialog antara ibu dan anaknya.
Kesemua ini mengajar bahawa
Al-Quran menganjurkan para bapa memainkan peranan aktif dan positif dalam
pendidikan anak yang dimanifestasikan dalam komunikasi yang baik dan berkesan,
walaupun tradisi Islam juga mengakui kepentingan ibu dalam pendidikan anak di
rumah.
Ertinya, Muslim yang baik bukan
seorang 'bapa kerusi malas' yang menyerahkan persoalan pendidikan anak di rumah
kepada si ibu sahaja.
Pelajaran Kedua
Pendidikan yang baik bagi anak
dan peranan kaum bapa dalam hal ini adalah penting.
Respons Nabi Ismail as apabila
diberitahu tentang perintah Tuhan menunjukkan beliau seorang yang beriltizam
dengan agama dan sanggup berkorban untuknya. Beliau juga seorang yang taat,
hormat dan sopan terhadap bapanya.
Cara respons beliau juga menunjukkan
kematangan yang tinggi sedangkan beliau hanya seorang 'ghulam' (remaja) pada
ketika itu.
Pastinya, segala sifat ini tidak
akan ada pada Nabi Ismail as tanpa didikan baik oleh ibu bapanya.
Oleh itu, cara pendidikan Nabi
Ibrahim as terhadap anaknya - pendidikan berpandu wahyu Tuhan (Al-Quran) -
harus dicontohi.
Pelajaran Ketiga
Komunikasi yang baik dan berkesan
oleh bapa (juga ibu) dalam berhubungan dan mendidik anak adalah penting.
Hal ini dicerna melalui cara
dialog Nabi Ibrahim as. Perkataan "ya bunayya" yang bermaksud
"wahai anakku" yang dituturkan Nabi Ibrahim as amat relevan. Dalam
bahasa Arab, perkataan "bunayya" berbanding "ibni"
menggambarkan kehalusan bahasa, sopan dan fokus pada sifat kasih sayang si bapa
dan bukan kuasanya.
Pelajaran Keempat
Cara pendidikan anak bukanlah
melalui pendekatan 'dengar dan patuh' sahaja. Hal ini dapat dilihat sekali lagi
dalam dialog Nabi Ibrahim as dan anaknya.
Beliau tidak hanya menyampaikan
perintah dan meminta anaknya patuh tanpa banyak soal. Beliau meminta anaknya
berfikir melalui kata-katanya, "Maka fikirkanlah apa pendapatmu!"
(Al-Saffat:102).
Ertinya, pendidikan anak dalam
Islam haruslah menjurus pada pemikiran yang kritikal. Ketaatan hendaklah
berdasarkan keyakinan dan iman, bukan kepatuhan buta pada kuasa dan tradisi
sahaja.
Hakikat ini disokong contoh-contoh
lain dalam Al-Quran iaitu:
- Malaikat menyoal Allah Taala
tentang penciptaan Adam sebelum akur padanya (Al-Baqarah:30-3)
- Kisah Uzair yang menyoal
bagaimana Tuhan dapat menghidupkan sesuatu yang telah mati (Al-Baqarah:259)
- Kisah Ibrahim mencari kebenaran
dan menerima perintah Tuhan dalam ayat-ayat Al-Baqarah:260, Al-An'am:75-9, Hud,
74:75.
- Firman Allah tentang peranan
ilmu dan kejelasan pada hujah dalam amalan agama dalam Surah Yusuf: : 108.
Pelajaran Kelima
Musyawarah dalam hubungan
keluarga adalah penting. Hal ini dilihat juga dalam dialog yang sama. Nabi
Ibrahim as bersikap konsultatif sebelum melaksanakan perintah Tuhan, walaupun
ketika itu beliau seorang nabi dan bapa dan anaknya hanya seorang remaja.
Amalan musyawarah antara bapa dan
anak (juga ahli keluarga lain) dapat disokong oleh pelbagai ayat-ayat Al-Quran
yang lain (Ali Imran:159, Al-Syura:38).
Bahkan, Al-Quran menganjurkan
musyawarah antara suami dan isteri pada perkara sekecil soal penyusuan anak.
Ertinya, kuasa tidak menjadikannya seseorang kuku besi ke atas bawahannya.
Pelajaran Keenam
Menguji dan menilai adalah aspek
penting dalam pendidikan dan pembangunan diri. Pelajaran ini diperolehi melalui
ujian yang Allah kenakan ke atas Nabi Ibrahim dan Ismail as.
Hal ini juga memberitahu Muslim
bahawa bala, yang asalnya bermakna ujian (Al-Saffat:106), bukanlah semestinya
berlaku sebagai hukuman ke atas dosa seseorang dan tanda kemurkaan, tapi juga
sebagai satu rahmat dan tanda kasih Tuhan. Pastinya, Nabi Ibrahim dan Ismail as
bukan insan yang dimurkai Tuhan. Sebaliknya, mereka adalah nabi-nabi yang
maksum dan kekasih-Nya.
Oleh itu, seorang Muslim tidak
seharusnya cepat membuat kesimpulan setiap kali berlaku bala bahawa ia kerana
kemurkaan Tuhan, dosa atau azab. Muslim hendaklah menilai bencana yang berlaku
dari segala sudut.
Ujian yang dikenakan Tuhan juga
mengajar Muslim akan kepentingan penilaian bagi pencapaian seseorang kerana
salah satu daripada sebab ujian diturunkan Tuhan ialah untuk menilai iman dan
amal manusia (Al-Mulk:2), selain untuk mendidik.
Atas dasar ini, ibu bapa juga
perlu menguji anak-anak mereka sebagai sebahagian daripada proses pendidikan
dan penilaian mereka. Ujian dan penilaian tidak harus berlaku dalam pendidikan
di sekolah sahaja.
Pelajaran Ketujuh
Berilah ganjaran setimpal, sama
ada adalam bentuk hadiah atau pujian, apabila anak-anak kita berjaya dalam
sesuatu ujian.
Dalam kisah yang dibicarakan,
Allah Taala memuji dan memberi ganjaran korban kambing kepada Nabi Ibrahim dan
Ismail setelah kededuanya berjaya dalam ujian-Nya (Al-Saffat:110-1). Maka,
jangan seorang bapa lokek memberi ganjaran kerana Allah amat pemurah apabila
mengganjari kesolehan hamba-hamba-Nya.
Kesimpulan:
Jika diteliti dengan mendalam,
kita akan dapati bahawa ketujuh-tujuh pelajaran ini boleh dijadikan amalan
dalam bidang-bidang lain selain kekeluargaan, iaitu pelajaran:
- kepimpinan dalam
berurusan dengan pengikut di peringkat organisasi atau masyarakat
- pembangunan sumber
manusia dalam organisasi
- bagi para pendidik di
sekolah
- tentang nilai-nilai
kecemerlangan sebuah organisasi
Boleh juga disimpulkan kejayaan
sesuatu unit, daripada yang kecil seperti keluarga hingga yang besar seperti
negara, memerlukan:
- pemimpin baik (Nabi
Ibrahim as)
- pengikut baik (Nabi
Ismail as)
- sistem baik
(pendidikan dan pembangunan sumber manusia, penilaian, komunikasi dan
musyawarah serta lain-lain.)
- nilai yang baik
(berfikiran kritikal, taat, hormat menghormati dan sebagainya.)
Nota: Penulis adalah Zamil
Bersekutu di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang
(NTU). Makalah ini adalah pandangan peribadinya.
Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/
ISU SOSIAL : Elak disaman AES
SEJAK Sistem Penguatkuasaan
Automatik (AES) dilaksanakan 23 September lalu, pelbagai rungutan dilontarkan
pengguna jalan raya kerana sistem ini dilihat seolah-olah membebankan mereka.
Malah wujud persepsi kononnya ia antara usaha kerajaan untuk mengatasi defisit
perbelanjaan menerusi wang saman yang dibayar pesalah lalu lintas yang dirakam
sistem tersebut. Sinar Harian berkesempatan bertemu Menteri Pengangkutan, Datuk
Seri Kong Cho Ha untuk mengulas isu ini. Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian,
NOOR AZURA SAHRIL bersama jurufoto, AZMI ARYANTO.
Sejak AES dilaksanakan, bagaimana dengan maklum balas yang diterima
daripada pengguna jalan raya?
CHO HA: Kami menerima reaksi positif daripada majoriti pengguna
jalan raya yang mahukan AES dilaksanakan kerana tidak gembira dengan sikap
buruk pengguna jalan raya di negara ini. Melalui maklum balas itu, tidak ada
yang mengatakan AES tidak baik kerana tujuan utama pelaksanaannya adalah untuk
mengurangkan kadar kemalangan maut di jalan raya.
Tanggapan segelintir pihak,
bahawa kelajuan tidak menyebabkan kemalangan adalah tidak benar dan kenyataan
itu sama sekali tidak bertanggungjawab. Daripada kajian penyelidikan, kelajuan
boleh membunuh. Justeru, dengan adanya AES ini mendidik pengguna jalan raya
mematuhi peraturan lalu lintas.
Kerajaan telah menjalankan kajian
selama 10 tahun sebelum memutuskan untuk melaksanakan sistem berkenaan di
negara ini. Dan, sistem ini terbukti berjaya di 90 negara di seluruh dunia
dengan berjaya mengurangkan kadar kemalangan di antara 40 sehingga 60 peratus.
Bagaimana AES itu dikatakan mendidik pengguna jalan raya?
CHO HA: Sistem ini memberi satu gambaran dan persepsi kepada pengguna
jalan raya bahawa mereka diperhatikan oleh penguat kuasa, walaupun dilakukan
secara automatik dengan penggunaan kamera. Ini mewujudkan perception of being
caught kepada pengguna. Sekiranya mereka tidak berwaspada, mereka akan kena
tindakan. Oleh itu, pengguna akan mematuhi had kelajuan dan tidak lagi
melanggar peraturan lalu lintas.
Kerajaan bukan mahu menghukum
rakyat atau sengaja mengenakan denda, tetapi mahu menerapkan disiplin kepada
pengguna jalan raya. Apabila berlaku kemalangan jalan raya terutamanya
melibatkan kemalangan maut pada setiap hari, rakyat tertanya-tanya apakah yang
kerajaan buat untuk mengatasinya.
Oleh itu, kerajaan sudah mengkaji
keberkesanan sistem ini seperti dilaksanakan di negara lain dan ternyata sistem
ini mampu menurunkan kadar kemalangan biasa dan maut. Kerajaan sentiasa telus
dalam melaksanakan sistem tersebut tanpa mempunyai
niat tersirat mengambil duit rakyat dengan cara mudah.
Kerajaan kerugian RM10 juta
setahun akibat kemalangan maut. Adakah dengan pelaksanaan AES ini dapat
mengurangkan kadar kerugian tersebut dengan pengurangan kemalangan maut?
CHO HA: Setiap kali berlaku kemalangan maut, negara kehilangan
tenaga kerja yang terdiri daripada kalangan profesional dan ini merugikan
negara. Selain itu kemalangan juga memberi kesan kepada keluarga mangsa
terlibat yang lumpuh atau menjadi orang kurang upaya (OKU). Keluarga akan
hilang punca pendapatan.
Dengan langkah kerajaan
menguatkuasakan AES, kemalangan maut dapat dikurangkan sekali gus membantu
mengurangkan kerugian. Oleh itu, mengapa perlunya AES dibantah, sedangkan ia
baik untuk dilaksanakan.
Segelintir pihak berpandangan had
laju di beberapa di lokasi pemasangan AES dikatakan tidak bersesuaian. Komen
Datuk?
CHO HA: Had kelajuan di jalan raya telah ditentukan oleh Jabatan
Kerja Raya (JKR), dan ia tiada boleh sewenang-wenangnya dipersoalkan. Pemasangan
AES di kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan hitam berpotensi mengurangkan
kadar kemalangan maut di kawasan tersebut.
Keseluruhannya, 831 AES akan dipasang di seluruh negara dan bagi fasa
pertama, 14 buah buah telah dipasang. Bilakah baki selebihnya akan berkuat
kuasa?
CHO HA: Mengenai 817 lagi lokasi hitam kemalangan yang bakal
dilengkapi sistem tersebut ia akan ditentukan oleh polis dan pihaknya hanya
akan membuat perubahan jika kawasan tersebut tidak lagi dilabel sebagai hitam.
Kementerian Pengangkutan masih lagi mengkaji senarai itu yang dicadangkan polis
dan belum ada keputusan muktamad mengenainya lagi. Kemungkinan berlaku
perubahan bergantung kepada infrastruktur jalan dan sebagainya dalam tempoh 18
bulan sebelum dipasang.
Maklum balas daripada orang ramai, kurang publisiti dan pendedahan
mengenai pelaksanaan AES menyebabkan pengguna jalan raya tidak jelas mengenai
sistem ini?
CHO HA: Kementerian dan agensi yang terlibat sentiasa
menghebahkannya melalui media massa sama ada media cetak, radio dan televisyen.
Hebahan mengenai pemasangan sistem ini juga diiklankan dalam semua jenis akhbar
jadi tidak timbul isu kerajaan cuba menyembunyikan daripada pengetahuan umum.
Malahan pemimpin politik juga
berulang kali sering kali bertanyakan mengenai AES ini di sejak dua tiga tahun
kebelakangan ini di Parlimen dan dijawab secara bertulis dan lisan oleh
Kementerian sebelum ia dilaksanakan oleh Kerajaan.
Tidak munasabah sekiranya orang
ramai masih tidak mengetahui kewujudan sistem ini. Bahkan maklumat berhubung
kawasan serta jumlah bilangan kamera yang dipasang sentiasa dihebahkan, malah
pengguna jalan raya juga diberi amaran menerusi papan tanda yang diletakkan di
kawasan berhampiran. Usaha kerajaan yang bertujuan selamatkan nyawa manusia ini
seharusnya mendapat sokongan semua pihak bukan sahaja pengguna jalan raya malah
ahli politik dan pemimpin masyarakat.
Adakah wujud pertindihan tugas dengan adanya AES yang dikuatkuasakan
oleh JPJ?
CHO HA: Soal pertindihan tugas tidak berlaku kerana setiap agensi
penguatkuasaan mempunyai hak untuk menjalankan tugas mengikut bidang
masing-masing dan setiap agensi juga menjalankan penguatkuasaan dengan
berlainan kesalahan.
Dakwaan segelintir pihak, pelaksanaan sistem ini akan menguntungkan
kroni. Komen Datuk?
CHO HA: Syarikat konsesi tersebut hanya mendapat keuntungan jika
ramai pengguna jalan raya disaman dan kerajaan juga tidak membayar sebarang
sewa peralatan atau yuran penyelenggaraan kepada syarikat konsesi yang dilantik
itu.
Oleh itu, pengguna jalan raya
seharusnya tidak memberi peluang kepada syarikat konsesi AES membuat untung
menerusi kesalahan-kesalahan di jalan raya. Ia hanya dapat dilakukan sekiranya
semua pengguna lebuh raya mematuhi had laju yang ditetapkan di atas jalan raya
dan tidak melanggar arahan-arahan lampu isyarat.
Apakah harapan kerajaan dengan pelaksanaan sistem ini?
CHO HA: Secara keseluruhannya, orang ramai menerima dan hanya
segelintir pihak cuba mempermainkan isu ini dengan memutar belit untuk
mengelirukan rakyat.
Ahli politik seharusnya tidak
menjadikan usaha kerajaan ini sebagai permainan politik mereka. Jangan hanya
kerana permainan politik, mereka sanggup menggadaikan sistem yang baik ini
untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa menjadi mangsa.
Usaha ini perlu dilihat lebih
positif oleh orang ramai. Apabila pengguna patuh kepada peraturan lalu lintas,
mereka akan menjadi lebih berdisiplin dan akhirnya matlamat pelaksanaan AES ini
akan tercapai.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
ISU KENEGARAAN : PERANAN REMAJA DALAM MEMBANGUNKAN NEGARA
Lebih separuh abad kita menghela
nafas kemerdekaan, namun remaja yang merupakan bakal tunjang negara masih
terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial. Ternyata mentaliti remaja di negara
kita belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan
negara kita. Menurut kata mutiara sarjana, “Jika
ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini.”
Presiden Soekarno pernah mengungkap, “Berikan
saya 10 orang belia waja, nescaya akan saya gegarkan dunia.” Ternyatalah di
sini bahawa remaja yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan
bangsa. Oleh itu, setiap remaja perlu memainkan peranan mereka dengan penuh
tanggungjawab untuk merencanakan pembangunan negara.
Peranan signifikan remaja ialah mereka
perlu belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dari aspek
akademik. Kecemerlangan akademik merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk
melahirkan remaja yang berkualiti demi kepentingan negara. Intelek merupakan
faktor perdana untuk menjana kecemerlangan tamadun bangsa. Sehubungan dengan
itu, remaja kita perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi
juga menuntut segala pengetahuan, terutamanya ilmu Sains dan Matematik melalui
pelbagai wahana, seperti membaca buku, melayari lebuh raya maklumat di dunia
maya dan sebagainya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai
kecemerlangan akademik dan akan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung.
Remaja juga tidak harus terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu
khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa, ikut hati mati, ikut rasa binasa.
Tegasnya, tanpa remaja yang bijak pandai maka pembangunan negara akan
terbantut.
Walau bagaimanapun, kecemerlangan akademik
semata-mata tidak dapat menjamin pembangunan negara jika remaja kita tidak
memiliki kesihatan fizikal dan mental. Remaja yang ingin membangunkan negara
perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhi segala kekangan.
Pada alaf baharu yang penuh dengan kompetitif, remaja kita perlu memiliki
kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa mengenal istilah putus asa
supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk
sama rendah dengan remaja di negara maju. Untuk mencapai kesihatan fizikal
dan mental, remaja kita patut mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga
kebersihan diri dan persekitaran, bersenam, bersukan, beriadah dan tidak
terlibat dalam pelbagai angkara sosial seperti minum arak, merokok, kegiatan
maksiat, najis dadah dan lain-lain lagi kerana terlajak perahu boleh diundur,
terlajak laku buruk padahnya. Remaja kita harus sedar bahawa kesihatan
merupakan aset yang tidak ternilai. Tanpa kesihatan, segala-galanya tidak lagi
membawa makna. Hal ini sangat bertepatan dengan slogan rakyat sihat, negara maju. Jadi, remaja yang sihat dan mempunyai
jati diri yang mapan baru dapat melaksanakan pembangunan negara.
Selain itu, remaja juga mestilah memiliki
etika atau personaliti yang luhur. Remaja kita harus disuntikkan dengan ajaran
agama dan nilai moral sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Lantaran itu, ibu bapa dan
pihak sekolah memainkan peranan yang penting untuk mendidik remaja menjadi
modal insan kelas pertama yang berakhlak mulia dan berjati diri unggul. Selain
menitikberatkan ajaran agama dan pendidikan moral, remaja kita harus dibimbing
supaya melakukan kerja amal dan memberikan khidmat sosial, misalnya
bergotong-royong, menziarahi rumah kebajikan orang-orang tua dan anak-anak
yatim, mengutip derma untuk membantu mangsa bencana alam serta terlibat dalam
pelbagai aktiviti sukarela. Remaja yang dangkal imannya sudah pasti akan
terjerumus ke dalam kebejatan sosial. Dengan kata lain, remaja berkepemimpinan
harus bersahsiah mulia, berinsaniah, berbudi bahasa dan berkasih sayang agar
dapat melahirkan negara yang maju sama ada secara luarannya dan dalamannya pada
suatu hari nanti.
Seperkara lagi, remaja juga perlu kreatif
dan inovatif untuk memacu pembangunan negara yang gemilang. Hal ini terjadi
demikian kerana hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif dan mempelopori
bidang yang baharu dapat mengecapi kejayaan yang terbilang. Dalam industri
teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba
sesuatu yang baharu akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan daripada
itu, remaja kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi
disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang
padu dan galakan yang tidak terhingga jika anak mereka melontarkan impian
mereka. Namun demikian, impian itu bukan rekaan Mat Jenin yang tidak berasas
tetapi perlu disokong dengan praktikalnya. Dalam konteks ini, penglibatan
remaja dalam pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinan atau
keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi remaja. Pendek kata,
pembangunan negara akan tercapai jika negara kita mempunyai barisan pelapis
negara yang kreatif dan inovatif.
Akhir sekali, remaja juga dapat memainkan
peranan mereka untuk membangunkan negara dengan memiliki sikap keterbukaan. Hal
ini kerana apabila golongan ini mempunyai sifat sedemikian, mereka lazimnya
dapat menerima teguran dan pandangan orang lain. Dalam nada yang serupa, remaja
seumpama ini dapat memberi kesan kepada negara kita. Mereka dapat menjamin
kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara. Mereka akan menjadi pendukung
untuk mencapai perpaduan negara atau integrasi nasional demi mewujudkan
kesejahteraan sosial. Mereka sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan bertolak
ansur untuk mencapai misi dan visi negara iaitu semua rakyat perlu bersatu padu
di bawah satu bumbung yakni, satu bangsa satu bahasa dan satu negara. Maka,
sifat keterbukaan remaja sudah pasti dapat memudahkan mereka menjadi pemimpin
yang mampu membangunkan negaranya dengan penuh komited dengan dipayungi
perpaduan antara rakyatnya.
Intihanya, semua remaja mempunyai tanggungjawab dan obligasi
masing-masing untuk menjana pembangunan negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Remaja sebagai tunjang
yang bakal menerajui kepimpinan negara kita haruslah merdeka daripada belenggu
angkara sosial. Hanya remaja yang berkualiti akan memangkinkan kecemerlangan
negara. Jika remaja kita tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil,
tidak mustahil segala aspirasi negara hanya sekadar imaginasi semata-mata dan
tidak dapat menjadi realiti. Oleh itu, remaja kita perlu terjaga daripada lena
dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat
menempatkan diri sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Semoga negara kita dapat berdiri dengan gah di pentas antarabangsa bergandingan
dengan negara maju yang lain dan terkenal di seantero dunia.
Sumber : http://anelyza.blogspot.com/
ISU AGAMA : Hayati makna peristiwa korban
Pandangan IKIM
HARI Raya Aidiladha mempunyai
makna yang cukup besar kepada seluruh umat Islam di dunia. Ia juga dikenali
sebagai hari raya haji, sempena umat Islam yang sedang menunaikan ibadah haji
di tanah suci Mekah.
Salah satu keistimewaan Aidiladha
ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari
bermula selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum
tenggelam matahari pada hari ke 13 Zulhijjah.
Dari segi bahasa, korban
bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah
agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.
Menjelang hari mulia ini juga
kita sering teringat kepada sejarah Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi
Ismail selepas menerima wahyu daripada Allah supaya berbuat demikian. Pada
suatu hari Nabi Ibrahim bermimpi, dalam mimpinya itu Allah menyuruh Nabi
Ibrahim menyembelih anaknya yang bernama Ismail.
Selepas mendapat mimpi itu, Nabi
Ibrahim pun memberitahu isterinya yang bernama Siti Hajar. Maka berbincanglah
Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail. Siti Hajar berkata:"Mungkin mimpimu
itu hanya mainan tidur saja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah
dituruti."
Apabila mendengar kata-kata
ibunya, Ismail berkata kepada bapanya: "Ayahku,
sekiranya ini merupakan wahyu dari Allah SWT, aku sedia merelakan diriku untuk
disembelih". Setelah persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi Ibrahim
pun membawa puteranya Ismail untuk disembelih.
Perkara Nabi Ibrahim hendak menyembelih anaknya telah
sampai kepada pengetahuan orang ramai. Hal ini membuat orang ramai takut
sehingga ada yang mengatakan: Nampaknya
Nabi Ibrahim mungkin sudah gila hinggakan mahu menyembelih anaknya sendiri.
Kalau kita biarkan perkara ini, nanti kitapun akan dibunuhnya".
Walau apa pun tuduhan orang
terhadapnya, namun Nabi Ibrahim tetap menjalankan tugas yang diperintahkan oleh
Allah SWT terhadapnya. Setelah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail sampai pada tempat
yang dituju, berkatalah anaknya: "Wahai
ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku
disembelih dalam keadaan menelungkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian
ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada
leherku."
Kemudian Nabi Ibrahim pun
melaksanakan perintah yang Allah SWT perintahkan dalam mimpinya. Baginda pun
mengucapkan kalimah atas nama Allah lalu memancungkan pedangnya pada leher
anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai
seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim pun menggeletar dan membuka penutup
matanya.
Tetapi alangkah terperanjatnya
apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas.
Dengan memuji kebesaran Allah SWT kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil
bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan
amanat daripada Allah SWT.
Seharusnya peristiwa pengorbanan
yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s ini diceritakan
berulangkali agar ia tidak dilupakan, terutamanya oleh generasi muda. Berapa
ramai agaknya anak muda di zaman ini yang sanggup berkorban merelakan diri
disembelih oleh ayah sendiri?
Peristiwa pengorbanan Nabi
Ibrahim menyembelih anak kandungnya Nabi Ismail, mempamerkan sifat ketakwaan
dan ketaatan seorang hamba Allah demi menegakkan agama Islam walaupun terpaksa
mengorbankan anak kesayangan sendiri. Setiap orang Islam sepatutnya memahami
dan menghayati makna di sebalik peristiwa tersebut.
Peristiwa tersebut memberi makna yang
cukup besar terutamanya dalam kehidupan hari ini di mana kebanyakan manusia
semakin sibuk mengejar kemewahan dan kesenangan hidup. Pengorbanan bukanlah
suatu perkara yang senang dilakukan, sebaliknya ia adalah sesuatu yang amat
sukar.
Ibadat haji itu sendiri merupakan
suatu pengorbanan apabila seseorang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang
ringgit untuk menunaikannya. Pengorbanan di antara sesama manusia contohnya,
apabila seorang suami berpenat lelah mencari rezeki dan mendidik keluarganya
serta pengorbanan seorang isteri terhadap suami dan anak-anak.
Seorang ibu yang sanggup tidak
tidur semalaman kerana menjaga anaknya yang sakit juga telah berkorban. Tidak
terkecuali pengorbanan ibu yang terpaksa bangun di tengah malam membancuh susu
untuk anaknya. Walaupun nampak kecil, ia sebenarnya bukan sesuatu yang mudah
untuk dilakukan jika tidak sanggup berkorban serta mengharapkan keredaan Allah
semata-mata.
Dalam aspek kemasyarakatan,
individu yang sanggup berkorban bakal mewujudkan suasana yang bahagia, aman dan
tenang di dalam sesebuah masyarakat. Sikap tolong menolong, saling bantu
membantu akan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di antara satu sama lain.
Sikap bekerjasama dan mengambil
berat ini akan dapat mengikis perasaan mementingkan diri sendiri. Seterusnya ia
bakal menjadikan umat Islam kuat serta mampu menangkis sebarang anasir yang
tidak sihat dari mempengaruhi masyarakat. Namun pengorbanan haruslah ikhlas
kerana Allah yakni, bagi mendapat keredaan Allah semata-mata, bukan dengan
tujuan bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk.
Harus diingat bahawa setiap dari
kita berpotensi untuk melakukan pengorbanan. Memetik kata-kata seorang
cendekiawan: Isteri jadilah Siti Hajar walau
suami bukan Nabi Ibrahim dan jadikan anak-anak kita Nabi Ismail".
PENULIS ialah
Pegawai Penyelidik,
Pusat Kajian
Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU SOSIAL : Antara sikap terhegeh-hegeh dengan tergesa-gesa
SIKAP terhegeh-hegeh dan
tergesa-gesa dalam menjalankan kewajipan atau tugasan akan menjejaskan
produktiviti kerja dan membantutkan segala kegiatan.
Terhegeh-hegeh yang selari dengan
sikap berlengah adalah sikap yang sering diamalkan dalam kalangan masyarakat
hari ini yang suka membuang masa dan melambat-lambatkan kerja dengan menunggu
waktu terakhir untuk membuat sesuatu kerja atau keputusan.
Masalahnya nanti, bukan orang
yang berlengah menerima akibatnya, tetapi orang yang menunggu menjadi mangsa
kerana penat menunggu seperti menunggu buah tak masak gugur!
Tergesa-gesa pun satu sikap
menyebabkan hidup menjadi kelam-kabut dan sentiasa merasa bimbang tidak
bertempat, berasa tidak tenteram kerana asyik hendak cepat yang akhirnya hasil
kerja tidaklah sebaik mana jika terlalu hendak menjadi terawal. Pelbagai
penyakit pula akan menyerang satu badan kerana tekanan mental memikirkan hendak
siapkan semua tetapi badan tidak mampu melakukannya.
Di jalan raya saja kita boleh
melihat ramai yang memandu dalam keadaan terhegeh-hegeh dengan mengambil sikap
tidak peduli dengan kenderaan lain apabila tiba-tiba memotong laluan atau yang
tidak dapat membuat keputusan ke mana arah yang hendak dituju.
Kita bukanlah meminta pemandu
memandu dengan laju. Tetapi kesabaran akan hilang apabila melihat kenderaan
yang dipandu terhegeh-hegeh tidak memberi isyarat untuk memotong dan yang
tergesa-gesa pula memberi isyarat terlalu cepat sehingga tidak tahu ke mana
laluan yang hendak dituju.
Kita sedia maklum berhati-hati di
jalan raya amat penting dan sentiasa menumpukan perhatian sepenuhnya semasa
memandu. Maka dalam hal ini, kemalangan boleh dielak dengan mempunyai sikap
bersederhana di jalan raya. Jangan memandu terlalu lambat dan memandu di laluan
yang salah.
Pelbagai program telah
dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan
jalan raya khususnya pada musim perayaan seperti Ops Pacak, Ops Sikap, Ops
Statik, penggunaan helikopter untuk memantau pergerakan kenderaan, pengedaran
poster, kempen kesedaran serta penguatkuasaan dilakukan namun angka kematian
akibat jalan raya sentiasa meningkat.
Analisis dalam beberapa Ops Sikap
sebelum ini mendapati sikap pemandu yang tidak mematuhi undang-undang jalan
raya dan tidak mempedulikan kenderaan lain menjadi punca berlakunya peningkatan
kemalangan.
Jika ditinjau keadaan di pejabat
pula dan di mana sahaja tempat kita bekerja, sikap lambat dan terhegeh-hegeh
merupakan amalan yang tidak baik. Contohnya, pelanggan beratur panjang menunggu
giliran tetapi segelintir pekerja seperti tidak mahu melayan dan bersikap acuh
tak acuh. Pekerja ini kelihatan bersikap terlalu tenang sehingga mengundang
rasa tidak puas hati pelanggan.
Menurut Jasmine yang bekerja di
sebuah syarikat swasta yang baru pulang dari luar negara, sikap rakan sekerja
yang terlalu terhegeh-hegeh menyebabkan dia hilang sabar. Katanya, dia boleh
menyusun sepuluh kotak di bilik stor berbanding dengan rakan lelaki yang baru
menyusun tiga kotak. Namun itulah lumrah yang berlaku di pejabatnya menyebabkan
dia menerima keadaan itu dan akhirnya mula mengikut momentum di pejabat dan
semuanya menjadi perlahan.
Bagaimana pula momentum kerja di
jabatan kerajaan pula? Kakitangan kerajaan harus sedar bahawa sektor kerajaan
merupakan sektor perkhidmatan kerana bertanggungjawab memberi perkhidmatan
kepada rakyat. Mereka seharusnya mengambil perhatian terhadap aduan serta
cadangan orang ramai kerana mereka menjadi penyumbang kepada hasil kerajaan
melalui bayaran cukai dan sektor yang proaktif dalam pembangunan negara.
Pelajar-pelajar di sekolah
rendah, menengah, institut pengajian tinggi awam (IPTA) atau institut pengajian
tinggi swasta (IPTS) suka menunggu saat-saat akhir untuk menyelesaikan tugasan
kerana dikatakan lebih banyak idea dan keadaan yang mendesak itulah yang
memberi inspirasi menyiapkan kerja.
Pelajar-pelajar yang menempuh
peperiksaan juga suka menunggu saat-saat terakhir untuk mengulangkaji
pelajaran. Mereka mendakwa, lebih bersemangat di saat sebegini. Bukankah
perbuatan ini nampak tergesa-gesa sehingga sanggup minum ubat batuk untuk
mendapat kecergasan di saat akhir untuk mendapat ilham belajar. Mereka
mengatakan, boleh tahan tidak tidur dua atau tiga hari. Selepas ketagih ubat
batuk yang harganya mencecah RM150, akhirnya badan menjadi lesu dan wang pun
habis.
Kes terbaru dengan modal RM6,
pelajar-pelajar IPTA dan IPTS dikesan mencipta 'formula lalok' dengan
mencampurkan ubat batuk dan sejenis pil kononnya sebagai minuman kesihatan
tambahan untuk kecerdasan badan dan otak. Tindakan yang tergesa-gesa ini
mengundang maut jika diambil secara berlebihan selain menyebabkan kerosakan
paru-paru, hati, sistem penghadaman, buah pinggang, otot badan mengecut dan
berat badan menurun secara mengejut.
Bercakap tentang makan pula,
semestinya kita digalakkan makan dalam keadaan beradab dan perlahan tetapi jika
makan sehingga berjam-jam lamanya, ini akan menjejaskan kerja manakala makan
dalam keadaan tergesa-gesa memang tidak digalakkan dan membawa kepada masalah
tercekik, sistem penghadaman terbantut dan sebagainya.
Jika makan dalam keadaan yang
tidak berselera juga menyebabkan orang marah kerana nampak seperti tidak
menghargai rezeki manakala waktu makan yang dilengahkan kerana sibuk bekerja
juga tidak baik kerana boleh menyebabkan penyakit gastrik, ulser perut dan
sebagainya.
Terhegeh-hegeh dan tergesa-gesa di
sini adalah sindrom kepada sikap manusia. Sikap yang terlalu berlengah pun
tidak baik dan terlalu tergesa-gesa pula membawa musibah jika tidak dikawal.
Maka, dua perkataan ini perlu
diletakkan satu tiang di tengahnya iaitu 'bersederhana'. Sederhana dalam setiap
gerak laku dan kerja di mana sahaja kita berada kerana yang sederhana itulah
ungkapan terindah yang perlu diamalkan dalam kehidupan kita. Masa itu emas dan
kitalah yang mengawalnya untuk menentukan setiap detiknya. Salam 1Hati.
Penulis ialah Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan,
Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan Pensyarah Kanan di Universiti
Pertahanan Nasional Malaysia
Sumber : http : /www.utusan.com.my/
ISU SOSIAL : Memperbaiki kekurangan diri
Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan
rosmaliana@hmetro.com.my
BAGAIMANA agaknya komunikasi
secara efektif antara ibu bapa dan anak?
Kaedah komunikasi ini ternyata
boleh membantu namun apa yang penting, ia perlu difahami dan dipraktikkan
secara konsisten.
Kebiasaannya budaya berkomunikasi
di rumah mungkin hanya membabitkan arahan daripada ibu bapa sedangkan si anak
hanya mendengar tanpa diberi peluang meluahkan pandangan sendiri.
Lama-kelamaan, tidak mustahil ia
hanya meningkatkan jurang perhubungan antara ibu bapa dan anak di rumah. Apapun
belum terlambat kerana ia boleh dibendung sejak awal lagi.
Menurut Penasihat Psikiatri Pusat
Perubatan Prince Court, Dr Nor Hamidah Mohd Salleh, kebanyakan ibu bapa berasa
mereka mempunyai kemahiran berkomunikasi yang bagus dengan anak, tetapi
ternyata kesibukan kerjaya adakalanya membuatkan komunikasi kian berkurangan.
Komunikasi bukan saja mengenai
apa yang boleh dan tidak boleh dibuat oleh anak kerana jika itu yang berlaku,
ia boleh dianggap membesarkan anak secara ‘diktator’.
Malah, jika ibu bapa terlalu
melindungi anak, ia juga boleh mengakibatkan kesan yang tidak baik terhadap
perkembangan keyakinan diri anak.
“Bayangkan dengan menetapkan setiap perkara yang boleh
atau tidak boleh dilakukan anak, kebolehupayaan kendiri serta perkembangan
mental dan fizikal si anak juga akan tersekat.
“Ibu bapa perlu menetapkan had
untuk perkara terbabit, bukan ‘melaksanakan’ semua perkara hingga mengongkong
kebolehan anak untuk berkembang,” katanya ditemui, baru-baru ini.
Selain itu, kesibukan kerjaya ibu
dan ayah juga adakalanya turut memberikan kesan kepada bentuk komunikasi di
rumah.
Dr Nor Hamidah berkata,
disebabkan faktor ini juga masa anak lebih banyak terluang bersama pembantu
rumah atau di pusat jagaan harian hinggakan hubungan yang seharusnya erat
terjalin antara ahli keluarga seolah-olah ada jurang pemisah.
“Walaupun ibu bapa berada di
rumah, anak ini lebih gemar menyendiri dan melakukan hal masing-masing kerana
bagi mereka sudah bersua muka pun sudah memadai.
“Untuk mengelakkan keadaan ini
bertambah parah, ibu bapa perlu memainkan peranan untuk mengeratkan kembali
hubungan antara mereka sebelum terlambat,” katanya.
Menurutnya, tidak kiralah
berkomunikasi dengan sesiapa saja termasuk dengan anak sendiri, ia sememangnya
memerlukan teknik dan cara yang betul.
Hal ini penting agar nasihat
serta pesanan ibu bapa itu dapat diterima dengan baik oleh si anak.
Malah, kemahiran berkomunikasi
amat penting ketika berhadapan dengan anak remaja kerana pada peringkat umur
ini mereka selalunya lebih agresif dan mempunyai pendapat sendiri.
Oleh itu, ibu bapa perlu mengenal
diri sendiri serta memperbaiki kekurangan yang ada ketika berkomunikasi dengan
anak remaja.
“Kebiasaannya masalah dalam
berkomunikasi berlaku disebabkan ibu bapa kurang memahami perasaan si anak.
Justeru, tingkatkan kemampuan dan cuba memahami perasaan anak sebagai lawan dan
kawan berbicara.
“Perasaan juga memainkan peranan
penting ketika berkomunikasi. Ini kerana jika kita gembira, ia akan memudahkan
sesiapa saja untuk berbicara atau meluahkan perasaan,” katanya.
Bagi memastikan hubungan
kekeluargaan itu kekal erat sepanjang masa, si ibu perlu memainkan peranan
sebagai ‘duta pengaman’ dan mencari jalan untuk memupuk dan mengisi kembali
kekosongan dalam perhubungan sesama ahli keluarga.
Ini kerana lebih daripada 90
peratus individu lebih dekat dengan ibu mereka berbanding si ayah. Gerak hati
dan kasih sayang ditonjolkan ibu lazimnya lebih lembut dan mesra sekali gus
memberikan rasa selamat kepada anak.
“Walaupun tidak dinafikan
golongan ibu kini ramai yang berkerjaya, kesibukan kerja tidak membataskan
perhubungan mereka dengan si anak.
“Mereka perlu membuka ruang untuk
terus memupuk semangat kekeluargaan dan mengeratkan kembali perhubungan dalam
pelbagai situasi,” katanya.
Terdapat beberapa cara
berkomunikasi dengan anak untuk membina bentuk komunikasi berkesan tanpa
mengira peringkat usia anak. Antaranya:
Jadi pendengar yang baik
Cuba menjadi pendengar yang
teliti terutama dalam apa yang ingin diperkatakan si anak. Ia amat penting
kerana si anak akan bercerita melalui perspektif mereka.
Pada saat ini, ibu bapa perlu
berhenti menilai serta menunjukkan rasa hormat dan minat dalam apa yang ingin
disampaikan dalam perbualan.
Ini juga akan membuatkan si anak
bersedia meluahkan perasaan mereka dan secara tidak langsung mencambah
kepercayaan mereka terhadap ibu bapa.
Elak daripada
menggunakan perkataan yang menjatuhkan air muka anak-anak kerana ia boleh
menyebabkan anak berasa tidak selamat, tidak disayangi, marah atau terancam.
Beri peluang kepada
anak untuk bercakap dan meluahkan perasaan. Apabila mereka bercakap, ibu bapa
mestilah mendengar dengan penuh minat.
Jangan timbulkan rasa
prejudis terhadap anak. Sentiasa bersangka baik.
Sentiasa wujudkan
suasana anak boleh mempercayai kita, begitu juga sebaliknya.
Sentiasa memberinya
galakan dan rangsangan untuk berjaya.
Berilah nasihat dan
teguran membina dan tidak menjatuhkan maruah anak itu.
Teguran atau pujian
perlu diarahkan kepada perbuatan dan bukan personaliti mereka.
Usah
membanding-bandingkan si anak dengan individu lain. Ia boleh menyebabkan rasa
rendah diri.
Tip untuk berkomunikasi dengan
anak remaja:
- Wujudkan suasana menyeronokkan dan menarik dalam perbincangan
- Sentiasa konsisten dalam apa-apa yang diperkatakan.
- Sentiasa positif apabila berurusan dengan mereka.
- Buat pertimbangan terhadap apa-apa yang anak inginkan sebelum mengatakan ‘tidak’ kepada mereka.
- Tunjukkan rasa minat atau mengambil berat dalam kerja sekolah dan rakan mereka.
- Tingkatkan keyakinan diri mereka dan sentiasa memberi semangat atau motivasi pada diri mereka.
- Jangan terlalu menunjukkan atau menggunakan kuasa veto sebagai ibu bapa.
- Ibu bapa juga perlu belajar bertolak ansur dengan perubahan persekitaran anak.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Langgan:
Catatan (Atom)