Khamis, 8 April 2010

Mekanisme sekat tabiat merokok mesti dipertingkat

WANITA sanggup melakukan banyak perkara untuk kelihatan cantik, langsing dan menawan. Terbaru, Kementerian Kesihatan mendedahkan peningkatan tabiat merokok di kalangan wanita di negara ini antara lain berpunca daripada kepercayaan bahawa merokok mampu menurunkan berat badan. Sesungguhnya, ini satu kepercayaan songsang yang mendedahkan wanita kepada satu lagi set atau pakej implikasi kesihatan, terutama risiko menghidap barah paru-paru, kerongkong, strok dan penyakit pada sistem pernafasan.

Semua sudah tahu dengan fakta perubatan bahawa wanita hamil yang merokok boleh menjejaskan perkembangan janin dan mendedahkan risiko bayi kepada kecacatan. Kesan merokok turut kelihatan pada fizikal seperti bibir, muka dan kulit selain nafas berbau. Maknanya, merokok turut menjejaskan ketrampilan seseorang individu dan pergaulan seharian. Pada masa sama, psikologi dan persepsi masyarakat pada perokok wanita juga masih negatif, walaupun ada pihak bersikap terbuka. Kini semakin ramai wanita, termasuk dalam golongan terpelajar dan mengisi jawatan penting dalam semua sektor.

Mereka tahu bahaya dan kesan merokok khususnya ancaman menghidap penyakit kronik. Namun agak mengejutkan apabila mereka mudah dikuasai kepercayaan bahawa merokok akan menurunkan berat badan. Di mana kefahaman mereka mengenai kepentingan menjaga pemakanan dan kandungan diet untuk mengawal berat badan? Sebenarnya, peningkatan perokok wanita adalah satu trend antara lain gara-gara tanggapan bahawa merokok melambangkan ketinggian status hidup dan sosial bagi golongan elit serta eksklusif. Kemampuan meraih pendapatan tinggi turut merubah pemikiran sesetengah wanita untuk hidup bergaya dan merokok kononnya bagi melengkapkan penampilan di khalayak ramai.

Jelas, trend wanita menjadi perokok perlu disekat. Rokok menjadi punca dan melambangkan pelbagai gejala. Agensi Dadah Kebangsaan difahamkan memperoleh fakta bahawa merokok menjadi punca utama penagihan dadah di negara ini. Jika semakin ramai wanita merokok, maka mereka turut terdedah kepada risiko berkenaan. Selepas ramai lelaki menjadi penagih dadah, kita tidak mahu wanita ditimpa gejala sama. Tabiat merokok di kalangan wanita juga berkait rapat dengan budaya berseronok (hedonisme) seperti meminum arak dan pergaulan bebas. Justeru, langkah menyekat tabiat merokok mesti dipertingkatkan kerana ini akan menyelamatkan sebahagian lagi struktur masyarakat yang sangat penting.

Contohnya, kerajaan perlu mewartakan lebih banyak kawasan larangan merokok; meningkatkan penerangan bahaya merokok; dan mempergiatkan kempen antimerokok di kalangan generasi muda. Harus diingat, hasrat atau tekad mahu menurunkan berat badan mesti bermula dengan membuat rujukan kepada doktor klinik atau hospital bagi memperoleh khidmat nasihat mereka. Kaunseling mereka lebih tepat dan tidak memudaratkan jika dipatuhi dengan tertib.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Ada jalan atasi kebuntuan

Oleh ROHANI IBRAHIM

KEMPEN Kami Prihatin yang dilancarkan semalam merupakan satu usaha untuk meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat supaya lebih menghargai dan menyayangi bayi dan kanak-kanak.

Dalam membendung gejala buang bayi, masyarakat tidak harus menyisihkan mana-mana gadis yang mengandung tanpa ikatan perkahwinan.

Ini adalah penting supaya gadis itu tidak mengambil jalan singkat dengan membuang apatah lagi membunuh bayi sendiri.

Sementara bagi melindungi golongan kanak-kanak pula, masyarakat perlu lebih peka dengan keadaan kanak-kanak yang ada di persekitaran mereka dan tidak berdiam diri jika terhidu sebarang jenayah penderaan yang berlaku ke atas kanak-kanak tersebut.

Dengan cara ini, masalah buang bayi dan penderaan kanak-kanak sehingga mati yang dilihat semakin meningkat kebelakangan ini dapat dibendung bagi memastikan nilai kemanusiaan di kalangan masyarakat tidak luntur dalam tempoh jangka panjang.

Timbalan Yang Dipertua, Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Faridah Khalid berkata, sebahagian besar daripada gadis yang membuang bayi mereka adalah kerana ingin menutup malu.

''Mereka malu setelah mendapati diri mereka hamil dan mereka juga malu untuk meminta pertolongan dari mana-mana pihak kerana masyarakat kita terutamanya ibu bapa tidak boleh menerima gadis yang mengandung tanpa suami. Saya percaya sebahagian daripada wanita yang terlibat seboleh-bolehnya tidak mahu membunuh bayi yang sudah mereka kandungkan.

''Namun dalam keadaan terdesak jalan paling mudah yang boleh mereka ambil ialah melahirkan bayi mereka secara bersendirian seperti di dalam tandas umpamanya dan selepas itu mengepam bayi berkenaan dalam lubang tandas," katanya.

Faridah berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen Kami Prihatin oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di KL Sentral, Kuala Lumpur semalam.

Kempen yang dilancarkan akhbar Utusan Malaysia itu mendapat kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, stesen penyiaran Astro dan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).

Tambah Faridah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu memainkan peranan dalam menyebarkan mesej kepada masyarakat bahawa gadis-gadis yang bermasalah boleh meminta nasihat dan bantuan daripada NGO seandainya mereka tidak ada tempat lagi untuk mengadu.

''Sekurang-kurangnya NGO boleh memberikan nasihat dan bimbingan supaya gadis berkenaan boleh melahirkan bayi dalam keadaan selamat dan sempurna sebelum membuat keputusan untuk menjaga bayi tersebut atau mencari keluarga angkat.

''NCWO yang mempunyai lebih 120 NGO wanita di bawahnya akan meminta kesemua NGO berkenaan supaya mengedarkan nombor telefon yang boleh dihubungi seandainya seseorang wanita itu menghadapi masalah terutamanya hamil tanpa suami," jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Institut Pengupayaan Wanita Bagi Anggota Pergerakan Negara-negaraBerkecuali (NIEW), Datuk Rafiah Salim yang turut ditemui pada majlis yang sama berkata, pelancaran kempen Kami Prihatin ini memang tepat pada masanya kerana inisiatif seumpama ini amat diperlukan dalam masyarakat.

''Pada pandangan saya, masalah buang bayi menjadi semakin serius kerana ia berhubung kait dengan fenomena penghijrahan dari luar bandar ke bandar yang begitu banyak pada masa ini.

''Apabila seseorang gadis itu tinggal berjauhan daripada keluarga mereka tidak mempunyai sistem sokongan mahupun pihak yang memantau perbuatan dan tindakan mereka. Jadi apabila timbul sesuatu masalah seperti hamil luar nikah dan sebagainya, gadis tersebut mengambil tindakan tanpa berfikir panjang," katanya.

Oleh itu, tambah Rafiah, masyarakat pada hari ini perlu peka dengan keadaan sekeliling dan mengambil tahu keadaan muda-mudi yang tinggal di persekitaran mereka. Sementara ibu bapa perlu mengambil tahu perkembangan anak-anak muda yang tinggal berjauhan dan bersendirian.

''Dalam menangani masalah buang bayi ini sistem sokongan amatlah penting supaya mereka yang terlibat mampu berfikir secara rasional. Jika tidak mahukan bayi berkenaan pun letakkanlah bayi itu di rumah kebajikan atau di tempat yang selamat. Janganlah membiarkan bayi itu di tempat yang merbahaya sehingga mati," katanya.

Jelas beliau, mereka yang mendera kanak-kanak sehingga mati pula disifatkan sebagai sakit mental dan gagal menguruskan stres sehingga menganggap seseorang kanak-kanak sebagai objek untuk melepaskan geram.

Pengarah Eksekutif Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO) Ivy Josiah ketika dihubungi berkata, kempen Kami Prihatin perlu meningkatkan kesedaran di kalangan golongan lelaki supaya bertanggungjawab dan tidak mengambil sikap lepas tangan dalam hubungan dengan teman wanita.

''Ada wanita yang membuang bayi kerana tidak tahu berbuat apa-apa setelah teman lelaki mereka menghilangkan diri apabila mengetahui wanita itu mengandung.

''Sementara golongan gadis juga perlu dididik bahawa hubungan seks luar nikah bukanlah cara untuk membuktikan cinta mereka kepada teman lelaki," katanya sambil menambah ada juga wanita yang hamil kerana dirogol dan kemudiannya membuang bayi yang dilahirkan.

Jelas Ivy, masalah buang bayi yang semakin meningkat di kalangan masyarakat juga memberikan mesej bahawa kesedaran mengenai langkah-langkah pencegahan kehamilan sangat rendah di kalangan mereka yang terlibat dalam gejala ini.

Justeru, jelasnya, usaha yang menyeluruh diperlukan untuk membendung gejala ini seperti penganjuran kempen kesedaran Kami Prihatin, pendidikan kepada golongan lelaki supaya tidak memperlakukan golongan wanita sewenang-wenangnya dan kemudian lepas tangan serta pendidikan seks terutamanya pengetahuan mengenai pencegahan kehamilan.

Kempen Kami Prihatin yang dilancarkan ini diharapkan dapat membela nasib bayi-bayi yang tidak berdosa daripada dibuang dan dibunuh ekoran masyarakat kita yang terlalu gemar menghukum.

Sementara kanak-kanak pula perlu diselamatkan daripada menjadi mangsa dera golongan dewasa yang sakit mental atau gagal menguruskan tekanan hidup.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/