"BELIAU telah banyak berjasa
bagi memberi motivasi kepada para pendidik untuk mencurah bakti sebanyak mungkin
demi kemajuan anak bangsa."
Itulah ungkapan bekas Ketua
Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom apabila diminta mengulas
mengenai tokoh pendidikan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Awang Had Salleh yang
meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru, semalam.
Menurut Alimuddin, beliau banyak
membaca tulisan Awang Had, 79, yang sering disiarkan oleh akhbar, majalah dan
ketika sesi pembentangan kertas kerja dalam seminar.
"Ketika itu saya bertugas
sebagai guru dan tulisan beliau ini telah memberi motivasi kepada saya untuk
meningkatkan lebih jauh dalam bidang kerjaya saya," katanya.
Kata beliau, satu contoh terbaik
yang ditunjukkan oleh Allahyarham adalah untuk terus menyambung pengajian
walaupun telah bekerja.
"Allahyarham memulakan
kerjaya dalam bidang pendidikan bermula di peringkat bawah iaitu sebagai guru
pelatih di Sekolah Melayu Gunung, Alor Setar, Kedah pada 1950.
"Selepas itu dari 1951
hingga 1954 telah belajar di Kolej Latihan Sultan Idris (SITC) dan selepas itu
diterima mengajar di Sekolah Melayu Derga, Alor Setar," ujarnya.
Kegigihan Allahyarham untuk
belajar jelas terserlah apabila terus belajar sambil bekerja sehingga berjaya
mendapat Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Pengajian Melayu dari Universiti
Malaya (UM) pada 1964 dan Doktor Falsafah Pendidikan dari Universiti Stanford,
Amerika Syarikat (AS) pada 1972.
Pada 1956, Allahyarham telah
bertugas sebagai guru di Kolej Sultan Abdul Hamid sehingga 1959 dan selepas itu
memegang jawatan penolong pensyarah di Day Training Centre, Alor Setar serta
pensyarah Maktab Bahasa Kuala Lumpur sehingga 1966. Pada 1967, beliau menyertai
UM sebagai Penolong Pensyarah Fakulti Pendidikan.
Allahyarham yang berkhidmat di UM
sehingga 1978 telah memegang pelbagai jawatan termasuk penolong pensyarah,
pensyarah, profesor madya dan akhirnya profesor.
Dari segi pentadbiran pula,
beliau pernah memegang jawatan Dekan Fakulti Pendidikan dan kemudiannya,
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar.
Menurut Alimuddin, satu lagi
sumbangan Allahyarham yang tidak boleh dilupakan oleh sesiapa adalah sebagai
seorang pentadbir institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang cemerlang.
"Banyak jasa yang telah
Allahyarham sumbangkan ketika menjadi Pengarah Institut Teknologi Mara (ITM)
dari 1978 hingga 1980 dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
dari 1980 hingga 1984.
"Kita juga tidak boleh
melupakan jasa Allahyarham dalam membangunkan Universiti Utara Malaysia (UUM)
ketika dilantik menjadi Naib Canselor yang pertama dari 1984 hingga 1989,"
katanya.
Selepas persaraan di UUM, Awang
Had yang dilahirkan di Kampung Bagan, Pulau Bentong, Balik Pulau, Pulau Pinang
telah menumpukan khidmatnya sebagai Penasihat Khas kepada Kementerian Pendidikan
sehingga 1990.
Selain itu, beliau juga memegang
pelbagai jawatan lain termasuk sebagai Felo Cemerlang, Institut Kajian
Strategik dan Dasar (ISIS), Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Pendidikan
Sultan Idris (UPSI) dan kemudiannya sebagai ProCanselor universiti berkenaan.
Allahyarham turut terlibat dalam
sektor korporat termasuk sebagai Pengerusi Anakku Corporation Bhd., Pengerusi
Fomema Sdn. Bhd. dan Pengerusi Kumpulan Ikram Sdn. Bhd.
Dalam pada itu, penulis, Haris
Fadillah yang menulis buku biografi bertajuk Awang Had Salleh: Tokoh Pendidikan
Negara menyebut Allahyarham adalah seorang tokoh cendekiawan Melayu yang banyak
memberi sumbangan menerusi bidang penulisan kreatif termasuk cerpen, novel,
drama dan puisi.
Menurutnya, Allahyarham mula
menulis ketika menuntut di UM dengan cerpen yang pertama berjudul Simpati telah
disiarkan akhbar Berita Harian.
"Cerpen itu memenangi hadiah
sebanyak RM100 setelah menjadi cerpen terbaik mingguan kelolaan akhbar
berkenaan.
"Bakat kreatifnya turut
digilap ketika bekerja sambilan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika cuti
semester di UM pada 1963. Antara tokoh penulis yang telah membimbing beliau
ialah Keris Mas dan Usman Awang," tulisnya.
Tahun 1966 merupakan tahun yang
cukup penting bagi beliau apabila dua karyanya iaitu kumpulan cerpen Merah
Kuning Biru dan novel Biru Warna diterbitkan.
Skrip dramanya bertajuk Buat
Menyapu Si Air Mata pula telah diterbitkan pada 1975.
Beliau juga pernah menulis
buku-buku untuk prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.
Kegiatan menulis kertas kerja
ilmiah dan rencana untuk majalah dalam bidang pendidikan bahasa, kesusasteraan
dan kebudayaan diteruskan sehingga akhir hayat beliau dan ini termasuk ketika menjadi
penulis jemputan, Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM pada 1994.
"Awang Had terus menjadi
tokoh rujukan masyarakat di mana buah fikirannya dalam bidang pendidikan terus
mendapat perhatian pelbagai tokoh akademik dan institusi pengajian tinggi di tanah
air kita," tulis Haris.
Bagi menghargai sumbangan dan
jasa bakti bapa kepada tujuh anak ini, maka pada 1982 beliau telah dikurniakan
pingat Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri oleh Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Anugerah akademik yang diterima
beliau pula adalah Anugerah Kehormat ABE, United Kingdom pada 1983, Ijazah
Kehormat Doktor Undang-Undang daripada Universiti Brock, Kanada; Ijazah
Kehormat Doktor Persuratan dari UKM dan Profesor Emeritus dari UUM.
Allahyarham yang berkahwin dengan
Puan Sri Salmah Abu Bakar turut mempunyai hobi melukis, menggesek biola dan
menyimpan barangan antik seperti jam, keris serta lukisan.
Semangat Allahyarham untuk terus
berjuang demi anak bangsa jelas kelihatan daripada bait-bait sajak yang
ditulisnya bertajuk Aku Penyambung Zaman.
Tuhanku,
Jadikanlah aku kuat
gagah,
Menunaikan fungsi
khalifah,
Di bumi bertuah,
Betapapun payah,
Menahan semangat jangan
mudah patah,
Menahan hasrat jangan
cepat 'rebah',
Sehingga perjuangan
tercapai sudah.
Sebagai seorang tokoh akademik
Melayu yang banyak memberikan sumbangan dalam bidang pendidikan, jasa
Allahyarham sudah pasti akan tetap dikenang oleh masyarakat selama-lamanya.
Al-Fatihah.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/