Isnin, 12 Mac 2012
ISU ALAM SEKITAR : Sejauh Manakah Keprihatinan Kita?
DEFINISI ALAM SEKITAR
Alam sekitar merupakan segala benda hidup dan bukan hidup yang wujud secara semula jadi di permukaan bumi, atau sebahagian daripadanya. Alam sekitar meliputi beberapa komponen utama, iaitu :
(I) Unit landskap yang berfungsi sebagai sistem semula jadi tanpa penglibatan manusia, termasuk tumbuh-tumbuhan, haiwan, batu-bata, dan sebagainya, serta fenomena semula jadi yang berlaku.
(II) Sumber sejagat semula jadi serta fenomena fizikal yang tidak mempunyai batasan tertentu seperti udara, air, dan iklim, serta tenaga, sinaran, cas elektrik, dan kemagnetan, yang tidak wujud hasil daripada aktiviti manusia.
KEPENTINGAN ALAM SEKITAR
Alam sekitar memainkan peranan yang penting dalam kehidupan harian kita. Alam sekitar yang tidak tercemar memberikan kita satu suasana yang selesa dan nyaman. Di samping memberi keselesaan kepada manusia, aktiviti-aktiviti pembangunan negara sedikit sebanyak akan menjejaskan alam sekitar di negara kita jika tidak dijaga dengan baik. Antara kepentingan alam sekitar ialah:
(i) Kesihatan manusia terjamin
(ii) Tarikan pelancong asing
(iii) Membekalkan udara yang segar
(iv) Menstabilkan ekosistem
(v) Memelihara habitat hidupan darat dan air
(vi) Mengelakkan kepupusan
PUNCA KEMUSNAHAN ALAM SEKITAR
Kemusnahan alam sekitar diakibatkan oleh pelbagai pihak. Sektor perindustrian dan sektor pertanian yang merupakan sektor terpenting di negara kita turut menyumbang dalam kemusnahan alam sekitar. Selain itu, punca-punca lain ialah:
(i) Penggunaan baja kimia dan secara berlebihan
(ii) Penebangan pokok-pokok secara berleluasa
(iii) Pembakaran terbuka
(iv) Pembebasan gas-gas seperti gas karbon monoksida, karbon dioksida, sulfur oksida, hidrokarbon dan lain-lain.
(v) Pembuangan sisa-sisa bahan toksik
KESAN KEMUSNAHAN ALAM SEKITAR
Alam sekitar yang sedang mengalami kemusnahan telah membawa banyak kemudaratan kepada manusia dan hidupan tidak kira hidupan di darat ataupun di air.
Antara kesannya adalah seperti berikut :
(i) Pencemaran udara dan jerebu
(ii) Fenomena hujan asid
(iii) Pencemaran bau
(iv) Pencemaran air
(v) Kemusnahan hidupan akuatik
(vi) Peningkatan suhu sekitar / pemanasan setempat
(vii) Keracunan
(viii) Hakisan tanah dan banjir
(ix) Kesihatan terjejas
LANGKAH-LANGKAH MENGATASI
Teknologi yang semakin canggih telah menghasilkan pelbagai produk menyebabkan semakin banyak berlakunya pencemaran. Secara tidak langsung, alam sekitar menjadi mangsa; baik di udara, laut ataupun di darat. Langkah-langkah haruslah diambil untuk 'membersihkan' alam sekitar daripada pencemaran. Langkah-langkah ini dibahagikan kepada empat tahap iaitu :
(i) Peringkat Antarabangsa
(ii) Pihak Kerajaan
(iii) Organisasi
(iv) Individu.
• Di peringkat antarabangsa, pertubuhan-pertubuhan seperti WHO ( Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dan Greenpeace telah ditubuhkan. Kedua pertubuhan ini bertindak sebagai pengawas pencemaran. WHO memainkan peranan penting dalam mengawal pencemaran dan berhak menetapkan peraturan mengenai alam sekitar. Greenpeace pula memberi maklumat kepada orang ramai mengenai pencemaran yang terjadi di dunia dan menunjuk perasaan jika berlaku sesuatau pencemaran alam.
• Langkah yang kedua iaitu, pihak kerajaan, misalnya Kerajaan Malaysia, telah mengadakan pelbagai undang-undang dan langkah untuk meningkatkan lagi mutu alam sekitar. Undang-undang seperti sesiapa yang membuang sampah merata-rata akan dikenakan denda dan dikehendaki membersihkan kawasan dengan diawasi oleh pegawai yang bertugas. Industri-industri yang membuang sampah atau kimia sewenang-wenangnya akan disaman.
• Langkah ketiga, organisasi-organisasi seperti sekolah, komuniti setempat, kelab remaja dan syarikat boleh menyumbang kepada kebersihan alam sekitar. Guru-guru sekolah harus menanamkan sikap prihatin kepada alam sekitar kepada murid-murid melalui Pendidikan Moral di sekolah serta mengadakan pertandingan antara kelas bagi kelas yang paling bersih agar murid-murid mempunyai sifat tanggungjawab terhadap alam sekitar. Komuniti setempat pula boleh mangadakan pertandingan antara lorong, kedai makan dan kawasan kejiranan yang terbersih. Kelab remaja boleh mengadakan himpunan untuk mengumpul surat khabar dari rumah ke rumah dan juga memungut sampah di tepi pantai sambil beriadah. Syarikat harus mempunyai sikap tanggungjawab dalam pembuangan sampah.
• Langkah keempat, adalah kita sebagai individu memainkan peranan sendiri. Tiga sikap yang harus diamalkan adalah menggunakan semula barang-barang yang boleh digunakan semula ( reuse), menggunakan barang-barang yang dibuat dari barang-barang yang diproses semula ( recycle) dan mengurangkan penggunaan barang-barang yang tidak diperlukan (reduce). Sikap-sikap sebegini dapat mengurangkan pencemaran pada alam sekitar. Tidak lupa, sikap kesedaran pada diri sendiri harus ada untuk mengelakkan dari dunia terus dicemar.
Sumber : http://rujuknota.blogspot.com/
ISU PENDIDIKAN : Menambah baik profesion perguruan mampu tingkat sistem pendidikan
SISTEM pendidikan negara adalah tulang belakang kepada pembangunan sesebuah negara. Tanpanya negara pasti sukar untuk melahirkan generasi berwibawa dan paling penting modal insan berkualiti sebagai tuntutan memenuhi keperluan negara di samping menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik pada masa kini serta masa depan. Sejak Akta Pelajaran 1961 dikuatkuasakan, banyak usaha dilakukan kerajaan bagi menaik taraf dan meningkatkan mutu sistem pendidikan. Seiring dengan usaha itu, jutaan ringgit dilaburkan oleh kerajaan untuk memastikan sistem pendidikan negara dapat mencapai tahap yang dikehendaki bersesuaian dengan keperluan semasa dan peredaran zaman. Terbaru, Kementerian Pelajaran mengajak semua pihak yang terbabit dalam bidang pendidikan memberi idea terbaik bagi membantu meningkatkan sistem pendidikan negara. Bagi mencapai tujuan itu, program Sesi Dialog Pendidikan Kebangsaan (SDPK) diperkenalkan dan akan dimulakan mulai bulan depan bagi membolehkan buah fikiran untuk meningkatkan sistem pendidikan dikumpulkan. Kita amat mengalu-alukan usaha itu namun pada masa sama berharap, segala isu atau masalah melanda dunia pendidikan negara, khasnya berkaitan isu perguruan dapat diselesaikan kerana dalam sistem pendidikan, aspek yang paling penting perlu diberi keutamaan ialah pembangunan kemampuan tenaga pengajar iaitu guru.
Ketika ini profesion perguruan negara diselimuti dengan pelbagai kemelut dan permasalahan yang tidak kurang besarnya seperti isu kenaikan pangkat, jawatan dan gaji di samping guru dibebani pelbagai tugas tambahan seperti terpaksa melakukan kerja perkeranian yang membebankan mereka melaksanakan amanah utama iaitu mengajar dan mendidik. Semua kelemahan ini menjadi duri dalam daging petugas perkhidmatan perguruan walaupun tidak dinafikan usaha menambahbaik perkhidmatan perguruan sering diberi tumpuan kerajaan. Justeru, bagi memperbaiki kekurangan yang wujud dalam sistem pendidikan negara ketika ini, adalah penting bagi pihak yang terbabit dalam bidang pendidikan untuk mengambil peluang mengemukakan pandangan bernas, idea yang mendahului zaman dan paling penting ia bersifat malar segar untuk tempoh jangka panjang. Ini bermakna, sebarang dasar baru yang dirangka, dirancang dan akan dilaksanakan adalah hasil daripada percambahan idea dalam SDPK demi meningkatkan mutu pendidikan negara. Oleh itu perlu dipastikan pelaksanaannya nanti bukan sekadar melepaskan batok di tangga atau hanya separuh jalan sifatnya. Kerajaan perlu menyedari bahawa rakyat meletakkan harapan yang tinggi terhadap sistem pendidikan negara dalam melahirkan pelajar, generasi dan modal insan yang terangkum bagi memenuhi aspirasi negara menjadi negara maju menjelang 2020.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU KESIHATAN : Mengelak nafas berbau
Bagi sebahagian orang, berkumur dan memberus gigi masih belum mencukupi untuk menghilangkan masalah nafas berbau. Berikut antara usaha yang boleh dicuba untuk menjauhi masalah ini.
Herba Rempah-ratus seperti ketumbar, kayu manis, spearmint atau minyak pooh sejenis minyak yang berangin dan kayu putih boleh dikunyah secara langsung atau direbus untuk diminum.
Sayuran & buah-buahan renyah seperti lobak merah, buah epal atau sayur-sayuran yang kaya serat mampu membantu menjaga kesihatan mulut. Ia dapat meningkatkan pengeluaran air liur dan menjaga mulut agar lembap dan bersih.
Vitamin C seperti melon, buah beri dan brokoli dikatakan boleh membantu menjadikan persekitaran mulut kurang bakteria. Vitamin C juga dapat membantu mencegah radang dan penyakit gusi.
Pihak The American Academy of Periodontology turut menyarankan beberapa usaha agar nafas sentiasa segar sepanjang hari.
Cukup air
Untuk mengurangi bau nafas kurang enak apabila mulut kering, usahakan agar anda banyak minum air. Tapi kurangkan kopi, dan minuman bersoda.
Mengunyah gula-gula Permen bebas gula dapat membantu menghasilkan lebih banyak air liur. Amalan ini dikatakan dapat menghilangkan sisa makanan dan bakteria daripada dalam mulut.
Guna berus gigi yang baik
Pilih berus gigi berbulu lembut. Gantikan berus empat bulan sekali bagi memastikan berus dapat sentiasa berfungsi dengan baik.
Temui doktor gigi
Hanya doktor gigi yang dapat memberikan rawatan profesional dalam mengikis dan membersihkan plak pada pemukaan gigi agar nafas tidak berbau.
Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/
ISU KENEGARAAN : Hanya Yang di-Pertuan Agong ada kuasa panggil Parlimen bersidang
Oleh AHMAD FAUZI MUSTAFA
TUANKU Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah pada hari ini mencatatkan sejarah sebagai Raja Melayu pertama yang dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong kali kedua merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Malaysia Ke-12.
Sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 yang dilantik bermula 13 Disember 2011 lalu, Tuanku pernah berkenan merasmikan majlis sama pada 23 Februari 1971 bersamaan hari Selasa iaitu Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Parlimen Ketiga.
Pada waktu itu, Tuanku yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima pada 21 September 1970 hingga 20 September 1975 semasa berusia 43 tahun, pastinya dapat melihat betapa pesat perkembangan institusi Parlimen yang didokong selama ini.
Perkembangan sistem Demokrasi Berparlimen Raja Berperlembagaan adalah antara amalan unik dipraktiskan dalam dunia ini, yang mana Yang di-Pertuan Agong adalah satu entiti penting sebagai kuasa perundangan atau kuasa legislatif dalam Parlimen Persekutuan di samping dua dewan iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Tanpa Yang di-Pertuan Agong, dewan-dewan perundangan tersebut tidak cukup syarat fungsi dan kuasanya.
Perkara 55, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa hanya Yang di-Pertuan Agong sahaja yang boleh memanggil Parlimen untuk bersidang. Tuanku juga mempunyai kuasa istimewa untuk memberhentikan atau membubarkan Parlimen.
Di bawah perkara sama, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membenarkan Parlimen tidak bersidang bagi tempoh enam bulan dari tarikh persidangan terakhir. Jika dalam tempoh itu Parlimen gagal bersidang, Tuanku boleh membubarkan Parlimen dan mengarahkan pilihan raya umum diadakan.
Semua akta yang diluluskan Parlimen hendaklah mendapatkan tandatangan kelulusan Yang di-Pertuan Agong walaupun di bawah Perkara 66 ada beberapa syarat tempoh yang harus dipatuhi Tuanku sekiranya tidak bersetuju dengan sesuatu Rang Undang-Undang itu dijadikan undang-undang penuh.
Selain itu, anggota Dewan Rakyat dipilih terus oleh rakyat, Tuanku (atas nasihat) boleh melantik 40 anggota Dewan Negara (di bawah Perkara 45), selain di bawah Perkara 60 membenarkan Yang di-Pertuan Agong bertitah kepada majlis Parlimen atas apa-apa perkara kenegaraan yang wajar.
Ini sebahagian fungsi dan peranan Yang di-Pertuan Agong dalam kuasa perundangan. Penulis sempat membaca nukilan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mana pada waktu itu mungkin ramai yang masih ingat, Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj meletakkan jawatan pada 21 September 1970, iaitu pada tarikh yang sama Tuanku Abdul Halim naik takhta selaku Yang di-Pertuan Agong Kelima.
Ramai pihak yang mengakui bahawa persamaan tarikh sedemikian adalah atas permintaan Tunku sendiri, lebih-lebih lagi mengambil kira sentimen beliau mendapati anak buahnya sendiri dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong selain perkembangan politik dan isu-isu kenegaraan pada masa itu susulan peristiwa-peristiwa selepas 13 Mei 1969.
Penulis sempat menelusuri tarikh-tarikh penting pada waktu itu menerusi penyata rasmi Parlimen Malaysia termasuklah ucapan pertama Titah Agong Tuanku Abdul Halim bertarikh 23 Februari 1971 iaitu bersamaan hari Selasa, jam 2.30 petang.
Sebelum itu, satu majlis angkat sumpah Ahli Dewan Rakyat telah diadakan pada 20 Februari 1971 iaitu pada hari Sabtu yang mana satu perisytiharan diumumkan seperti berikut (penggunaan ejaan lama bahasa Melayu pada waktu itu seperti termaktub dalam penyata rasmi):
"BAHAWA SA-NYA Parlimen telah di-bubarkan pada Dua puloh haribulan Mach, 1969; DAN BAHAWA SA-NYA ada-lah di-peruntokkan oleh Sekshen 7 (3) Ordinan No. 1 (Kuasa Perlu) Dharurat, 1969 bahawa Parlimen hendak-lah di-panggil bersidang pada suatu tarikh yang akan BETA tetapkan;
MAKA OLEH YANG DEMIKIAN, BETA, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, dengan kurnia Allah bagi Negeri dan Wilayah Malaysia, Yang di-Pertuan Agong, pada menjalankan kuasa yang di-beri kapada BETA sa-bagaimana yang tersebut di-atas.
DENGAN INI memanggil Parlimen untok bersidang dan menetapkan Dua puloh haribulan Februari, 1971, pada pukul dua sa-tengah petang sa-bagai tarikh dan waktu bagi Persidangan Pertama bagi Penggal Pertama Parlimen Persekutuan yang Ketiga, yang akan di-adakan di-Bangunan Parlimen di-Ibu Kota Beta, Kuala Lumpur.
DI-PERBUAT di-Istana Beta di-Ibu Kota Kuala Lumpur, pada dua puloh tiga haribulan Januari, 1971. Dengan Titah Perentah Baginda,
Tandatangan: TUN HAJI ABDUL RAZAK BIN DATO' H U S S E I N, Perdana Menteri."
Sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima pada era zaman yang dianggap kritikal bagi mengembalikan semula semangat muhibah dan perpaduan di kalangan rakyat jelata, kebijaksanaan dan sentuhan naluri mesra rakyat terserlah dalam titah ucapan sulung baginda yang menyentuh pelbagai aspek terutama mengajak rakyat tidak kira latar belakang dan kaum bersama-sama untuk membangunkan negara.
Tidak hairanlah Tuanku yang merupakan lulusan Wadham College Oxford, United Kingdom dengan ijazah Sains Sosial dan Pentadbiran Awam, memahami nadi denyut rakyat jelata menerusi titah sulung Tuanku di Parlimen Malaysia.
Di sini penulis sertakan sebahagian petikan ucapan Tuanku seperti berikut:
"Sebagaimana Ahli Yang Berhormat sedia ma'alum, beberapa hari sa-telah Pilehan Raya di-jalankan pada l0hb Mei, 1969 satu peristiwa burok telah berlaku yang memaksa keadaan dharurat di-ishtiharkan pada 15hb Mei, 1969, dan pemerentahan sechara berparlimen di-gantong sa-hingga keadaan di-dalam negara puleh semula.
Tun Abdul Razak bin Dato' Hussein telah di-lantek menjadi Pengarah Gerakan dan di-tugaskan untok memulehkan keamanan, mengembalikan pentadbiran yang lichin, dan mewujudkan semula suasana harmoni di-antara kaum dalam negara ini.
Kapada Tun Abdul Razak dan semua-nya yang telah berkhidmat dengan tidak mengira masa dan kepentingan diri sendiri, Beta menguchapkan berbanyak terima kaseh. Jasa dan khidmat bakti mereka sa-sunggoh-nya di-sanjong tinggi oleh negara..."
Yang menarik perhatian penulis ialah titah ucapan sulung Tuanku selaku Yang di-Pertua Agong Kelima di Parlimen Malaysia adalah ketika di bawah era pemerintahan Perdana Menteri Kedua, dan sekali lagi Tuanku berbuat demikian pula kepada anak Tun Razak iaitu Perdana Menteri Malaysia Keenam, Datuk Seri Najib yang kedua-duanya ialah Ahli Parlimen Pekan di Mesyuarat Pertama, Penggal 5, Parlimen Ke-12.
Keadaan pada era Tun Razak dan Najib amat berbeza. Yang merentasi zaman panjang ini adalah Tuanku Abdul Halim sendiri. Pengalaman, pengamatan dan kebijaksanaan sekali lagi menjadi sandaran buah fikiran Tuanku bagaimana Malaysia harus dipimpin atau ditransformasi ke arah lebih baik dan stabil dengan mengutamakan kebajikan rakyat.
Pasti Tuanku mempunyai pandangan-pandangan jauh menerusi titah ucapan kali ini supaya Ahli-ahli Parlimen Dewan Negara dan Dewan Rakyat dapat memetik kata-kata Tuanku untuk berbahas dan mencari jalan kebaikan buat Malaysia supaya tidak dilanda sebarang malapetaka dalam pelbagai aspek apatah lagi keadaan global yang tidak menentu sekarang. Selamat bersidang.
PENULIS ialah penyelidik kanan Parlimen Malaysia
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Malaysia utama keselamatan tenaga
Oleh Stephen Kay
Negara wajar fokus sektor elektrik bagi kurang import jana kuasa
BARU-BARU ini, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dalam blognya, (http://peterchin.my) menulis ‘negara kita sekarang bergerak begitu cepat menjadi negara yang terpaksa bergantung kepada import bagi memenuhi keperluan tenaga dalam negara.'
Akan ada yang tertanya-tanya ketika membacanya, ‘Apa halnya?’ Bagaimana kehidupan boleh berbeza bagi negara yang mengimport tenaga dengan yang mengeksport tenaga? Sama ada suka atau tidak, perbezaannya begitu besar dan tiada siapa yang akan menyangkanya. Negara pengimport akan terdedah sepenuhnya kepada keadaan tenaga dunia.
Latar belakang keadaan yang perlu dihadapi Malaysia ialah dunia kini menghadapi kekurangan rizab sumber minyak fosil (asli), khazanah negara, kemunculan China sebagai pengguna terbesar tenaga dan peningkatan kesedaran isu alam sekitar (terutama pemanasan global). Faktor-faktor ini bukanlah dalam kawalan Malaysia dan ia akan meningkatkan kenaikan harga minyak.
Rakyat Malaysia sudah lama mendapat ‘perlindungan’ daripada kenaikan harga tenaga pada peringkat global. Rakyat Malaysia sudah diketahui mendapat bantuan subsidi untuk gas, elektrik dan petrol.
Dasar ‘subsidi’ ini sudah dilaksanakan secara bersama dengan sektor tenaga yang mana pelbagai subsektor hanya dikuasai oleh satu, atau paling banyak pun beberapa pihak.
Mungkin dasar ini bersesuaian pada masa lalu; ia sememangnya berniat baik dan berdasarkan Malaysia ketika itu mempunyai banyak lebihan minyak dan gas, ditambah pula dengan kekurangan kakitangan berkemahiran teknikal dan kakitangan pengurusan pada pelbagai peringkat rangkaian tenaga.
Bagaimanapun, ketika ini semua keadaan itu sudah tidak lagi wujud. Kini kita sudah bergerak menjadi negara pengimport tenaga dan berita baik mengenainya ialah kita sudah meningkatkan kemahiran dan kepakaran untuk menguruskan sepenuhnya rangkaian tenaga ini.
Jika kita dapat menerima hakikat kini kita sudah menjadi negara pengimport tenaga, persoalan mengenai ‘apakah isu utama untuk pengimport tenaga?’ akan dapat dijawab dengan jelas iaitu jawapannya bukanlah harga tenaga, tetapi lebih kepada ‘keselamatan tenaga’. Ini bermakna, perkara ini perlu diselesaikan secara sistematik dan komprehensif. Sebagai contoh, harga elektrik akan jadi penting jika bekalannya dapat diperoleh tanpa mengira masa dan tempat ketika kita memerlukannya.
Kadar bayaran elektrik murah tidak akan memberi makna jika sekiranya kita sering alami gangguan dan terputusnya bekalan.
Jadi bagaimanakah bentuknya kerangka dasar Malaysia yang mahu menggalakkan inovasi dan kecekapan? (juga disentuh menteri berkaitan). Mungkin ia boleh dilakarkan dengan memberi fokus kepada sektor elektrik sejak berita mengenai penjualan aset tenaga Tanjung disiarkan media.
Bagi mendapatkan imbangan yang betul di antara harga dan soal keselamatan, sesebuah negara perlu perlu menerima apa yang tidak menjejaskannya dan memberi tumpuan kepada perkara yang boleh menjejaskannya.
Oleh itu, pendekatan untuk menjana rangkaian elektrik perlu dibuat begini:
Pelbagaikan opsyen bekalan minyak bagi mengurangkan risiko dan kesan yang tidak kelihatan (ini termasuk menyediakan opsyen untuk mengimport gas dan arang batu, serta mungkin juga membawa masuk ‘peserta’ baru dalam kalangan pengimport),
Pilih minyak bercampur yang memberi kelebihan kepada Malaysia untuk melindungi rizab minyak fosil yang masih dimiliki (contohnya gas di Sabah dan Sarawak) bagi menyediakan strategi rizab semula jadi ketika masa krisis).
Meluaskan ruang IPP kepada ‘peserta’ baru bagi menggalakkan persaingan (ia mungkin terjadi jika aset Tanjung dijual kepada ‘peserta’ bukan IPP).
Asingkan transmisi elektrik daripada jana kuasa tenaga bagi menggalakkan lagi kuasa pasaran dalam penjanaan, transmisi dan pengagihan bekalan.
Memberi insentif kepada pengguna yang meningkatkan kecekapan menggunakan tenaga (ya, ini mungkin memerlukan kenaikan harga).
Menyediakan keupayaan tambahan jana kuasa yang bersesuaian dengan kadar pertumbuhan permintaan tenaga di Malaysia.
Disatukan semuanya, inisiatif berkenaan akan menggalakkan inovasi dan kecekapan dalam bidang yang boleh dikawal oleh Malaysia, pada masa sama mengurangkan risiko dan kesan persekitaran yang tidak dijangka, masalah atau bencana alam. Lebih penting lagi, pendekatan sedemikian mampu dilakukan dengan merasionalisasikan harga, sediakan pentas untuk langkah seterusnya dalam pengurusan elektrik yang mana ia membabitkan ‘grid pintar’, ‘jangka bacaan pintar’ dan seumpamanya. Teknologi baru ini direka bentuk untuk mengoptimumkan kecekapan tenaga dan kos keseluruhan kepada masyarakat.
Bagaimanapun, ia hanya boleh dilakukan dengan berkesan dalam persekitaran di mana harga elektrik melambangkan kos sebenar penjanaan dan pengagihan (perlu secekap mungkin).
Situasi semasa (contohnya, kerugian besar dialami TNB disebabkan kekurangan gas), menunjukkan ia boleh menjadi lebih baik jika semua inisiatif yang dicadangkan dilaksanakan sebelum timbul sekali lagi ‘krisis’ tenaga. Dalam hal ini, langkah melakukan ‘prakelayakan’ untuk kemudahan pengeluaran tenaga Prai adalah baik dan ia dapat menarik minat pelbagai pihak.
Industri tenaga global sedang melalui tempoh perubahan yang signifikan. Oleh itu, adalah jelas untuk kita memajukan sektor ini di Malaysia. Yang pasti, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTha), MyPOWER, Suruhanjaya Tenaga dan pihak lain sedang memberi tumpuan kepada isu yang betul, Selamat Berjaya.
Penulis mempunyai pengalaman bekerja dengan banyak syarikat tenaga di dunia dan menjadi pemerhati dalam isu dan keperluan tenaga global dan tempatan.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU PERKHIDMATAN AWAM : Sisi ekonomi kesan gaji SSM
Oleh ROHAMI SHAFIE
ALHAMDULLILLAH, syukur ke hadrat Allah SWT isu mengenai Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dapat ditangani dengan baik dan berhemah. Biarpun masih ada segelintir yang tidak berpuas hati, namun, suara majoriti kakitangan awam berjaya mengatasi tindakan tergesa-gesa yang dilakukan oleh segelintir golongan yang menguasai perkhidmatan awam.
Sebarang tindakan yang dilakukan dengan tergesa-gesa, nescaya kesannya tidak meyakinkan sesiapa sahaja, bahkan memburukkan lagi keadaan.
Sektor awam adalah jentera yang amat penting di Malaysia, nasib para pekerjanya perlu dibela dan dijaga. Tindakan yang menyebabkan mereka berasa tidak puas hati bukan sahaja boleh memudaratkan kerja-kerja mereka sebagai individu tetapi juga memberi implikasi negatif terhadap ekonomi negara.
Jangan sesekali memandang remeh suara-suara mereka. Gunalah kuasa yang diamanahkan oleh Allah SWT sebaik-baik mungkin dan bukannya untuk kepentingan diri sendiri.
Tahniah kepada Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS) yang berjuang habis-habisan membela nasib majoriti para pekerja sektor awam terutamanya golongan bawahan. Cadangan penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji secara komprehensif sistem saraan penjawat awam perlu disegerakan dan ahli-ahlinya mestilah mewakili keseluruhan para pekerja di sektor awam dan bukannya dikuasai oleh segelintir golongan yang tidak memahami kedudukan para pekerja bawahan.
Jangan diulang lagi kesilapan yang dilakukan di bawah SBPA kerana ia menjejaskan reputasi dan imej kerajaan itu sendiri.
Bagi pelarasan gaji di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM), tambahan peruntukan adalah sebanyak RM6 bilion. Bayangkan betapa besarnya peruntukan bagi membiayai pelarasan gaji sekiranya SBPA dilaksanakan sepenuhnya berbanding di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM).
Tidak mustahil, tidak sampai lima tahun, Malaysia di ambang kemuflisan kerana terpaksa berhutang menggunakan dana luar melalui penerbitan bon kerajaan. Wang yang dikutip melalui cukai pastinya tidak mencukupi kerana wang tersebut juga digunakan untuk sektor-sektor lain seperti pendidikan dan kesihatan.
Tindakan memansuhkan SBPA dengan menggantikan SSM yang ditambah baik adalah tindakan yang mengambil kira kedudukan kewangan negara.
Pelarasan gaji kakitangan awam boleh memacu ekonomi domestik negara dengan peningkatan perbelanjaan pengguna. Limpahan ini bukan setakat untuk kakitangan awam tetapi untuk para peniaga yang sentiasa mendambakan peningkatan hasil jualan. Sekali gus ia boleh merancakkan keseluruhan ekonomi negara ketika dunia bergelut dengan krisis ekonomi.
Ia umpama pakej rangsangan yang menjadi penampan buat seketika bagi mengurangkan kesan krisis ekonomi terhadap negara kita. Namun demikian, apa yang dikhuatiri adalah kesan terhadap kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
Perkara ini acap kali berlaku dan pihak yang berkenaan perlulah bertindak dengan segera agar kenaikan harga barangan dan perkhidmatan tidak berlaku.
Satu perkara yang cukup menarik adalah Bank Negara Malaysia (BNM), minggu lalu telah mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tiga peratus. Ini membayangkan kadar inflasi dijangka stabil dalam tempoh terdekat ini. Dengan pengumuman pelarasan gaji kakitangan sektor awam, inflasi akan meningkat jika pihak berkenaan tidak berusaha mengambil tindakan segera terhadap para peniaga yang sengaja menaikkan harga barangan dan perkhidmatan.
Ketika itu, BNM berkemungkinan membuat keputusan untuk menaikkan OPR. Kenaikan OPR boleh mengurangkan jumlah pinjaman seterusnya boleh mengurangkan perbelanjaan pengguna.
Secara tidak langsung, boleh merencatkan pertumbuhan ekonomi negara yang mana pada masa akan datang banyak bergantung pada ekonomi domestik berbanding pelaburan langsung asing (FDI).
Justeru, ekosistem ekonomi negara yang baik diperlukan bagi memakmurkan negara merangkumi semua pihak terutama pihak berkuasa dan penguat kuasa yang diamanahkan untuk "menjaga" ekonomi negara.
Di samping itu, pengumuman SSM memberi sedikit kelegaan buat para pekerja sektor awam yang bakal menikmati kenaikan Elaun Bantuan Sara Hidup (COLA).
Kenaikan ini sedikit sebanyak boleh meringankan beban kos sara hidup yang semakin tinggi yang dirasai oleh para pekerja sektor awam.
Kesan kenaikan kos sara hidup yang tinggi bukan sahaja dirasai oleh mereka yang bekerja di bandar-bandar besar tetapi juga mereka yang bekerja dan menetap di pedalaman.
Gaji dan COLA telah dinaikkan, bagaimana pula dengan produktiviti para pekerja sektor awam? Mahu tak mahu, para pekerja sektor awam perlu meningkatkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan mereka.
Produktiviti sektor awam sekurang-kurangnya perlu ditingkatkan pada paras kenaikan gaji dan COLA. Jika ia berada di bawah kenaikan gaji dan COLA, ia boleh menjejaskan ekonomi negara. Produktiviti adalah antara enjin utama pertumbuhan ekonomi mana-mana negara di dunia.
Produktiviti melebihi kadar upah membawa implikasi positif kepada negara. Justeru, dalam keadaan sebegini, tidak menjadi satu masalah untuk kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam pada masa akan datang.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan dan Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan, Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Langgan:
Catatan (Atom)