MATA pelajaran
Bahasa Melayu di sekolah menengah diselitkan dengan bahan-bahan sastera iaitu
Komsas sejak tahun 2000 dan masih bertahan sampai sekarang. Adalah diharapkan Komsas
akan bertahan dalam jangka masa yang panjang memandangkan banyak manfaat yang
diperoleh oleh pelajar apabila mempelajari hasil-hasil sastera di sekolah.
Apa yang jelas,
mata pelajaran Kesusasteraan Melayu semakin terpinggir. Sudah tidak ramai murid
yang mengambil subjek ini atas pelbagai sebab. Malah, di sesetengah sekolah,
jika ada pelajar yang mahu mengambil peperiksaan dalam subjek ini, mereka
terpaksa belajar sendiri kerana subjek ini tidak termasuk dalam jadual belajar
di dalam kelas.
Pemantapan
nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar turut menjadi sasaran Komsas sejak
mula diperkenalkan lagi kepada pelajar. Hasrat ini dianggap penting untuk
melahirkan pelajar yang bukan sahaja celik sastera tetapi lebih jauh daripada
itu, pelbagai nilai murni yang terkandung dalam sastera dapat diselami dan
dinikmati oleh pelajar.
Tidak dapat
dinafikan bahawa di samping
tujuan-tujuan tersurat pendedahan Komsas kepada pelajar, kita tidak boleh
menolak matlamat tersiratnya. Salah satunya adalah bertujuan melahirkan penulis
pelapis selepas mereka 'kaya' dengan pendedahan hasil-hasil kesusasteraan di
sekolah. Pendedahan Komsas yang terdiri daripada pelbagai genre telah
menjadikan pelajar mengenali pelbagai jenis hasil kesusasteraan seperti sajak,
pantun, cerpen, novel dan sebagainya.
Meskipun ramai
yang menulis berdasarkan bakat semula jadi, tetapi dengan mempelajari
hasil-hasil kesusasteraan di sekolah, seseorang itu mengetahui dengan lebih
mendalam tentang kesusasteraan.
Tidak kurang
juga yang boleh menulis selepas sering membaca tulisan-tulisan daripada penulis
lain di mana-mana media massa. Tidak dinafikan bahawa ramai yang berjaya dalam
bidang penulisan bukan disebabkan mereka belajar di mana-mana tetapi atas bakat
sendiri dan ditambah dengan kegigihan berkarya.
Bagaimanapun,
dengan mempelajari hasil-hasil kesusasteraan di sekolah, ia dianggap sebagai
satu asas yang kukuh bagi seseorang pelajar untuk menjadi seorang penulis, jika
kebetulan pelajar itu berbakat dan berminat.
Persoalannya,
mampukah komsas menjadi batu asas ke arah melahirkan penulis di tanah air?
Persoalan ini sering menjadi polemik kerana rata-rata menganggap bahawa sistem
pendidikan di negara kita yang lebih mengutamakan lulus peperiksaan menjadikan
matlamat mempelajari kesusasteraan itu terbelenggu dalam kepompong yang sama,
iaitu belajar sekadar untuk memperoleh sijil dan menjamin untuk mendapat
pekerjaan.
Malah, apabila
Komsas itu disenaraikan berada dalam subjek Bahasa Melayu, bermakna hasil-hasil
kesusasteraan itu juga turut menjadi buruan pelajar mempelajarinya kerana ia
menjadi wajib dan tidak boleh ditolak. Ramai yang membeli buku ulasan dan
kajian sastera kerana mahu memahami dengan lebih lanjut kandungan teks atau
genre yang dipelajari.
Dari satu
sudut, sebenarnya kebanyakan pelajar kurang bersedia dengan hasil-hasil
kesusasteraan. Budaya berfikir secara kritis kurang kedapatan dalam jiwa
kebanyakan pelajar kerana kebanyakan mereka bergantung seratus-peratus kepada
buku-buku ulasan dan kajian.
Tentu ramai
yang akan bertanya, ikhlaskah pelajar mempelajari kesusasteraan di sekolah? Ini
dapat dilihat menerusi kurangnya kelangsungan sikap untuk mendekati karya-karya
sastera. Bahan-bahan bacaan sastera berlambak di pasaran tetapi siapakah yang
membeli dan membacanya.
Bolehkah
pelajar-pelajar yang mempelajari Komsas ini menjadi penulis pelapis? Atau,
mereka sekadar belajar, mengambil tahu sedikit sebanyak tentang pelbagai genre
penulisan kemudian melupakannya begitu sahaja?
Dalam soal ini,
guru-guru mempunyai tugas tertentu demi menjadikan komsas sebagai satu asas
pembentukan penulis tanah air.
Pertama, mereka
mestilah menjadikan Komsas sebagai satu bahan kajian yang bersifat menyeluruh,
bukan hanya untuk tujuan peperiksaan sahaja.
Kedua, mereka
mestilah mengesan bakat pelajar di dalam kelas terutamanya yang mempunyai
kebolehan dalam menghasilkan karya kreatif.
Ketiga, mereka
mestilah membantu pelajar yang berbakat ini agar menjadi penulis.
Keempat, mereka
mestilah memandu arah untuk memudahkan pelajar yang berbakat dan berminat untuk
menghasilkan karya kemudian menyalurkan karya tersebut ke mana-mana penerbitan.
Kelima,
mengadakan bengkel penulisan di sekolah menerusi Persatuan Bahasa Melayu supaya
pelajar yang berminat dapat mengasah bakat mereka dalam bidang penulisan.
Keenam,
menjemput penulis-penulis yang berjaya ke sekolah untuk memberi tunjuk ajar dan
semangat kepada pelajar yang mempunyai minat dalam bidang penulisan.
Ramai percaya
bahawa dengan adanya inisiatif pelbagai pihak, Komsas akan berjaya melahirkan
penulis yang berwibawa suatu masa nanti.
Sumber :
http://www.utusan.com.my/