Khamis, 30 April 2009

HARI MEMPERLIHATKAN KUALITI, KECEMERLANGAN


SABAN tahun, 1 Mei disambut sebagai Hari Pekerja, dan hari tersebut menjadi cuti umum kepada rakyat di negara ini. Kebiasaannya hari ini berlalu dengan tiada apa-apa yang istimewa atau kegiatan yang memperlihatkan kehebatan seorang pekerja melainkan ia diisi dengan bersiar-siar, membeli-belah, balik kampung atau apa-apa amalan yang lebih bersifat kekeluargaan atau kemasyarakatan.

Sebenarnya alam kehidupan seorang pekerja adalah alam yang sangat penting kerana ia membentuk sikap, tanggapan terhadap kehidupan, dan juga budaya hidup seseorang. Lebih-lebih lagi dalam persaingan hidup masa kini, budaya kerja yang sihat dengan mutu pengeluaran yang tinggi sangat dituntut dalam setiap pekerjaan yang diceburi.

Mungkin 1 Mei adalah antara hari yang terbaik untuk kita menilai kembali sejauh mana kebaikan dan kecemerlangan yang telah kita capai. Kecemerlangan dan kebaikan boleh dirujuk sebagai sejumlah sifat-sifat atau ciri-ciri yang unggul. Di mana kebaikan boleh ditakrifkan sebagai ciri kesempurnaan, dan kecemerlangan pula boleh difahami sebagai tahap yang tertinggi bagi suatu kebaikan.

Juga harus difahami bahawa kebaikan dan kecemerlangan tidak hanya terletak kepada keupayaan pengurusan yang baik, tetapi ia lebih banyak bergantung kepada unsur kemanusiaan dan sikap manusia itu sendiri terhadap pekerjaannya.

Kita sedia maklum bahawa manusia merupakan sejenis makhluk yang memiliki jiwa, perasaan, fitrah dan akal yang cukup istimewa. Untuk meningkatkan daya pengeluaran atau hasil pekerjaan yang baik, manusia tidak boleh diperlakukan seperti kuda atau lembu.

Begitu juga kecemerlangan dan kebaikan mutu kerja yang terbaik tidak akan terhasil jika sistem bekerja 'seperti pahat dengan penukul' diamalkan, kerana pahat (pekerja) tidak akan senang dengan kerjanya apabila dipukul bertalu-talu oleh penukul yang boleh diibaratkan sebagai majikan.

Apa yang pasti ialah kerja yang baik dan cemerlang lebih banyak ditentukan oleh sikap seseorang terhadap pekerjaannya. Oleh itu manusia memerlukan dorongan yang secukupnya untuk melaksanakan kerjanya dengan rela hati yang seterusnya dapat melahirkan hasil kerja yang baik.

Ada pihak yang beranggapan dorongan untuk bekerja akan terhasil apabila adanya ganjaran-ganjaran atau tawaran-tawaran yang menarik pada sesuatu pekerjaan. Memang perkara ini tidak dapat dinafikan kerana manusia sememangnya cenderung kepada ganjaran. Namun begitu harus diingat bahawa ganjaran-ganjaran yang dilihat menarik itu akan menjadi perkara biasa sahaja setelah masa berlalu dan akan hilang daya tarikannya.

Yang paling penting ialah dorongan yang seharusnya ditimbulkan dalam diri manusia itu sendiri terhadap pekerjaannya dengan memanfaatkan dorongan-dorongan yang terdapat dalam agama dan juga segala nilai yang ada dalam amalan budayanya.

Kerana itulah kita mendapati ada kajian yang mengatakan negara-negara di sebelah rantau Timur ini berupaya untuk memajukan perindustriannya kerana adanya dorongan-dorongan agama yang terdapat di Timur seperti Buddhisme dan Konfusianisme. Tidak ketinggalan juga negara-negara Barat yang berusaha untuk menerapkan kerja Kristian dalam pengurusan dan budaya kerjanya.

Apa yang pasti ialah agama dilihat sebagai unsur yang sangat berperanan dalam mendorong manusia untuk memajukan kehidupannya.

Dalam hal ini umat Islam dilihat mampu untuk mencipta budaya kerja yang sangat baik dan cemerlang sekiranya mereka berupaya memanfaatkan semangat dan nilai unggul agamanya dengan menyalurkannya ke dalam budaya kerja mereka.

Ini adalah kerana semangat kecemerlangan memang cukup terserlah dalam segala ajaran Islam. Allah menyifatkan manusia sebagai makhluk yang tinggi (ahsani taqwim - ciptaan terbaik); sementara umat Islam pula diangkat martabatnya sebagai khayran ummah - umat terbaik; sementara orang mukmin yang paling berjaya dan mulia di sisi Tuhannya ialah yang paling tinggi takwanya (atqakum).

Bahkan jika diteliti erti hidup dan mati seorang Muslim seperti yang diunggapkan oleh al-Quran adalah berasaskan kepada dan kecemerlangan amal - ayyukum ahsanu amala. Maka dengan itu manusia yang bergelar seorang Muslim yang mengerti hakikat serta tujuan hidup dan mati tentunya akan bekerja keras agar hidup dan matinya cemerlang dan baik.

Inilah antara dorongan ajaran Islam yang selamanya menjurus kepada pembinaan umat yang sentiasa memiliki daya saing yang cukup tinggi yang seterusnya menjana kecemerlangan dan kebaikan dalam apa jua bidang yang mereka ceburi.

Jelasnya, seorang Muslim memperolehi dorongan kecemerlangan terhadap pekerjaannya dengan memanfaatkan dorongan-dorongan yang terdapat dalam agamanya kerana agama Islam meletakkan pekerjaan sebagai suatu yang sangat bernilai dan penting. Dengan keyakinan bahawa segala usahanya akan dinilai dengan diberi ganjaran pahala oleh Tuhannya, maka seorang Muslim akan menghargai dan mencintai kerja dan pekerjaannya.

Hal ini pastinya berbeza dengan pandangan yang meletakkan dorongan kecemerlangan sepenuhnya dikaitkan dengan pengiktirafan daripada pihak majikan, mahupun gaji yang lumayan. Harus difahami bahawa tidak mungkin semua kerja yang dilakukan akan mendapat perhatian dan pengiktirafan daripada pihak majikan, kerana pengiktirafan manusia itu tidak selalunya adil dan tepat.

Dalam hubungan inilah perlunya dorongan keagamaan yang berupa harapan bahawa amal dan kerja yang tidak dinilai oleh manusia akan tetap dinilai oleh Allah dengan adil dan saksama.

Bagi seorang Muslim, kejayaan dan kecemerlangan sebenar ialah apabila pekerjaan dan amalnya diredai oleh Tuhannya. Dengan itu, amal dan kerjanya haruslah memenuhi akhlak yang telah digariskan oleh agamanya di samping memenuhi peraturan akhlak yang digariskan oleh majikannya.

PENULIS ialah Felo Pusat Sains & Teknologi, Institut Kefahaman Islam Malaysia

PROGRAM PENINGKATAN PROFESIONALISME GURU CEMERLANG DAERAH KUANTAN 2009



Program Peningkatan profesionalisme Guru Cemerlang Daerah Kuantan 2009, anjuran bersama Majlis Guru Cemerlang Daerah Kuantan dan Pejabat Pelajaran Daerah Kuantan telah diadakan di Hotel Cititel Express, Kuala Lumpur pada 28 - 30 April 2009. Program ini dihadiri oleh seramai 80 orang peserta yang terdiri daripada guru-guru cemerlang lama dan yang baru dilantik pada tahun 2008.Antara objektif program ini adalah untuk membentuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan guru cemerlang di Daerah Kuantan dan memberi kefahaman akan tanggungjawab serta peranan guru cemerlang dalam memartabatkan pendidikan.

Di sepanjang program berkenaan, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai pengisian yang disampaikan oleh penceramah yang berwibawa. Program tersebut dimulakan dengan Majlis Suai Mesra yang dikendaikan oleh Kaunselor Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Encik Badaruddin bin Shukur. Program diteruskan dengan pengisian kedua yang merupakan pendedahan tentang Terma Tugas Guru Cemerlang oleh Guru Cemerlang Gred Khas C, Datin Mariam binti Mehad. Antaranya, beliau telah menekankan bidang tugas yang sepatutnya menjadi Sasaran Kerja Tahunan guru cemerlang. Selanjutnya, pengisian ketiga bertajuk SKPM 9 dan Tanggungjawab Guru Cemerlang telah disampaikan oleh Encik Januddin bin Jamrin, wakil daripada Jemaah Nazir Negeri Pahang. Sesi diteruskan pada sebelah malam dengan Mesyuarat Agung Majlis Guru Cemerlang Daerah Kuantan yang menyaksikan pelantikan ahli-ahli jawatankuasa yang baharu. Dalam mesyuarat tersebut, Encik Mohd Nazeri Abd Rahman terpilih sebagai Yang Dipertua Majlis Guru Cemerlang Daerah Kuantan Sesi 2009-2010. Syabas atas pelantikan tersebut.

Sesi pada hari ketiga dimulakan dengan perkongsian oleh dua orang guru cemerlang yang telah memenangi Anugerah Inovasi peringkat negeri Pahang dan di peringkat kebangsaan. Encik Lan Foo Huat, selaku pembentang pertama telah membentangkan hasil inovasinya yang bertajuk "Powergraph". Tuan Syed Adnan Syed Alwi pula berkongsi pengalaman beliau membimbing pelajar dalam menghasilkan rekacipta bertajuk ROSPIN (Rostrum Pitar) sehingga berjaya merangkul Anugerah Inovasi di peringkat kebangsaan.

Sesi diteruskan dengan pembentangan Amanat PPD Kepada Guru Cemerlang yang disampaikan oleh Encik Che Zainun Bin Shafie, wakil Pegawai Pelajaran Daerah Kuantan. Beliau menggariskan 12 perkara yang sepatutnya dilaksanakan oleh guru-guru cemerlang di sekolah iaitu:

i.Menghasilkan dan melaksanakan Rancangan Pelajaran Tahunan.
ii.Merancang kecukupan latihan setahun.
iii.Melibatkan diri secara aktif dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Daerah khusus bagi mata pelajaran kepakaran.
iv.Menjadi guru pembimbing(mentor) bagi mata pelajaran kepakaran di sekolah.
v.Mewujudkan kumpulan pelapis.
vi.Menghasilkan bahan bantu mengajar yang dapat dikongsi oleh semua guru di peringkat daerah.
vii.Mewujudkan media komunikasi yang berkesan( penggunaan E-Group Yahoo) untuk kumpulan guru cemerlang.
viii.Memiliki dokumentasi pencapaian yang lengkap bagi setiap ujian dan peperiksan.
ix.Menghasilkan perancangan strategik guru cemerlang.
x. Mewujudkan GC Task Force untuk khidmat bantu bagi sekolah-sekolah berprestasi rendah.
xi.Menghasilkan Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran.
xii.Mewujudkan Pusat kepakaran Akademik PPD Kuantan ( sebuah sekolah satu kepakaran).

Majlis penutupan rasmi telah disempurnakan oleh Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Kuantan, Encik Rosli Bin Abdul Rahman.

Sesungguhnya, Program Peningkatan Profesionalisme Guru Cemerlang 2009 ini amat bermanfaat terutama dalam kerangka untuk melahirkan guru-guru cemerlang yang komited dan bertanggungjawab dalam memartabatkan pendidikan negara.