Rabu, 28 Oktober 2009

PERJUANGAN BAHASA MELAYU BELUM SELESAI

Usaha memperkasa kuasa DBP mampu penuhi gagasan 1Malaysia

KITA bersyukur kerana masih berada dalam suasana dan tempoh Perayaan Bulan Bahasa Kebangsaan. Alhamdulillah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) masih berada di barisan hadapan memperjuangkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan negara Malaysia tercinta. Saya sendiri berasakan sebahagian nostalgia kempen bahasa lantaran saya juga pernah mengambil bahagian dalam beberapa program kempen Bulan Bahasa sejak 45 tahun lalu.

Sebagai guru bahasa di Maktab Perguruan Bahasa di Lembah Pantai pada 1964, saya masih ingat bagaimana kami dikerah menyertai kempen demi kempen Bahasa Kebangsaan di bawah bimbingan Tun Syed Nasir Ismail. Kami mengadakan ceramah, peraduan pidato, sajak patriot, penulisan rencana, cerpen dan novel. Pada 1964 Akta Bahasa Kebangsaan 1963 (Akta No 32) baru setahun jagung dan peruntukan amat bersifat asas. Sejak itu akta penting itu dipinda empat kali, terakhir pada 1994.

Pagi ini, selepas luput 52 tahun Merdeka kita masih berada di DBP sambil mengulangi seruan lama, ungkapan lama dan mengamalkan perlakuan lama. Kita masih berkempen Bahasa Kebangsaan; kita masih mengeluarkan dengusan dan kadangkala kata perli dan sinis kenapa bahasa Melayu tak begitu dan tak begini. Kadangkala kita bersuara seolah-olah belum merdeka.

Sebenarnya kita pencinta dan pejuang bahasa sudah berjaya. Sudah ada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan; sudah ada DBP dengan aktanya sendiri yang lebih perkasa dan lengkap; sudah ada Akta Bahasa Kebangsaan 1963 yakni tahun lahirnya Malaysia. Sudah berjaya menyahkan PPSMI dan pelbagai kemajuan lain. Dan payung kuasa bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan sedia terpampang pada Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan.

Saya menerima hakikat perjuangan bahasa Melayu kita belum selesai. Terlalu banyak hal dan perkara serta isu dan persoalan masih menghantui kita. Saya mengajak pejuang bahasa Melayu jangan bosan berjuang terus menegakkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Sebenarnya tajuk bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan amat luas bidangnya. Ia bukan benda yang jika dilipat sekecil kuku. Ia adalah hal ehwal yang jika dibentang seluas alam. Justeru, jika alam yang hendak diterokai bersama, kita perlukan beberapa peralatan dan kaedah yang harus dipunyai setiap kali kita melaungkan bahasa jiwa bangsa.

Saya lega kerana pada 7 Oktober lalu, Jemaah Menteri membincang dan menghalusi beberapa perkara dan amalan seharus diberi tumpuan.

(a) Pertama Jemaah Menteri mengakui pemimpin harus berkomunikasi dengan lebih kerap dan teratur dalam Bahasa Kebangsaan termasuk ketika mengadakan mesyuarat rasmi yang menyaksikan anggota berkaitan amat biasa menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu secara spontan.

(b) Setiap kementerian dan agensi kerajaan digalakkan menggunakan Bahasa Kebangsaan seluas mungkin bagi mewujudkan suasana kekitaan dalam menjayakan gagasan 1Malaysia.

(c) Wajar mengadakan garis panduan atau peraturan tertentu bagi menyokong usaha memartabatkan bahasa Melayu khususnya oleh pihak swasta yang masih jauh kebelakangan dalam usaha penggunaan Bahasa Kebangsaan.

(d) Kabinet mengambil perhatian bahawa, mentang-mentang ada beberapa kerat warga asing di sesuatu forum atau persidangan diadakan dalam negeri, pengucap langsung memilih berucap dalam bahasa Inggeris.

(e) Diperhitungkan bagaimana Bahasa Kebangsaan kita boleh dijadikan sebagai saluran perpaduan dan komunikasi agar gagasan 1Malaysia lebih mudah dijayakan bersama oleh semua kaum.

(f) Dua kementerian iaitu Kementerian Pelajaran dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan diarah menyusul semua isu dibangkitkan pada mesyuarat itu dan seterusnya bagaimana cita-cita negara bangsa dapat dijayakan.

Kesimpulannya kedua-dua kementerian itu kini ditugaskan supaya menyusul perkara berkenaan dan merealisasikan beberapa objektif dan matlamat bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan sebenarnya. Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan khususnya sedang meneliti keputusan Jemaah Menteri itu agar perjuangan Bahasa Kebangsaan kita tidak lagi dalam keadaan terumbang-ambing atau merayu-pilu setiap kali kita berusaha memperkasa bahasa Melayu sebagai bahasa penyatu dan penggalas gagasan 1Malaysia.

Malah satu daripada kejayaan melalui perjuangan gagasan 1Malaysia bergantung banyak kepada setakat mana warga Malaysia sendiri sanggup menghormati serta mengamalkan Bahasa Kebangsaan kita. Alhamdulillah, sekarang dengan dorongan kabinet itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran dan saya akan bertungkus-lumus menggerakkerjakan langkah utama ke arah mengutuhkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa Malaysia dan Bahasa Kebangsaan.

Pada saat ini pun saya amat sedar kontroversi PPSMI berkaitan tempoh pemberhentiannya; saya menggolongkan diri saya kepada kumpulan yang sangat mahukan PPSMI itu diganti secepat mungkin dengan aliran penggunaan bahasa Malaysia dalam pembelajaran Sains dan Matematik seluas mungkin sebagai bahasa ilmu, di samping mengalu-alukan pembelajaran bahasa Inggeris sebagai subjek berasingan yang dipupuk terus-menerus dari awal persekolahan.

Kita harus menyebut kembali kelengkapan dan kaedah yang diperlukan. Kita perlu mengenal apa masalah pokok yang berada di tengah masyarakat Malaysia hari ini. Penelitian isu bahasa akan menunjukkan tidak kurang 10 perkara pokok yang kita perlu cari penyelesaian segera dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan atau bahasa Malaysia:

1. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan harus diterima sebagai alat utama nasional dan kenegaraan bagi membina negara bangsa yang paling berkesan. Semua sistem pembelajaran, komunikasi perdagangan, sosial dan politik harus mengutamakan penggunaan bahasa Kebangsaan.

2. Pengistilahan bahasa Melayu sebagai bahasa Malaysia dan bahasa Kebangsaan harus tidak dipertikaikan dari segi penggunaan bahasa kerana matlamat murninya ialah menyatukan, menghasilkan kekitaan bagi Malaysia, sekalipun penggunaan istilah bahasa Malaysia itu tiada dilazimkan dalam perundangan.

3. Pentingnya Bahasa Kebangsaan dijadikan bahasa ilmu dan bahasa budaya tinggi. Bahasa ilmu tidak boleh diwujudkan hanya dengan laungan dan sebutan dasar. Kerja menterjemah buku ulung dunia harus diselenggara secara bersungguh-sungguh. Pelajar kita harus diajar bagaimana menjawab melalui bahasa huraian dan bukan melalui jawapan objektif dengan mengisi kotak soalan.

4. Kempen bahasa serta penulisan buku fiksyen dan bukan fiksyen harus melibatkan sebahagian besar warga penulis dari kalangan bukan Melayu supaya mereka berkemampuan mempengaruhi kaum masing-masing turut cergas dalam penulisan dan pembacaan buku bermutu.

5. Bahasa Melayu harus diupaya sebagai bahasa swasta terutama dalam bidang dagang dan kegiatan komersial; bidang perbankan, perundangan, insurans dan komunikasi formal secara lebih meluas.

6. Latihan pertuturan dan komunikasi tinggi harus diajar dan dipelajari secara profesional. Ia penting kerana tanpa keupayaan berhujah dan berkomunikasi dengan baik dan meyakinkan dalam bahasa Malaysia cita-cita tinggi Bahasa Kebangsaan tidak sampai jauh.

7. Penyebarluasan bahasa Melayu sebagai bahasa Malaysia di kalangan negara Asean penting diberi perhitungan segera memandangkan penggunaan bahasa sama di Indonesia dan di beberapa wilayah Thailand dan Filipina.

8. Kerajaan dan swasta harus ada peta jalan bahasa Malaysia yang saling membantu di samping penggunaan bahasa Inggeris yang berupaya tinggi.

9. Membuang sikap kerendahan diri apabila berbahasa Melayu.

10. Negara kita harus mempunyai jurusan pembudayaan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang menarik yang bersifat wajib.

Marilah kita bersama menggunakan kunci yang sudah lama hilang atau dihilangkan itu untuk membuka lembaran dan vista baru tamadun di tanah air tercinta ini. Kunci itu ialah bahasa. Ia sudah diwujudkan sejak 1963 yakni seusia dengan Malaysia. Kali ini jika kita tidak juga mengerti bagaimana hendak cermin diri, kita akan dilupai zaman dan zuriat kita sendiri.

(Sedutan ucapan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim)

Sumber : http: //www.bharian.com.my/