Jumaat, 15 Februari 2013

ISU ALAM SEKITAR : Meteor Terhempas Di Rusia - Angka Kecederaan Meningkat


MOSCOW : Kira-kira 1,000 orang dilaporkan cedera apabila meteor dari angkasa terhempas di bandar Chelyabinsk, Ural, Rusia pagi Jumaat, waktu tempatan.

Angka terkini kecederaan disahkan Jabatan Kesihatan Chelyabinsk yang turut mengesahkan kecederaan melibatkan 200 kanak-kanak.

Kebanyakan mengalami kecederaan akibat terkena serpihan kaca yang pecah akibat letupan yang mengakibatkan bola api yang terhempas di bangunan dan kawasan perumahan.

Bagaimanapun, tiada kehilangan nyawa dilaporkan setakat ini.

Meteor yang dilaporkan terhempas membentuk lubang bulat di kawasan ais dan bersalji berhampiran tasik di Chelyabinsk kira-kira 1,500 kilometer dari timur Moscow.

Itar-Tass, agensi berita rasmi melaporkan cahaya terang berwarna putih kelihatan di langit untuk beberapa saat diikuti bunyi letupan yang sangat kuat.

Dilaporkan bahawa letupan berpusat di 50 batu (80 kilometer) di bandar Satka, Chelyabinsk.

Letupan mengejutkan itu menyebabkan trafik dan komunikasi mudah alih tergendala.

“Pada pukul 9.20 pagi (waktu Rusia), sebuah objek dilihat di atas Chelyabinsk. Objek tersebut terbang dengan kelajuan yang tinggi dan meninggalkan kepulan asap di belakangnya. Dalam masa dua minit, terdapat dua letupan,” kata pegawai kecemasan, Yuri Burenko dalam satu kenyataan.

Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa), dalam satu kenyataan berkata, asteroid dikenali sebagai 2012 DA14 itu telah dijangka memasuki atmosfera bumi hari ini.

“Pemantauan telah dilakukan sejak 15 tahun lalu. Namun lokasi tepat objek itu jatuh tidak dapat dipastikan,” katanya.

Pemerhati langit mendakwa kejadian yang berlaku mempunyai signifikasi dengan acara Tunguska yang terkenal tahun 1908 di kawasan terpencil Siberia apabila asteroid yang memasuki atmosfera meletup sehingga memusnahkan pokok di seluruh kawasan seluas 820km persegi - kira-kira dua pertiga saiz Rhode Island.

Dalam kejadian itu, secara keseluruhan, kira-kira 80 juta pokok telah musnah.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/


Nota Hujung : Tahi Bintang (Meteor)

* Tahi bintang adalah ketulan batu dari angkasa yang masuk ke atmosfera bumi
* Tahi bintang biasanya mencapai kelajuan 30,000 kilometer sejam
* Tahi bintang yang lebih kecil biasanya melepasi atmosfera bumi lima hingga 10 kali setahun
* Tahi bintang besar yang jatuh ke bumi biasanya berlaku setiap lima tahun
* Tahi bintang yang terakhir berlaku pada 2008 apabila ia meletup di Sudan tetapi tiada siapa cedera
* Tahi bintang yang dijual mempunyai nilai sehingga AS$670 (RM2,010) satu gram
* Tahi bintang bertanggungjawab atas kepupusan dinosaur 66 juta tahun lalu
* 20,000 petugas kecemasan ditempatkan di kawasan kejadian untuk membantu penduduk

ISU EKONOMI : TripAdvisor umum tarikan utama Malaysia

Menara Berkembar Petronas mengungguli di tempat pertama antara 10 tarikan utama pelancong tahun lalu. 

KUALA LUMPUR, 14 Feb - TripAdvisor, laman perjalanan terbesar di dunia, hari ini mengumumkan tarikan yang mendapat penarafan tinggi di Malaysia dan menjadi bualan pelancong dunia pada 2012.

Dalam satu kenyataan, TripAdvisor berkata Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur mengetuai senarai itu.

"Menara ini memang mengagumkan, terutama pada waktu malam, dengan limpahan cahayanya.

"Ia sangat besar dan sukar untuk merakamkannya dalam satu gambar," kata seorang pelancong TripAdvisor.

Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), yang menduduki tempat kedua, menyediakan apa sahaja dan semua yang anda perlukan, daripada kopi hinggalah kedai, restoran dan bar, kata seorang lagi pelawat.

Kereta Kabel Langkawi, Kedah, menduduki tempat ketiga.

"Anda boleh memberi tumpuan atas panorama kehijauan sepanjang laluan dan kami menikmati pemandangan matahari terbenam, kata seorang pelancong.

TripAdvisor berkata Taman Burung Kuala Lumpur, yang menduduki tempat keempat disifatkan oleh seorang pelawat sebagai tambahan selepas melawat Taman Orkid Nasional.

"Kami meluangkan masa tiga jam memerhatikan pelbagai jenis burung menerusi kawasan kanopi yang besar.

"Saya akan mencadangkannya kepada sesiapa sahaja, malah yang kurang berminat terhadap burung," katanya.

TripAdvisor berkata 10 tarikan Malaysia yang menjadi bualan pada 2012, dari gedung beli-belah hinggalah muzium dan taman tropika, diberikan rangking berdasarkan rebiu (ulasan) yang diterima oleh TripAdvisor.com bardasarkan alamat protokol Internet, antara 1 Jan 2012 dan 31 Dis 2012.

TripAdvisor, yang beroperasi di Malaysia pada Mac 2011 ialah laman web terbesar dunia dan beroperasi di 30 negara, termasuk China.

Ia mengetengahkan 1,443 hotel, 1,235 rumah tumpangan, 143 sewaan percutian, 3,024 restoran dan 941 aktiviti untuk dilakukan, dengan usaha sama organisasi utama di Malaysia seperti Malaysia Airlines, AirAsia, Maxis dan Tourism Malaysia. -- BERNAMA

ISU SOSIAL : Bersama tangani gejala dadah


Penyalahgunaan bahan terlarang boleh hancur masa depan

Bersempena sambutan Hari Antidadah Peringkat Kebangsaan pada 19 Februari setiap tahun, marilah kita membanteras dadah yang menjadi punca utama berlakunya jenayah, maksiat serta menjadi ancaman kepada kesejahteraan masyarakat dan negara.

Percayalah, gejala dadah sama bahaya dengan penagihan arak atau khamar, ibu segala kejahatan. Lihat apa yang berlaku seperti jenayah mencuri, merompak, rogol, bunuh, merempit dan lain-lain kebanyakan berpunca daripada penagihan dadah.

Punca kemungkaran

Yakin dan ketahuilah bahawa setiap perkara yang boleh memabukkan, melemahkan anggota badan, merosakkan akal fikiran adalah punca berlakunya kemungkaran dan jenayah.

Firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah perbuatan keji daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah, ayat 90)

Mereka yang terbabit dengan dadah telah merosakkan nama baiknya dan menimbulkan kegelisahan dalam masyarakat. Ingatlah, perbuatan ini sebenarnya semakin menjauhkan diri daripada Allah SWT.

Kadangkala dengan hanya satu perbuatan jenayah saja boleh menghancurkan nilai kehidupan kita dan keluarga tersayang serta menyebabkan kerugian sepanjang hayat. Usaha membanteras, memerangi jenayah dan perbuatan berdosa tidak boleh dibuat secara perseorangan atau agensi tertentu, sebaliknya hendaklah dibuat secara menyeluruh oleh masyarakat sebagai satu tanggungjawab ke arah pencapaian matlamat yang baik.

Firman Allah SWT: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa- Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya.” (Surah al-Maidah, ayat 2)

Sabda Rasulullah SAW: “Kaitan antara seseorang beriman dengan yang lainnya adalah sama seperti sebuah binaan yang menguatkan antara satu sama lain.” (Hadith Muttafaqun ‘Alaih)

Kerosakan akibat dadah

Kerosakan yang dibawa oleh gejala dadah sangatlah besar. Ancamannya bukan hanya kepada diri penagih, bahkan seluruh ahli keluarga kerana gejala ini akan menghilangkan kewarasan, keseronokan dan kegembiraan serta diwarnai dengan tangisan yang berpanjangan.

Bayangkanlah, pasti ranap harapan ibu bapa, pasti musnah impian saudara mara serta pasti hancur masa depan anak-anak dan isteri di bawah tanggungannya. Malah, kesan yang lebih dahsyat lagi ialah musnahnya sesebuah bangsa dan negara.

Inilah masanya semua umat Islam mesti bersatu untuk memerangi jenayah dadah dan mendokong segala usaha serta komitmen pemerintah demi memastikan jenayah dadah dapat dibasmi hingga ke akar umbi. Umat Islam perlu insaf semasa masih sihat, berkuasa dan bertenaga, marilah kita bekerjasama memerangi jenayah dadah dan menutup segala ruang gejalanya.

Luang masa bersama anak

Ibu bapa perlu meluangkan masa dengan memberi perhatian kepada anak supaya tidak terjebak dengan perkara tidak sihat yang pastinya sangat merugikan. Disiplinkan hidup mereka, ajaklah mereka untuk berkongsi pandangan dan masalah. Jadikanlah usaha menangani gejala dadah sebagai satu tanggungjawab demi agama dan umat Islam.

Marilah bersama kita renung firman Allah SWT: “Jika kamu berbuat kebaikan, maka faedahnya adalah untukmu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji kali kedua, Kami datangkan musuh-musuh kamu untuk memuramkan muka kamu; dan untuk memasuki masjid sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali pertama; dan untuk menghancurkan apa saja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.” (Surah al-Isra’, ayat 7)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Paras rupa kurang menarik dorong penderaan kanak-kanak


KUALA LUMPUR : Kajian polis mendapati kanak-kanak yang mempunyai paras rupa kurang menarik antara yang mudah menjadi mangsa dera.  

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak(D11), Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Komisioner Hamidah Yunos, berkata paras rupa tidak menarik dilihat menjadi faktor pendorong perasaan marah ibu bapa atau penjaga dan seterusnya bertindak untuk memukul. 

"Kalau kita tengok dalam kalangan adik beradik pun biasanya yang tidak menarik parasnya akan dipinggirkan, begitu juga dengan kes dera, ibu bapanya terdorong untuk memukul," katanya kepada Bernama.

Hamidah berkata kajian juga mendapati ibu bapa yang pernah didera semasa zaman kanak-kanak sebenarnya turut mempengaruhi psikologi mereka melakukan perkara yang sama terhadap anak-anak mereka.  

Beliau berkata tekanan kerja kekal menjadi faktor utama berlaku penderaan terutama apabila kebanyakan ibu bapa masa kini mempunyai kerjaya.             

"Mereka tidak lagi mempunyai pertimbangan untuk tahan dengan sikap anak-anak dan sasarannya anak-anak yang banyak ragam atau nakal.           

"Begitu juga dengan kanak-kanak yang berada di bawah jagaan pengasuh, apabila mereka ditekan oleh ibu bapa agar memastikan penjagaan anak-anak mereka berada pada tahap terbaik, ia seakan menjadi bebanan kepada pengasuh sehingga berlakunya kes penderaan," katanya.

Hamidah turut mendedahkan trend ibu bapa dan pengasuh masa kini mudah mereka-reka cerita kononnya anak atau kanak-kanak di bawah jagaan mereka mengalami kecederaan akibat terjatuh atau sebagainya bagi mengaburi perbuatan dera yang telah dilakukan.          

"Apabila hari-hari didera, kanak-kanak itu tadi mengalami kecederaan kritikal, pelaku mula risau dan membawa kanak-kanak berkenaan ke hospital untuk mendapatkan rawatan dengan melaporkan kanak-kanak itu terjatuh atau sebagainya.

"Tapi apabila pemeriksaan dijalankan, doktor mendapati kecederaan yang dialami kanak-kanak itu sebenarnya kesan luka lama dipercayai didera.

"Ia juga sama sekali tidak konsisten dengan laporan yang dibuat pelaku semata-mata untuk melindungi diri mereka daripada perbuatan mendera," katanya.              

Beliau berkata sekiranya doktor yang memeriksa berhadapan dengan kes seperti itu, mereka mempunyai kuasa untuk melaporkan kes kepada pihak polis dan pelaku itu tadi tidak mempunyai peluang untuk melepaskan diri di atas perbuatan yang telah mereka lakukan.       

"Apabila kita terima laporan, kita akan hubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk beri sesi kaunseling atau tempat perlindungan kepada mangsa. Kita juga akan jalankan siasatan dan mangsa yang berumur di bawah 16 tahun akan dihantar ke Pusat Sokongan dan Temuduga Forensik Kanak-kanak (PSTFK) untuk rakaman keterangan melalui video," katanya.

Katanya ibu bapa dan pengasuh menjadi penyumbang utama dalam kes penderaan kanak-kanak dengan statistik terkini merekodkan sebanyak 285 kes penderaan kanak-kanak pada tahun lalu berbanding 2010 sebanyak 242 kes.      

“Statistik itu juga menunjukkan peningkatan kira-kira 17.8 peratus. Ia menunjukkan orang ramai termasuk doktor yang merawat mangsa dera semakin peka dan mempunyai kesedaran untuk melaporkan kes penderaan kepada pihak polis.               

“Ini bermakna masyarakat telah sedar bahawa penderaan kanak-kanak adalah jenayah berbanding dulu," katanya.        

Berdasarkan statistik, kanak-kanak berusia satu hingga tujuh tahun menjadi mangsa penderaan tertinggi dalam tempoh dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun lalu sebanyak 136 orang berbanding 117 pada 2011, diikuti kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas sebanyak 99 orang berbanding 82 orang dan kanak-kanak berusia kurang satu tahun sebanyak 50 orang berbanding 43 orang,katanya.

“Majoriti penderaan berlaku ke atas kanak-kanak lelaki yang dianggap lebih lasak berbanding kanak-kanak perempuan,” katanya.              

Statistik turut merekodkan kes penderaan tertinggi mengikut negeri adalah Selangor dan Johor, masing-masing 67 kes diikuti Pulau Pinang (25), Negeri Sembilan (24), Kuala Lumpur (18), Sarawak (15), Melaka (13), Perak (12), Kelantan (10), Sabah (10), Pahang (9), Kedah (8), Terengganu (4) dan Perlis (3).              

Individu didapati bersalah melakukan penderaan boleh didakwa mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak (AKK) iaitu kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya, katanya. - BERNAMA

ISU SOSIAL : Hedonisme hidup subur, jati diri mati terkubur


Oleh : A.RAZAK MUTHALIB

Hedonisme ialah satu pola pemikiran dan budaya hidup yang terlalu suka kepada hiburan semata-mata. Menurut kamus dewan, hedonisme ialah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup.

Sedar atau pun tidak, budaya hedonisme in mula menular masuk sekian lama dalam kehidupan masyarakat Islam di Malaysia terutamanya dalam kalangan muda mudi. Salah satu faktor penting menyumbang kepada berlakunya fenomena ini ialah realiti media massa sama ada media cetak atau media elektronik yang memberikan peruntukan sangat banyak kepada aspek hiburan. Tidak kurang juga sokongan yang padu dari pihak pemerintah.

Hiburan  pada dasarnya bukanlah suatu yang dilarang Islam, asalkan ia dihidangkan berlandaskan  syariat. Fitrah manusia secara umumnya memang perlukan kepada  hiburan. Tuntutan fitrah ini seharusnya diberikan haknya dan ditunaikan dengan adil. Adil dalam erti kata memilih hiburan yang betul dan mengikut kadar yang diperlukan sahaja tanpa melampaui batas.

Hadis Rasulullah  dilaporkan Aisyah, bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Rasulullah berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali).

Nabi bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita”.  (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam   riwayat Muslim menyatakan mereka memukul gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka.

Hadis ini menunjukkan sikap lunak Nabi  yang tidak melarang hiburan dalam bentuk nyanyian sekalipun berlaku dalam rumah Baginda. Nabi tidak bersikap keras mengenai hiburan seperti sesetengah mereka yang menggunakan nama agama untuk membanteras hiburan. Bantahan Abu Bakr ditolak Nabi  secara berhikmah.

Dalam riwayat al-Bukhari, juga dari ‘Aisyah  bahawa:“Seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka Baginda bersabda: Wahai ‘Aisyah!  Mengapakah tiada bersama kamu hiburan?  Orang Ansar sukakan hiburan”.

Dalam hadis ini menunjukkan Nabi prihatin dengan kecenderungan hiburan sesuatu kaum dalam majlis yang bertujuan untuk kegembiraan seperti majlis perkahwinan. Mungkin hal ini boleh diluaskan kepada majlis sambutan kesukaan yang lain seperti majlis keluarga atau seumpamanya. Bahkan mengenai majlis perkahwinan Nabi  pernah bersabda:  “Perbezaan antara yang haram dan yang halal adalah kompang dan suara dalam perkahwinan”. (Riwayat al-Nasai dan  al-Tirmizi, hadis ini bernilai ‘hasan’).

Maksudnya perkahwinan yang halal dilakukan secara terbuka dan diisytiharkan. Berbeza dengan perzinaan yang dilakukan secara senyap. Kegembiraan pada hari perkahwinan dizahirkan secara nyata dengan hiburan kompang atau alatan yang lain dan suara.  Suara  di sini  ada  yang   mentafsirkannya sebagai iklan pernikahan.  Juga boleh ditafsirkan sebagai nyanyian.

Namun, fenomena pada hari ini adalah sebaliknya. Program hiburan sama ada di televisyen, radio atau pun atas pentas terbuka dilambakkan kepada masyarakat dengan begitu banyak mengatasi program lain. Berita hiburan juga memonopoli sebahagian akhbar tabloid dan juga majalah. Kisah kehidupan artis dalam dan  luar negara,  diberikan liputan yang berleluasa.

Terdapat sesetengah pihak dengan bersungguh menghidangkan hiburan ini secara langsung kepada masyarakat. Bahkan sanggup diperuntukkan jumlah yang banyak untuk membawa masuk artis dari luar negara.  Ada yang menjelajah dari satu negeri ke satu negeri yang lain sambil mengajak masyarakat untuk berhibur bersama artis itu.

Apabila program hiburan dilambakkan,  kesannya minda masyarakat dibentuk dengan hiburan. Generasi muda diharap menjadi bari-san pelapis menerajui pembangunan ummah dan negara, disibukkan dengan hiburan melampau. Ghairah dan bersemangat berbicara tentang gosip sensasi artis, filem terbaru, lagu popular dan pelbagai topik lain.

Penyakit ini bukan sahaja menimpa golongan muda-mudi kurang berpendidikan, malah dukacita apabila ia turut berjangkit kepada penuntut di institut pengajian tinggi. Lebih parah jika ia disuburkan pemimpin sendiri. Fenomena ini dapat dibuktikan melalui pengaruh penampilan fizikal, tutur kata, tindakan dan amalan majoriti remaja zaman ini.

Demi menghasilkan imej dan identiti urban-kontemporari, remaja zaman ini sanggup menggadai jati diri dan sosok peribadi mereka demi kelihatan  cool dan up to date. Tiada lagi jati diri seorang bangsa Melayu yang  terkenal dengan budaya ketimurannya. Lebih penting lagi, tidak nampak pada peribadi dan tingkah laku mereka watak seorang Muslim sejati, yang diutuskan seorang Nabi, sebagai contoh ikutan yang hakiki.

Terlalu banyak contoh pemikiran hedonisme ini menular dalam pemikiran masyarakat terutama generasi muda. Salah satu bukti ketara ialah keghairahan dan kegilaan generasi muda akhir-akhir ini terhadap bidang nyanyian.

Apabila pemikiran ini meresap mengakibatkan generasi muda melihat bidang nyanyian sebagai satu prospek menguntungkan. Apabila lambakan program realiti televisyen untuk mencungkil penyanyi baru. Program realiti ini kebanyakannya dicedok bulat-bulat dari negara Barat tanpa ditimbang mana buruk mana bermanfaat.

Lebih malang lagi program sebegini mendapat tajaan daripada syarikat korporat, termasuk syarikat korporat diterajui orang Islam. Dalam masa yang sama rancangan bersifat ilmiah dan meningkatkan tahap pemikiran masyarakat tidak mendapat sambutan.

Program realiti hiburan ditiru daripada Barat bagi menambah program hiburan di Malaysia, tujuannya untuk melahirkan penyanyi "pasang siap". Persoalan timbul apabila produk media keluaran orang Islam di Malaysia yang tidak jauh bezanya dengan produk media acuan Barat berteraskan budaya  hedonisme.

Hal ini adalah akibat pemikiran yang membentuk tanggapan bahawa media hanyalah alat hiburan dan medium menjual produk semata. Peningkatan jumlah peserta yang menghadiri sesi uji bakat realiti televisyen ini dari tahun ke tahun merupakan kejayaan pola pemikiran hedonisme sehingga mengagungkan populariti dan kemewahan.

Pemikiran hedonisme ini menular cuba menyeleweng tujuan hidup Muslim sehingga berkiblatkan hiburan dan keseronokan semata. Dukacita apabila generasi muda hari ini lebih mengenali keperibadian artis pujaan daripada keperibadian para nabi. Kehidupan artismengikut kayu ukur Barat dijadikan garis panduan dan ikutan, hatta tingkah laku artis itu menentang budaya ketimuran apatah lagi syariat Islam.

Hiburan menjadi agenda utama media massa apabila kebanyakan promosi diberikan media kepada artis melebihi ilmuwan. Tokoh akademik, ulama, negarawan kurang ditonjolkan pencapaian dan yang mereka lakukan untuk pembangunan umat, agama, bangsa dan negara. Sebaliknya, artis  diberi anugerah dan dijulang nama.

Pencapaian artis lebih mendapat liputan pihak media. Realiti ini membuktikan betapa budaya hedonisme ini meresap masuk dan sedikit demi sedikit menjadi darah daging masyarakat. Penularan budaya ini sebenarnya berkait rapat dengan pihak pengamal media yang memberikan ruang yang sangat banyak kepada program dan bahan berita berbentuk hiburan.

Lebih menyedihkan apabila pihak atasan juga sanggup mengimport artis luar untuk menghiburkan masyarakat. Tidak pasti, adakah ia dilakukan demi memenuhi tuntutan rakyat atau pun mempertahankan pangkat.

Bukan salah untuk berhibur. Namun biarlah berhibur yang ada kadarnya. Jangan sampai hiburan ini melalaikan kita daripada tujuan kehidupan dan tanggungjawab Muslim yang sebenar. Akhirnya Islam hanya kekal pada nama!.

Penulis ialah pensyarah Kolej Islam Antarabangsa dan perunding latihan dan motivasi.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/